Site logo

Remaja Sarawak Mendaki Bukit Untuk Mendapatkan Sambungan Internet Yang Baik: Memahami Jurang Digital Dan Kesan-Kesannya di Malaysia

Frank Steward Panting Sa bercita-cita untuk menjadi seorang guru pada masa depan. Tawaran untuk menghadiri temu duga kemasukan dalam talian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan peluang untuk Frank merealisasikan impiannya[1]. Namun, sambungan Internet yang stabil menimbulkan satu cabaran besar yang perlu dia hadapi untuk memastikan temuduga itu berjalan lancar.

Bertempat di rumah panjang di Rumah Suing, Teberu, Ulu Kemalih, Pakan, Sarawak, sambungan Internet yang disediakan oleh rangkaian WiFi Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (Saluran) sering terganggu dan tidak stabil. Sambungan itu hanya cukup untuk perkara-perkara asas seperti menghantar dan menerima mesej melalui WhatsApp dan Facebook[1].

Panggilan video panjang melalui Zoom atau Google Meet adalah hampir mustahil kerana kekangan jalur lebar. Untuk mendapatkan sambungan Internet yang lebih baik tanpa gangguan, Frank terpaksa mendaki Bukit Kelingkang selama dua jam[1].

Sumber: Weird Kaya

Ini bukan kali pertama Frank terpaksa mendaki bukit tersebut; dia pernah melakukannya sebelum ini untuk sesi temu duga yang lain. Kedua-dua temuduga memerlukan dia untuk bangun seawal pukul 6 pagi agar dia sempat sampai ke pondok tersebut[2].

Dalam sebuah video yang tular, abang kepada Frank, Mario, berkongsi saat Frank duduk di sebuah pondok kecil yang dibina khas oleh ayah mereka, Sa Ujom, untuk temu duga itu.

Pondok itu dilengkapi dengan tikar bemban, latar belakang Pua Kumbu, dan sebuah kerusi untuk kegunaan Frank sepanjang sesi temu duga. Namun, semasa temu duga sedang berlangsung, Frank terpaksa menahan gigitan pacat dan duduk di atas tanah yang basah. Walaupun tidak selesa, dia tetap bertahan dan berkongsi bahawa temu duga tersebut berjalan dengan lancar.

Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagu. Frank menerima tawaran kemasukan ke UPSI, dan Timbalan Naib Canselor UPSI (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin sendiri menyerahkan surat tawaran itu di Pejabat Pendidikan Daerah Betong.

Saya sangat gembira kerana telah menerima tawaran dari UPSI, dan saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan. Saya tidak akan mensia-siakan peluang ini. – Frank Steward Panting Sa[1]

Frank Antara Penduduk Sarawak Yang Terpaksa Hidup dengan Akses Internet Terhad

Kisah Frank hanyalah satu daripada banyak contoh di mana sambungan Internet menjadi halangan bagi penduduk Sabah dan Sarawak. Ia membawa perhatian kepada isu yang lebih mendalam yang dihadapi kawasan pendalaman.

Kajian yang dijalankan oleh Dr Nuurianti Jalil pada tahun 2020 mendapati 67.1% (385 daripada 574)[3] responden di Sabah dan Sarawak tidak berpuas hati dengan sambungan Internet mereka. Sebahagian dari mereka mengalami sambungan yang lemah, perlahan atau tidak stabil. Ada juga responden yang tiada langsung akses Internet.

Sekurang-kurangnya 31% (178 daripada 574)[3] responden dari kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak melaporkan bahawa mereka perlu keluar dari rumah untuk mendapatkan sambungan Internet yang stabil[3].

Walaupun statistik menunjukkan kadar penembusan Internet di Malaysia adalah 91.7%, banyak kawasan pendalaman yang tidak dapat menikmati kemudahan ini. Kadar ini telah meningkat dari 87% pada tahun 2018 kepada 90.1% pada tahun 2019[4].

Walaupun kadar akses kepada Internet semakin meningkat, mengapa kisah seperti Frank masih menjadi perhatian?

Tambahan pula, kajian Dr Nuurianti membuktikan ketidakpuasan umum dalam kalangan penduduk tempatan terhadap liputan Internet semasa.

Jawapannya terletak pada dasar yang ditetapkan atas syarikat telekomunikasi. Dasar tersebut menyatakan bahawa syarikat-syarikat mesti menyediakan sambungan kepada 95% populasi tanpa menetapkan kawasan yang perlu diliputi[5]. Di kawasan pendalaman dengan populasi penduduk yang rendah, syarikat telekomunikasi tidak perlu menyediakan liputan sepenuhnya akibat kelonggaran dasar ini.


Kawasan pendalaman hanya mempunyai sekitar 5% daripada jumlah penduduk, jadi syarikat mempunyai kebebasan untuk tidak menyediakan sambungan di kawasan ini. Itu adalah hak mereka dan tiada apa yang boleh dilakukan mengenai perkara ini. – Nor Zachy Fernandez, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Xair[5]

Di Sarawak, syarikat telekomunikasi Sacofa Sdn Bhd bekerjasama dengan kerajaan negeri dan persekutuan untuk memperluas rangkaian telekomunikasi di kawasan pendalaman dengan memasang lebih daripada 700 menara fiber[5] untuk jalur lebar berkelajuan tinggi. Manakala untuk kawasan dengan populasi penduduk rendah, Sacoda Sdn Bhd menggunakan kaedah alternatif seperti pemancaran tanpa wayar dan VSAT untuk memperluaskan liputan.

Namun, dengan kisah seperti Frank, pihak berkuasa hendaklah sedaya upaya membantu komuniti yang memerlukan untuk merapatkan jurang ketara antara mereka dengan kawasan lain di negara ini. Sarawak juga menghadapi cabaran dalam penempatan komuniti pendalaman yang berselerak di kawasan terpencil.

Ketiadaan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air, dan bekalan elektrik komersial di beberapa kawasan ini menimbulkan cabaran besar kepada Sacofa dalam usaha menyediakan telekomunikasi. Ketiadaan jalan berturap ke kawasan-kawasan ini menyebabkan akses menjadi lebih sukar. – Kenyataan Sacofa Sdn Bhd mengenai cabaran dalam meningkatkan sambungan Internet di kawasan pendalaman Sarawak[5]

Frank bukan sahaja berharap untuk sambungan Internet yang lebih baik, tetapi juga peningkatan akses jalan raya bagi penduduk kampung.

Kami juga berharap ada jalan berturap kerana Pakan hanya dihubungkan dengan jalan tanah. – Frank Steward Panting Sa[2]

Sambungan Digital adalah Jalinan Masa Hadapan

Kisah Frank telah menarik perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang berjanji untuk bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan dalam memastikan sambungan Internet yang lebih baik untuk penduduk rumah panjang Pakan[6].

Langkah ini penting untuk membolehkan penduduk setempat, termasuk pelajar yang terjejas, untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran serta menjalankan aktiviti harian mereka dengan lancar,” – Kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai video viral Frank Steward[6]

Pada tahun 2021, kerajaan negeri Sarawak menyatakan komitmen mereka untuk memastikan sekurang-kurangnya 90% kawasan dilengkapi dengan Internet berkelajuan tinggi[7].

Tahun demi tahun, kerajaan negeri yang silih berganti mengutamakan sambungan Internet yang lebih baik dalam senarai mereka. Dalam Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan mengakui bahawa jurang digital telah mencipta ketidaksamaan dalam mengakses peluang ekonomi dan pandemik hanya memperburuk masalah ini[8].

Tanpa pandemik dan keperluan untuk kelas dalam talian, kami tidak akan pernah sedar akan kekurangan sambungan asas walaupun selepas berbilion ringgit telah dibelanjakan untuk inisiatif menara TIME USP [Provision Perkhidmatan Universal, satu inisiatif untuk menyediakan menara di kawasan pendalaman bagi sambungan Internet]. Nor Zachy Fernandez, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Xair[9]

Kerajaan melancarkan Jaringan Prihatin, sebuah inisiatif untuk menangani jurang digital dalam kalangan komuniti B40 pada tahun 2021[10]. Walau bagaimanapun, langganan jalur lebar masih rendah dan pendaftaran untuk perkhidmatan tersebut masih mahal bagi isi rumah berpendapatan rendah.

Dilaporkan bahawa langganan jalur lebar dalam kalangan kumpulan B40 adalah sebanyak 49.3%, berbanding 90.7% untuk kumpulan M40. Langganan jalur lebar bagi kumpulan T20 adalah sebanyak 99.7%[8]. Namun begitu, tiada data yang didedahkan mengenai kadar langganan di kawasan pendalaman.

Selain itu, kelajuan 4G di kawasan pendalaman dengan populasi penduduk yang rendah hanya mencapai 44% daripada kelajuan pada tahun 2019 berbanding 83.7% di kawasan bandar[11].

Sambungan WiFi yang dikendalikan oleh kerajaan amat sukar untuk diharapkan. Kebanyakan penduduk kawasan pendalaman seperti penduduk rumah panjang di Pakan terperangkap dalam keadaan yang tidak pasti.

Walaupun negara semakin giat dengan digitalisasi dan berlumba untuk menjadi sebahagian daripada Revolusi Perindustrian 4.0, masih ramai rakyat yang terkesan dengan sambungan Internet yang tidak mencukupi.

Internet Perlahan Menjadi Halangan Kemajuan

Kekurangan akses kepada Internet di kawasan pendalaman memberi kesan kepada pelbagai aspek kehidupan. Di zaman yang semakin bergantung pada sambungan digital untuk pembangunan negara, kanak-kanak terpaksa belajar di dalam persekitaran yang berbahaya untuk mendapatkan sambungan Internet yang stabil.

Terdapat laporan yang menyatakan bahawa dengan liputan dan akses Internet yang terhad, pendidik di kawasan pendalaman Sarawak terpaksa menghantar kerja rumah menggunakan Whatsapp dan Facebook untuk memastikan sesi pembelajaran berjalan[3]. Pelajar di Limbang perlu menghabiskan lebih dari 30 minit setiap hari duduk di atas jalan tanah untuk menyiapkan kerja rumah mereka[12].

Situasi yang dihadapi oleh pelajar PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah) di Ulu Medamit sangat mencabar. Mereka harus bergelut dengan sambungan Internet yang datang dan pergi; mereka perlu menunggu selama 30 minit hingga satu jam untuk mendapatkan semula sambungan. Kanak-kanak ini mengalami kesukaran untuk belajar; ia tidak terlalu panas pada awal pagi, tetapi menjelang tengah hari, cuaca boleh menjadi sangat panas. – Paulus Palu Gumbang, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Danau[12]

Dengan sambungan Internet yang terhad, golongan muda dan keluarga mereka di kawasan pendalaman Malaysia terperangkap dalam kitaran kemiskinan tanpa akses kepada pelbagai peluang kerjaya yang boleh menaikkan taraf hidup mereka.

Masih terdapat kelompok komuniti, terutamanya di kawasan pendalaman dan kawasan berpendapatan rendah di bandar, yang belum dapat memanfaatkan peluang pendapatan yang disokong secara digital secara sepenuhnya akibat sambungan Internet yang tidak konsisten atau berkualiti rendah. – Sumitra Nair, Naib Presiden MDEC, Bakat & Keusahawanan Digital[13]

Sebagai contoh, pengalaman Pengarah Eksekutif Fintech Lab, Baiza Bain, dalam Program Pembangunan Teknopreneur di Sabah menunjukkan betapa besar cabaran yang dihadapi oleh usahawan kawasan pendalaman[5].

Sumber: Soya Cincau

Dalam pengalaman saya, masalah terbesar yang dihadapi oleh usahawan kawasan pendalaman adalah sambungan Internet yang terhad.

Para usahawan ini sangat berdedikasi dan tekun untuk menguasai ilmu digital, tetapi aplikasi pengetahuan mereka terbatas oleh kekurangan akses kepada sambungan internet.

Jalur lebar internet adalah kunci kejayaan untuk mengembangkan perniagaan usahawan kawasan pendalaman. – Baiza Bain, Pengarah Eksekutif Fintech Lab[5]

Usaha pendigitalan yang giat dijalankan boleh membantu untuk membasmi kemiskinan, namun ramai petani kawasan pendalaman yang mempunyai akses terhad kepadanya. Nancy Anol, seorang petani di Simanggang, Sarawak, merasai kesan transformasi Internet terhadap pendapatannya apabila dia mula bekerjasama dengan sebuah perusahaan sosial, Sluvi Natural.

Sejujurnya, sebelum ini kami tidak mempunyai capaian Internet sehingga aplikasi Whatsapp pun tidak dapat dimuat turun di telefon. Kami mengetahui kewujudan Internet tetapi tidak pernah diberitahu tentang faedah mempunyai sambungan ini, terutamanya dalam menjalankan perniagaan. Syukurlah, kami diajar cara menggunakan telefon pintar dan maklumat digital yang berkaitan. Jadi apabila perintah kawalan pergerakan dilaksanakan, kami dapat meneruskan kerja seperti biasa melalui panggilan video dan aplikasi pesanan. – Nancy Anol, seorang ibu tunggal yang bertani dengan Sluvi di Simanggang, Sarawak

Bantuan kewangan sangat bagus dan diterima bagi kelangsungan hidup, tetapi menyaksikan penduduk kawasan pendalaman seperti Frank mendaki tangga sosio-ekonomi melalui pendidikan tinggi adalah jauh lebih baik. Bukan itu sahaja, sambungan Internet yang stabil adalah penting untuk peningkatan pendapatan melalui penerapan digitalisasi dalam perniagaan.

Jurang yang Mahal

Kesenjangan digital di Asia Tenggara memberi kesan besar terhadap perkembangan ekonomi. Dianggarkan bahawa 150 juta (31%) individu dewasa di Asia Tenggara tidak mempunyai akses kepada teknologi digital pada tahun 2021. Sebahagian daripada mereka kekurangan akses kepada teknologi komunikasi, manakala yang lain mempunyai tahap literasi digital yang rendah[14].

Jika kerajaan di seluruh Asia Tenggara dapat merapatkan jurang digital sekaligus kesannya, sekurang-kurangnya USD 15 bilion dalam pendapatan dan penjimatan boleh diperoleh setiap tahun.

Sekurang-kurangnya USD 15 bilion dalam pendapatan dan penjimatan setiap tahun dapat diperoleh di Asia Tenggara dengan merapatkan jurang digital. – Encik John Low, rakan kongsi kanan dan penulis bersama Bridging The Digital Divide[15]

Indeks Inklusi Digital Roland Berger (RB DII) menunjukkan bahawa Malaysia tidak ketinggalan jauh dan dilihat sebagai pesaing utama di belakang Singapura dalam Asia Tenggara. Berdasarkan indikator yang sama, Malaysia menduduki tempat ke-21 di peringkat global[14]. Walaupun tenaga kerja kita sedang bersiap sedia untuk abad digitalisasi, memastikan tiada individu yang tercicir dalam penyertaan digital di seluruh negara juga menjadi keperluan.

Sumber: GLENN GUAN/The Star

Halangan terbesar dalam mencapai transformasi digital adalah kekurangan infrastruktur yang berkualiti tinggi dan akses digital yang konsisten untuk isi rumah berpendapatan rendah di kawasan bandar dan kawasan pendalaman.

Sambungan Internet telah menggerakkan ekonomi, membawa penyambungan, pendidikan, dan banyak lagi. Ini adalah pandangan yang perlu diambil oleh kerajaan kita mengenai sambungan Internet. Jurang digital hampir secara langsung menyebabkan jurang ekonomi. – Raj Ridvan Singh, CEO SOLS 24/7 [13]

Pada hujung tahun lepas, perbincangan mengenai Malaysia Digital tertumpu kepada pelaksanaan 5G. Namun, dengan kisah seperti Frank dan pelajar-pelajar di Limbang yang sering terputus sambungan Internet, mungkin fokus harus diberikan kepada pemastian kestabilan Internet untuk semua.

Bagi penduduk bandar, Internet yang perlahan mungkin bermaksud kelajuan penstriman yang rendah, tetapi bagi komuniti yang memerlukan, Internet adalah penting untuk menerima pendidikan, menghadiri temu duga kerja, atau bahkan menjual barang mereka secara dalam talian. Niat Mario Sa untuk merakamkan adiknya adalah untuk mendokumentasikan detik tersebut. Namun, video yang semakin tular itu juga merupakan peringatan yang berbisa untuk sebahagian daripada kita.

Ketika kita bercita-cita mencapai puncak yang lebih tinggi, adalah sama pentingn untuk memastikan tiada komuniti yang tercicir atas nama kemajuan.

Explore our sources:

  1. P.Boon. (2022). Frank hopes to inspire, impart knowledge to other students after graduating. The Borneo Post. Link
  2. N.I.Bosro. (2022). Keluar awal 6 pagi, pelajar di Sarawak panjat bukit dua jam mahu ikuti interviu UPSI. Majoriti. Link
  3. Z.Johari. (2020).Grouses over poor Internet access. The Borneo Post. Link
  4. Department of Statistics. (2021). ICT Use and Access By Individuals and Households Survey Report, Malaysia, 2020.Link
  5. J.Jacobs and P.Subramaniam. (2020). Cover Story: The digital divide and disconnection. The Edge Markets. Link
  6. The Star. (2022).New tower to overcome internet access issue at Sarawak longhouse. Link
  7. Dayak Daily. (2021). Sarawak targets Internet coverage in 90pct of the State by 2022. Link
  8. NST Leader. (2021). ​​NST Leader: The digital divide. Link
  9. V.Gomes. (2021). Malaysia Digital Economy Blueprint: Focus on rural connectivity to bridge digital divide. The Edge Markets. Link
  10. A.Yeoh. (2021). Annuar Musa announces Keluarga Malaysia telco packages, available from Oct 15. The Star. Link
  11. Digital Nasional. (2021). Rural connectivity remains poor with industry giving focus on urban areas. Link
  12. P.Kiew. (2021). Kids studying on dirt road proof of Ulu Medamit’s dire need of stable internet coverage. The Borneo Post. Link
  13. D.Azmi. (2019).Telco Deep Dive 2018: Digital divide in Malaysia leaves much more work to be done. Digital News Asia. Link
  14. S.Kaur., J.Low. & D.Dujacquier. (2021). BRIDGING THE DIGITAL DIVIDE. Roland Berger. Link
  15. H.Teo. (2021). Closing the Digital Divide in Southeast Asia. Accountants Today. Link

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?