Site logo

Disebalik Nanny Dan Pengasuh yang Disanjung : Pendidik Prasekolah Bersuara

Melangkah masuk ke mana-mana pra-sekolah di Malaysia, anda akan disambut dengan mural watak kartun dan lagu kanak-kanak yang dimainkan – kebanyakan ibu bapa mengikuti irama yang menarik perhatian. Dalam kelas ini, kita seperti gergasi yang berjalan di antara perabot kecil. 

Bagi kebanyakan daripada kita, hari prasekolah telah lama berlalu. Bagaimanapun, di celah-celah minda kita, sudah pasti terdapat memori yang samar-samar dimana kita  cuba memegang sebatang krayon dengan jari yang comot. Ini soalan untuk anda: adakah anda masih ingat guru prasekolah kegemaran anda? 

Sumber: Unsplash

Sesetengah mungkin tidak tetapi guru, tidak kira di mana jua, telah membantu mencorakkan kehidupan kita. Tanpa guru prasekolah yang memastikan kita memegang pensil dengan betul, menggunting mengikut garisan atau untuk mengenali ABC, kemungkinan kita tidak boleh mara  kepada bahan bacaan yang lain, atau malahan menulis nama kita sendiri.

Salah satu daripada stereotaip bagi prasekolah ialah ia merupakan tempat dimana kanak-kanak dijaga dan dihiburkan dengan nyanyian dan tarian – namun ia adalah lebih daripada itu.

Pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan penting dalam pembangunan kognitif, dan kebanyakan kemahiran linguistik diperoleh pada tahap perkembangan ini. Kami telah berbicara dengan dua orang pendidik di Malaysia berkenaan pengalaman mereka sebagai guru prasekolah dan cabaran yang dihadapi oleh pendidik prasekolah.

Melenyapkan Stereotaip Tentang Pendidik Di Prasekolah 

Di sebalik kepentingan pekerjaan mereka, pendidik sering menentang stereotaip berleluasa yang  memandang remeh sumbangan mereka. Dahulu, ia bukanlah kerjaya pilihan tetapi sesuatu yang dilakukan oleh ibu-ibu, mereka yang mahir mengendalikan kanak-kanak pada masa lapang. 

Mungkin 10 tahun dahulu, mahir menjaga kanak-kanak sudah memadai – sepertimana ibu-ibu, makcik-makcik kita, mereka juga boleh menjadi guru pra-sekolah. Mereka telah dilatih untuk mengikuti kurikulum yang telah disediakan untuk mereka– Shu Fen

Bagaimanapun, responden kami, Shu Fen, 26 dan Haslina, 26, membuktikan bahawa hari-hari itu telah lama berlalu. Walaupun motivasi awal mereka menceburi pendidikan kanak-kanak timbul daripada keseronokan bekerja dengan kanak-kanak, hari ini, pendidik prasekolah memerlukan lebih daripada sekadar sifat penyayang. 

Shu Fen meneruskan pengajian ke peringkat  ijazah dalam bidang psikologi kaunseling dan, sebahagian daripada peranannya, melatih kakitangan prasekolah tentang pencapaian perkembangan kanak-kanak. 

Saya juga terlibat dalam melatih guru. Jadi guru tersebut akan lebih peka dengan tahap perkembangan sosial kanak-kanak dan bagaimana untuk menangani pertanyaan ibu-bapa. Pada masa yang sama, mempelajari beberapa tanda kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran atau neurodivergen disorder  seperti Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan Autism Spectrum Disorder (ASD) akan membantu ibu-bapa untuk menangani perkara ini dengan kadar segera.– Shu Fen


Sebaliknya, Haslina berazam untuk menceburi bidang pendidikan awal kanak-kanak sejak daripada mula lagi.

Saya berkecimpung dalam bidang pendidikan sejak saya memulakan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak di Methodist College KL. Saya menyambung pengajian BA (Kepujian) Pengajian Awal Kanak-kanak di University Gloucestershire. Kemudian, Saya meneruskan pengajian Sarjana Pendidikan  – Pengurusan Pendidikan di Universiti Terbuka Wawasan (Wawasan Open University. Dalam program ini, saya mempelajari PengurusanSumber Manusia dan bagaimanauntuk mentadbir urus sebuah sekolah secara profesionalHaslina

Pendidik-pendidik ini adalah individu terlatih dengan pemahaman mendalam tentang pencapaian pembangunan kanak-kanak. Mereka mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan pelajaran mereka yang memerlukan teknik mengajar yang inovatif, terutamanya dengan jangkamasa perhatian yang singkat kanak-kanak, pendidik meluangkan masa mereka di dalam pembangunan profesional untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kanak-kanak.

Walaupun  Shu Fen dan Haslina adalah pendidik prasekolah yang luar biasa, dengan kelayakan yang kukuh, realitinya adalah bukan semua guru-guru prasekolah mempunyai kemahiran dan kepakaran. Menurut laporan World Bank mengenai prasekolah di Malaysia, kualiti guru secara konsisten dikenal pasti sebagai dimensi kualiti prasekolah yang paling lemah[1].

Sumber: Unsplash

Prasekolah swasta selalunya mendapat markah antara yang paling rendah, seperti yang didapati dalam laporan Unit Prestasi dan Penyampaian Pendidikan (PADU) 2019[2].  Salah satu punca markah rendah ini ialah ramai guru dalam sektor ini tidak memenuhi syarat minimum iaitu memilika Diploma Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) Selain itu, peluang untuk menghadiri bengkel dan kursus pembangunan profesional adalah terhad, seperti yang diperhatikan oleh Shu Fen dalam sektor ini. 

Beberapa orang guru telah bekerja dengan tadika sejak ia ditubuhkan. Ya, sesetengah daripada mereka mungkin tidak mempunyai latar belakang pendidikan tinggi, tetapi mempunyai banyak pengalaman. Jadi pasukan kami terdiri daripada latar belakang yang berbeza dan dengan tahap pengalaman yang berbeza.Shu Fen

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang ingin menjadi guru prasekolah dari golongan generasi muda, laluan mereka bermula dengan mengambil jawatan yang lebih kecil. Prasekolah juga menggalakkan kelayakan dan pensijilan lanjut.

Tetapi sekiranya ia guru dari generasi muda, mereka perlu sekurang-kurangnya memiliki diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak. Jika mereka hanya lepasan SPM atau STPM, mereka boleh bermula dengan jawatan pembantu guru. Tetapi ianya diggalakkan untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau ijazah dalam pendidikan awal kanak-kanak.– Shu Fen

Sebahagian daripada sebabnya ialah pendidik prasekolah berada di barisan hadapan dan harus segera mengenal pasti kemungkinan gangguan pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak, memastikan bantuan yang diperlukan diberikan kepada kanak-kanak tanpa berlengah-lengah.

Dari segi perkembangan kanak-kanak, mereka sentiasa berada di hadapan. Jika guru sendiri tidak peka tentang perubahan pada kanak-kanak, bagaimanakah ibu bapa boleh mengenal pasti bahawa anak mereka memerlukan sokongan tambahan daripada ahli terapi atau doktor?– Shu Fen

Menjalankan Mesin Dengan Beberapa Gear 

Prasekolah bukanlah mesin untuk mencetak wang, terutamanya dengan peningkatan permintaan untuk kanak-kanak membesar dalam semua aspek. Menguruskan prasekolah adalah satu usaha yang menitik beratkan kasih sayang untuk melihat generasi akan datang mengambil-alih dalam memajukan negara. Ia juga merupakan tindakan pengimbangan yang rumit untuk pentadbiran prasekolah.

Sumber: Shopee

Shu Fen percaya prasekolah harus mempunyai sistem yang teratur untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang efektif. Dalam pengalamannya sebagai guru prasekolah, terdapat beberapa cabaran yang timbul. 

Salah satu isu yang diketengahkan ialah ketidakseimbangan dalam nisbah pelajar kepada guru. Punca di sebalik kekurangan kakitangan baru dan pemberhentian kakitangan yang tinggi adalah tekanan kerja. Menjadi seorang guru juga memerlukan komunikasi dengan ibu bapa.

Salah satu cabaran bagi guru ialah mereka merasakan bahawa mereka perlu melibatkan diri sepenuhnya dalam pekerjaan mereka. Kadang-kadang ibu bapa menghubungi mereka selepas waktu kerja, tetapi guru juga perlu memenuhi keperluan peribadi mereka. – Shu Fen

Pengekalan kakitangan di prasekolah adalah penting supaya tidak mengganggu kestabilan untuk kanak-kanak. Walau bagaimanapun, guru mendapati ia semakin mencabar untuk kekal, terutamanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan oleh peningkatan taraf hidup dan juga harapan yang lebih tinggi kepada guru untuk menunjukkan prestasi daripada pihak berkepentingan yang berbeza; ibu bapa, dan pengurusan prasekolah.

Sumber: Unsplash

Kadang-kadang nisbah guru kepada kanak-kanak tidak seimbang kerana tidak semua orang mahu menceburi bidang awal kanak-kanak disebabkan kadar gaji. Ia juga satu bidang yang mempunyai tekanan tinggi. Tidak semua orang selesa berurusan dengan ibu bapa berbanding anak-anak. Pertaruhan sekarang lebih tinggi daripada masa lalu. Tidak ramai yang sanggup kekal lama kerana banyak faktor, seperti harapan ibu bapa, malah kos sara hidup yang lebih tinggi. – Shu Fen

Beberapa harapan ini melibatkan pemupukan pembangunan holistik pelajar, bukan sahaja menumpukan kepada kemajuan akademik mereka. Sebagai Ketua Jabatan Prasekolah, Haslina memikul tanggungjawab untuk mengutamakan keperluan individu semasa merangka pengajaran untuk setiap murid.

Sesetengah pelajar mungkin cemerlang dalam akademik tetapi memerlukan bantuan dengan tingkah laku mereka dan ada yang mungkin baik dalam tingkah laku tetapi masih berkembang dari segi akademik, jadi bahagian yang sukar ialah apabila guru cuba mencipta pelajaran yang akan memberi manfaat kepada kedua-duanya sambil meningkatkan bahagian yang kedua-duanya memerlukan bantuan dalam dalam satu tempoh dan memastikan mereka menyelesaikan tugasan sekaligus. – Haslina

Di sebalik cabaran sukar yang mereka hadapi, Shu Fen dan Haslina bersetuju bahawa persekitaran tempat kerja yang memberi sokongan baik dan kondusif menjadikan pekerjaan mereka lebih baik.

Persekitaran yang memberi sokongan di sekeliling saya menjadikan kerja saya lebih baik. Saya boleh bercakap dengan mana-mana rakan sekerja saya tanpa merungut mengenainya, malah mereka akan menawarkan kata-kata penenang dan penyelesaian. – Haslina

Pendidik Prasekolah Dinilai Rendah 

Profesional yang berdedikasi ini adalah arkitek perkembangan awal, meletakkan asas dan batu bata untuk perjalanan pembelajaran sepanjang hayat kanak-kanak. Walau bagaimanapun, hakikat yang mengecewakan ialah sumbangan mereka  dinilai rendah oleh masyarakat. Salah satu isu yang paling ketara ialah pampasan yang tidak mencukupi yang diberikan kepada pendidik prasekolah. Kekurangan gaji yang kompetitif mengurangkan nilai kerja mereka dan juga menyukarkan untuk mengekalkan dan menarik minat bakat baharu ke sektor ini.

Shu Fen mengingatkan bahawa guru prasekolah di prasekolah awam (S29, N29 dan N19) berada pada kedudukan lebih rendah daripada guru sekolah awam di pangkat DG 29. Prasekolah tersebut ialah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA), dikendalikan oleh KEMAS, dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA), diselia oleh Jabatan Pendidikan Negeri dan pembantu tadbir prasekolah (N19)..

Bagi guru prasekolah di TABIKA (S29) dan TADIKA (N29),pendapatan bulanan mereka bermula daripada RM 1,493 hingga pendapatan maksimum RM 5,670.00. Mereka yang berada di gred N19 gaji minimum ialah pada RM 1,352.00 sehingga RM 4,003.00.

Secara perbandingan seorang guru sekolah rendah (D29) bermula dengan gaji RM1,698 dan kenaikan tahunan RM 145[3]. Bagi DG 32, gaji permulaan ialah RM2,848 dengan kenaikan tahunan RM155[3]. Hujahnya bagaimanapun adalah kelayakan yang lebih rendah yang diperlukan oleh guru prasekolah.

Untuk bekerja di prasekolah kerajaan, diploma atau SPM adalah memadai untuk mula bekerja di Taska Kanak-Kanak (TASKA) atau prasekolah (TABIKA KEMAS). – Shu Fen

Bagi sektor swasta, gaji mungkin bergantung pada kedudukan prasekolah. Bagi Shu Fen, julat gajinya berada diantara RM1,500 – RM2,500. Haslina, yang bekerja di sebuah sekolah antarabangsa, berkongsi bahawa rakan sekerjanya memperoleh antara RM2,300 dan RM3,000 sebulan.

Sumber: Unsplash

Terdapat keadaan di mana tahap pendidikan yang lebih tinggi tidak dikaitkan secara langsung dengan gaji yang lebih tinggi dalam sektor ini – sebaliknya, pengalaman adalah lebih berharga.

Dalam bidang ini, walaupun anda seorang pemegang Sarjana, ia tidak akan menjamin gaji yang lebih baik daripada mereka yang mempunyai kelayakan ijazah atau diploma. Pengalaman lebih diutamakan. Sungguhpun begitu, walaupun lebih 20 tahun, terdapat guru yang bergaji bawah RM2,500. – Shu Fen

Shu Fen menegaskan bahawa kapasiti dan kesanggupan ibu bapa untuk membayar yuran yang lebih tinggi dalam sektor swasta mempunyai kesan langsung kepada gaji guru.

Guru mungkin boleh mendapat gaji yang lebih baik jika ibu bapa sanggup membayar kadar yang tinggi untuk yuran sekolah anak-anak mereka. Malangnya, ini adalah tugas yang sukar, kerana ibu bapa bukan sahaja membayar yuran tadika. – Shu Fen

Persepsi bahawa pekerjaan mereka adalah “profesion yang lebih rendah” mengakibatkan kadar gaji tidak berubah. Ini memperkecilkan kerumitan dan kepakaran yang diperlukan dalam bidang mereka. Haslina sepenuh hati percaya bahawa guru prasekolah harus diberi pampasan yang lebih kerana sifat kerja mereka yang lebih berat.

Guru prasekolah layak dibayar lebih untuk semua kerja keras yang mereka lakukan. Bukan untuk membandingkan tetapi guru lain menggunakan kekuatan mental mereka semasa mengajar tetapi guru prasekolah perlu menggunakan kedua-dua kekuatan fizikal dan mental mereka untuk menjadikan pelajaran menghiburkan dan memaksimumkan pembelajaran. – Haslina

Wira Di Dalam Liga Mereka Yang Tersendiri

Adalah mudah untuk menamakan guru sekolah rendah dan menengah yang telah dianugerahkan dengan anugerah guru setiap tahun atas sumbangan mereka kepada pelajar dan sekolah mereka. Walau bagaimanapun, adalah lebih sukar untuk mencari guru prasekolah, sebagai Tokoh Guru atau teladan, diberi ganjaran atas dedikasi atau kerja inovatif mereka.

Sumber: The Star

Guru prasekolah kita adalah antara wira yang tidak didendang di dalam masyarakat. Dengan itu, kami bertanya kepada dua orang pendidik prasekolah yang baru bermula apa yang diperlukan untuk menjadi seorang pendidik. Shu Fen berkata; kesedaran diri yang tinggi apabila memenuhi keperluan individu kanak-kanak.

Daripada mengatakan perkara seperti semangat, empati dan semua kualiti yang sentiasa kita temui dalam talian [Online]- saya berikir guru prasekolah perlu sedar diri atau sentiasa membuat refleksi. Adalah perlu untuk bertanya soalan-soalan ini – adakah saya melakukannya dengan betul? Adakah saya membantu kanak-kanak itu? – Shu Fen

Kedua-dua guru muda tersebut bersetuju bahawa ia adalah pekerjaan yang memerlukan darah muda:

Guru prasekolah perlu sentiasa bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dan bersikap keanak-kanakan kerana mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila melayan anak-anak kecil itu. – Haslina

Sudah terlalu lama kita telah mengenepikan pendidikan prasekolah dan para pendidiknya, sedangkan sebenarnya, keberanian dan kuasa mereka dalam keupayaan melukis kanvas setiap kanak-kanak, satu demi satu adalah satu pencapaian yang luar biasa. Kita mungkin tidak ingat nama mereka hari ini, tetapi apabila anda mengambil pen dan menulis nama anda, ia perlu diakui bahawa ia adalah tanda kekal yang mereka telah ukir dalam hidup kita.

Terjemahan oleh: Norazah Nizar


Explore our sources: 

  1. World Bank Group (2023). Shaping First Steps: A Comprehensive Review of Preschool Education in Malaysia. Link
  2. The Education Performance and  Delivery Unit (PADU) (2019). Annual Report 2019. Link 
  3. Jabatan Perkhidmatan Awam. (2016). JADUAL GAJI MINIMUM-MAKSIMUMBAGI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN KUMPULAN PENGURUSAN DAN PROFESIONAL MULAI 1 JULAI 2016. Link

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?