Ramai di antara kita mempunyai keinginan untuk menjadi seorang pembawa perubahan dalam masyarakat. Kita ingin menjadi agen perubahan yang mampu membawa perubahan positif melalui sumbangan kita kepada masyarakat. Salah satu cara yang paling biasa dilakukan oleh seseorang untuk menyumbang kepada masyarakat adalah dengan memberikan sokongan dalam bentuk kewangan ataupun bantuan.
Selepas ini, jika anda ingin memberi sumbangan, pertimbangkanlah lima perkara yang berikut — tanpa mengambil kira jumlah wang mahupun masa yang anda ketepikan untuk menyumbang. Sebagai seorang penderma, anda seharusnya mengambil langkah-langkah ketekunan wajar yang sepatutnya untuk memastikan bahawa duit yang merupakan hasil titik peluh anda, disumbangkan kepada tempat yang anda mahukan mengikut saluran yang betul supaya anda dapat membantu dalam apa-apa sebab atau isu yang anda inginkan.
Sentiasa beringatlah bahawa sokongan anda amatlah penting dan anda perlu yakin dengan pemberian, khidmat serta sumbangan anda. Senarai ini sesuai untuk mereka yang kini sedang menderma, telah menderma pada masa yang lalu ataupun berminat untuk menderma kelak.
#1: CARILAH SESUATU PENYEBAB ATAUPUN ISU YANG ANDA MINAT
Sering kali orang hanya akan menderma kerana mereka diminta untuk menderma – mereka juga biasanya tidak memikirkan secara mendalam ke mana wang itu disalurkan ataupun apakah sebenarnya masalah dalam sesuatu hal tersebut. Menurut Charity Navigator — sebuah pertubuhan penilai bukan untung, seseorang haruslah terlebih dahulu mengenal pasti sesuatu sebab atau isu di mana seseorang itu berminat untuk menyumbang atau menderma. Seseorang perlulah mula dengan mengenal pasti sesuatu masalah ataupun isu di mana seseorang itu berniat untuk membantu, apa yang menyentuh hati seseorang itu serta masalah ataupun isu apa yang terus muncul dalam perbualan seharian seseorang itu.
Apabila anda merasakan sesuatu masalah atau isu adalah dekat dengan hati anda, maka lebih mudahlah bagi anda untuk berpisah dengan wang anda serta pemberian anda akan berterusan bagi jangka masa yang lebih lama dan bukannya pemberian bagi satu kali sahaja. Pemberian secara proaktif juga akan mengurangkan kebarangkalian anda ditipu — ia adalah sesuatu fenomena yang malangnya sering berlaku dalam dunia dermawan.
#2 – Lakukan kaji selidik anda dan dapatkan maklumat lebih lanjut
Setelah anda mengenal pasti masalah atau isu yang mencuri perhatian ataupun menarik minat anda, sebagai permulaan, senaraikan organisasi-organisasi yang melakukan kerja yang baik dalam bidang tersebut. Kemudian, luangkanlah masa untuk mencari dan membaca laman sesawang organisasi-organisasi tersebut, membaca laporan tahunan serta laporan impak mereka. Dalam pada itu, carilah artikel-artikel di mana organisasi-organisasi tersebut dimasukkan dan dipaparkan. Ringkasnya, cubalah untuk dapatkan gambaran tentang prestasi mereka.
Di mana laporan kewangan sesebuah organisasi itu tersedia, carilah penyaluran dana yang bertanggungjawab kepada isu atau projek yang paling mendesak. Angka-angka dalam laporan kewangan tersebut mampu memberikan gambaran tentang inisiatif-inisiatif yang telah dilakukan pada masa lalu dan inisiatif-inisiatif yang sedang dilakukan oleh organisasi tersebut kini.
Ketelusan, kebertanggungjawaban dan kredibiliti merupakan nilai-nilai sesebuah organisasi yang dipercayai melakukan kebaikan. Contoh organisasi-organisasi yang menegakkan amalan-amalan terbaik serta mulia ini termasuklah:
#3: CUBALAH UNTUK MENJADI SEORANG PELAJAR TERLEBIH DAHULU SEBELUM MENJADI SEORANG PENDERMA
Jika anda ingin melangkah lebih jauh, anda boleh memulakan perbualan. Sekiranya anda merancang untuk menderma sejumlah wang yang besar, ambillah inisiatif untuk mengenali kakitangan yang menguruskan organisasi tersebut. Cadangkanlah untuk berbual dengan pengasas-pengasas ataupun barisan Ketua Pegawai Eksekutif dan mulakan perbualan yang dapat membantu anda, sebagai seorang penderma perspektif untuk memahami masalah atau isu yang diperjuangkan oleh organisasi tersebut dan bagaimana sumbangan anda dapat membuat perbezaan yang ketara untuk mencapai matlamat-matlamat organisasi mereka.
Bertanya-tanyalah mengenai impak, cabaran utama, pengajaran dan bersedialah untuk belajar. Sesebuah organisasi yang tidak mahu ataupun tidak berniat ataupun bersetuju untuk mengadakan perbualan ini dengan anda seharusnya tidak layak untuk mendapatkan sumbangan mahupun sokongan anda.
#4: ELAKKAN DARIPADA MENDERMA ATAUPUN MEMBERI SUMBANGAN MELALUI PANGGILAN TELEFON
Badan-badan amal dan organisasi-organisasi yang dipercayai tidak akan pernah menerima sebarang derma atau transaksi sumbangan melalui panggilan telefon. Jika sesebuah organisasi menghubungi anda melalui panggilan telefon untuk meminta sumbangan derma, mereka jarangnya dipercayai sebagai sebuah badan amal atau organisasi yang boleh dipercayai serta wujudnya kemungkinan bahawa sebahagian besar sumbangan derma anda akan dijadikan sebagai keuntungan peribadi. Secara ringkasnya, kemungkinan senario tersebut boleh dikatakan sebagai satu penipuan.
Maklumat hubungan sesebuah organisasi yang dipercayai akan biasanya tersedia di laman sesawang mereka dan ia seharusnya tidaklah begitu sukar untuk anda menghubungi sesebuah organisasi yang dipercayai. Akhirnya, sekiranya anda membuat keputusan untuk menderma kepada sesebuah badan amal, pastikan anda meminta resit untuk tujuan simpanan rekod serta pengecualian cukai, jika berkenaan.
#5: CUBALAH UNTUK KOMITED UNTUK MENDERMA BAGI JANGKA MASA YANG PANJANG
Organisasi-organisasi sosial amatlah menghargai rakan-rakan kongsi yang mempercayai visi mereka dan bersedia untuk bekerjasama dengan mereka untuk jangka masa yang panjang (contohnya: setiap dua tahun, setiap tahun, ataupun bertahun-tahun). Setelah anda menemui sesebuah organisasi atau badan amal yang anda percaya, diharapkan agar anda mempunyai hasrat untuk berkembang bersama mereka dan melihat kesan pemberian anda.
Salah satu cara yang baik untuk memulakan inisiatif yang dimaksudkan di atas adalah dengan menjalinkan hubungan dengan organisasi atau badan amal yang telah anda menderma selepas enam bulan pemberian derma tersebut. Berbual-bual mesralah dengan mereka berkenaan kemajuan dalam inisiatif-inisiatif mereka dan di mana lagi mereka memerlukan bantuan dan sokongan. Daripada memberi tekanan kepada senarai perbelanjaan yang terperinci, lebih baik jika anda memulakan hubungan penderma progresif di mana anda ingin mengukuhkan hubungan dalam bidang pemahaman, kepercayaan dan kredibiliti dengan organisasi atau badan amal yang anda percaya itu.
Dari semasa ke semasa, organisasi, badan-badan amal dan mereka yang mempunyai sesuatu misi sosial akan sentiasa mencari rakan-rakan kongsi bagi jangka masa yang panjang, penyokong-penyokong yang mengambil berat tentang sesuatu masalah ataupun isu dan jurucakap yang bersedia untuk mewakili mereka. Niat anda untuk memberi adalah satu langkah permulaan yang baik dan mempunyai potensi untuk berkembang dalam bidang-bidang impak yang lain.
Majulah dan mulakan perjalanan pendermaan anda!
Diterjermahkan oleh: Darrshan Naido