Literasi umumnya difahami sebagai kemampuan seseorang untuk membaca dan menulis. Namun demikian, kemajuan sosial dan teknologi yang pesat telah memperluas definisi literasi seiring dengan perkembangan manusia. Sesuatu yang dahulunya bermaksud pemahaman teks kini didefinisikan melalui berbagai sudut baru : antaranya ialah literasi digital, literasi kewangan dan literasi kesihatan. Dalam perkembangan Malaysia sebagai sebuah negara, literasi dalam bidang-bidang tersebut turut perlu ditingkatkan bagi menjamin kesamarataan pembangunan dalam semua lapisan masyarakat. Mari kita fahami aspek-aspek literasi berikut dengan lebih mendalam:
Literasi Membaca
Kemampuan membaca memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju atau kejayaan seseorang individu. Literasi membaca membolehkan mobiliti sosial. Kajian juga membuktikan bahawa kemahiran ini memberi kesan positif terhadap perkembangan kerjaya dan kemampuan seseorang untuk bertindak balas terhadap perubahan[1].
Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) mendefinisikan literasi sebagai kemampuan seseorang untuk memahami, menilai dan menggunakan teks bertulis untuk mencapai matlamat dan mengembangkan potensi diri.
Dalam sebuah tinjauan UNESCO pada tahun 2018, kadar literasi di negara kita didapati berada pada tahap 94.85%, meletakkan Malaysia di kedudukan ke-72 pada peringkat global[2]. Walaupun kadar literasi ini kelihatan tinggi, sebenarnya terdapat penurunan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Programme for International Student Assessment, lebih dikenali sebagai PISA, memberikan perspektif yang lebih mendalam mengenai angka-angka ini. Diselaraskan oleh OECD, PISA merupakan peperiksaan antarabangsa yang diiktiraf secara global. Program ini dilaksanakan untuk menilai kecekapan membaca serta keupayaan Matematik dan Sains bagi pelajar-pelajar berusia 15 tahun di seluruh dunia. Dalam PISA 2018, Malaysia menduduki tangga ke-58 daripada 79 negara. Walaupun prestasi pelajar Malaysia pada umumnya meningkat berbanding dengan angka PISA tahun 2009, Malaysia masih belum mencapai purata OECD dalam ketiga-tiga kategori, termasuklah membaca[3].
Walaupun Malaysia berjaya meningkatkan kadar literasi dalam dekad yang lalu, beberapa lapisan masyarakat masih ketinggalan. Realitinya, ramai keluarga B40 dan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar masih berdepan dengan banyak halangan dalam pendidikan.
[Membaca] memberi kesan yang signifikan bukan hanya pada kemajuan anak, tetapi juga terhadap keadaan sosio-politik dan ekonomi negara. – Prof Sharon Wilson, Universiti Tunku Abdul Rahman
Turut membimbangkan ialah, pelajar yang mencapai tahap kecekapan minimum dalam membaca didapati lebih kuat dalam “mencari maklumat” daripada benar-benar “memahami”. Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih perlu meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi, iaitu keupayaan untuk bukan sahaja membaca, tetapi untuk mensintesis, menganalisis, mentafsir dan menilai maklumat secara kritis.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) membuktikan fakta bahawa pelajar-pelajar Malaysia sememangnya berupaya menghafal kandungan mata pelajaran, tetapi kemahiran ini semata-mata, tanpa diiringi pemahaman kritis, kurang relevan dalam ekonomi mencabar masa kini[4].
Daripada hanya mengulangi maklumat, pelajar perlu bijak menilai dan mengaplikasikan pengetahuan mereka secara kreatif dalam pelbagai konteks baru[4].
Walaupun guru-guru sekolah memainkan peranan penting dalam perkembangan anak, terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa penglibatan ibu bapa juga memberi kesan signifikan dalam pembelajaran seseorang. Tinjauan Kementerian Pendidikan pada tahun 2011 mendapati bahawa meluangkan sejumlah masa setiap hari untuk bercakap dengan anak-anak mengenai sekolah, atau membantu mereka membuat kerja rumah, memberi impak positif terhadap prestasi membaca pelajar. Kuncinya kini adalah untuk memastikan amalan ini diterapkan di setiap isi rumah, lantas menjadikan keluarga sebagai penyumbang penting dalam proses pembelajaran anak-anak[5].
Ibu bapa tidak perlu mempunyai Ph.D. atau meluangkan masa yang lama untuk memperbaiki pendidikan anak-anak mereka. Apa yang diperlukan hanyalah dedikasi ikhlas dan penglibatan aktif, diiringi kefahaman bahawa pendidikan adalah tanggungjawab bersama.[4]– OECD (2011)
Literasi Digital
Sejak munculnya COVID-19, pembelajaran dalam talian dan budaya kerja dari rumah telah mendedahkan betapa pentingnya literasi digital – tidak kira umur, latar belakang, mahupun kerjaya. Dari membeli-belah dalam talian hingga ke pembelajaran ODL, memang jelas bahawa sebahagian besar kehidupan kita telah beralih ke dunia maya. Amat penting bagi kita untuk melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk menavigasi landskap maklumat dalam talian secara selamat dan berkesan.
Dalam dunia yang diubah semalaman oleh wabak COVID, amat penting untuk kita terapkan teknologi digitalisasi dan 4IR dalam kehidupan. – Datuk Wira Dr. Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff, Pengerusi MDEC
Menurut sebuah laporan UNESCO 2018, literasi digital merupakan kemampuan seseorang untuk mendefinisi, mengakses, mengintegrasikan dan menilai maklumat melalui teknologi digital secara selamat untuk tujuan ekonomi dan sosial. Literasi digital merangkumi literasi komputer, literasi maklumat, literasi data dan literasi media[6].
Terdapat kesalahfahaman umum bahawa literasi digital adalah hanya tentang mengetahui cara untuk mengirim teks atau memaparkan sesuatu di media sosial, sedangkan pada realitinya, skop literasi digital jauh lebih mendalam.
Dalam bidang pendidikan, guru dan pelajar kedua-duanya perlu membiasakan diri dengan pelbagai fungsi platform kompleks seperti Zoom, Google Classroom, Cisco dan Microsoft Teams untuk menjalankan pembelajaran dalam talian dengan berkesan[7]. Dalam dunia kerja, orang dewasa di setiap industri perlu meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan diri dengan tuntutan digitalisasi untuk meningkatkan daya saing dan jangkauan syarikat[8]. Bahkan untuk pelajar universiti, kemahiran digital penting bukan hanya penting untuk penyelidikan dan pengambilan data, tetapi juga untuk menjamin kebolehpasaran mereka setelah tamat pengajian[9].
Menurut Laporan World Economic Forum (WEF)’s ‘The Future of Jobs’ Report pada tahun 2020, lapan daripada sepuluh pekerjaan yang baru muncul di Malaysia memerlukan kemahiran teknologi digital. Ini merangkumi pekerjaan sebagai penganalisis data, pakar Internet of Things (IoT), pakar transformasi digital, dan pakar keselamatan siber[10].
Laporan Global Skills Report terkini Coursera mendedahkan bahawa pelajar Malaysia lebih mahir dalam kemahiran digital seperti Pengkomputeran Awan dan Analisis Data. Negara kita menduduki tempat ke-46 di peringkat global dan ke-4 di Asia Tenggara, ketinggalan daripada negara-negara jiran seperti Singapura (ke-10), Vietnam (ke-20) dan Indonesia (ke-45)[10].
Walaupun negara kita telah menyaksikan peningkatan dalam kemahiran digital dalam dekad yang lalu, sayangnya kemajuan ini tidak dikongsi sama rata oleh mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan kampung Orang Asli. Mereka masih berdepan dengan pelbagai halangan, terutamanya ketidakmampuan untuk membeli komputer riba dan kekurangan akses terhadap rangkaian internet serta infrastruktur berkaitan (misalnya, grid elektrik)[11].
Perkembangan pesat teknologi diiringi dengan tanggungjawab besar untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan. Lebih banyak usaha perlu dilaksanakan untuk meningkatkan literasi digital rakyat, dan juga untuk mewujudkan ekosistem yang membolehkan semua orang menikmati taraf hidup yang lebih baik. Dan yang paling penting adalah, hasil kemajuan ini perlu dikongsi sama rata oleh semua lapisan masyarakat.
Literasi Kewangan
Literasi kewangan ditakrifkan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) sebagai gabungan kesedaran, pengetahuan, kemahiran, sikap dan tingkah laku yang diperlukan oleh seseorang individu untuk membuat keputusan kewangan yang tepat dan akhirnya mencapai kesejahteraan kewangan[12]. Dalam istilah mudah, ia merujuk kepada kemampuan seseorang untuk memahami dan mempraktikkan kemahiran kewangan secara berkesan. Antara aspek yang dirangkuminya ialah pengurusan kewangan peribadi, penganggaran bajet dan pelaburan.
Mempunyai keyakinan dan keupayaan untuk mengurus kewangan seseorang dengan berkesan adalah penting untuk memastikan kualiti hidup yang baik. Individu yang celik dari segi kewangan berupaya membuat keputusan kewangan yang tepat dalam kehidupan mereka, dan hal ini membawa kepada peningkatan taraf hidup yang berterusan. Mereka juga lebih bersedia untuk bertahan sekiranya ditimpa kecemasan atau krisis.
Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) dikuatkuasakan pada bulan Mac, ekonomi negara sememangnya terhenti seketika. Ini mempengaruhi pendapatan rakyat Malaysia yang tidak dapat bekerja, dan mereka terpaksa mengambil potongan gaji atau diberhentikan kerja oleh syarikat.[13] – Pengasas dan Pengarah Eksekutif RinggitPlus, Hann Liew
Tinjauan Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus pada tahun 2020 menunjukkan bahawa 53% responden tidak mampu bertahan lebih dari 3 bulan dengan simpanan semasa jika mereka kehilangan pekerjaan. 46% membelanjakan cukup-cukup atau lebih daripada apa yang mereka peroleh setiap bulan. Hampir separuh daripada semua responden belum mula merancang untuk persaraan[14].
Statistik yang merisaukan ini menyamai penemuan Multiply, sebuah platform literasi kewangan. Dalam tinjauan mereka pada tahun 2020, 48% responden didapati tidak mempunyai simpanan kecemasan. 41% menghadapi masalah menguruskan gaji bulanan mereka dan bimbang tidak mempunyai cukup wang untuk bertahan sehingga gaji berikutnya. Hanya 32% responden mengetahui skor kredit mereka dan memeriksanya secara berkala[15].
Namun, tidak semuanya buruk – 53% responden merancang peruntukan awal, 31% mempunyai insurans asas sekiranya berlaku kemalangan kenderaan, dan 52% mempunyai beberapa bentuk simpanan untuk masa sukar.
Tinjauan ini juga menekankan betapa pentingya kesedaran rakyat mengenai cara memanfaatkan instrumen dan alat kewangan – 32% responden mengatakan mereka lebih suka menyimpan dalam akaun simpanan yang mudah berbanding meneroka pulangan yang lebih tinggi melalui pelaburan[15].
Strategi komunikasi yang berkesan diperlukan untuk meningkatkan inisiatif pendidikan kewangan. Dalam hal ini, teknologi dapat dimanfaatkan untuk memudahkan akses terhadap maklumat. Walau bagaimanapun, kita harus terlebih dahulu menyedari realiti kewangan kendiri dan bukannya menafikannya. Literasi kewangan semata-mata tidak cukup sekiranya tidak disertai dengan perubahan tingkah laku. Kesedaran tentang tanggungjawab individu adalah langkah pertama untuk menentukan nasib kewangan seseorang.
Rakyat Malaysia perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan kewangan supaya mereka dapat menguruskan simpanan dan perbelanjaan mereka, melabur dengan bijak, dan meminjam secara bertanggungjawab sesuai dengan matlamat dan keadaan kewangan mereka. Ia juga berfungsi sebagai perlindungan terhadap penipuan kewangan. – Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid
Literasi Kesihatan
Kecenderungan untuk menangguh rawatan, mengambil suplemen kesihatan yang tidak diiktiraf, dan kewujudan pergerakan anti-vax kesemuanya merupakan simptom bagi suatu masalah yang lebih besar: tahap literasi kesihatan yang rendah dalam kalangan rakyat Malaysia. Dalam krisis kesihatan yang meluas seperti COVID, amat penting bagi kita untuk membuat pilihan yang bijak demi melindungi bukan hanya kesihatan kita sendiri, tetapi juga orang lain.
Dalam Kajian Kesihatan dan Mobiliti Nasional (NHMS) pada tahun 2019, Institut Kesihatan Umum (IKU) mendefinisikan literasi kesihatan sebagai kemampuan untuk mencari, memahami, dan mengaplikasikan maklumat dan perkhidmatan yang diperlukan untuk membuat keputusan berkenaan kesihatan. Antara aspek yang dirangkum adalah kemampuan untuk mengamalkan gaya hidup sihat, memahami maklumat kesihatan dan mengikuti arahan perubatan. Literasi kesihatan juga merujuk pada kemampuan seseorang untuk menganalisis risiko dan manfaat berbagai pilihan rawatan yang ditawarkan, serta mengaturkan temujanji doktor.
Kajian NHMS 2019 mendapati bahawa 1 dari 3 orang dewasa mempunyai tahap literasi kesihatan yang rendah[16].
Peratusan tepat dari kajian ini diperincikan lebih lanjut dalam sebuah laporan yang diterbitkan oleh pasukan penyelidik dari Kementerian Kesihatan Malaysia, yang mengkategorikan literasi kesihatan kepada tiga tahap: terhad, mencukupi, dan sangat baik.
Hasil kajian mereka menunjukkan bahawa sebilangan besar rakyat Malaysia mempunyai tahap literasi kesihatan yang cukup dalam ketiga-tiga aspek – penjagaan kesihatan, pencegahan penyakit dan gaya hidup sihat (masing-masing 49.1%, 44.2%, dan 47.5%). Namun, jika dibandingkan dengan keseluruhan spektrum, skor purata rakyat Malaysia adalah 35.5 daripada jumlah keseluruhan 50. Skor ini menunjukkan bahawa, walaupun secara keseluruhan populasi berada di bawah kategori yang mencukupi, sebilangan besar populasi tergolong dalam bahagian bawah kategori tersebut[17].
Tahap literasi kesihatan juga berkaitan dengan ciri sosiodemografi. Literasi kesihatan yang terhad lebih meluas dalam kalangan mereka yang berumur (68%), bertahap pendidikan rendah (64.8%), dan berpendapatan rendah (49.5%)[17].
Responden muda dari latar belakang pendidikan dan pendapatan tinggi merangkumi sebahagian besar responden yang mencapai literasi kesihatan yang mencukupi atau cemerlang. Namun secara keseluruhan, status literasi kesihatan Malaysia tetap dikategorikan pada tahap kecukupan yang lebih rendah.
Angka-angka ini menunjukkan bahawa lebih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan literasi kesihatan di Malaysia, terutama usaha yang disasarkan kepada masyarakat yang rentan. Tanpa kemahiran ini, seseorang akan lebih cenderung untuk membuat pilihan kesihatan yang lebih berisiko dan tidak berupaya untuk menguruskan kesihatan diri dengan baik. Kadar kemasukan mereka ke hospital juga lebih tinggi, dan kesihatan mereka secara keseluruhannya turut lebih terjejas. Oleh itu, usaha literasi kesihatan sangat penting untuk memastikan rakyat dapat memahami, menilai dan mengaplikasikan maklumat perubatan untuk membuat keputusan yang tepat. Dengan ini, mereka secara keseluruhannya dapat meningkatkan kesejahteraan hidup dengan lebih berkesan.
Explore Our Sources
- IJSK. 2014. Reading trends and improving reading skills among Malaysian students. Link
- Country Economy. 2018. Literacy rate fell down in Malaysia. Link
- The Star. 2019. Malaysia improves in PISA performance. Link
- The Sun Daily. 2020. Parents play a big role in children’s literacy rate. Link
- Ministry Of Education. 2013. Malaysian National Education Blueprint (2013-2025). Link
- UNESCO. 2018. A Global Framework of Reference on Digital Literacy Skills. Link
- Shapesea. 2019. Challenges to Learning and Teaching in Malaysia in the Time of Covid-19. Link
- FocusMalaysia. 2021. Digital skills are crucial to bolster workforce innovation. Link
- CORE. 2012. Digital Literacy Competence for Academic Needs: An Analysis of Malaysian Students in Three Universities. Link
- A Job Thing. 2021. Malaysia Ranks 46 in Coursera’s Global Skills Report. Link
- Wiley Online Library. 2021. Digital inclusion of the Orang Asli of Peninsular Malaysia. Link
- OECD. 2011. Measuring Financial Literacy: Questionnaire and Guidance Notes for Conducting an Internationally Comparable Survey of Financial Literacy. Link
- News Straits Times. 2021. Financial education crucial for managing money. Link
- Ringgitplus. 2020. Malaysian Financial Literacy Survey. Link
- The Edge. 2020. Creador: 70% of Malaysians in need of financial literacy support. Link
- National Institutes of Health (NIH). 2019. National Health and Morbidity Survey 2019. Link
- NCBI. 2021. Malaysian Health Literacy: Scorecard Performance from a National Survey. Link