Site logo

Realiti Kemiskinan Di Bandar

Apabila menonton filem seperti ‘KL Gangster’ dan ‘Abang Long Fadil’, kita sudah semestinya sedar bahawa kekayaan yang mereka peroleh adalah melalui kaedah-kaedah kurang beretika. Kegiatan seperti pergaulan seks bebas dan penyalahgunaan dadah memberikan gambaran seolah-olah tiket emas ke kehidupan yang senang untuk mereka yang sedang mengalami kemiskinan dalam bandar.

KL Gangster. Sumber: Cinema Online

Malaysia adalah sebuah negara yang sedang membangun dan berkembang pesat. Oleh itu, masyarakat di bandar dan di luar bandar mengalami perubahan ketara dalam jangka masa yang singkat.  Keperluan untuk pekerjaan dan bantuan kewangan kian meningkat, namun kerajaan tidak dapat memberikannya kepada mereka yang memerlukannya. Maka, wujudlah persaingan tinggi untuk memperoleh pekerjaan di kalangan rakyat, terutamanya mereka yang tidak berkelayakkan tinggi. Jadi, apa yang berlaku kepada rakyat yang tidak berjaya mendapat pekerjaan?

Sumber: Eleven Media Group

Realitinya, kehidupan individu yang tinggal di kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) bukanlah seindah seperti yang disangkakan. Mereka yang mempunyai lebih dari satu pekerjaan tidak patut dianggap seperti perkara yang “normal”. Catuan makanan dan penangguhan bayaran bil utiliti serta sewa adalah masalah besar yang perlu ditangani dengan betul. Walau bagaimanapun, atas sebab kerajaan tidak boleh membantu golongan yang memerlukan, ramai yang terpaksa melibatkan diri dalam aktiviti haram serta melanggar undang-undang semata-mata untuk memenuhi keperluan hidup mereka.

Masalah “Lampu Merah”

Industri seks di Malaysia adalah salah satu cara untuk mendapatkan wang dengan mudah bagi mereka cukup terdesak. Apabila seseorang sudah terdesak, mereka akan berkunjung ke kawasan “Lampu Merah” ataupun Red Light District untuk mencari hasil. Oleh kerana undang-undang berlainan di setiap negeri dan daerah, penguatkuasaan tidak senang untuk dicapai.

Sumber: The Coverage

Hal ini menjadikan industri seks ‘terbuka’ kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Pada tahun 2014, terdapat anggaran 150,000 pekerja seks di dalam negara ini yang menjana pendapatan sebanyak AS $963 juta[1].

Apakah faktor yang memaksa gadis-gadis ini untuk menjual diri mereka?

Antara faktor yang mendorong pekerja seks di negara ini boleh dikaitkan dengan mangsa-mangsa yang terperangkap dalam kemiskinan dan berpendapatan rendah. Terdapat juga individu yang mengalami pengangguran serta bias jantina yang berterusan. Ternyata kepayahan mencari hasil pendapatan merunsingkan pencari-pencari nafkah rumah tanggas[2]

Sumber: Malay Mail

Sebuah kajian menunjukkan bahawa ibu tunggal dan gadis muda merupakan mangsa yang cenderung terjebak ke dalam industri pekerjaan ini. Hal ini kerana mereka mempunyai masalah kesihatan serta pendidikan yang rendah. Oleh itu, mereka berusaha untuk mencari pekerjaan ataupun bekerja di tempat yang memberikan pendapatan walaupun sedikit. Malah, seorang wanita mengaku bahawa dia mendapat duit yang lebih hasil daripada menjual dirinya untuk menampung kehidupan anak-anaknya[3]

Dalam industri seks, semakin cantik gadis itu, semakin banyak mereka untung. Kebiasaannya, gadis-gadis ini boleh memperoleh sebanyak RM 50-RM 180/jam walaupun mereka tidak secantik mana. Gadis rupawan boleh memperoleh sebanyak RM500/jam[4]. Lebih-lebih lagi, jika mereka dapat membawa ‘perniagaan’ mereka atas talian, mereka dapat menjana sebanyak RM6,000 setiap bulan[5].

Khayalan Murahan

Kaum lelaki yang hidup miskin di bandar juga terdedah kepada pelbagai gejala sosial. Bagi mereka yang berhenti sekolah dan gagal mendapat sebarang pekerjaan, mereka akan berkeliaran di jalanan, menarik perhatian buruk terhadap diri mereka. Tidak lama kemudian, mereka akan turut terjebak ke dalam kancah maksiat.

Sumber: MIMS Today

Bertentangan dengan kepercayaan yang popular bahawa bahan seperti dadah dan alkohol mahal serta sukar diperoleh, dan bukan semuanya melanggar undang-undang. Terdapat pelbagai jenis bahan khayal di pasaran yang dijual dengan harga yang berpatutan, menjadikannya pilihan yang mudah. Bahan-bahan sebegini amat berkesan sekiranya individu tersebut sedang mencari jalan mudah melarikan diri dari realiti.

Kepelbagaian Pilihan

Terdapat pelbagai jenis bahan yang boleh mengakibatkan penggunanya berkhayal seperti Gam Dunlop atau gam kasut yang boleh dibeli dengan harga RM5 setin[6]. Daun ketum juga menjadi pilihan yang popular kerana sebungkus plastik daun hanya berharga RM2.65 sahaja. Minuman keras haram seperti Taisong juga hanya dijual dengan harga RM2 sebotol. 

Kebanyakkan lelaki muda biasa bereksperimen dengan senario yang berbeza. Hanya segelintir individu sahaja yang menimbang akibat daripada melakukan eksperimen ini, dan boleh melarikan diri sebelum menjadi ketagih. Selalunya, pengguna awal berusia seawal tujuh tahun[6].

Sumber: SosCili

Malangnya, ketagihan ialah titik pemulaan yang hanya akan berkembang menjadi lebih teruk. Kajian menunjukkan bahawa orang yang terjebak dalam penyalahgunaan bahan mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi untuk melakukan penderaan fizikal atau seksual terhadap orang lain dan melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan jenayah. 

Peningkatan Aktiviti-Aktiviti Jenayah

Kawasan bandar sering menjadi tumpuan kegiatan jenayah seperti pencurian, keganasan geng, penyeludupan dadah, pembunuhan, dan pergaulan bebas. Kadar jenayah lebih tinggi di kawasan miskin dalam bandar dimana kepadatan penduduk lebih tinggi, keadaan hidup lebih rendah dan kadar pengangguran juga lebih tinggi[7]

Sumber: Indian Express

Keengganan individu untuk mengambil berat tentang  kesejahteraan ekonomi mereka sendiri boleh mendorong kepada kemiskinan. Di kawasan bandar, remaja-remaja dianggap bermasalah kerana mereka senang dipengaruhi oleh pelbagai gejala sosial. 

Perkara ini seharusnya dicegah pada peringkat akar umbinya sebelum menjadi menjadi lebih parah bak kata pepatah siakap “senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri.”

Sumber: Southeast Asia Globe

Pihak berkuasa percaya bahawa kemiskinan merupakan faktor utama yang menyumbang kepada masalah-masalah sosial. Namun begitu, hal ini tidak bermaksud bahawa orang berada langsung tidak melakukan sebarang jenayah tetapi, orang miskin di bandar lebih cenderung untuk melakukan jenayah sebegini. Rumah tangga yang berpecah-belah; mempunyai prospek pekerjaan yang buruk; kos sara hidup yang tinggi; dan peluang pendidikan yang terhad, merupakan sebahagian daripada masalah-masalah yang dialami oleh golongan miskin di bandar.

Untuk mengubah landskap dan persepsi masyarakat miskin bandar, kita perlulah menyelamatkan generasi yang akan datang dengan mendidik, dan memberi peluang kepada mereka untuk membina masa depan baru bersama-sama.   

Penafian : Artikel di atas bukan sahaja pendapat – sebaliknya bertujuan untuk menggambarkan data yang disajikan. Masalah sosial yang disebutkan tidak bertujuan untuk mencemar atau melabel mereka yang terlibat. Namun begitu, kami mengakui bahawa tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang. Kegiatan- kegiatan yang disebutkan di atas, seperti pekerja seks bukan sahaja penyakit sosial, tetapi juga salah di sisi undang-undang di bawah Seksyen 372 Kanun Keseksaan. Begitu juga dengan penyalahgunaan dadah. Kita berharap bahawa apabila perkara ini dibincangkan, kita dapat berempati dan menolong mereka yang memerlukannya.

Rujukan:

  1. Suppiah, PC, et al. (2019). News Coverage of Foreign Sex Workers in Malaysia: A Critical Analysis. GEMA Online Journal of Language Studies. Link.
  2. Abdul Hamid, Haezreena Begum. (2019). Overview of Sex Trafficking in Malaysia: Re-positioning the trafficked ‘victim’. Research Gate. Victoria University of Wellington. Link.
  3. Mayan, S. N. A., & Nor, R. M. (2020). The Resistance of the Urban Poor in Selangor, Malaysia to Get Out of the Shackles of Poverty. International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences. Link.
  4. The Star. (2019). Prostitutes with degrees charge up to RM500 an hour. Link.
  5. The Star. (2019). ‘Mobile prostitution’ the next thing for sex workers. Link.
  6. A. Z. Amran. (2018). Hidu gam sampai berkhayal buat seks dan pergi ke bulan, parahnya anak remaja kita. Soscily.com. Link.
  7. Mazlan Bin Che Soh. (2012). Crime and Urbanization: Revisited Malaysian Case. Science Direct. Link.

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?