Ini kisah Veveonah Mosibin. Dia secara tiba-tiba mendapat perhatian orang ramai selepas memanjat pokok bagi mendapatkan sambungan Internet yang baik untuk menduduki peperiksaan dalam talian. Hal tersebut mendorong pelajar yang berusia 18 tahun dari Kampung Sapatalang, Pitas, Sabah ini untuk merakam video seluruh episod memanjat pokok yang akhirnya tular. Video ini mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh pelajar luar bandar ketika cuba mengatasi masalah pembelajaran atas talian semasa pandemik.
Sensasi Internet Diilhamkan Oleh Bintang ‘Youtube’
Diilhamkan oleh ‘Youtubers’ seperti Pewdiepie, Veveonah memutuskan untuk merakam perjuangan hariannya untuk menyesuaikan diri dengan norma pendidikan baharu. Sambungan Internet di Pitas boleh dikategorikan sebagai suatu kemewahan dan menyebabkan pembelajaran hampir mustahil bagi Veveonah. Namun, tiada apa-apa yang akan menghalangnya, dia telah menetapkan fikirannya untuk menyelesaikan peperiksaan sepanjang tempoh kawalan pergerakan.
Dia menjumpai sebuah pokok di atas bukit dan memustukan untuk memanjat ke bahagian tertinggi dengan harapan agar dia mendapat sambungan Internet yang lebih baik. Dia merakam peristiwa di mana dia tinggal di atas pokok tersebut selama 24 jam hanya untuk memastikan kestabilan sambungan Internet untuk menyelesaikan pengajiannya. Video itu telah tular!
Rakyat Malaysia di seluruh negara mula bercakap tentang jurang digital antara masyarakat luar bandar dan bandar. Pelajar lain di kawasan luar bandar juga tampil untuk menyuarakan keadaan mereka. Perkara ini menjadi topik hangat dan merupakan titik perdebatan dan perbincangan dalam kalangan ahli politik sehingga ke peringkat parlimen.
Semasa temu bual dengannya, kami bertanya bagaimana hidupnya telah berubah sejak video tersebut mengundang kekecohan yang tidak diingini.
“Sejak video itu menjadi tular, terdapat banyak maklum balas yang diterima daripada masyarakat. Terdapat individu-individu yang menjadikan perjuangan saya untuk menduduki peperiksaan sebagai inspirasi, dan ada juga yang mengaitkan perjuangan saya dengan isu kemiskinan di Malaysia. Saya mengambil setiap maklum balas tersebut secara positif.
Salah satu impak terbesar sejak video itu tular ialah Telekom Malaysia telah meningkatkan sambungan Internet di kawasan saya, jadi kelas atas talian sekarang lebih mudah!! Selain itu, rumah saya kini mempunyai elektrik, disebabkan bantuan yang disediakan oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri. Saya amat berterima kasih atas semua bantuan yang telah diberikan, dan saya percaya tanggungjawab saya adalah untuk belajar dengan gigih supaya saya berjaya pada suatu hari nanti dan dapat membantu orang lain juga!”
Apakah Motivasi Untuk Meneruskan Pengajian? Apakah Semangat, Harapan Dan Impiannya?
“Saya sentiasa mahu mempelajari Sains Marin, jadi kini saya sedang menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam Sains Marin. Saya boleh mengandaikannya sebagai satu langkah ke arah yang betul. Saya mahu menjadi seorang pendidik/’influencer’ di YouTube suatu hari nanti supaya saya dapat meningkatkan kesedaran tentang pencemaran alam sekitar dan lautan kepada generasi akan datang. Saya sedar bahawa perjalanan saya baru sahaja bermula dan saya masih mempunyai banyak yang perlu dipelajari. Saya suka belajar dan percaya bahawa dengan pendidikan kita akan dapat mengubah kehidupan”
Apakah Harapan Untuk Komunitinya Serta Komuniti-Komuniti Sepertinya Pada Masa Akan Datang?
“Saya berharap semua orang yang mendapati diri mereka berada dalam keadaan yang sama seperti yang saya akan terus berusaha walaupun perlu menghadapi pelbagai cabaran. Saya harap mereka tidak akan membenarkan diri mereka terbelenggu dalam suatu masalah, sebaliknya carilah jalan penyelesaian yang mungkin dapat memperbaiki keadaan.”
“Masa depan kita berada di tangan kita, jadi ambil setiap peluang yang diberikan kepada kita. Tiada yang mustahil jika anda menetapkan fikiran anda kepadanya. Berfikir besar! Pastikan ia berlaku!”
Kisahnya telah memberi inspirasi kepada ramai individu sepertinya untuk tidak pernah berputus asa ketika menghadapi cabaran, terutamanya dalam aspek pendidikan dan keluar dari kitaran kemiskinan.
Tonton Video Asal Veveonah Di Sini
Diterjermah oleh: Nurul Shaeera