Site logo

5 Syarikat Korporat Yang Bergiat Aktif Dalam Badan Amal

Dalam artikel ini, kami ingin mengetengahkan 5 syarikat korporat yang telah memainkan peranan aktif dalam perkembangan sosio-ekonomi negara. Matlamat mereka bukanlah sekadar meraih keuntungan semata-mata, namun juga berusaha untuk membantu mereka yang memerlukan.

Ketahui lebih lanjut tentang usaha-usaha CSR yang dijalankan oleh jenama-jenama ini!

1. KFC

Sumber: Add Hope Malaysia (KFC) | Facebook

Dengan rangkaian restoran, pekerja dan pengedar yang luas, KFC Malaysia  berikrar untuk memberi yang tidak berbelah bahagi kepada tujuan yang membantu masyarakat dan berharap untuk menyebarkan kasih sayang dengan memberi kembali kepada golongan masyarakat yang terkesan. Sejak tahun-tahun awal penubuhannya, KFC Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif CSR selaras dengan falsafah korporat ini.

Bermula dengan Community Care Stores pada tahun 1986, KFC memperkenalkan restoran-restoran yang dioperasikan oleh pekerja kurang pendengaran dan pertuturan. Lebih daripada 350 orang berkelainan upaya berjaya memperoleh pekerjaan daripada cawangan-cawangan sebegini, dan sehingga kini, terdapat 3 cawangan sepertinya di Sentul Raya, Tanjung Aru dan Matang. Projek ini bermatlamat untuk memperkasakan komuniti Orang Kelainan Upaya supaya mereka mampu menyara kehidupan sehari-hari mereka[1].

Pada tahun 1997, KFC Malaysia melancarkan Tabung Penyayang untuk meraih dana bagi pelbagai program CSR. Sumbangan juga dikutip melalui kotak derma di setiap cawangan KFC di Malaysia, dan hasilnya disalurkan kepada pelbagai badan amal.

Sumber: Add Hope Malaysia (KFC) | Facebook

Melalui program “Add Hope”, KFC menyertai usaha global dalam membasmi kebuluran dengan memberi bantuan kepada badan kebajikan, NGO dan keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik. Kira-kira 11 tahun semenjak pelancaran program ini, sebanyak RM25.5 juta telah diraih.

Baru-baru ini, KFC melancarkan kempen CSR ‘Kita Fight Covid-19’ untuk meringankan beban rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik. Fokus mereka adalah kepada komuniti yang kurang dibantu supaya mereka dapat memperoleh keperluan harian dan juga membekalkan barisan hadapan dengan peralatan perubatan yang mereka perlukan[2].  

Kami menyedari akan penderitaan mereka yang telah terkesan daripada Covid-19 dan kami percaya bahawa perasaan ini dikongsi oleh ramai rakyat Malaysia. Kami menyeru orang awam untuk menyertai kami dalam memberi impak pada tempoh yang getir ini[2]. – Tony Lika, Kept KFC Malaysia

2. Ireka Group

Sumber: CSR Malaysia

Selain daripada penglibatan dalam industri pembinaan, hartanah, teknologi dan pengangkutan bandar, Ireka Group menjadikan CSR sebagai salah satu tunjang utama perniagaan mereka.

Semenjak penubuhan Ireka CARES pada tahun 2010,  badan tersebut bermatlamat untuk menyediakan persekitaran hidup yang ideal buat komuniti yang kurang bernasib baik

Bermula dengan Lighthouse Children Welfare Home, Ireka membantu dalam menyelenggara dan menambah baik rumah amal ini  serta menyediakan bantuan teknikal. Para pekerja Ireka juga turut meluangkan masa bersama kanak-kanak di rumah kebajikan ini[3].

Ireka meneruskan usaha mereka dengan rumah kanak-kanak yang lain dan berinteraksi dengan anak-anak muda melalui aktiviti-aktiviti seperti pencetakan batik, bermain layang-layang, lawatan ke Aquaria dan pelbagai program pendidikan yang lain.

Source: IREKA CARES

Bersempena dengan tema Sukan pada tahun 2015, pekerja-pekerja Ireka menawarkan diri sebagai mentor dan membantu kanak-kanak ini untuk mengasah kemahiran mereka dalam badminton, renang, dan boling.

Pada Mac 2020, sukarelawan Ireka CARES melancarkan projek berkebun di Home of Peace. Sebagai sambungan daripada lawatan ke Taman Tugu bersama kanak-kanak pada November 2019, projek ini dilancarkan untuk mendidik kanak-kanak ini tentang kemapanan alam sekitar.

Ireka CARES semakin teguh semenjak tahun 2010, dan kami menghargai para Irekian yang telah menyumbang masa mereka untuk membantu kanak-kanak ini, menjadikan hari-hari mereka lebih ceria[4]. – Fang Ai Choo, Pengerusi Jawatankuasa Ireka CARES Action

3. Spritzer Malaysia

Sumber: Spritzer | Facebook

Spritzer menjalankan pelbagai inisiatif yang berkaitan dengan alam sekitar, pendidikan, dan kesejahteraan komuniti di Malaysia.

Antara inisiatif alam sekitar yang dijalankan adalah program kitar semula dan pertandingan untuk mempromosikan tabiat mesra alam di kalangan rakyat Malaysia. Spritzer juga melancarkan Program Penjagaan Pulau di Pulau Tioman untuk menjaga dan menghindarkan kepupusan terumbu karang. Dengan kerjasama komuniti di Tioman dan juga LegeS Divers,  mereka berjaya membantu membersihkan pantai dan juga kawasan bawah air di sana[5].

Syarikat ini juga menganjurkan  Kempen Derma Darah di Spritzer EcoPark dengan kerjasama Hospital Taiping, bagi mengisi bank darah sambil mendidik komuniti tempatan tentang bagaimana melalui menderma darah mereka boleh membantu menyelamatkan nyawa orang lain.

Sumber: Spritzer | Facebook

Menyedari akan stigma dan halangan yang dihadapi oleh banduan, Spritzer juga menjalankan Program Pekerjaan Penjara pada September 2020. Dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia, Spritzer menyediakan khidmat komuniti kepada banduan risiko-rendah di Taiping, Perak.

Pada April 2021, Spritzer Malaysia mengembangkan program komuniti mereka ke komuniti Orang Asli yang terjejas akibat pandemik. Dengan kerjasama beberapa NGO, Spritzer Malaysia mengedarkan bantuan dan air minuman bersih kepada komuniti-komuniti yang terkesan.

Sehingga kini, Spritzer telah menaja lebih RM60,000 nilai bantuan kepada NGO, bank makanan dan restoran, di samping aktiviti-aktiviti kebajikan lain buat mereka yang memerlukan[6].

Kami akan terus memantau dan meningkatkan inisiatif dalam menonjolkan komitmen kami ke arah penerapan nilai-nilai SDG di kalangan masyarakat[5]. – Spritzer (Laporan Tahunan, 2020)

4. EcoWorld Malaysia

Sumber: EcoWorld Foundation

Melalui EcoWorld Foundation (EWF), EcoWorld membantu komuniti tempatan dalam beberapa aspek penting iaitu pembangunan belia, penjagaan alam sekitar, serta kesejahteraan dan kesihatan komuniti.

Salah satu program CSR mereka adalah Students Aid Programme (SAP) yang memberi bantuan kewangan kepada pelajar yang kurang bernasib baik. Pada tahun 2020, EFW membantu hampir 3,000 orang pelajar daripada sekolah rendah, menengah, dan institusi pendidikan tinggi.

Untuk memastikan keberkesanan program ini, EWF kerap berinteraksi dengan pelajar dan ibu-bapa melalui aktiviti-aktiviti seperti USPR Motivation Camp, Excellence Award Ceremony, Dialogue with Parents, Career Talk dan juga lawatan ke rumah ke rumah[7].

EWF melancarkan Covid-19 Special Aid tercetus daripada pandemik, untuk memberi bantuan kepada keluarga-keluarga di bawah program SAP. Baucar bernilai RM55,000 telah diedarkan kepada 150 buah keluarga dan 8 rumah anak yatim dan orang kelainan upaya.

Usaha terkini EWF adalah program Bantu bagi mereka yang memerlukan. Hanya dalam tempoh dua minggu, ia berjaya meraih dana sebanyak RM80,000 di kalangan pekerja-pekerja EcoWorld yang ingin menghulurkan bantuan.

Sumber: EcoWorld Foundation

EcoWorld juga bekerjasama dengan SUKA Society untuk membantu kanak-kanak Orang Asli yang berdepan dengan cabaran sosio-ekonomi. Melalui program ‘Empower 2 Teach’, EWF menaja barang-barang persekolahan dan sesi pembelajaran bernilai RM125,700 buat kanak-kanak pra-sekolah di Kelantan dan Pahang[8]

Eco World Foundation juga telah menyumbang kepada kanak-kanak istimewa dengan menderma kepada beberapa kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang melatih kanak-kanak dengan kemahiran asas hidup.

Kami menyedari bahawa pembangunan perniagaan yang mapan dicapai apabila komuniti-komuniti membangun bersama kami[9]. – Dato’ Chang Khim Wah, engerusi Jawatankuasa Kemapanan dan Ketua Eksekutif Ecoworld

5. UOB Malaysia

Sumber: CSR Malaysia

UOB Malaysia berkomited dalam membantu membangunkan komuniti di sekitar mereka, dengan bertumpukan kepada perubahan sosial positif melalui seni dan pendidikan.

Melalui program CSR, UOB Heartbeat, mereka berjaya melancarkan beberapa siri program khidmat masyarakat. Salah satunya adalah UOB My Digital Space, yang bermatlamat untuk merapatkan jurang digital buat kanak-kanak dari komuniti yang kurang bernasib baik. UOB ingin membantu kanak-kanak ini menempuhi cabaran akademik yang disebabkan oleh pandemik[10].

Bersempena Aidilfitri, UOB Malaysia menderma 15 buah laptop kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik untuk memastikan mereka tidak keciciran sewaktu penutupan sekolah. Peranti digital ini diedarkan kepada rumah kanak-kanak Raudhatul Al-Faeez dan UNHCR (United Nations High Commissioner for Refugees)[11].  

UOB Malaysia juga menganjurkan acara lelong amal secara maya buat pelanggan-pelanggan Commercial Banking mereka. RM50,000 berjaya disumbang buat tiga hasil karya Kevin Leong, seorang pelajar dari Special Children Society of Ampang. UOB juga sentiasa membantu penggiat-penggiat seni dalam membangunkan bakat serta mendapat pendedahan, melalui pelbagai program seni yang mereka jalankan.

Sumber: UOB Heartbeat

Baru-baru ini, pekerja-pekerja UOB dan keluarga mereka berjaya meraih RM 300,000 dalam acara tahunan mereka, UOB Global Heartbeat Virtual Run/Walk. Dana yang diraih ini disalurkan kepada tiga badan amal di Malaysia (Food Aid Foundation, SOLS 24/7 dan Yayasan Generasi Gemilang) secara sama rata untuk membantu lebih 1,300 orang kanak-kanak daripada keluarga B40 selama setahun, supaya mereka dapat pulih daripada gangguan yang disebabkan COVID-19.

Kami ingin menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak yang terkesan dalam komuniti kami, supaya mereka dapat menempuhi cabaran serta membuka pelbagai peluang baru. – Mohd Fhauzi Muridan, Pengarah Eksekutif dan Ketua bagi Perbankan Islam, UOB Malaysia.

Diterjemahkan oleh: MK Zainal

Explore Our Sources

  1. KFC. Our CSR efforts. Link
  2. 2020. Lifestyle Magazine. KFC and Pizza Hut launch CSR projects in the fight against COVID-19. Link
  3. IREKA. Corporate social responsibility. Link
  4. 2016. Ireka. Press release 23-7-2016. Link
  5. 2020. Spritzer. Annual report 2020. Link
  6. 2021. CSR Malaysia. Spritzer joins hands with NGOs and pledges aid. Link
  7. 2021. EdgeProp. Making a difference to Malaysia. Link
  8. 2019. EcoWorld. Sustainability report 2019. Link
  9. 2020. EcoWorld. Sustainability report 2020. Link
  10. 2020. UOB Malaysia. Press release 21 May 2020. Link
  11. 2021. CSR Malaysia. UOB Malaysia donates laptops and raya goodies. Link
  12. 2021. CSR Malaysia. UOB Malaysia Raises RM 300,000 For Three Charities Through The 2021 UOB Global Heartbeat Virtual Run/Walk. Link

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?