Site logo

Sabah Bertujuan Untuk Mengvaksinasi 30,000 Orang Sehari Bermula Julai

Tema utama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan adalah “Lindung Diri, Lindung Semua”. Strategi ini bertujuan untuk mencapai imuniti kelompok di mana sekurang-kurangnya 70% populasi dewasa rakyat Malaysia (warganegara dan bukan warganegara) divaksinasi – memberikan negara perlindungan dari penyebaran virus Covid-19[1].

Imunisasi kelompok adalah satu langkah pencegahan penyakit berjangkit apabila satu populasi telah mencapai imunisasi terhadap sesuatu penyakit samada melalui vaksinasi ataupun jangkitan terdahulu. World Health Organization (WHO) percaya bahawa untuk memperolehi imuniti kelompok, vaksinasi lebih disyorkan berbanding membiarkan penyakit disebarkan di dalam komuniti seterusnya mengurangkan kadar kematian[2].

Kadar Vaksinasi Di Malaysia

Buat masa sekarang, 18.8 juta penduduk di Malaysia telah mendaftar di bawah program vaksinasi kebangsaan. Kebanyakan negeri-negeri di Malaysia mempunyai angka yang agak tinggi bagi pendaftaran vaksinasi iaitu di antara 80-100% dari kalangan populasi dewasa. Kuala Lumpur dan Putrajaya mempunyai kadar yang paling tinggi pada 100% dan Negeri Sembilan mengikut rapat pada 95%. Namun, masih terdapat beberapa negeri yang mempunyai kadar vaksinasi yang rendah iaitu Kelantan di mana bilangannya sedikit melebihi separuh populasi dewasanya dan Sabah yang mencatat kadar terendah pada 35.9%. Data ini susah untuk diabaikan apabila negara sedang bergiat untuk mencapai imunisasi kelompok dan semua negeri haruslah berusaha untuk mempercepatkan program vaksinasi agar tiada individu diabaikan[3]

Source: Special Committee for Ensuring Access to COVID-19 Vaccine Supply (JKJAV)

Populasi dewasa di Sabah berjumlah 990,681, namun hanya satu pertiga daripada populasi telah mendaftar. Walaupun terdapat 475,084 orang di Sabah yang telah menerima suntikan vaksin dos pertama, peratusannya masih rendah jika dibandingkan dengan keseluruhan populasi iaitu hanya pada 12.2%[3]

Penyebab Untuk Kadar Vaksinasi Yang Rendah Di Sabah 

Faktor geografi merupakan penyumbang terbesar. Majoriti penduduk Sabah tinggal di kawasan pedalaman dan luar bandar di mana infrastruktur tidak lengkap yang menyebabkan maklumat terutamanya tentang vaksinasi dan imunisasi, lewat sampai ke pengetahuan penduduk[4].

Source: Twitter | Noor Hisham Abdullah

Terdapat juga kebimbangan mengenai pelbagai pandangan tentang proses imunisasi. Sesetengah pihak takut akan kesan sampingannya manakala sesetengah terus mengabaikannya. Penduduk di kawasan pedalaman dan warga emas berkemungkinan besar tidak mempunyai telefon pintar ataupun berputus asa untuk cuba menggunakan aplikasi pendaftaran vaksinasi.

Oleh kerana kebanyakannya tinggal di kawasan pedalaman, memuat turun dan mendaftar di aplikasi boleh menjadi satu perkara yang memeningkan dan payah untuk dilakukan. Buat Obot Jefferi Joakim yang tinggal di sebuah kampung jauh di pedalaman, COVID-19 hanyalah satu perkara yang akan pergi suatu hari nanti.

Jika anda minta saya untuk lakukan itu dan ini, saya tidak tahu. Saya tahu ia percuma tapi ia memerlukan banyak usaha. – Obot Jefferi Joakim[4]

Datuk Michael Lui, Presiden Kota Kinabalu Chinese Chamber of Commerce and Industry (KKCCCI) menggalakkan kerajaan untuk memberikan garis masa bagi mereka yang telah mendaftar daripada membiarkan mereka menunggu semata-mata[5]. Rancangan ini adalah berdasarkan tanggapan bahawa tiada maknanya untuk individu mendaftar vaksinasi dan menunggu tarikh janji temu yang belum pasti.

Penduduk di kawasan pendalaman perlukan masa untuk merancang, menyusun dan membuat perjalanan ke pusat bandar ataupun bandar untuk melakukan perkara-perkara seperti pemeriksaan kesihatan, perbankan dan membeli makanan serta keperluan asas. Kita perlulah mempertimbangkan rangkaian internet yang tidak semestinya terdapat di semua kawasan pedalaman.

Menyelusuri media sosial, kebanyakan netizen yang berpangkalan di Sabah menyatakan rasa tidak puas hati mereka tentang kegagalan menerima tarikh janji temu walaupun mendaftar untuk vaksin pada awal tahun ini.

Source: Twitter | Caroline Ang | Heyy | Nashhh

Antara cabaran lain adalah kekurangan informasi tentang vaksin kepada penduduk pedalaman. Kebanyakan orang akan bertanya untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai risiko dan kesan sampingan vaksin dan hal yang sama juga untuk penduduk pedalaman cuma usaha yang dibuat perlulah berganda.

Source: Borneo Today

Datuk Ewon Benedick, wakil rakyat Kadamaian menyatakan sikap ‘tunggu dan lihat’ ditambah dengan kesedaran yang kurang serta akses telah menyukarkan usaha untuk mempercepatkan program vaksinasi di Sabah[4].   

Di kebanyakan kampung di kawasan pedalaman, anda perlu berjumpa mereka secara berdepan untuk meyakinkan mereka. Dengan sekatan seperti tidak boleh berkumpul, gereja dan surau yang tidak boleh dihadiri ramai dan jabatan kesihatan yang penuh, tiada program kesedaran secara fizikal dapat dijalankan di kampung-kampung. – Datuk Ewon Benedick, Wakil Rakyat Kadamaian[4]

Strategi Baru Untuk Mempercepatkan Vaksinasi

Berita baiknya ialah pentadbiran di Sabah terbuka bagi kemungkinan memperoleh vaksin untuk negeri selagi mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa. Sabah telah menerima sumbangan sebanyak RM200,000 pada 22 Mei, 2021 dari sebuah syarikat pelaburan yang berikrar untuk menyumbang vaksin COVID-19 Sinophram. Terdapat juga inisiatif di mana majikan boleh membekalkan pekerja mereka dengan vaksin yang boleh mempercepatkan program vaksinasi.  

Kebanyakan ahli kami menggajikan bilangan pekerja yang sedikit bagi setiap syarikat jadi kami mampu untuk membeli sendiri. Jika terdapat peluang untuk semua bergabung, itu hal yang lain tetapi itu juga bergantung kepada harga. – Yap Cheen Boon, Presiden Persatuan Majikan Sabah[6]

Source: New Straits Times

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berharap lebih ramai lagi yang akan menerima vaksin nanti. Dalam satu temu ramah baru-baru ini, beliau menyatakan bahawa Sabah menyasarkan untuk mevaksinasi 30,000 orang setiap hari bermula Julai.

FUntuk Jun, dos akan sampai secara mingguan mengikut rancangan. Kami menjangkakan untuk menerima lebih banyak dos pada Julai and bulan-bulan yang berikutnya. Kami menjangkakan bermula Julai, kami dapat mevaksinasi 30,000 orang sehari. – Datuk Seri Hajiji Noor[8]

Pengarah Kesihatan negeri Sabah yang baru dilantik, Dr. Rose Nani Mudin komited untuk meningkatkan pengambilan dan pendaftaran vaksinasi. Beliau membawa beberapa strategi untuk meningkatkan pengambilan dan keberkesanan proses ini. 

Oleh kerana pernah terlibat dengan pengawasan beberapa PPV di Kuala Lumpur dan Selangor, beliau yakin Sabah boleh menggunakan kaedah yang sama untuk meningkatkan kadar vaksinasi dan kapasiti.

aya berfikir bahawa kaedah dan strategi (di PPV mega) boleh diguna pakai di Sabah supaya lebih ramai dapat divaksinasi. – Dr. Rose Nani Mudin, Pengarah Kesihatan[7] 

Source: Berita Harian

Beliau juga menyatakan bahawa proses kelayakan pra dan pasca vaksinasi boleh dilakukan dengan lebih berkesan di mana dapat mengurangkan masa yang diluangkan di pusat vaksinasi. Hal ini dapat membenarkan lebih ramai orang menerima vaksin dalam sehari.

Kebanyakan yang hadir adalah mereka yang sihat. Nasihat kesihatan oleh doktor masih dilakukan setelah pendaftaran namun bagi mereka yang berasa tidak sihat ataupun pening, pemeriksaan kesihatan yang menyeluruh akan dijalankan. – Dr Rose Nani Mudin, Pengarah Kesihatan [7] 

Kerajaan pusat dan kerajaan negeri telah bekerjasama untuk menggerakkan sukarelawan ke setiap rumah di kawasan terpencil. Program ‘outreach’ negeri sekarang mempunyai 26 pasukan yang mana setiap pasukan mewakili satu daerah. Sabah Four Wheel Association, sebuah NGO telah bergabung untuk membawa pekerja kesihatan ke komuniti pedalaman untuk program ‘outreach’ ini. Angkatan Tentera Malaysia juga telah menghantar pasukan perubatan ke kawasan pedalaman di bawah Program Jiwa Murni untuk memberi bantuan[8]

Source: Bernama

Salah satu langkah yang boleh diambil untuk penduduk pedalaman adalah memperkenalkan vaksin satu dos iaitu Cansino[7]. Buat masa sekarang, vaksin yang diedarkan di Sabah ialah Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

Sabah juga adalah sebahagian daripada Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang diterajui MITI. Program Kerjasama ini membolehkan penggunaan tempat kerja, pusat persidangan dan pameran sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV), dimana ianya terdiri daripada pekerja perubatan, bukan perubatan dan keselamatan[9].

Salah satu inisiatif utama pusat vaksinasi besaran yang ketara adalah Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu dikatakan dapat memuatkan orang ramai sebanyak 3,500 orang setiap hari dengan memberi keutamaan kepada pekerja industri dalam sektor awam dan swasta dahulu.

Source: New Straits Times

Institusi dan organisasi perubatan swasta juga adalah sebahagian daripada program. Bagi penduduk bandar, hospital seperti Gleneagles Hospital dan Rafflesia Medical Centre serta 36 klinik lain di negeri ini telah didaftarkan sebagai pusat vaksinasi pada Jun 2021. Pengurusan Pacific Sutera juga telah bersetuju untuk membuka premis hotel sebagai pusat vaksinasi dimana ianya sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat[8].

Pusat vaksinasi lain yang dibuka di Kota Kinabalu adalah Wisma Wanita yang mampu menampung 400 orang setiap hari. Pusat ini akan tertumpu kepada kakitangan perkhidmatan awam dan mereka yang berada di barisan hadapan termasuk pemandu, pekerja penghantaran, pegawai kaunter dan mereka yang berada di sektor Pendidikan. Jumlah jawatankuasa perkhidmatan awam negeri adalah sebanyak 20,549 orang sementara mereka yang bekerja di sektor perkhidmatan awam persekutuan di Sabah adalah berjumlah sehingga 107,172 orang[8].  

Sehingga kini, Sabah mempunyai 111 pusat vaksinasi di kemudahan-kemudahan awam, kesihatan dan bukan kesihatan, serta premis swasta[8]

Source: Free Malaysia Today

Hari ini, perjuangan bagi menentang Covid-19 adalah sesuatu yang diusahakan bersama. Sebagai sebuah negara, tidak ada negeri yang harus ketinggalan. Kadar vaksinasi yang rendah di Sabah seharusnya menjadi perhatian bersama, tetapi dengan strategi yang diperbaharui, maka ada harapan untuk perlindungan yang lebih baik bagi orang Sabah.

Sabah tidak mahu ketinggalan kerana misi dan visi kami adalah untuk memberi vaksin kepada semua rakyat Sabah secepat mungkin. Kami berharap dapat mevaksinasi sekurang-kurangnya 80% populasi supaya kadar jangkitan dan jumlah kelompok baru dapat dikurangkan. – Dr. Rose Nani Mudin, Pengarah Kesihatan[7] 

*Catatan: Populasi dewasa dalam artikel ini merujuk kepada individu yang berumur lebih dari 18 tahun dan lulus kriteria kelayakan vaksin seperti tiada reaksi alergi, tidak hamil dan lain-lain. 

Explore Our Sources:

  1. The Special Committee On COVID-19 Vaccine Supply (JKJAV). FAQ. What Does Lindung Diri, Lindung Semua Mean? Link.
  2. World Health Organization. (2020). Q&A Detail – Coronavirus disease (COVID-19): Herd immunity, lockdowns and COVID-19. Link. 
  3. The Special Committee On COVID-19 Vaccine Supply (JKJAV). Progress Statistics for the National Covid-19 Immunisation Programme. Link. 
  4. Chan, J. (2021). With just 18pc registered for Covid-19 jab, why is Sabah’s rate so low? Yahoo! News. Link.
  5. Doksil, M. (2021). Address low vaccination rate, Sabah govt urged. Borneo Post Online. Link.
  6. Miwil, O. (2021). Sabah, local companies keen on procuring vaccines. New Straits Times. Link.
  7. Malay Mail. (2021). Sabah improving strategies to expedite vaccination process, says health director. Malaysia. Link.
  8. Doksil, M. (2021). 30,000 to be vaccinated daily in Sabah from July. Borneo Post Online. Link. 
  9. Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS). Link.

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?