Site logo

Usaha Belia Membantu Keluarga Daif Di Kawasan Ketiga Paling Terjejas Di Pulau Pinang

Belia pada hari ini mampu melakukan segalanya. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menghasilkan pencetus perubahan yang terbaik di Malaysia. Kini, belia bukan sahaja sedar tentang masalah sosial yang melumpuhkan komuniti mereka, malah aktif juga mencari jalan penyelesaian untuk membawa perubahan pada peringkat tempatan.

Tan Wei Siang adalah contoh pemuda yang celik dan berkemampuan. Anak jati Pulau Pinang yang berusia 20 tahun ini terkilan dengan keadaan keluarga daif yang tinggal di kawasan rumah kos rendah di Taman Free School. Kawasan tersebut merupakan kawasan perumahan lama yang dibina oleh majlis perbandaran pada tahun 1970-an dan terkenal dengan flat kos rendah berkepadatan tinggi dengan kos sewa serendah RM97 sebulan. Menurut Wei Siang, kawasan perumahan ini merupakan kawasan ketiga termiskin di Pulau Pinang.

Wei Siang tidak berasa asing dengan kehidupan bersederhana kerana dia memahami perasaan golongan yang kurang bernasib baik. Kehidupan beliau juga dalam keadaan bersederhana.

Bapa saya bekerja di bengkel makanan di pasar lambak Lorong Kulit dan ibu saya adalah suri rumah. Kami tinggal bersama keluarga kami, termasuk makcik dan pakcik saya di tapak warisan Pulau Pinang. – Tan Wei Siang

Terkilan dengan keadaan penduduk miskin di daerah itu, Wei Siang mengambil langkah proaktif dan memulakan inisiatif belia ‘Care For All’ yang menyediakan bantuan bakul makanan kepada penduduk di Taman Free School. Semasa memulakan Care For All, Wei Siang sedar bahawa dia perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memajukan inisiatifnya. 

Care For All bekerjasama dengan MPKK Taman Free School (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) untuk menggerakkan usaha kami. Kami memiliki pasukan seramai 25 orang dan pasukan MPKK diterajui oleh YB Jagdeep Singh, Majlis Eksekutif Negeri Pulau Pinang untuk Perancangan Perumahan dan Bandar & Negara. – Tan Wei Siang

Kaedah Kreatif Untuk Menjana Dana Semasa Pandemik 

Ketika perintah pengawalan pergerakan dimulakan pada Mac 2020, Wei Siang dan rakan-rakannya menganjurkan tiga kejohanan e-Sports untuk mengumpulkan dana. Melalui jumlah bayaran penyertaan oleh peserta dan sumbangan tambahan, Wei Siang berjaya membeli 800 bakul makanan yang diedarkan ke rumah-rumah orang tua dan keluarga B40 di sekitar Pulau Pinang.

Setiap bakul makanan mempunyai beras seberat 5 kilogram, minyak masak, gula, tepung, garam, bihun, sardin, kacang panggang, kopi dan keropok – keperluan asas setiap keluarga di sana.

Ketika PKP berkuatkuasa semula pada Januari 2021, Wei Siang dan pasukan sukarelawannya memutuskan untuk menyasarkan sumbangan bakul makanan mereka kepada penduduk di Taman Free School. Dia ingin menjadi lebih strategik dalam usahanya untuk mengurangkan kelaparan dan memenuhi keperluan insan lain. Sehingga kini, Care For All telah membantu 993 keluarga di kawasan Taman Free School sahaja.

Sebilangan besar penduduk di kawasan Taman Free School terdiri daripada ibu tunggal, warga tua dan orang kurang upaya yang kehilangan sumber pendapatan kerana pandemik. – Tan Wei Siang

Tidak boleh dinafikan bahawa golongan berpendapatan rendah adalah yang paling terjejas. Mereka terbeban akibat PKP, pengangguran, kehilangan pekerjaan, potongan gaji dan pergerakan terhad juga menyukarkan mereka untuk mencari rezeki[1]. Selain itu, dengan kemiskinan hidup, golongan berpendapatan rendah tidak mempunyai wang simpanan yang cukup. Malah, mereka yang tidak mempunyai pekerjaan stabil (seperti tukang cuci dan sebagainya) tidak mempunyai jaring keselamatan sosial untuk melindungi mereka.

Menurut Jabatan Statistik Malaysia, kemiskinan tegar meningkat dari 5.6% pada tahun 2019 hingga 8.4% pada tahun 2020[2]

Setiap Bakul Makanan Yang Diberi Adalah Rezeki Keluarga Yang Memerlukan

Walaupun data mengesahkan keadaan kesan ekonomi yang teruk yang melanda rakyat Malaysia, kisah-kisah realiti masyarakat adalah pendorong utama untuk golongan pencetus perubahan berusaha dengan lebih kuat. Wei Siang berkongsi tentang kisah seorang perempuan tua yang pernah dia lawati.

SEBELUM MENDERMA BAKUL-BAKUL MAKANAN ITU, KAMI MENZIARAHI MEREKA DAHULU UNTUK MENGETAHUI TENTANG KEPERLUAN MEREKA. SAYA TIDAK BOLEH MENAHAN KESEDIHAN MELIHAT KEADAAN HIDUP MEREKA. SEORANG WANITA BERUMUR 65 TAHUN YANG TINGGAL SEORANG DIRI TERPAKSA MENGGADAI BARANG KEMASNYA DEMI MEMBAYAR BIL ELEKTRIK. TETAPI MASIH TIDAK MENCUKUPI. – Tan Wei Siang

Wei Siang sedar bahawa sumbangan bakul makanan hanyalah langkah sementara untuk membantu mereka yang memerlukan. Ketika mengulas tentang masa depannya, dia menyatakan harapan untuk membantu golongan penjual makanan di Taman Free School untuk mendapatkan pendapatan stabil bagi menyara keluarga mereka. Care For All juga bercadang untuk mengadakan lagi kejohanan e-Sports untuk mendapatkan dana bagi membantu golongan B40 di Pulau Pinang.

Dalam perjalanannya untuk menerajui perubahan, Wei Siang mendapat inspirasi dan motivasi daripada pemimpin belia lain, iaitu YB Syed Saddiq, Ahli Parlimen Muar dan mantan Menteri Belia dan Sukan. 

DIA (YB SYED SADDIQ) ADALAH MENTOR SAYA. SAYA KAGUM DENGAN USAHA BELIAU MEMBANTU RAKYAT MUAR DENGAN BANTUAN BAKUL MAKANAN DAN APABILA DIA TIDAK MENGAMBIL GAJINYA DEMI MENJANAKAN DANA. SAYA TELAH MENGHUBUNGINYA DAN MEMINTA NASIHAT SEBELUM MEMULAKAN ‘CARE FOR ALL‘ – Tan Wei Siang

Ketika ditanya tentang nasihat penting untuk para belia, Wei Siang sangat mengesyorkan semua belia untuk melakukan apa sahaja demi membina Malaysia yang maju.

JIKA KITA BENAR-BENAR INGIN MELIHAT PERUBAHAN, KITA HARUS MEMBANTU MEREKA YANG MEMERLUKAN DALAM KEMAMPUAN DAN KEUPAYAAN SENDIRI. JANGAN TUNGGU PERUBAHAN DARIPADA KERAJAAN – MULAI DENGAN DI MANA KITA BERADA – Tan Wei Siang

Special thanks: All photos published in this article are from Wei Siang’s personal collection.

Ditulis oleh Rachel Tan dan disunting oleh Wiki Impact team.

Explore Our Sources:

  1. Simler, K. (2020). From vulnerable to pandemic poor. World Bank Blogs. Link.
  2. Department of Statistics Malaysia. (2020). Household income estimates and incidence of poverty report, Malaysian, 2020. Department of Statistics Malaysia Official Portal. Link.

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?