Site logo

Pendedahan Lebih Dekat Terhadap Sekolah Bandar Dan Sekolah Luar Bandar

boat to school Malaysia

Artikel diterjemahkan oleh Fariessa Ameer (LinkedIn | Instagram)
Versi Bahasa Inggeris


Pada saban tahun, para ibu bapa pasti mengalami dilema untuk menghadapi senarai keperluan dan kriteria-kriteria yang tertentu sebelum mendaftarkan anak-anak mereka ke sekolah. Para ibu bapa yang menetap di kawasan bandar berpeluang untuk memilih sekolah dari senarai sekolah – dari sekolah antarabangsa hingga pusat persekolahan di rumah (homeschool). Manakala, bagi para ibu bapa yang menetap di kawasan luar bandar, mereka mempunyai peluang yang tipis atau tiada pilihan sama sekali untuk memilih tempat sekolah mereka malah harus menerima apa saja yang ada.

Para ibu bapa amat menitikberatkan pilihan mereka untuk mendaftarkan anak-anak mereka ke sekolah kerajaan. Bagi mereka, kriteria-kriteria tersebut haruslah diambil kira dari segi aspek keseluruhan prestasi akademik sekolah yang baik, tiada isu disiplin pelajar sekolah serta mempunyai kemudahan sekolah yang selamat digunakan untuk para pelajar. Misalnya, sekolah yang mempunyai kelengkapan bilik makmal, perpustakaan dan dewan sekolah serta dibimbing oleh guru-guru yang berkelayakan.

Terdapat beberapa butiran gambar yang menunjukkan gambaran situasi sekolah kerajaan seperti yang tertera di bawah :-

Sumber: Straits International School
Sumber: The Star
Sumber: Yayasan Hasanah

Ini Permasalahannya.

Imbas kembali pernyataan berkenaan dengan para ibu bapa yang menetap di kawasan luar bandar mempunyai pilihan yang tipis untuk memilih sekolah bagi anak-anak mereka, terutamanya bagi kawasan negeri yang tidak berapa maju. Bagi mereka yang tinggal berhampiran dengan kawasan sekolah adalah umpama memiliki tiket keemasan ke kilang Willy Wonka (Filem :“Charlie and the Chocolate Factory”). Lantaran itu, terdapat sebahagian daripada mereka masih tidak mendapat hak pendidikan asas yang sepenuhnya. Bagi mereka untuk ke sekolah, mereka terpaksa menempuh perjalanan yang jauh[1], melintasi kawasan berlumpur, menyeberangi jambatan yang sempit dan bahaya serta kadangkala terpaksa menaiki sampan untuk ke sekolah. Beginilah kisah kanak-kanak yang bersekolah di kawasan luar bandar.

Sumber: The Star
going to school in the trunk
Sumber: Free Malaysia Today
walking to school
Sumber: Astro Awani

Di Malaysia, terdapat beratusan buah sekolah yang dikategorikan tidak berfungsi, kekurangan kemudahan asas dan berisiko serta mengancam nyawa. Sebahagian sekolah-sekolah pula mempunyai kekurangan kemudahan asas seperti air yang bersih, bekalan elektrik serta sesetengahnya tiada bilik darjah langsung. Sekolah-sekolah ini kebanyakannya terletak terutamanya di kawasan pendalaman seperti negeri-negeri di timur Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak menghalang kanak-kanak tersebut daripada menghadiri sekolah. Berdasarkan Statistik Pendidikan Malaysia, kajian menunjukkan kadar pendaftaran pelajar meningkat[2] di seluruh Malaysia.

KENYATAAN PAHIT YANG SEBENAR KEADAAN SEKOLAH PADA PANDANGAN SESETENGAH PELAJAR

Di Sabah sahaja, terdapat 589 (45%) daripada 1296 buah sekolah dikategorikan sebagai sekolah yang usang dan tak terurus. Belanjawan 2020 telah memperuntukkan sebanyak RM783 juta khas untuk membaiki kerosakan sekolah[3] di Sabah dan Sarawak. Namun demikian, wabak Covid-19 telah menghalang perancangan kerja pembaikan. Menurut Dr. Yusof Yacob, Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah, dalam satu sidang temu ramah akhbar, beliau mengatakan walaupun peruntukan telah dipersetujui pada tahun 2019, hanya dua buah sekolah sahaja yang berada dalam pembinaan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sementara 22 projek lain yang masih berada dalam proses tender terpaksa ditangguhkan disebabkan pandemik Covid-19.[4]

Menteri Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin, mengatakan terdapat 1020 buah sekolah telah mengalami masalah yang tidak terurus di Sarawak. Misalnya, sekolah tersebut tidak mempunyai bekalan elektrik, kekurangan rawatan bekalan air serta jalan yang tidak elok untuk digunakan melalui jalan sungai atau laut.[5]

ADAKAH INI SEBABNYA ORANG MENGANGGAP PERGI KE SEKOLAH AKAN MEMBAWA KEMUDARATAN?

Perjuangan untuk menimba ilmu pengetahuan tidak boleh dibiarkan. Para keluarga telah sanggup meletakkan anak-anak mereka dalam bahaya demi memperolehi pendidikan – memberi peluang untuk berubah demi masa depan yang lebih terjamin. Tidak dilupakan juga terdapat sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah yang tidak terurus, masih berusaha untuk menyediakan kanak-kanak dengan silibus pembelajaran yang sama dengan sekolah-sekolah lain di Malaysia. Tidak hairanlah pelajar luar bandar terpaksa berusaha dua kali lebih kuat untuk mengejar prestasi akademik berbanding dengan pelajar bandar. Bukankah sudah tiba masanya untuk mengurangkan jurang perbezaan pendidikan dalam kalangan pelajar?

Sila hubungi kami untuk memperbaiki senarai ini!

Sumber:

  1. Recqueal Raimi, New Straits Times. (2018). Form 5 student endures long walk to school determine to do well in SPM. Link.
  2. Ministry of Education Malaysia. (2018). Quick Facts 2018. Link.
  3. Ministry of Finance Malaysia. (2019). 2020 Budget Speech. Link.
  4. Neil Chan, Daily Express. (2020). 589 dilapidated schools in Sabah unsafe. Link.
  5. Sharon Ling, The Star. (2018). Manyin: 415 schools in S’wak considered critically dilapidated. Link.

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?