Site logo

Srikandi Merdeka: 9 Wanita Pejuang Kebebasan di Malaysia

Sepanjang sejarah, kaum wanita telah memainkan peranan penting selain daripada mengurus rumahtangga mereka. Peranan mereka telah terbukti di dalam pergerakan yang memperjuangkan kemerdekaan dan kemajuan masyarakat. Namun, sumbangan mereka seringkali tidak ditonjolkan. Pembabitan mereka telah tersebar ke dalam pelbagai konteks seperti politik, revolusi, keadilan sosial dan malahan mereka yang berdiri megah mengangkat senjata di barisan hadapan.

Bagi memperingati Hari Merdeka, kami telah menyenaraikan sembilan orang pejuang kebebasan di Malaysia yang mana sumbangan mereka merupakan satu warisan yang berkekalan.

#1: Puan Sri Janaky Athi Nahappan, Seorang Pejuang Hebat

Puan Sri Janaky Athi Nahappan, juga dikenali sebagai ‘Janaky Thevar’, tegas menentang penjajahan British. Pada usia 17 tahun, Janaky meninggalkan kehidupan yang selesa di Kuala Lumpur dan bersedia berjuang, menjadi sebahagian daripada Tentera Kebangsaan India  (INA) menentang British di sempadan India-Burma. Beliau adalah salah seorang daripada perintis wanita yang menyertai Regimen eksklusif untuk wanita Rhani Jhansi di dalam INA. Beliau dinaikkan pangkat dengan pantas sehingga memegang jawatan Kapten dan Pegawai Kedua Tertinggi[1].

Kami mungkin jantina yang lemah lembut dan adil tetapi saya pastinya membantah akan perkataan ‘lebih lemah’. Pelbagai tohmahan telah diberikan kepada kami oleh kaum lelaki demi menjaga kepentingan diri mereka sendiri. Telah tiba masanya kita memusnahkan rantaian ini  disamping rantaian penghambaan  kaum India.  – Janaky Thevar, Singapore: A Biography [1]

Janaky mempertaruhkan nyawanya merentasi hutan tebal dan berbahaya untuk membawa askar INA ke tempat selamat berikutan pengeboman hospital Red Cross di Rangoon, Burma. Setelah perang tamat, Janaky pulang ke Malaya dan menjadi sebahagian daripada Misi Perubatan Kongres India. Beliau telah meredah ladang-ladang getah di seluruh negara, terlibat secara langsung dengan kehidupan seharian dan keadaan kerja penoreh getah dan buruh, terutamanya mereka yang berasal dari India.

Sumber: varnam.my


Ia adalah pada tahun 1946, apabila Janaky berganding bahu dengan John Thivy untuk menubuhkan Kongres India Malaysia (MIC), parti politik India yang pertama di Malaysia. Janaky merupakan Ketua Wanita MIC dan berkhidmat sebagai pengerusi MIC cawangan Batu[1].

Peperangan bagi Janaky tidak berakhir selepas Merdeka. Perhatian beliau beralih kepada isu keadilan sosial, menjadi salah seorang pejuang terawal menentang perkahwinan kanak-kanak di Malaysia. Janaky menjadi sebahagian daripada Suruhanjaya 1972 untuk menyemak undang-undang semasa dan pindaan yang mematuhi konvensyen Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai persetujuan perkahwinan, had umur minima dan pendaftaran perkahwinan, sebelum dilantik sebagai senator Dewan Negara di Parlimen Malaysia [1].

Sumber: The Star

Bagi kedua-dua sumbangan beliau kepada Malaysia dan perjuangan menentang penjajahan British di bawah Regimen Jhansi Rhani, Janaky telah dianugerahkan satu daripada penghormatan tertinggi India bagi orang awam, Padma Shri, pada tahun 2000[1]. Beliau merupakan wanita keturunan India pertama di luar sempadan India yang menerima penghormatan ini.

Puan Sri Janaky Athi Nahappan gagal dalam pertarungan beliau melawan pneumonia, meninggal dunia di rumahnya di Taman Tasek Titiwangsa pada 9hb Mei 2014 pada usia  89 tahun. 

#2: Khadijah Sidek, Seorang Wanita Yang Berpandangan Jauh Melangkaui Zamannya

Che Khadijah Mohd Sidek, lebih dikenali sebagai Khadijah Sidek, muncul pada tahun 1954 sebagai seorang nasionalis wanita dan ahli politik yang jarang ditemui, menjadikan beliau seorang tokoh yang luar biasa.

Dilahirkan di Sumatera Barat, apabila Khadijah menjejakkan kaki di Singapura pada tahun 1946, beliau merupakan seorang wanita dalam pelarian. Ekoran penyerahan Jepun dalam Perang Dunia II, dia dikaitkan dengan bahagian wanita separa tentera dari tentera revolusioner anti-Belanda-bernama Puteri Kesatria atau “puteri pahlawan.” Dalam peranan ini, Khadijah menjalankan tugas mobilisasi dan latihan belia wanita, menyumbang kepada kesiapsiagaan mereka. 

Perjalanan Khadijah membawanya ke Singapura dengan tujuan mengembangkan sekolah tentera wanitanya. Selain itu, beliau menyandang jawatan presiden HIMWIM (Himpunan Wanita Indonesia Malaya) di Singapura, sebuah pertubuhan yang memperkasakan wanita yang kurang berpendidikan dengan memberikan kemahiran mengurus rumah tangga dan memupuk kesedaran politik mereka.  

Bagaimanapun, susulan daripada dakwaan percubaan untuk menggulingkan Kerajaan British, Khadijah, yang hamil tiga bulan ketika itu, ditangkap. Beliau kemudiannya dipenjarakan selama dua tahun (1948 hingga 1950) di Singapura di bawah Akta Kecemasan, melahirkan anak perempuannya di dalam kurungan. 

Berikutan daripada hukuman penjara tanpa perbicaraan, Khadijah telah dibuang negeri selama sepuluh tahun di Johor Bahru. Namun, hukuman tidak mematahkan semangat perjuangannya, di mana beliau menyertai UMNO dan menjadi ahli kongres pada tahun 1953. Pada tahun 1954, Khadijah merupakan wanita pertama yang dilantik untuk mengetuai sayap Kaum Ibu (kini Wanita UMNO). 

Dibesarkan dalam tradisi Minangkabau matrilineal di rantau ini, Khadijah lantang dan mendesak untuk menambah wakil wanita, juga memberikan wanita hak untuk mengundi dalam Perhimpunan Agung UMNO 1953. Cadangannya menimbulkan kekecohan dari perwakilan lelaki dan kepercayaannya yang berpandangan jauh dan kritikan tajam yang menyebabkan beliau dipecat daripada parti politik pada tahun 1956.

Sumber: soscili.my

Khadijah tidak lemah semangat dimana beliau berterusan berjuang untuk mengasingkan bahagian wanita dan wanita belia dalam UMNO, menjelajah ke seluruh    Semenanjung untuk  mengambil sayap Kaum ibu, membangunkan semula cawangan yang tidak berfungsi dan menubuhkan yang baru.

Anda tidak perlu berbangga,hendaklah merendah diri; mendengar kritikan tetapi jangan tertekan; layan setiap orang dengan sama rata, kaya atau miskin, umpama bersaudara. Sekiranya anda bersikap begini, anda akan berjaya walau di mana jua anda pergi.
– Khadijah Sidek, Memoir Khatijah Sidek: Puteri Kesateria Bangsa [1]

Pemecatan beliau telah dipersetujui oleh eksekutif UMNO, mendorong Khadijah menyertai Parti Se-Islam Malaysia (kini PAS) dan dilantik sebagai ahli parlimen di bawah parti itu  pada tahun 1959. Khadijah lantang bersuara mengutarakan isu-isu seperti  pendidikan kaum wanita, pembangunan ekonomi luar bandar, dan infrastruktur kesihatan di kawasan pedalaman.

Pada tahun 1972, beliau kembali kepada UMNO namun tidak memegang jawatan penting. Khadijah meninggal dunia pada bulan Julai 1982 pada usia 65 tahun.

#3: Suriani Abdullah/ Eng Ming Ching, Pencetus Semangat

Walaupun peranan pihak komunis dalam perjuangan kemerdekaan ditandai kontroversi, semangat membara dan keinginan utuh untuk perubahan yang ditonjolkan oleh Eng Ming Ching tidak dapat disangkal. Beliau kemudiannya dikenali sebagai Suriani Abdullah selepas perkahwinannya dengan pengerusi PKM Abdullah CD pada tahun 1955[1].


Hubungannya dengan Parti Komunis Malaysia (PKM) pada awalnya terjalin dengan persahabatan beliau dengan Chin Peng, yang akhirnya naik ke pucuk pimpinan parti itu.  Pada usia 16 tahun, Suriani menjadi ahli PKM pada awal 1940-an, apabila penentangan anti-Jepun melonjak. 

Dalam tempoh menjelang pencerobohan Jepun pada 1941, Suriani mempamerkan semangat proaktifnya dengan menganjurkan mogok dikalangan pekerja wanita di Kampar, Perak. Selepas tamatnya Perang Dunia II pada tahun 1945, beliau terus menyumbang secara aktif, dengan mengambil alih peranan sebagai aktivis wanita dalam segmen ‘terbuka’ organisasi parti. 

Sentimen anti-Jepun dan anti British beliau amat kuat, beliau juga menyumbang  dalam perjalanan kita menuju Merdeka tetapi orang ramai tidak begitu mengenali beliau – Professor Dr/ Shakila Parween Yacob, Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya [1]

Didorong oleh sentimen anti-penjajahannya beliau yang tegas, memoir Suriani menggambarkan penangkapan beliau oleh pasukan tentera Jepun pada 28hb Januari 1945. Berikutan penangkapan beliau, beliau dihantar ke Ipoh, di mana beliau dipenjarakan dan disiksa dengan kejam. Keberaniannya luarbiasa beliau mendapatkan gelaran terhormat “Srikandi Anti Jepun” atau “Wirawati menentang Jepun.”[1]

Selepas Perang Dunia Ke-II, PKM mengamanahkan Suriani dengan peranan  sebagai pegawai kerajaan di dalam Pentadbiran Tentera British (PTB) di Perak . Namun, ia tidak bertahan lama. Pada tahun 1948, Suriani pergi ke hutan dan  menentang pasukan penjajah British.

Apabila parti komunis tumbang di Malaysia, beliau akhirnya mencari perlindungan di Thailand dan menetap di sana sehingga akhir hayatnya pada tahun 2013.


#4: Siti Rahmah Kassim, Menderma Emas Demi Kebebasan Malaya

“ Emas boleh dibeli lagi, tetapi bukan kemerdekaan kita,” itu adalah kata-kata Siti Rahmah Kassim, yang menanggalkan gelang emas beliau, hadiah perkahwinan daripada bapanya untuk membantu delegasi Merdeka meraih kemerdekaan. Tindakan beliau mendorong khalayak umum untuk mengikrarkan barangan berharga kepunyaan mereka – jam tangan,rantai, malahan gigi emas [1]

Sumber: Astro Awani

Ada seorang wanita yang bergigi emas. Dia berhasrat untuk mendermakannya, jadi dia telah beredar ke belakang (sebuah dewan) untuk membukanya supaya dapat membuat sumbangan.- – Siti Rahmah Kassim [2]

Semangat Rahmah yang tidak berbelah bahagi dalam usaha menuntut kemerdekaan ternyata berkekalan. Perjalanan politik beliau bermula ketika beliau berusia 18 tahun, dengan penyertaannya dalam protes aktif menentang Malayan Union. Satu detik penting berlaku pada tahun 1959 apabila beliau melakar sejarah sebagai wanita pertama yang mengambil bahagian dalam pilihan raya umum sebagai seorang calon.

Semangat cinta kepada negara tidak sama dengan perasaan cinta kepada sesama manusia. Perjuangan kami disertai oleh rasa tanggung jawab kepada kepercayaan, memerlukan ketelusan dan semangat untuk melindungi apa yang dinikmati.Siti Rahmah Kassim[3]

Rahmah memperoleh kemenangan di kerusi Dewan Undangan negeri di Terentang, Negeri Sembilan, dan kekal memegang jawatan ini selama dua penggal berturut-turut, satu pencapaian yang berterusan sehingga tahun 1969. Selain daripada usaha politik beliau, Rahmah aktif mengambil bahagian dalam pelbagai badan bukan Kerajaan.

Pembabitan beliau merangkumi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), persatuan Ibu Tunggal Negeri Sembilan, termasuklah peranan beliau sebagai naib presiden Majlis ibu Tunggal Malaysia[1].

Sebagai penghargaan kepada sumbangan besar beliau kepada negara, Rahmah telah dikurniakan dengan gelaran “Tokoh Wanita Negeri Sembilan” pada tahun 2016. Pejuang Merdeka ini telah meninggal dunia pada tahun 2017[1]

#5: Sybil Kathigasu, Wira Perang yang Tidak Didendang

Pada tahun 2017, satu petisyen berdar sebagai menghargai usahanya yang berhak untuk dirakamkan dalam buku-buku sejarah dan layar perak. Pada hari lahir beliau yang ke- 117 pada tahun 2016, beliau juga telah menjadi subjek coretan Google doodle. Sybil Kathigasu, seorang jururawat rakyat Malaysia berbangsa Eurasia, sebuah potret keberanian dalam perjuangan untuk kemerdekaan semasa Perang Dunia Ke-II di Malaya[4].

Semasa penaklukan Jepun, beliau berkhidmat sebagai jururawat, kemahiran dan dedikasi beliau telah melayakkan beliau dikenali dengan gelaran ‘Florence Nightingale Malaysia.’ Beliau berkahwin dengan Dr. Kathigasu, pasangan ini mengusahakan sebuah klinik di No.141, Brewster Road (kini Jalan Sultan Idris Shah) di Ipoh daripada tahun 1926 sehingga pihak Jepun menyerang Malaya. Keluarga tersebut meninggalkan Ipoh untuk keselamatan ke Papan, beberapa hari sebelum Jepun menakluki Ipoh[4].

Di Papan, Sybil dan suaminya tinggal di No.74, Main Street. Di sini, mereka secara berhati-hati kekal menggunakan radio frekuensi rendah, sentiasa mendengar siaran BBC World Service. Fasih berbahasa Kantonis, Sybil, bersama-sama suami, memainkan peranan secara rahsia dengan membekalkan ubatan, bantuan perubatan, dan maklumat penting kepada pasukan penentangan. Mereka terutamanya memberikan sokongan kepada ahli regimen ke-5 tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA)[4]

Pada Julai 1943, aktiviti mereka terbongkar, mengakibatkan penangkapan suami beliau Dr.Kathigasu, diikuti dengan penangkapan Sybil sebulan kemudian. Kedua-dua mereka menjadi mangsa kepada penyiksaan kejam oleh anggota Kempeitai.

Selama dua tahun, Sybil dan suaminya disoal siasat dan disiksa  oleh anggota Kempeitai. Mereka berpegang teguh dengan pendirian dan komitmen mereka menyimpan rahsia. Kedua-duanya  dihumban ke dalam penjara Batu Gajah, Sybil menerima hukuman penjara seumur hidup di atas  tindakan beliau. Sementara suami beliau menerima hukuman penjara selama 15 tahun.

Sebaik sahaja Malaya bebas daripada pihak Jepun pada bulan Ogos 1945, beliau diterbangkan ke Britain untuk rawatan perubatan. Beliau mula menulis memoirnya; No Dram of Mercy.

Atas keberanian beliau semasa perang, Sybil menerima George Medal for Gallantry in 1948 pada tahun 1948 dan sehingga hari ini, beliau merupakan satu-satunya wanita tempatan yang menerima pingat itu. Beberapa bulan kemudian, beliau mengidap septicaemia akut, yang disebabkan oleh kecederaan yang dialami semasa penyiksaan beliau[4].

Hari ini, kediaman beliau di Papan adalah hak milik seorang individu dan dibuka untuk dilawati. Sebagai penghargaan, jalan di Fair Park, Ipoh telah dinamakan Jalan Sybil Kathigasu.

#6: Tan Sri Datin Paduka Seri Dr. Aishah Ghani, Senator Wanita Pertama

Tan Sri Datin Paduka Dr.Aishah Ghani merupakan salah seorang ahli politik wanita Malaysia yang terawal. Pembabitan beliau dalam politik bermula pada tahun 1945 apabila beliau menjadi ahli Angkatan Wanita Sedar (AWAS), sayap wanita bagi Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Beliau mengetuai AWAS dan juga seorang wartawan di Pelita Malaya, penerbitan PKMM[1].  

Setahun kemudian, beliau meninggalkan PKMM berikutan penolakan beliau terhadap ideologi komunis dan mendapati ketua-ketua parti terlalu bercita-cita tinggi: “cita-citanya ingin menjangkau awan.” Bagaimanapun, semangat beliau dalam menyokong perjalanan negara ke arah kemerdekaan tidak pernah padam[1]

Aishah menyertai perhimpunan pada Mac 1946, yang menyaksikan Kongres Melayu yang akhirnya meletakkan asas penubuhan UMNO. Bagaimanapun, Aishah berhasrat untuk berjaya dengan caranya sendiri, maka beliau berlepas ke London untuk melanjutkan pelajaran.

Beliau kembali pada tahun 1959, berkhidmat sebagai wartawan di Berita Harian, editor di Group Releases New Straits Times. Pada tahun 1963, beliau  menyambung semula pembabitan dalam arena politik, beliau menjadi ahli dalam Majlis Tertinggi UMNO dan menggalas jawatan sebagai naib pengerusi dalam Wanita UMNO [1]

Pada tahun 1962, beliau dilantik sebagai Senator, menjadi wanita Malaysia pertama dan wakil wanita awal ke Perhimpuanan Am di Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Aishah juga memegang jawatan sebagai Menteri Kebajikan Am pada tahun 1974, jawatan yang disandangnya sehingga persaraannya pada tahun 1984.

Sumber: soscili.my

Sepanjang perkhidmatannya, beliau terkenal dalam memartabatkan pembaharuan undang-undang Syariah dan mengetuai jawatankuasa tinggi bertujuan untuk melaksanakan perubahan dalam Undang-undang Perkahwinan dan Perceraian Islam. Satu perubahan yang tidak disokong oleh ramai pihak:


Bagaimanapun, undang-undang ini telah ditentang oleh ahli ulama yang konservatif dan pegawai agama Islam di beberapa negeri yang kurang senang yang mana beliau membuatkan poligami sebagai sesuatu yang mustahil bagi lelaki Islam
– Helen Ting, Women in Southeast Asian Nationalist Movements [1]

Sebagai Menteri Kebajikan, Aishah menubuhkan rumah kepada mereka yang kurang berkemampuan, seperti Rumah Kanak-Kanak Tuanku Budriah bagi kanak-kanak yang dilahirkan luar nikah, Rumah Seri Kenangan bagi warga emas dan membina lebih banyak rumah untuk kemudahan Orang Kurang Upaya (OKU)[[5].

Sumber: soscili.my

Selepas persaraan pada tahun 1984, Aishah menyandang jawatan sebagai pengerusi di Koperasi Pembangunan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) dan Pusat Perlindungan Wanita Darsaadah. Aishah meninggal dunia pada usia 90 tahun pada tahun 2013.

#7: Tan Sri Devaki Krishnan, Juara Untuk Komuniti Setempat

Digelar sebagai ‘Grand Dame of Malaysian Indian politics,’ Tan Sri Devaki Krishnan ialah wanita pertama yang dilantik untuk memegang jawatan di dalam perkhidmatan awam. Beliau salah seorang ahli generasi Merdeka yang masih hidup, menyambut tarikh kelahiran beliau yang ke seratus tahun pada tahun 2023 [6].

Anak sulung dalam sebuah keluarga Tamil berketurunan Sri Lanka, Devaki menamatkan pengajian daripada St. Mary dan menjadi seorang guru sekolah. Pada tahun 1949,  beliau adalah ahli yang aktif dalam Persatuaan India Selangor dan Kelab Wanita Antarabangsa.

Sumber: The Star

Pada tahun 1951, Devaki menerima berita daripada suaminya bahawa komunitinya telah mencalonkannya untuk bertanding dalam pilihan raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur. Beliau merupakan wanita pertama yang memenangi pilihanraya di Malaysia. Kemudian, beliau telah dipelawa oleh Allahyarham Dato’ Onn Jaafar untuk menjadi sebahagian daripada Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).

Saya akan menceburi minat saya dalam hal ehwal wanita di Kuala Lumpur dan menyokong program kerja sosial yang di jalankan oleh majlis perbandaran.  –  Tan Sri Devaki Krishnan dalam manifesto beliau  pada 1952 [7]


Devaki memenangi pilihan raya Majlis Perbandaran, dengan itu menjadi wanita pertama dalam negara yang dilantik untuk perkhidmatan awam.

Pada tahun 1955, beliau bertanding untuk penggal kedua untuk Majlis Perbandaran Bangsar dan menang. Berikutan pilihanraya itu, beliau menjadi ahli Kongres Wanita India (MIC), beliau mendorong agar lebih ramai wanita di dalam sistem politik negara. Penubuhan Wanita MIC terbentuk pada tahun 1975, apabila Devaki Krishnan memegang jawatan sebagai setiausaha. Pada tahun 1984, beliau dilantik sebagai naib presiden wanita MIC.

Sumber: varnam.my

Tiada siapa yang  mengajar mereka untuk menonjolkan diri kerana mereka pemalu dan mempunyai latarbelakang didikan yang ketat. Di mana sahaja mereka membuka cawangan MIC, saya akan membuka sayap Wanita. Saya akan mengajak kaum wanita bertemu secara berasingan , bercakap dengan mereka, dan memberitahu mereka apa yang mereka boleh perolehi dan bagaimana untuk menjadi ahli. – Tan Sri Devaki Krishnan [8]

Devaki merupakan salah seorang ahli parti yang bertahan paling lama sebagai pengerusi Persatuan Ambulans St.John dan aktif dengan Majlis Kebangsaan Organisasi Wanita.

Ketua teladan  ini telah diberi penghormatan, pengiktirafan dan anugerah, termasuklah The Serving Sister of St John Award oleh Queen Elizabeth, Anugerah Tokoh Wanita dan Anugerah Tun Fatimah bagi sumbangan beliau . Devaki merupakan rakyat Malaysia keturunan Sri Lanka pertama  yang dianugerahkan  Panglima Setia Mahkota, membawa gelaran Tan Sri.

#8: Shamsiah Fakeh, Pemidato Yang Digeruni

Dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, semangat nasionalisme Shamsiah Fakeh tercetus selepas mendengar syarahan daripada ketua-ketua UMNO dan PKMM ketika itu. Beliau perlahan-lahan melibatkan diri dengan PKMM berikutan perbincangan beliau dengan Wahi Anuwar, seorang ketua PKMM.

Seorang pemidato yang digeruni, beliau diperhatikan oleh kedua-dua parti politik; akhirnya beliau memilih menyertai sebahagian daripada PKMM pada tahun 1945, dengan kepercayaan ia lebih komited untuk mencapai kemerdekaan Malaya. Pada tahun berikutnya, Shamsiah mengambil peranan sebagai ketua bagi sayap wanita PKMM daripada Aisyah Ghani (seorang veteran ketua UMNO dan senator wanita pertama) dan AWAS[1].

Sumber: soscili.my

Pada tahun 1948, bagaimanapun, PKMM, bersama-sama AWAS dan sayap belia PKMM (API), telah diharamkan susulan  pengisytiharan darurat di Malaya.

Ketua-ketua berhaluan kiri telah ditangkap seorang demi seorang dan Shamsiah terpaksa berundur ke dalam hutan sendirian atau bersama anaknya beberapa kali. Di kampung Lubuk Kawah, Pahang, beliau  bertemu  dengan regimen ke 10  Tentera Pembebasan Malaya PKM diketuai oleh ahli PKM berbangsa Cina yang menggunakan nama samaran, Hj Hashim[1].


Sebenarnya, saya bukanlah seorang ketua Wanita PKM atau seorang tokoh wanita yang terkenal, saya hanya seorang pejuang wanita yang bertungkus lumus menentang British untuk kemerdekaan tanah air, dan kebebasan wanita. – Shamsiah Fakeh [1]

Rejimen ke 10 terpaksa berundur ke sempadan Thai-Malaya ekoranbeberapa siri kekalahan tentera; Shamsiah merupakan sebahagian daripada mereka dan berterusan berjuang sebagai gerila. Apabila pihak parti komunis semakin lemah, beliau dan suaminya dihantar ke China pada tahun 1956 untuk belajar tentang komunisme dengan mendalam. 

Sumber: soscili.my


Shamsiah dan suaminya hidup dalam buangan selama  hampir 40 tahun, mengendalikan siaran radio berbahasa Melayu mereka sendiri, dan bekerja di kilang pada tahun 1970-an selepas dipecat daripada parti komunis. Walaupun parti komunis kekal sebagai satu subjek yang berduri, Shamsiah telah menulis dalam memoir beliau, meggesa pembaca membezakan di antara era penjajahan British dan kemerdekaan.

Sumber: soscili.my

Pada tahun 1994, Shamsiah dan keluarganya dibenarkan pulang ke Malaysia. Beliau menjalani kehidupan yang sederhana sehingga beliau meninggal dunia pada bulan Oktober 2008 pada usia 84 tahun.

#9: B.H.Oon, Perintis Bagi Lebih Ramai Wanita Menceburi Bidang Perundangan

Lim Beng Hong, juga dikenali sebagai B.H. Oon, penting dalam meletakkan  batu asas untuk meningkatkan perwakilan wanita dalam sistem kehakiman dan perundangan Malaya.

Dalam tempoh dimana peluang pendidikan adalah terhad bagi wanita, B.H. Onn bersekolah di Sekolah Perempuan St.George,  Pulau Pinang. Perjalanan beliau telah membolehkan beliau menjadi peguamcara pada tahun 1926 dan seterusnya menubuhkan firma guaman beliau sendiri dan kekal beroperasi selama lima dekad. Beliau kemudian mencapai kejayaan  sebagai peguam Wanita Malaya pertama menyertai Badan Kehakiman Inggris.


Permohonan beliau untuk menyertai Badan Peguam Negeri-Negeri Selat dan Negeri Melayu Bersekutu, yang dibuka secara eksklusif kepada kaum lelaki ketika itu, telah menggesa semakan semula peraturan itu. Justeru, beliau muncul sebagai peguam Wanita Asia pertama dari badan Peguam tersebut dengan pencapaian cemerlang dengan penyertaan beliau sebagai salah seorang daripada dua orang Wanita dalam Majlis Persekutuan Perundangan pada tahun 1948 [9].

Majlis ini merupakan pelopor kepada pembebasan akhirnya Malaysia daripada penjajahan British. BH Oon memegang jawatan ini sehingga tahun 1955, mengemudi perjalanan pembinaan negara menjelang kemerdekaan yang bersejarah.

Penglibatan beliau juga meluas kepada bidang politik, di mana beliau memainkan peranan yang penting sebagai pengasas bersama bagi Persatuan China Malaya dan memegang jawatan ahli majlis di Butterworth daripada 1954 sehingga 1957. Sumbangan beliau telah diiktiraf di peringkat antarabangsa, terbukti dengan penerimaan beliau bagi salah satu penghargaan tertinggi British—the Order of the British Empire—di atas dedikasi dalam berkhidmat untuk orang awam.


Pada tahun 1971, beliau mencapai satu lagi kejayaan penting dengan menjadi presiden rakyat Malaysia pertama dalam Persekutuan Peguam Wanita Antarabangsa. Organisasi ini memberikan perkhidmatan perundangan, terutamanya kepada wanita dan kanak-kanak. Dedikasi BH Oon terhadap perjuangannya bertahan, kerana dia terus terlibat secara aktif dalam politik dan mengejar keadilan, malah mengendalikan kes jenayah, sehingga kematiannya pada usia 81 tahun pada tahun 1979 [9]

Terjemahan oleh: Norazah Nizar

Explore our sources:

  1. K.Kaur. (2020). Khadijah Sidek, Siti Rahmah Kassim, & Other Fearless Female Merdeka Fighters You Might Not Have Heard Of. The Rakyat Post. Link 
  2. E.Choo. (2018). The Tale Of Bangle. Going Places. Link 
  3. M.Ishak. (2015). Korban gelang kahwin demi kemerdekaan. Berita Harian. Link 
  4. S. Paul. (2017). Here’s Why You Should Care About Sybil Kathigasu, Malaysia’s Forgotten World War II Hero. SAYS. Link
  5. A.Syakir. (2022). 4 tokoh kemerdekaan wanita dan sumbangan mereka terhadap negara.Soscili.my Link
  6. I.M.Iskandar. (2023). Devaki Krishnan: An exemplary role model for women. New Straits Times. Link 
  7. N.Khor & I. M.M. Adnan. (2007). Mothers of substance. The Star. Link  
  8. The Star. (2007). Spirit of the pioneer. Link 
  9. M.A. (2021). B.H. Oon, the lawyer who opened the doors for women to practice law in Malaysia. Asklegal.my. Link

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?