Kisah tiga penerima Biasiswa Khazanah yang membuka peluang untuk orang lain.
Pada 2025, golongan lelaki merangkumi 95.3% daripada 191,832 individu yang direkodkan terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan bahan di Malaysia, menurut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).[1][2] Di sebalik angka ini, terdapat kebimbangan yang lebih luas tentang stigma, kesihatan mental dan tekanan yang dihadapi golongan lelaki untuk sentiasa kelihatan kuat dan berdikari, walaupun ketika mereka memerlukan bantuan.
Dr Rashidi Mohamed merupakan antara individu yang berusaha mengubah persepsi ini menerusi kerjayanya dalam bidang perubatan ketagihan.
Sementara itu dalam bidang berbeza, Nelson Ng Jia Jun yang mempunyai latar belakang kejuruteraan aeroangkasa memilih untuk menceburi bidang keusahawanan sosial, manakala Kaautam Uthaya Suriyan membina kerjaya dalam industri telekomunikasi dan turut mewakili Malaysia dalam sukan flag football.


Ketiga-tiganya merupakan antara 1,893 penerima Biasiswa Khazanah yang mendapat sokongan Yayasan Khazanah (YK). Sempena 20 tahun YK menawarkan biasiswa, kisah mereka memperlihatkan ke mana peluang tersebut boleh membawa seseorang, lama selepas tamat pengajian.
Mengubah Persepsi Masyarakat Terhadap Ketagihan
Sebelum melangkah ke dunia perubatan, Dr Rashidi Mohamed sudah pun menyaksikan sendiri kesan ketagihan terhadap kehidupan masyarakat.
Ketika membesar di sebuah kawasan setinggan di Kuala Lumpur, beliau melihat bagaimana masalah ketagihan menjejaskan individu, keluarga dan komuniti sekeliling. Namun, selepas mendalami bidang perubatan dan penyelidikan, beliau mula memahami bagaimana ketagihan turut berkait rapat dengan kemiskinan, tekanan emosi dan cabaran hidup yang dihadapi seseorang.
Melalui Biasiswa Khazanah Watan, beliau berpeluang menjalankan penyelidikan peringkat kedoktoran dalam bidang Psikiatri (Ketagihan) di Universiti Malaya sambil meneruskan tanggungjawabnya sebagai pengamal perubatan.
Bagi Dr Rashidi, tugasnya bukan sekadar merawat pesakit, tetapi juga mengubah cara masyarakat memandang masalah ketagihan. Masih ramai yang menganggap ketagihan sebagai kelemahan akhlak, bukannya masalah kesihatan yang memerlukan rawatan dan sokongan penuh empati. Persepsi inilah yang telah sekian lama cuba diubahnya.
Beliau percaya stigma tersebut lebih memberi kesan kepada golongan lelaki. Tekanan untuk sentiasa kelihatan kuat dan berdikari menyebabkan ramai yang sukar mengakui masalah yang dihadapi, apatah lagi mendapatkan bantuan.
Kekuatan sebenar bukan bermakna kita perlu menyembunyikan masalah yang dihadapi. Sebaliknya, kita perlu berani mengakuinya dan mendapatkan bantuan. – Dr Rashidi Mohamed bin Pakri Mohamed
Kini, Dr Rashidi berkhidmat sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga dan Pensyarah Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dikenali dengan panggilan mesra “Dr Awesome”, beliau aktif merawat pesakit, menjalankan penyelidikan berkaitan ketagihan, memperjuangkan pendekatan pengurangan kemudaratan serta melatih bakal doktor. Usahanya meningkatkan kesedaran masyarakat juga tidak terhad kepada rawatan di klinik, malah turut dilakukan melalui penulisan buku Remaja Cemerlang Bebas Dari Dadah.

Hasil penyelidikannya turut menyumbang kepada perbincangan dasar dadah di Malaysia. Dalam kajian penghentian merokok pada 2025 yang turut ditulis bersama oleh beliau, para penyelidik mengkaji 156 peserta dan mendapati kadar kejayaan berhenti merokok yang lebih tinggi dalam kalangan peserta yang menerima gabungan konsultasi secara maya dan bersemuka.[3][4]
Dr Rashidi berharap Malaysia dapat membangunkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih menekankan langkah pencegahan dan rawatan bersepadu, agar masyarakat tidak lagi takut untuk mendapatkan bantuan kerana bimbang dihakimi.
Saya tidak percaya kita boleh memalukan seseorang supaya dia pulih. Kita perlu terlebih dahulu memberinya sebab untuk percaya bahawa pemulihan itu mungkin. – Dr Rashidi
Saya tidak percaya kita boleh memalukan seseorang supaya dia pulih. Kita perlu terlebih dahulu memberinya sebab untuk percaya bahawa pemulihan itu mungkin.
Membuka Lebih Banyak Peluang Untuk Orang Lain
Nelson Ng Jia Jun membesar di sebuah perkampungan nelayan di Pontian, Johor, dan sejak awal menyimpan impian untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Namun, perubahan dalam urusan biasiswa yang diperolehnya sebelum itu menyebabkan perancangannya terganggu. Beliau bagaimanapun tetap menemui jalan untuk ke Southampton, dan di sanalah seorang profesor memperkenalkannya kepada Biasiswa Khazanah.
Bagi Nelson, biasiswa tersebut bukan sekadar membolehkannya memperoleh segulung ijazah. Beliau percaya bahawa peluang yang diterima seseorang seharusnya turut memberi manfaat kepada orang lain. Berpegang pada prinsip itu, beliau menggunakan lebihan elaun biasiswanya untuk bersama-sama menubuhkan ProjectEd, sebuah inisiatif yang membawa program pendidikan kepada komuniti yang kurang mendapat peluang pembelajaran.
Melalui ProjectEd, pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan mendapat bantuan biasiswa serta pendedahan tentang peluang melanjutkan pengajian ke universiti menerusi pelbagai bengkel yang dianjurkan. Menurut Nelson, inisiatif tersebut telah menaja lebih 50 pelajar universiti dan menjangkau lebih 6,000 peserta mendapatkan maklumat tentang laluan ke pendidikan tinggi.[5]
Selepas tamat pengajian, Nelson menceburi bidang analisis pelaburan dan perusahaan sosial sebelum akhirnya mengusahakan BUMI, sebuah perniagaan dobi yang menyediakan perkhidmatan kepada hotel-hotel di Bali.


Namun, perjalanan Nelson sebagai usahawan tidak terlepas daripada pelbagai cabaran. Apabila beberapa pekerjanya berhenti secara mengejut, beliau terpaksa menguruskan sendiri kerja-kerja dobi, daripada membasuh dan menyeterika sehinggalah menghantar linen ke hotel. Pengalaman ini jauh berbeza daripada bidang aeronautik dan astronautik yang dipelajarinya di University of Southampton.
Selain berdepan masalah kekurangan pekerja, Nelson turut menghadapi tekanan kewangan apabila sebuah hotel yang menjadi pelanggan utamanya lewat membuat pembayaran selama enam bulan. Keadaan ini menyukarkan lagi usahanya untuk memastikan perniagaan terus beroperasi.
Sejujurnya, memang sukar untuk memisahkan urusan kerja daripada kehidupan peribadi apabila kita membina perniagaan dari awal. Saya cuba bermain bola keranjang setiap minggu supaya sekurang-kurangnya selama dua jam, saya dapat berehat tanpa memikirkan hal perniagaan. – Nelson Ng Jia Jun
Bagi Nelson, menjaga kebajikan pekerja bukan sahaja tanggungjawab sosial, malah turut memberi manfaat kepada perniagaan. Menurutnya, BUMI menawarkan gaji yang setimpal dengan kos sara hidup, selain menyediakan elaun makanan dan sara hidup yang melebihi purata industri. Pendekatan ini membantu syarikat mengekalkan pekerja, sekali gus meningkatkan produktiviti dan kestabilan kewangan.
Melalui BUMI Eco Laundry, Nelson mahu membuktikan bahawa perniagaan mampu menjana keuntungan tanpa mengabaikan alam sekitar dan kebajikan masyarakat setempat. Beliau turut mengasaskan Good Karma Club, sebuah platform yang menyediakan pelbagai sumber dan menganjurkan acara untuk usahawan sosial di Asia Tenggara.
Bagi Nelson, kejayaan perniagaan juga bermakna dapat memberi peluang kepada pekerjanya untuk terus berkembang dan maju dalam kerjaya masing-masing.
Saya mahu perniagaan yang saya bina menjadi bukti bahawa keuntungan dan impak positif boleh bergerak seiring, sambil terus memberi peluang kepada pasukan saya untuk berkembang dan menyerlah dalam kerjaya masing-masing. Seorang demi seorang. – Nelson Ng Jia Jun
Kejayaan Yang Bermakna Buat Keluarga
Ketika membesar di Ampang, Kaautam Uthaya Suriyan sering menyaksikan bapanya bekerja sebagai pemandu teksi dari jam 6 pagi hingga tengah malam demi menyara keluarga.
Sebagai satu-satunya pencari nafkah, bapanya perlu bekerja keras untuk menampung perbelanjaan keluarga. Pengorbanan itu mendorong Kaautam untuk menjadikan pendidikan sebagai jalan mengubah nasib keluarga. Beliau berazam untuk berjaya dalam pelajaran agar suatu hari nanti dapat meringankan beban kewangan ibu bapanya.
Peluang untuk mengubah nasib keluarga semakin terbuka apabila Kaautam menerima Biasiswa Khazanah Global untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Ekonomi di University of California, Berkeley. Biasiswa tersebut turut membolehkan ibu bapanya menumpukan sumber kewangan keluarga kepada keperluan adik-beradiknya.
Bagaimanapun, cabaran Kaautam tidak terhenti selepas tamat pengajian. Ketika mula membina kerjaya dalam dunia korporat, beliau berdepan pelbagai halangan disebabkan usia dan latar belakangnya. Selain membuktikan kebolehan diri, beliau juga perlu membina hubungan profesional dan reputasi yang baik untuk membuka lebih banyak peluang dalam kerjayanya.
Bakat dan kerja keras sahaja tidak mencukupi. Kita juga perlu berada dalam kalangan mereka yang terlibat dalam membuat keputusan penting, selain membina jenama diri yang mampu menarik perhatian orang dan membuka lebih banyak peluang. – Kaautam Uthaya Suriyan
Selepas beberapa tahun bekerja dalam industri telekomunikasi, Kaautam dilantik sebagai pengurus termuda Tune Talk pada usia 29 tahun. Beliau bertanggungjawab mengendalikan inisiatif untuk meningkatkan kesetiaan dan mengekalkan pelanggan. Syarikat tersebut turut memberi tumpuan kepada golongan B40 yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan telekomunikasi dengan menawarkan perkhidmatan mudah alih pada harga berpatutan.[6]
Namun, antara pencapaian yang paling dibanggakannya tidak berkait dengan jawatannya. Beliau telah melangsaikan hutang keluarga, dan rumah mereka kini telah dibayar sepenuhnya.


Di luar kerjaya korporat, Kaautam turut aktif dalam bidang sukan dan pernah mewakili Malaysia pada Kejohanan Flag Football Asia Oceania 2023.
Dengan keadaan kewangan keluarganya yang kini terjamin, Kaautam mula berkongsi ilmu pelaburan dengan rakan sekerja yang lebih muda, rakan-rakan dan ahli keluarganya.
Beliau juga berharap dapat membantu kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah meneruskan pendidikan melalui tajaan, selain bercita-cita untuk membangunkan produk teknologi yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia pada masa hadapan.
Saya juga mahu berkongsi bagaimana pendidikan telah membantu saya meningkatkan taraf hidup. Pada masa hadapan, saya berharap dapat menaja pendidikan anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah supaya lebih ramai anak muda Malaysia mendapat peluang yang sama seperti yang saya peroleh melalui Biasiswa Khazanah. – Kaautam Uthaya Suriyan
Peluang Untuk Menabur Bakti
Sejak 2006, YK telah menyokong 1,893 individu dalam bidang pendidikan dan pembangunan kepimpinan menerusi program Biasiswa Khazanah.
Sumbangan mereka kepada masyarakat hadir dalam pelbagai bentuk. Dr Rashidi berusaha mengubah persepsi terhadap ketagihan dan memperjuangkan rawatan yang lebih berempati, Nelson membuka lebih banyak peluang pendidikan serta menggalakkan amalan perniagaan yang bertanggungjawab, manakala Kaautam berkongsi ilmu kewangan untuk membantu orang lain.
Menerusi kempen “20 Years Forward” yang membawa masa depan Malaysia menjelang 2046, persoalannya bukan sekadar sejauh mana biasiswa mampu mengubah kehidupan seseorang, tetapi juga bagaimana penerimanya dapat menggunakan peluang tersebut untuk membawa perubahan kepada kehidupan orang lain.
Sumber Rujukan
- Bernama. (2026). Drug Abuse Cases Undergoing Treatment See Slight Decline Last Year – AADK. Link.
- Bernama. (2026). Women’s Involvement In Drug Abuse Shows Increase – AADK. Link.
- Khazanah Nasional Berhad. (2025). The Khazanah Report 2025: Building Capacity And Vibrant Communities. Link..
- Nuzma Adil et al. (2025). The Outcomes Of Hybrid Virtual Consultation For A Smoking Cessation Program In Klang Valley, Malaysia. Link..
- Good Karma Club. Link.
- The Star (2021). Tune Talk To Build Up B50 Customer Base. Link.