Site logo

Harish Dhakshinamoorthy: Memercik Ombak untuk Menyokong Rakan Tutor

Harish Dhakshinamoorthy, seorang pemuda yang berumur 21 tahun dari Segambut yang amat berminat terhadap sukan renang dan membimbing pelajar. Pemuda ini berenang selama 12 jam untuk  mengumpul dana lebih  RM39,000 untuk tujuan yang dekat di hatinya. Inilah ceritanya:

Harish pertama kali didedahkan kepada kerja pembangunan sosial dan masyarakat semasa melawat Kemboja dan bekerja dengan sebuah organisasi di mana dia membantu mengajar murid-murid Bahasa Inggeris dan Matematik selepas menghabiskan pelajaran sekolah menengahnya. Sejak itu, Harish aktif meluangkan masa bagi membimbing pelajar di Australia dan Malaysia. 

“Beberapa tahun kebelakangan ini, saya telah mengajar dan membimbing lebih daripada 50 pelajar luar bandar, berketurunan orang asli, pelajar cemerlang di Australia dan Malaysia serta memperoleh apresiasi yang ikhlas terhadap pembimbingan dan keupayaannya untuk mengembang dan juga membuka peluang yang luar biasa bagi orang lain”

Setelah melihat potensi pembimbingan dalam membantu pembelajaran murid-murid, Harish tertarik dengan Rakan Tutor, sebuah NGO yang berusaha untuk membendung ketinggalan pembelajaran (learning loss) dan kaedah mereka iaitu pembimbingan individual dengan pelajar kurang berkemampuan. Harish juga sedar sangat bahawa pandemik ini telah menyebabkan banyak pelajar tercicir dalam pembelajaran mereka, terutamanya golongan yang menduduki peperiksaan penting dan akan memasuki pengajian tinggi. 

“Persimpangan antara apresiasi saya terhadap pembimbingan dan keadaan semasa di Malaysia telah memberi inspirasi kepada saya untuk berganding bahu dengan Rakan Tutor bagi menjana pengumpulan dana yang akhirnya akan menyediakan tenaga untuk menampung dan meluaskan impak bagi pelajar di Malaysia yang ketinggalan.”

Menggabungkan Minatnya

Mengetahui bahawa Rakan Tutor merupakan organisasi yang agak baru di dalam industri impak, Harish ingin menyumbang melalui satu cara yang akan membolehkan organisasi tersebut pergi lebih jauh untuk masa yang lebih lama. 

Idea untuk mengumpul dana diinspirasikan oleh dua kejayaannya baru-baru ini – pengijazahannya dari  Sarjana Muda Bioperubatan dari University of Melbourne dan hari jadinya yang akan datang. Untuk menjadikan perayaan tersebut lebih bermakna, Harish memutuskan untuk mengadakan acara pengumpulan dana. 

Kemudian, Harish memikirkan cara untuk mengumpul dana dan terus terlintas satu aktiviti yang sudah jarang dilakukan tetapi dirinduinya – berenang!

“Idea pengumpulan dana merupakan penggabungan tiga perkara: mengajar iaitu aktiviti yang saya kerap lakukan, Rakan Tutor iaitu pihak benefisiari dan sukan renang. Disebabkan oleh pandemik, saya tidak mempunyai peluang untuk melakukan renang jarak jauh.”

Dari Matahari Terbit Hingga Terbenam

Harish merupakan seorang perenang yang berpengalaman dan pernah menyertai beberapa pertandingan renang air terbuka (Open Water Swimming) bersama bapanya. Pada mulanya, dia merancang untuk berenang selama 24 jam. Selepas mempertimbangkan faktor logistik, keperluan nutrien serta latihan yang diperlukan, tempoh masa dikurangkan kepada 12 jam yang lebih munasabah. Maraton renang yang berlangsung selama 12 jam itu merupakan cabaran lebih besar berbanding dengan rekod sebelumnya iaitu 4km di acara Renang Air Terbuka Malaysia. 

“Saya ingin mencabar diri saya untuk pergi lebih jauh daripada sebelum ini dan secara idealnya, cukup jauh untuk mengenal pasti batasan saya.”

Pada pagi acara tersebut, walaupun penuh resah pada malam sebelumnya, dia bangun dalam keadaan bersedia. Dia bersedia secara mental dan fizikal serta bersemangat untuk memasuki kolam renang. 

“Pada masa itu, saya benar-benar sedia secara mental. Dari aspek fizikal, saya tidak pernah membuat apa-apa hingga keekstreman itu dan saya perlu yakin bahawa badan saya berkebolehan serta dan akan tetap berhubung dengan minda saya sepanjang [acara tersebut].”

Menghampiri Garis Penamat

Sebaik sahaja Harish melompat masuk ke dalam kolam renang, dan kuak renangnya stabil, orang ramai mula berkumpul dan dia merasa bertenaga dengan kehadiran sokongan sosialnya.

“Apabila lebih banyak ahli keluarga serta jiran datang untuk memberi sokongan, saya merasa sesuatu aura tenaga dari luar yang menyumbang kepada sumber tenaga saya sendiri dan membolehkan saya untuk terus berusaha.”

Seseorang yang tetap teguh sepanjang masa itu ialah neneknya. Selepas 3 jam berenang tanpa henti, dia berehat untuk mengembalikan tenaga tetapi dia mula merasa letih. Namun, dengan motivasi dari neneknya, dia didorong untuk kembali ke kolam renang dan meneruskan pusingan. 

“Harish, kamu harus kembali ke sana. Kamu memang akan merasa [keletihan] sebegini, tetapi apabila kamu mula berenang, kamu akan rasa ritmanya lagi dan tidak akan tersekat pada ritma yang salah.” – nenek Harish

Di titik tengah maraton renang, Harish menghadapi halangan lagi dan perlu mencabar pemikirannya serta tidak menyerah kalah kepada keletihan. Selain penyokong yang berada di sampingnya, komuniti maya turut bersorak. 

“Orang ramai di media sosial menyaksikan Harish berenang selama 12 jam, namun kami sedar bahawa bukan acara renang tersebut – tetapi ketahanan luar biasa dan sikap tidak mementingkan diri yang ada pada Harish yang menarik hati para penonton.” – Samantha Lee, Rakan Tutor , Marketing Wizard

Mendekati penghujung maraton, jiran-jirannya , Yang Berhormat Hannah Yeoh dan suami beliau, Ramanchandran Muniandy, bersama ahli keluarganya hadir  di garis penamat.

“Menjelang saat-saat akhir, saya menyedari bahawa terdapat ramai yang meraikan dan menyokong saya serta melihat saya menyelesaikan maraton ini. Jadi, saya amat teruja kerana acara ini telah mendapat sokongan yang memberangsangkan.”

Apabila dia keluar dari kolam renang, Harish merasakan kepuasan yang tidak pernah dialaminya dan rasa keletihannya hilang. Dia juga menyedari bahawa tiada yang mustahil dan tindakan membawa perubahan bukanlah sesuatu yang susah untuk dicapai.

“Saya rasa bahawa tindakan membawa perubahan tidak seharusnya sesuatu yang sangat besar dan ianya tidak mustahil. Kita semua boleh melakukannya – dengan menggunakan hak istimewa dan kekuatan masing-masing – bagi saya, mungkin kebolehan saya untuk berenang telah memberi impak yang baik kepada dunia ini.”

Percikan Yang Mencipta Kesan 

Harish berjaya berenang sejauh 21.2 km dalam masa 12 jam dan telah melebihi jangkaannya berasaskan rekod sebelumnya. Didorong oleh kejayaannya, matlamat  masa depannya termasuk berenang di kawasan laut sekitar Pulau Perhentian sejauh 16km dan berenang sejauh 19.7km ke Pulau Rottnest di Perth. 

Pada peringkat perancangan, Rakan Tutor berharap kempen penggumpulan dana ini akan mencapai sekurang-kurangnya RM10,000. Namun, dalam masa dua jam selepas  maraton renang ini bermula, jumlah dana yang terkumpul  telah melebihi RM10,000 dan pada akhir renangan yang menakjubkan itu, para penderma telah mencagarkan lebih daripada RM39,000 kepada Rakan Tutor. Harish sendiri, yang telah menyelesaikan  530 pusingan, juga menyumbang dengan mencagarkan RM10 bagi setiap pusingan. 

Harish telah membuktikan bahawa wujudnya ruang bagi sesiapa pun untuk membawa perubahan bergantung pada kekuatan dan minat masing-masing. Pengumpulan dana ini juga merupakan bukti sikap murah hati rakyat Malaysia dan bersama-sama, kita mampu mendorong individu yang melakukan kerja baik untuk pergi lebih jauh. 

“Kamu tidak perlu menanggotai usaha yang besar bagi mengumpul dana bagi sesuatu tujuan – sesiapa sahaja dan semua orang dapat menyumbang mengikut kebolehan masing-masing dan Harish benar-benar membuktikan perkara itu.” – SAMANTHA LEE, RAKAN TUTOR, MARKETING WIZARD

Walaupun maraton renang itu sudah tamat, Harish masih tidak selesai dengan usaha baiknya. Kini, dia adalah seorang tutor sukarelawan di Rakan Tutor bagi mengukuhkan pemahaman Matematik calon-calon SPM.

Penghargaan: Semua gambar yang diterbitkan dalam artikel ini adalah daripada koleksi peribadi Harish

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?