Beliau dikenali sebagai Paulina Henry. Beliau merupakan seorang usahawan dan pengarah di sebuah organisasi institusi pendidikan di Kuala Lumpur.

Namun begitu, kejayaan seseorang itu bukannya berdasarkan asal-usul seseorang tetapi atas usaha dan kegigihan dalam mencapai cita-cita.
Sekiranya anda melihat beliau pada hari ini, anda tidak akan terfikir pun bahawa beliau merupakan insan yang dilahirkan dan membesar di salah satu daerah termiskin di Malaysia iaitu Pitas, Sabah.
Pitas terletak di bahagian utara negeri Sabah kira-kira 200km dari ibu negeri Sabah iaitu Kota Kinabalu. Selain itu, Pitas juga merupakan daerah kedua termiskin di Sabah dengan peratusan sebanyak 53.6% penduduknya hidup dalam kemiskinan.[1] Kawasan luar bandar ini juga dikelilingi dengan bukit bukau.
Semasa beliau membesar di Pitas, beliau tidak terfikir langsung tentang kehidupan di luar kampungnya. Ketika itu, beliau beranggapan bahawa Kuala Lumpur merupakan tempat yang sangat asing baginya. Malahan, beliau membayangkan penduduk di sana menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara dan beliau langsung tidak tahu berbahasa Inggeris pada masa itu. Namun begitu, beliau tidak gentar menghadapi cabaran tersebut kerana beliau mempunyai impian yang tinggi.

Barisan hadapan dari kiri ke kanan: Adik Paulina, sepupu dia dan Paulina di rumah ibu saudara mereka di Kampung Manduring, Pitas pada tahun 1989. Paulina tinggal di Pitas sehingga umur 12 tahun dan seterusnya bersekolah di Kelantan dan Johor.
Bercita-cita Menjadi Seorang Perdana Menteri
Sudah tentu! Beliau bercita-cita untuk menjadi seseorang yang berpengaruh di Malaysia. Semasa kecil, beliau sering memberitahu orang-orang di sekitarnya bahawa suatu hari nanti beliau akan menjadi seorang usahawan dan Perdana Menteri.
Ketika beliau berusia 12 tahun, beliau telah mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan UPSR. Natijahnya, beliau telah mendapat tawaran untuk menyertai program tajaan Yayasan Sabah untuk belajar di sekolah-sekolah Semenanjung Malaysia. Beliau mengambil peluang tersebut lalu melanjutkan persekolahan di Kelantan dibawa tajaan tersebut.
Titik Perubahan Kehidupan Beliau
Sebagai persediaan untuk program tersebut, Paulina meminta ayahnya untuk membeli sepasang kasut baru. Dengan sedikit wang yang dimiliki ayahnya, dia membeli kasut tetapi dengan saiz lebih besar supaya dia dapat memakainya dengan lebih lama. Reka bentuknya juga bukan sesuatu yang dia benar-benar mahukan. Bersyukur tetapi sedikit tidak puas hati, dia bertekad pada saat itu bahawa dia akan mengubah taraf hidup keluarganya suatu hari nanti. Keinginan yang kuat muncul dalam dirinya dengan impian bahawa suatu hari nanti beliau akan dapat membeli sebanyak mana kasut yang dia mahukan!

Paulina mencapai impian dia untuk membeli sebanyak mana kasut yang dia mahukan.
Paulina berjaya dalam pelajarannya walaupun berjauhan dengan keluarganya sejak usia yang masih muda. Dia belajar ketahanan diri, berdikari dan keberanian yang merupakan sifat-sifat yang membawa beliau ke tempat sekarang ini. Beliau pernah menjadi seorang guru mata pelajaran Fizik selama 8 tahun. Hari ini, Paulina adalah Pengarah Eksekutif di Regent College dengan pengalaman dalam bidang pendidikan lebih 13 tahun. Dia juga mempunyai almari yang dipenuhi dengan kasut yang cantik!
Semua Impian Dapat Dicapai Termasuk Keluar Dari Belenggu Kemiskinan

Anak-anak muda dari latar belakang miskin dan terpinggir sangat dekat di hati Paulina. Beliau berharap agar anak-anak muda yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah ini akan mengambil ikhtibar melalui kisah kehidupan mereka dan tidak rendah diri kerana asal-usul. Menurutnya, mereka harus berusaha untuk menjadikan kisah hidup mereka menjadi lebih hebat agar menjadi inspirasi kepada orang lain yang senasib dengan mereka.
Beliau percaya bahawa peluang-peluang dalam hidupnya merupakan suatu anugerah yang akhirnya membawa beliau ke tempat dia berada sekarang. Akan tetapi kejayaannya tidak datang tanpa keringat, air mata dan kerja keras. “Sepanjang perjalanan hidup ini, jangan lupa untuk menghargai orang-orang yang menyokong anda seperti ibu bapa, ahli keluarga, guru-guru dan rakan anda”, nasihat beliau. Beliau menggesa mereka yang mahu mencapai impian dan cita-cita yang tinggi agar terus gigih, konsisten, dan tidak mudah berputus asa! Saya mahu menjadi Perdana Menteri semasa kecil, siapa yang boleh mengatakan anda tidak boleh?
Rujukan:
- Department of Statistics Malaysia. (2019). Household Income and Basic Amenities Survey Report by State and Administrative District. Link.
Diterjermah oleh Fariessa Ameer. Baca versi Bahasa Inggeris di sini.