Site logo

Pendidikan, Impian Yang Jauh Bagi Kanak-Kanak Yang Tidak Mempunyai Kewarganegaraan

Selagi kita adalah manusia, kita berhak memiliki hak keperluan asas – kebiasaan kita yang digelar “hak asasi manusia”. Hak-hak ini merupakan hak sejagat yang dimiliki oleh semua orang, tanpa mengira jantina, kewarganegaraan, agama, bahasa, budaya atau suku kaum.

Deklarasi Universal Hak-Hak Asasi Manusia (DUHAM) adalah dokumen undang-undang pertama yang diterima oleh pihak Majlis Umum Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1948 dimana perkara ini telah diakui dan dilindungi secara global. Perkara ini telah menggariskan 30 buah artikel yang membentuk sebuah asas yang dikenali sebagai “hak asasi manusia”[1]. Kewujudan hak asasi manusia telah menjadikan sesuatu kehidupan menjadi lebih bernilai bagi semua orang.

Source: Malaysiakini
Deklarasi Universal Hak-Hak Asasi Manusia: Artikel Perkara 26

Setiap orang memiliki hak untuk mendapatkan pendidikan. Pendidikan hendaklah percuma, sekurang-kurangnya pada peringkat sekolah rendah dan keperluan asas. Pendidikan rendah mestilah dijadikan satu kewajipan[2].

Berdasarkan artikel perkara 26, perkara tersebut menyatakan bahawa borang pengenalan diri (pasport / kad pengenalan diri) amat diperlukan bagi mendapatkan pendidikan. Inilah titik permulaan segala masalah bagi komuniti yang tidak mempunyai kewarganegaraan atau dokumen yang sah, natijahnya, hak asasi manusia tidak diberikan kepada mereka.

Source: Asia News Daily

Walaupun sistem pendidikan Malaysia sering berubah dengan cepat untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia, tidak kira di kawasan luar bandar ataupun bandar, masyarakat yang tidak mempunyai dokumen dipulaukan  walaupun klausa hak asasi manusia ada menyatakan bahawa:

…Tidak akan ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara dengan alasan seperti agama, bangsa, keturunan atau tempat kelahiran..[3]

Berapa Ramaikah Golongan Kanak-Kanak Yang Tidak Mempunyai Kewarganegaraan Di Malaysia?

Populasi kanak-kanak yang tidak mempunyai kewarganegaraan tidak dapat dikenal pasti di Malaysia[4].

Walau bagaimanapun, anggaran ini dapat dilakukan daripada laporan bahawa terdapat kira-kira seramai 300,000 orang dalam lingkungan usia bawah 18 tahun di Malaysia, tidak mempunyai mana-mana kewarganegaraan[5]. Pada tahun 2012 – 2017, terdapat kira-kira 15, 394 kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia tetapi tidak didaftarkan sebagai warganegara Malaysia[6].

Terdapat pelbagai kejadian yang menunjukkan bahawa kanak-kanak tanpa kewarganegaraan yang tidak berdaftar telah didiskriminasikan daripada menghadiri sekolah kerajaan. Walaupun pada tahun 2018, kerajaan Malaysia telah meluluskan pendaftaran kanak-kanak tanpa kewarganegaraan ke sekolah, namun, mereka dikehendaki memiliki dokumen-dokuman yang dikehendaki seperti sijil kelahiran, atau surat untuk mengambil anak angkat atau perintah mahkamah dan membayar sedikit yuran ketika pendaftaran, dengan menggunakan Jadual Pertama P.U.A. (275) di Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah[7].

Source: UNHCR

Sudah terang lagi bersuluh, hal ini dilihat sebagai satu permintaan yang tidak masuk akal bagi kanak-kanak yang tiada kewarganegaraan bergenerasi seperti demografi Bajau Laut atau kanak-kanak yang ditinggalkan tanpa memiliki dokumen-dokumen ini. Berdasarkan kebanyakan kes, perkahwinan ibu bapa bagi kanak-kanak tersebut yang tidak diperakui oleh kerajaan Malaysia (sekiranya tidak ada surat nikah), surat beranak tidak dapat dihasilkan.

Kegagalan untuk mengemukakan salah satu dokumen yang diperlukan akan menyulitkan proses mendapatkan pengenalan diri / kewarganegaraan Malaysia. Mutakhir ini, keputusan ini adalah solusi terakhir untuk memperoleh identiti nasional. Bagi kanak-kanak tanpa kewarganegaraan, ini bermaksud bahawa pendidikan tetap menjadi impian yang jauh.

Perjuagan Besar Untuk Mendapatkan Pendidikan

Tanpa pendidikan, kebanyakan generasi tanpa kewarganegaraan / dokumen berkenaan akan mengakibatkan mereka ketinggalan dan buta huruf. Kami bercakap dengan Privilad,  iaitu, sebuah pihak organisasi tempatan yang bekerja dengan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Sabah dan mereka menyedari bahawa pihak ibu bapa berusaha untuk membaca, menulis dan bercakap sama seperti yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Faktor buta huruf dalam kalangan masyarakat tanpa kerakyatan dapat dilihat dalam kalangan golongan muda dan tua.

Source: Privilad

Pada akhirnya, kanak-kanak ini dibiarkan bergantung kepada Penubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mengajar mereka. Walaupun usaha-usaha ini terpuji, mereka tetap terbatas. Kemudahan untuk memperoleh sumber (buku, bahan pembelajaran), pembiayaan untuk program dan jangka masa panjang program dipersoalkan kerana kebanyakan inisiatif ini didorong oleh pihak penderma.

Di Sabah, komuniti tanpa kewarganegaraan telah membina infrastruktur mereka sendiri untuk kemudahan pembelajaran, namun infrastruktur ini sering dimusnahkan[8]. Bagi masyarakat Sabah tanpa kewarganegaraan, mereka menyedari bahawa nilai pendidikan begitu penting untuk anak-anak mereka dan keinginan mereka agar anak-anak mereka dididik. Terdapat beberapa pusat pembelajaran tersebut telah dibina semula berulang kali.

Source: The Star

Sebilangan kecil yang berjaya menamatkan pendidikan mereka, masih tidak dikenali oleh pihak kerajaan. Hal ini telah menjadi batu penghalang bagi masa depan mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang sah atau diiktiraf. Masa depan bagi kanak-kanak tanpa kewarganegaraan adalah tidak jelas selagi mereka kekal tanpa identiti yang sah.

Perjuangan untuk hak asasi manusia adalah nyata dan berpengaruh. Golongan kanak-kanak haruslah diberikan hak asasi manusia kerana dari mereka, maka terlahirlah generasi yang akan datang. Sekiranya tidak ada perubahan yang berlaku dalam generasi ini, segalanya akan kekal sebagai status quo bagi komuniti tanpa kewarganegaraan. Pendidikan adalah titik permulaan yang baik untuk perubahan ini.

Terdapat sebuah petikan yang menyatakan:

Bagaimana jika penawar untuk penyakit barah terperangkap di dalam minda seseorang yang tidak mampu untuk mendapatkan pendidikan?

Untuk melangkah lebih jauh, perihal ini mungkin terperangkap di dalam minda seorang kanak yang ingin bersekolah, tetapi tidak mempunyai kemampuan untuk melakukannya.

Syukurlah, terdapat pihak NGO dan sukarelawan yang prihatin dan bekerjasama dengan komuniti tanpa kewarganegaraan. Kumpulan-kumpulan ini secara khususnya berusaha untuk memastikan bahawa kanak-kanak ini dapat memperoleh kemudahan pendidikan asas dengan menyediakan guru-guru sukarela, bahan bacaan, peralatan tulis dan lain-lain lagi.

‘Changemaker’ Bagi Pendidikan Tanpa Mengira Kewarganegaraan:

1. Sekolah Alternatif Borneo Komrad adalah sebuah organisasi inisiatif yang terdiri daripada golongan pelajar dan orang muda untuk mewujudkan advokasi sosial seperti pendidikan, budaya dan hak asasi manusia. Selain menulis dan mempelajari matematik, kanak-kanak turut mempelajari  kemahiran asas seperti perdagangan, pertanian, menjahit dan memasak antara satu sama lain. Berpusat di Semporna Sabah, sekolah ini juga mengajar kanak-kanak bagaimana untuk menyelesaikan masalah dunia yang akhirnya akan mereka hadapi sebagai orang tanpa kewarganegaraan  kelak- eksploitasi di tempat kerja, perkahwinan anak, gangguan seksual dan lain-lain.

2. Teach for Malaysia adalah sebuah organisasi yang bebas dan tidak berasaskan keuntungan dalam misi untuk memberi peluang kepada golongan kanak-kanak di Malaysia bagi memperoleh pendidikan yang cemerlang. Ditubuhkan pada tahun 2010, Teach For Malaysia merupakan ahli yang membanggakan dalam Jaringan Pendidikan Global, Teach For All, kumpulan organisasi pendidikan yang ditubuhkan hampir 50 buah negara di seluruh dunia. Organisasi ini turut bekerja dengan komuniti tanpa kewarganegaraan di Sabah kerana kepercayaan mereka adalah pendidikan untuk semua orang.

3. Privilad adalah projek yang diasaskan oleh enam pelajar tahun akhir Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan visi untuk mengubah kehidupan kanak-kanak yang kurang bernasib baik, tanpa kewarganegaraan dengan memberikan mereka pendidikan asas yang berkualiti. Kumpulan PriviLAD telah  menjadi guru sambilan kepada kanak-kanak di sekolah alternatif ini semasa menamatkan tahun terakhir universiti. Mereka telah menjadikan pendidikan lebih menyeronokkan untuk kanak-kanak dengan menggabungkan pelbagai jenis permainan dan lagu. Mereka turut mengajar kanak-kanak tentang kemahiran insaniah, cara membaca dan menulis, tetapi apa yang lebih penting lagi, mereka dapat membina hubungan yang kuat dengan kanak-kanak tersebut agar hal ini dapat memberikan mereka lebih keyakinan yang mereka perlukan untuk berkembang sebagai individu.

4. Guru Sukarelawan, Hartina Bulating Arssid. Sebelum berlakunya perintah kawalan pergerakan bersyarat, Hartina akan mengajar Bahasa Inggeris kepada 60 pelajar pada setiap hujung minggu. Berkomitmen dengan menaiki sebuah kapal selama 30 minit secepat yang  mungkin, kelas beliau diajar di atas jeti Pulau Mumiang Sandakan.

Explore Our Sources:

  1. United Nations Human Rights, Office of the High Commissioner. (2021). What are human rights? Link. 
  2. United Nations. Universal Declaration of Human Rights. Link.
  3. Refworld. (1957). Malaysia: Federal Constitution. Link.
  4. K. Kumar. (2017). Putrajaya say doesn’t track stateless children numbers. Malay Mail. Link. 
  5. Sinar Harian. (2019). Belas kasihan kepada anak tanpa negara. Sinar Harian. Link. 
  6. N. I. Abdullah. (2016). No Malaysian citizenship for more than 290,000 children born here. New Straits Times. Link.
  7. N. A. Ibrahim. (2018). Stateless children can enrol in school. New Straits Times. Link. 
  8.  J. Venkov (2019). I am a person from here – the Sabah stateless struggling without citizenship in Malaysia. The Torn Identity. Link. 

Diterjemahkan daripada versi BI oleh Fariessa Ameer.

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?