Site logo

Menangani Perkahwinan Kanak-Kanak Di Sabah

Perkahwinan kanak-kanak mempunyai kesan negatif. Anda tidak memerlukan saintis atau sarjana untuk memberitahu anda tentang kesan ini. Anggapan untuk berkahwin sebelum berumur 18 tahun tidak dapat diterima dan tidak masuk akal. Namun, bagi sesetengah orang, mereka didorong oleh faktor budaya yang kuat, agama, kemiskinan, ketakutan dan rasa malu.

Perkahwinan dalam kalangan golongan muda pula akan bergantung pada suami yang lebih tua. Hal ini membuatkan mereka mempunyai kebebasan dan hak bersuara yang terhad. Kehamilan di kalangan gadis muda pula akan meningkatkan risiko kematian ibu dan anak-anak kecil.  Manakala kanak kanak yang berkahwin awal akan sering berhenti sekolah dan ini akan mengehadkan peluang mereka untuk maju di masa hadapan.

Sumber: Free Malaysia Today

Menurut Sarah Norton-Staal, Pengarah Keselamatan Kanak-kanak di UNICEF Filipina, perkahwinan kanak-kanak telah menurun secara global, namun statistik Malaysia menunjukkan keputusan yang sebaliknya.

Di Malaysia, sekurang-kurangnya 1,500 kanak kanak telah berkahwin setiap tahun (sehingga tahun 2018), sama ada secara formal ataupun tidak formal.[1].

Dengan peningkatan jumlah kes perkahwinan kanak-kanak, kerajaan dan NGO bersama–sama berusaha untuk membawa perubahan strategik dan sosial untuk menangani masalah ini. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah melancarkan Pelan Strategi Nasional Lima Tahun untuk Menangani Perkahwinan Kanak-Kanak pada Januari 2020[2], manakala pemerintah negeri Sabah menetapkan Pelan Tindakan Negeri untuk menamatkan perkahwinan kanak-kanak  pada tahun 2019[3].

Menghadapi Kes Perkahwinan Kanak-kanak di Sabah

Tahun demi tahun, sebanyak 14,999 perkahwinan kanak-kanak telah direkodkan di seluruh negeri di Malaysia. Negeri Sabah, Sarawak dan Kelantan adalah antara negeri tertinggi yang meneruskan amalan ini, dengan ratusan permohonan dari negeri masing-masing.[4]

Pada tahun 2018, Sabah telah merekodkan 334 kes perkahwinan kanak-kanak Islam, ia merupakan jumlah tertinggi antara kesemua 14 negeri[1]

Bukan Hanya Artikel, Tetapi Isu Benar

Kisah pada tahun 2013  telah menimbulkan kemarahan orang ramai apabila seorang lelaki Malaysia berusia 40 tahun yang didakwa merogol seorang gadis berusia 13 tahun sebelum menikahinya di bawah undang-undang syariah di Sabah[5]. Pelaku mengenali gadis itu selama 6 bulan sebelum merogolnya di dalam kereta dan kemudian berkahwin dengan kanak-kanak itu sebagai isteri keduanya.

Pihak bersalah enggan melihat bahawa perilakunya adalah satu kesalahan kerana dia menganggap dia telah “bertanggungjawab” dan ia merupakan persetujuan bersama.

Terdapat banyak kes lelaki berkahwin dengan gadis bawah umur, saya tidak faham mengapa kes saya berbeza. – Riduan Masmud, berusia 40 tahun yang merogol dan mengahwini seorang gadis berusia 13 tahun[5].

Masmud kemudian disabitkan dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun. Gadis tersebut (pada 2021) kini berusia 20 tahun dan tinggal bersama ibu bapanya di Kota Kinabalu. Walaubagaimanapun, dia masih berkahwin dengan Masmud yang kini sedang menjalani hukumannya[6].

Faktor Kanak-kanak di Sabah Lebih Terdedah

Salah satu pihak berkepentingan di Sabah yang mengambil berat akan isu ini ialah PACOS Trust. Pengasas dan pengarah eksekutifnya, Anne Lasimbang berkongsi hasil penyelidikan yang bertajuk ‘Perkahwinan Di Bawah 18 Tahun Di Kalangan Orang Asli Di 5 Daerah Sabah’[7]

Hasil daripada kajian ini menunjukkan bahawa kemiskinan dan pendapatan isi rumah yang rendah adalah antara pendorong utama perkahwinan kanak-kanak di Sabah. Kurang pendidikan ataupun kekangan menangani masalah ini akan menyebabkan kanak-kanak ini menjadi ibu bapa muda dengan ilmu yang kurang dan dibebani tanggungjawab yang berat untuk menjaga keluarga.

Sumber: Borgen Project

Punca perkahwinan telah dikenal pasti dalam ‘Pelan Strategi Nasional Lima Tahun dalam Menangani Punca Perkahwinan Kanak-Kanak’. Berdasarkan laporan tersebut, berikut merupakan faktor utama:

  1. Pendapatan isi rumah yang rendah dan kemiskinan
  2. Kurang akses kepada pendidikan seksual dan kesihatan reproduktif (SRH) serta kekurangan kemahiran keibubapaan
  3. Akses pendidikan yang terhad dan rekod kehadiran sekolah yang tidak memuaskan
  4. Norma sosial yang membenarkan perkahwinan anak dan stigma
  5. Undang-undang yang memperuntukkan perkahwinan di bawah usia 18 tahun.[8]

Tidak mengejutkan jumlah perkahwinan kanak-kanak di Sabah sangat tinggi kerana sebilangan besar masalah ini adalah berkaitan secara langsung ataupun tidak langsung dengan tahap kemiskinan. 

Pada tahun 2019, negeri Sabah adalah negeri termiskin di seluruh Malaysia, dengan kadar kemiskinan 19.5%. Sebanyak 99,869 isi rumah berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK)[9]

Tunggak Utama Untuk Menamatkan Perkahwinan Kanak-kanak di Sabah

Di bawah undang-undang sivil, usia minimum perkahwinan untuk lelaki dan perempuan adalah 18 tahun. Walau bagaimanapun, seorang gadis yang telah mencapai usia 16 tahun boleh berkahwin setelah kebenaran diberikan atas budi bicara oleh Menteri Besar. Selain itu, sesiapa sahaja yang berumur di bawah 21 tahun diminta untuk mendapatkan salah satu persetujuan bertulis daripada ibu bapa mereka.

Namun, tiada usia minimum pernikahan yang dinyatakan dalam undang-undang adat, walaupun Sabah mengambil langkah yang betul dalam mengubah undang-undang awal untuk menetapkannya pada usia minimum 18 tahun dengan penerapan Rancangan Tindakan Negeri.

Sehingga kini, hanya Selangor yang telah menaikkan usia sah minimum bagi orang Islam untuk berkahwin pada usia 18 tahun. Sabah sewajarnya mengikuti langkah yang sama sebagai tonggak utama dalam melindungi masa depan anak-anak[10].

Usaha Kolektif Untuk Melindungi Kanak-kanak Kita

Menangani perkahwinan kanak-kanak bukanlah sebuah isu yang boleh diselesaikan dalam satu hari sahaja. Ia melibatkan perubahan cara pemikiran, norma sosial dan tradisi yang telah diturunkan selama beberapa generasi, dalam menangani kemiskinan pada peringkat wilayah dan nasional.

Sumber: Rojak Daily

Keperluan untuk mendidik anak-anak mengenai hak dan pendidikan seks adalah sangat penting terutamanya di Sabah. Presiden Sabah Women’s Action Resource Group, Winnie Yee mengatakan bahawa untuk mengatasi masalah ini, kita perlu meningkatkan kesedaran dalam kalangan kanak-kanak dan masyarakat luar bandar dengan harapan pemikiran mereka akan berubah.

Disebabkan budaya dan tradisi Sabah kerap diamalkan, perkahwinan pada usia muda adalah perkara biasa. Beberapa kanak-kanak telah berkahwin pada usia 14 tahun. 

Mereka tidak melihatnya sebagai sesuatu masalah kerana bagi mereka, itu sesuatu yang normal, sesuatu yang telah diamalkan untuk beberapa generasi. Sebilangan besar daripada mereka tidak mempunyai akses ke tadika ataupun sekolah permainan, jadi ketika mereka memasuki kelas, mereka  tidak tahu  memegang pensel mahupun mengira. Anak-anak ini ketinggalan di sekolah. Hal ini mendorong banyak gadis berhenti sekolah, lalu ditekan untuk berkahwin sebaik sahaja mereka mencapai usia baligh.[10] – Winnie Yee, Sabah Women’s Action Resource Group

Sumber: The Vibes

NGO dan kerajaan pemerintah di seluruh negara perlu menangani masalah ini dengan berhati-hati. Kehadiran pihak kepentingan adalah diperlukan. Penggubal dasar polisi, pemimpin terpilih, pegawai kehakiman, kumpulan masyarakat sivil dan wakil masyarakat Sabah adalah antara pihak berkepentingan[11]

Perubahan harus berlaku dalam segenap lapisan masyarakat dan kepentingan terbaik kanak-kanak mesti menjadi faktor utama yang mendorong untuk mendapatkan sokongan serta membawa perubahan dalam semua bidang.

Kehidupan kanak-kanak adalah hak asas, bukan hak istimewa.[1] – Tan Ejin, Advocacy Champion untuk World Association of Girl Guides and Girl Scouts (WAGGGS)

Untuk mendapat gambaran tentang perkahwinan kanak-kanak, anda boleh merujuk artikel Perkahwinan Kanak-Kanak di Malaysia. Anda boleh membaca kertas penyelidikan kami untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai Perkahwinan Kanak-Kanak, implikasinya dan ‘Changemakers’ yang terlibat untuk mengatasi masalah ini. Artikel ini terakhir dikemas kini pada bulan Mac 2021.

Diterjermah oleh: Nursahira Sahiba. Versi BI di sini.

Explore Our Sources: 

  1. UNICEF. (2021). An Online Launch of Advocacy Brief and Panel Discussion: Towards Ending Child Marriage. Link.  
  2. Ministry of Women, Family and Community Developement. (2020).National Strategy Plan in Handling the Causes of Child Marriage. Link 
  3. UNICEF. (2019). Sabah State Government Acts to End Child Marriage. Link. 
  4. M. Mathew. (2020). Child marriages: Sabah among top states. Daily Express. Link.
  5. K. Hodal. (2013). Malaysian Rape Accused Marries 13 year old Alleged Victim. The Guardian. Link. 
  6. The Malay Mail. (2017). Minister: Girl married to her rapist is living with her parents. Link.
  7. PACOS. PACOS TRUST. Link. 
  8. UNICEF. (2020). Child Marriage in Malaysia Brief. Link. 
  9. A. Geraldine. (2020). Sabah ranks as Malaysia’s poorest state, again. New Straits Times. Link. 
  10. Kwan, F. (2020). Pandemic woes may lead to more child marriages, says women’s group. Free Malaysia Today. Link
  11. L. Ralon. (2019). Sabah to Focus on Ending Child Marriage. Daily Express. Link.

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?