Semasa *Fauzi berusaha untuk menguruskan masalah berat badannya, secara tidak sengaja beliau mengenali produk ‘Choco Fit’, minuman coklat pelangsingan badan. Terdesak untuk mengatasi masalah kesihatannya dengan segera, Fauzi tanpa berlengah lagi mendapatkannya[1].
Produk tersebut telah di’endorse’ oleh selebriti Malaysia, oleh itu saya tertarik untuk menggunakannya. Saya berfikir ianya sesuai untuk saya kerana saya tidak bersenam – Fauzi, mangsa produk kesihatan palsu[1]
Walaubagaimanapun, pada tahun 2019 Kementerian Kesihatan Malaysia mengumumkan bahawa ‘Choco Fit’ adalah di antara empat produk yang mengandungi bahan memudaratkan[2]. Produk tersebut mengandungi Sibutramine, sejenis dadah anti-obesiti jika selari dengan perubahan gaya hidup ia boleh mengurangkan pengambilan makanan dan berat badan3].
Beberapa kesan buruk dadah tersebut adalah kesukaran untuk tidur, mulut menjadi kering, loya dan degupan jantung meningkat[2]. Pada pertengahan tahun 2019, Choco Fit telah disenarai hitamkan[1].
Sejak beberapa tahun ini, produk kesihatan yang berkualiti rendah telah digunakan secara berleluasa di Malaysia. Ianya dipasarkan dalam pelbagai jenis seperti jus, minuman segera,pil, dan ubatan jenis generik murah. Pada tahun 2019 sahaja, jualan produk kesihatan palsu mencecah RM3.1 bilion. Angka ini meningkat sebanyak 50% dalam jangka masa lima tahun[4].
Produk kesihatan tiruan dan yang dipalsukan masih menjadi isu global yang perlu ditangani, lebih-lebih lagi dengan pertambahan pertumbuhan e-dagang ekoran daripada pandemik.- Lim En Ni, Ketua Ahli Farmasi dan Pengarah Penglibatan Pekerja di Alpro Pharmacy Group[5]
Apabila ‘Influencer’ Mempengaruhi Dengan Cara Yang Salah
Lazimnya, mereka yang menjual atau membeli produk kesihatan atau suplemen tiruan bukanlah ahli farmasi, pakar dietetik atau pakar pemakanan. Mereka berbicara tentang produk berdasarkan pengalaman hidup dan testimoni tetapi tidak mempunyai kredibiliti untuk memberi nasihat berkaitan kesihatan. Dengan kata lain, ia umpama ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Dengan kemunculan media sosial, pemasar-pemasar digital ini telah meraih banyak jualan.
Usahawan dan ‘influencer’ media sosial Aliff Syukri menerangkan bahawa media sosial telah merubah corak pemasaran produk[6]. Beliau ialah pengasas D’herbs Holdings, menjual produk atau jus yang memenuhi pelbagai kategori pengguna. Sebagai contoh, ‘Arjuna Maxx’, yang dihasilkannya, menyasarkan demografi lelaki. Ia didakwa boleh meningkatkan jumlah sperma dan tenaga.
Produk-produk tidak kelihatan menjanjikan atau boleh dipercayai, namun syarikat ini masih mengaut keuntungan daripada ejen dan pelanggan setianya.
Saya fikir (media sosial) telah membantu dalam mempromosikan produk-produk saya.Tanpa media sosial, saya tidak mungkin dikenali ramai dan mungkin telah lenyap. – Aliff Syukri, Usahawan dan Influencer Media Sosial[6]
Pada tahun 2017, syarikat tersebut telah didenda sebanyak RM11,000 kerana telah menayangkan iklan yang mengelirukan semasa mempromosikan dua produk – ‘Jus Perawan Gold ‘ dan ‘Air Masyur’[4].
Sekiranya bukan kita yang menghargai produk kita sendiri dan mengesahkan kebaikannya, siapa lagi ? Dalam 10 tuntutan, satu daripadanya adalah keterlaluan. Agak sukar bagi kami untuk terlalu jujur. Kami menjual produk. – Aliff Syukri, Usahawan dan Influencer Media Sosial[4]
Aliran Peningkatan Produk Kesihatan
Produk kesihatan yang kelihatan terlalu bagus namun sukar untuk dipercayai sebenarnya berbahaya kepada kesihatan kita. Walaupun memudaratkan, pasaran bagi produk kesihatan tiruan terus berkembang.
Pada bulan Julai 2022, Kementerian Kesihatan Malaysia, di bawah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (PED), melaksanakan Operasi Pangea XV[7], satu kempen antarabangsa bagi menangani produk kesihatan yang diimport secara haram[8].
Di antara Jun 23 dan Julai 1, sejumlah produk farmaseutikal tidak berdaftar bernilai
RM5.2 juta telah dirampas[7].
Sebanyak 2,483 laman sesawang, termasuk jaringan gelap ,telah dikenalpasti menjual produk farmaseutikal secara haram bernilai RM2,652,500.- Tan Sri Dr Noor Hisham, bekas Ketua Pengarah Kesihatan[7]
Operasi tersebut juga mendapati terdapat peningkatan dalam penjualan ubatan terkawal termasuklah; bahan-bahan psikotropik, ubat tahan sakit dan antibiotik.
Hampir 70% daripada produk yang dirampas adalah ubatan terkawal yang tersenarai di bawah Akta Racun 1952. Daripada jumlah ini, 90% adalah ubatan terkawal di bawah kategori psikotropik. Selebihnya adalah antibiotik,ubat tahan sakit, ubat selsema dan lain-lain ubat batuk yang tidak didaftarkan.– Tan Sri Dr Noor Hisham, bekas Ketua Pengarah Kesihatan[7]
Kebanyakan daripada ubatan terkawal didapati diseludup masuk antaranya daripada Bangladesh dan India. Operasi ini juga, menyerbu 75 premis seperti rumah kediaman, salon kecantikan dan gimnasium,yang menjual produk farmaseutikal tidak berdaftar[7].
Semasa serbuan, 244,299 barangan bernilai RM1,707,040 telah dirampas. -Tan Sri Dr Noor Hisham, bekas Ketua Pengarah Kesihatan[7]
Janji Palsu Untuk Penyelesaian Cepat
Ia kelihatan begitu mudah untuk melihat apa yang dijanjikan berbanding kandungan sesuatu produk itu.
Sama seperti *Fauzi, Azie yang berusia 31 tahun pula menjejaskan kesihatannya,kerana beliau bersemangat untuk mengurangkan berat badannya. Apabila beliau terjumpa produk pelangsingan badan yang menjanjikan hasil dalam masa tiga hari, Azie cepat terpengaruh[1].
Bagaimanapun, ia tidak mengambil masa yang lama untuk menunjukkan kesan sampingannya. Apabila menghubungi penjualnya, beliau hanya disarankan supaya mengurangkan pengambilan minuman itu[1].
Saya masih lagi mengalami kesan sampingan, seperti sakit kepala dan loya. Jadi, saya berhenti mengambilnya. – Azie, pembuat pastri sepenuh masa[1]
Bagi sesetengah orang, produk kesihatan tiruan adalah pilihan yang berpatutan dan penyelesaian segera adalah tarikan utama. Bagaimanapun, sebahagian yang terpengaruh dengan testimoni dan tidak berminat membaca terma dan syarat disebaliknya[9].
Satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2016 mendapati bahawa 25% daripada responden gagal untuk memahami maklumat yang ditulis pada label ubat, sementara itu peratus yang lebih tinggi dicatat iaitu 29% tidak membaca cara penyimpanan yang disarankan[10].
Dalam senario terbaik, ia [ubat tiruan] berkemungkinan tidak dapat merawat penyakit yang dialami. Bagaimanapun, dalam senario terburuk pula ia akan menyebabkan mudarat secara aktif kerana mereka mungkin telah tercemar dengan sesuatu yang beracun.- Pernette Bourdillion Esteve, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)[12]
Selain itu, terdapat juga dos beracun yang bahaya dalam bahan-bahan itu dan malahan keracunan secara meluas. Apabila mereka yang mempunyai penyakit kronik mengambil ubat tiruan, rawatan mereka terjejas dan sebaliknya akan memudaratkan dan menyebabkan penyakit mereka semakin teruk, resistant terhadap ubat dan kematian[11].
Begitulah kes Haji Wanang, seorang pesakit kegagalan buah pinggang yang mencuba susu suplemen yang dijual secara dalam talian dengan harapan untuk sembuh, tetapi berakhir dengan kegagalan hati dua bulan kemudian[1].
Kami fikir ia adalah terbaik. Sebagai anak, saya menyesal. Saya marah dengan orang yang menjual produk tersebut kepada kami. Saya juga marah kepada syarikat yang menghasilkan produk itu.- Mohammad Rosli, anak kepada Haji Wanang[1]
Mengamalkan Kebijaksanaan dalam Penjagaan Kesihatan
Apabila bercakap tentang tubuh dan kesihatan kita, penyelesaian segera dan suplemen palsu bukanlah apa yang diperlukan oleh badan kita. Apabila kita mengamalkan kebijaksanaan dan menjaga tubuh badan dengan baik, kita akan mendapat manfaatnya dalam jangka masa panjang.
Sekiranya tiada permintaan, tiadalah keperluannya. Jika terdapat banyak produk (dan) orang membayar ratusan ribu ringgit untuk menghasilkan suplemen, (tetapi) jika tiada sesiapa yang membelinya… mereka akan berhenti. – Ahmad Tarmizi Mohammad, pakar bedah am[1]
Bagi memastikan ubatan yang dibeli bukan palsu, pihak farmasi harus memerlukan preskripsi daripada doktor. Selain daripada itu, pastikan ahli farmasi adalah yang berdaftar. Satu lagi perkara yang perlu diambil kira adalah kesan sampingan yang luar biasa[13].
Saya berharap orang ramai akan lebih peka dan membuat lebih banyak semakan. Pastikan produk itu disahkan oleh Kementerian Kesihatan. Fauzi, mangsa ubat palsu di Malaysia[1]
Bagi mengamalkan penjagaan kesihatan yang selamat, kita sepatutnya peka bahawa rantaian bekalan farmaseutikal adalah sangat rumit, dan setiap satu daripada pelbagai rangkaiannya dapat membuka peluang untuk dipalsukan[14].
Sekiranya anda ragu dengan ubat-ubatan anda, sila rujuk kepada laman Know Your Medicine,ebuah portal kerajaan yang meningkatkan kesedaran penggunaan ubatan berkualiti,memastikan ia digunakan dengan bijak, betul,selamat dan kos-efektif. Anda juga boleh menyemak keaslian sesuatu ubatan di Bahagian Regulatori Farmasi Negara NPRA).
Terjemahan oleh: Norazah Nizar
Explore Our Sources:
- John, A. (2021). In Malaysia, online marketing tactics drive a health products boom — with side effects. Link.
- Aziz, I. (2019). 4 produk dicampur racun berjadual. Link.
- Araujo, J, & Martel, F. (2012). Sibutramine Effects on Central Mechanisms Regulating Energy Homeostasis. Link.
- John, A & Sharifah Fadhilah Alshahab.(2022). In Malaysia, online marketing tactics drive a health products boom — with side effects. Link.
- Murugiah, S. (2022). Rise of digital drug dealers a global ticking time bomb. Link.
- CNA Insider. (2021). Malaysia’s Health Supplements Boom: What Are The Side Effects?. Link.
- Teoh, PY. (2022). RM5.2m worth of unregistered pharmaceutical products seized between June 23 and July 1. Link.
- Swissmedic. (2022). Operation PANGEA XV: International campaign against falsified and illegally imported medicinal products. Link.
- Kubic, T. (2009). Did You Ever Wonder Why People Buy Counterfeit Drugs?. Link.
- Codeblue. (2022). Malaysia: Fake Viagra Is No Joke. Link.
- Committee on Understanding the Global Public Health Implications of Substandard, Falsified, and Counterfeit Medical Products; Board on Global Health; Institute of Medicine. (2013). Countering the Problem of Falsified and Substandard Drugs. Link.
- Nortajuddin, A. (2020). Dangers Of Fake Medical Supplies In A Pandemic. Link.
- U.S. Food & Drug Administration. (2022). Counterfeit Medicine. Link.
- Lissalde-Bonnet, G. (2022). Why Only a Collective Approach Can Beat Fake Medicine. Link.