Site logo

Kenali Fazrul: Dari Kerjaya Sebagai Kru Kabin Air Asia Kepada Penternak Kambing

Fazrul Goat House

Peluang pekerjaan dalam industri penerbangan menunjukkan penurunan sebanyak 43% berbanding sebelum berlakunya pandemik Covid-19 di seluruh dunia. Sejumlah 4.8 juta rakyat seluruh dunia kehilangan pekerjaan di dalam sektor tersebut[1]. Kapal terbang tidak lagi melakukan penerbangan, juruterbang, kru kabin dan pekerja lapangan terpaksa digantikan atau diberhentikan dan perniagaan-perniagaan yang berkaitan dengan penerbangan turut mengalami kerugian yang besar.

Dikala pandemik ini melanda, semangat ketahanan masyarakat untuk meneruskan kehidupan dapat dilihat. Seorang individu bernama Mohd Fazrul bin Zainal Arbidin yang merupakan bekas senior kru kabin di Air Asia, tidak mengaku kalah terhadap cabaran ini malah melakukan perubahan drastik bukan hanya untuk meneruskan hidup tetapi untuk terus berkembang maju. Beliau bertukar kerjaya dari udara ke ladang sebagai penternak kambing.

Sumber: Fazrul’s Personal Archives

Fazrul menganggap dirinya sebagai duta penerbangan dan dia juga berasa gembira untuk bertemu dengan orang yang baharu setiap hari.

“Saya suka berada di awan biru dan berkhidmat untuk pelanggan. Ianya merupakan perkara yang amat saya banggakan.”

Setelah berkhidmat di bawah syarikat penerbangan Air Asia selama lebih 6 tahun, anak kelahiran Pulau Pinang yang berumur 36 tahun ini diberhentikan kerja pada bulan November 2020 berikutan pandemik Covid-19. Berita yang mengejutkan ini menjadikan Fazrul berasa sedih kerana dia bukan hanya kehilangan kerjayanya malah tidak sempat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan sekerjanya secara peribadi.

Sumber: Fazrul’s Personal Archives

FASA-FASA DEPRESI AKIBAT DIBERHENTIKAN KERJA

Selepas menerima surat pemberhentian kerja, Fazrul mengalami depresi yang agak serius selama dua minggu dan merasakan dirinya tidak dapat melakukan perkara yang disukainya lagi.

“Sukar untuk menerima kenyataan yang saya tidak lagi mampu untuk melakukan perkara yang saya suka dan saya juga tidak tahu bilakah saya dapat melakukan penerbangan semula. Apabila anda suka akan sesuatu perkara dan ianya diambil daripada anda, ia memberikan suatu perasaan yang sukar untuk difahami.”

Source: Fazrul’s Personal Archives

PERMULAAN YANG BAHARU

Selepas beberapa hari tidak tidur malam akibat tekanan yang dialami, Fazrul memberitahu rakan-rakan dan keluarganya bahawa dia tidak sepatutnya terus berada dalam kesedihan dan kemurungan tetapi untuk bangkit dan meneruskan kehidupannya.

Sebagai Seorang ‘Goat-father

Source: Fazrul’s Personal Archives

Fazrul membuat keputusan untuk mempelajari ilmu perniagaan dan menceburi bidang perniagaan sebagai penjual haiwan ternakan. Fazrul menjalankan perniagaannya dengan membeli kambing, lembu, ayam, ayam belanda, serta itik dan mengedarkannya ke seluruh Pulau Pinang. Pelanggan Fazrul terdiri daripada individu (kenduri atau musim perayaan), hotel, dan restoran.

PERUBAHAN (Pivoting) PERNIAGAAN SEMASA

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketatkan, Fazrul kehilangan pelanggannya dari hotel serta restoran dan dia berpandangan bahawa perubahan segera perlu dilakukan. Fazrul mengambil langkah untuk menyewa tanah bagi membolehkannya menternak haiwan ternakan yang berkualiti tinggi. Melalui usaha ternakan ini, pengeluaran susu segar dan daging yang banyak diperoleh dan ini menghasilkan produk yang baru. 

Source: Instagram @fazrulgoathouse

Perkhidmatannya berkembang untuk memenuhi permintaan yang banyak dan sekarang, dia menghantar ke rumah dan bukan hanya kawasan perniagaan. Fazrul menghantar sendiri pesanan yang diterimanya pada awal pagi ke setiap rumah pelanggan dengan motorsikalnya dan memastikan produk yang dibekalkan segar.

MEMASTIKANNYA STABIL

Semasa bekerja sebagai kru kabin, Fazrul mampu untuk menampung perbelanjaan keluarganya tetapi disebabkan dia kehilangan kerjanya, dia tidak mampu lagi untuk berbuat demikian. Walau bagaimanapun, dia berharap agar dirinya dapat menampung semula keluarganya.

“Saya nak beri duit kepada ibu bapa saya, kerana itulah apa yang sepatutnya dilakukan oleh seorang anak yang baik.Tetapi mereka tahu akan keadaan saya dan menolak untuk menerima duit tersebut. Saya nak berada di suatu tempat di mana saya mampu untuk menjaga dan menampung mereka semula.”

Fazrul Goat House
Sumber: Instagram @fazrulgoathouse

Bagi menjimatkan pendapatan, Fazrul menjalankan perusahaannya sendiri. Dia menyewa sebuah ladang kecil di pinggir bandar dan bergantung kepada bantuan kerajaan. Baru-baru ini, Fazrul menerima geran Agropreneur Muda daripada Kementerian Pertanian untuk  membolehkannya menjalankan perusahaan penternakan ladang.

Fazrul menggunakan media sosialnya secara maximum dan menguruskan Facebook serta Instagramnya sendiri bagi mempromosikan perniagaannya.

KEMAHIRAN PENERBANGAN TIDAK DIBAZIRKAN

Kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh Fazrul sewaktu menjadi kru kabin tidak dibazirkan. Latihan yang diperolehnya sewaktu menjadi kru kabin membantu Fazrul dalam melayani dan berhubung dengan pelanggannya. Menurut Fazrul, kesabaran merupakan elemen yang sangat penting dalam melayani pelanggan.

Fazrul Goat House
Sumber: Instagram @fazrulgoathouse

“Di awan biru, setiap hari saya berjumpa dengan orang baharu dan perlu berdepan dengan pelbagai jenis pelanggan serta situasi. Sekarang, saya tidak berasa tertekan apabila berhadapan dengan pelanggan yang mencabar dan saya dapat menguruskan situasi tersebut dengan sangat baik dan penuh kesabaran”

Syarikat penerbangan mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sangat ketat dan ianya memberi manfaat kepada Fazrul. Sebagai seorang peniaga haiwan ternakan, Fazrul mengaplikasikan pemeriksaan yang teliti ke atas perniagaan serta haiwan ternakannya bagi memastikan ianya berada dalam keadaan yang baik. Sebagai contoh, protokol-protokol perniagaan seperti mendapatkan lesen dan kelulusan perniagaan, memastikan haiwan ternakan menerima ubat-ubatan yang betul serta permohonan bekas simpanan produk pengeluaran.

HASRAT UNTUK BERADA DI AWAN BIRU SEMULA

Walaupun keadaan semasa dan masa hadapan kelihatan tidak memberangsangkan, namun Fazrul berhasrat untuk berada di awan biru semula.

“Jika diberi peluang, saya ingin berada di awan biru semula. Saya rindukan awan. Saya rindu untuk berada di atas. Tapi sekarang saya ingin menumpukan perhatian kepada perniagaan terlebih dahulu.”

Sumber: Fazrul’s Personal Archives

Kisah anak muda ini menunjukkan tentang sifat keberanian, ketahanan dan sikap tidak berputus asa. Tidak ada yang mustahil sekiranya kita melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh.

“Percaya pada diri sendiri. Keluar dari zon selesa. Jadi diri sendiri. Sekiranya anda berasa tertekan, luahkan kepada seseorang-sama ada rakan-rakan atau ahli keluarga. Ia amat membantu.

Baca Sekarang: 8 Program Upskilling Di Malaysia Untuk Pencari Kerja

Rujukan: 

  1. IATA (2021). The Impact Of Covid-19 On Aviation. Link 

Diterjermahkan oleh: Qistina Balqis

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?