Apa yang anda lakukan jika anda ternampak orang gelandangan atau peminta sedekah di tepi jalan? Adakah anda akan menutup mata dan tidak mempedulikan mereka? Sengaja berjalan ke arah lain? Atau anda akan memberi sedekah tanpa berfikir dua tiga kali?
Sudah menjadi kebiasaan bagi orang awam untuk mempunyai keraguan dalam memberi sedekah kepada orang gelandangan ataupun pengemis di tepi jalan. Keraguan ini telah disebabkan oleh pelbagai cerita negatif mengenai golongan ini.
Jadi, patutkah anda memberi duit kepada mereka yang tiada tempat tinggal? Adakah ini cara yang terbaik untuk membantu mereka?
Kehilangan tempat tinggal merupakan isu yang serius di Malaysia. Beribu-ribu lelaki, wanita, dan kanak-kanak tinggal di jalanan, lebih-lebih lagi di kawasan bandar. Ada pelbagai sebab mengapa mereka kehilangan tempat tinggal — pengangguran atau hilang kerja, kemiskinan, umur yang sudah berusia ataupun diabaikan oleh ahli keluarga, penyalahgunaan dadah, ketidakupayaan fizikal, mental, dan penyakit-penyakit kronik serta kekurangan tempat tinggal yang berpatutan[1].
Golongan ini bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, tetapi mereka juga kehilangan pendapatan yang menyebabkan mereka lebih sukar untuk bangun semula dan keluar daripada situasi tersebut. Terperangkap dalam kitar kehilangan rumah dan pekerjaan, ramai yang tiada pilihan lain selain daripada meminta sedekah daripada orang sekeliling di jalanan.
Rahsia Gelap Golongan Gelandangan
Malangnya ramai yang mengambil kesempatan terhadap golongan gelandangan demi keuntungan peribadi. Malaysia mempunyai sejarah sindiket meminta sedekah di pelbagai tempat yang mempunyai ramai pengunjung di sekitar bandar-bandar utama dalam Malaysia di mana mereka menyuruh wanita, kanak-kanak atau orang kurang upaya yang miskin untuk meminta sedekah.
Pada tahun 2016, mereka telah mendapati bahawa dalang di sebalik pemerdagangan manusia secara antarabangsa yang juga mengeksploitasi pengemis cacat fizikal telah memperoleh sebanyak RM 56,000 sebulan. Selepas mereka “menyelamatkan” golongan kurang upaya, sindiket tersebut akan memaksa mereka untuk mengemis di jalanan untuk wang. Mereka berumur 21 sehingga 53 tahun, dan bekerja mengikut syif tertentu daripada 6.30am hingga 11.30am dan 6.30pm hingga 11.30pm[2].
Terdapat sebuah kes yang sama pada tahun 2018 di mana seorang lelaki dan empat orang wanita telah ditangkap kerana memanipulasi kanak-kanak asing untuk meminta sedekah menggunakan tujuan agama. Kanak-kanak ini menjual paket tisu beserta ayat Al-Quran di atasnya dengan harga yang tinggi. Kanak-kanak ini akan merayau-rayau dan melakukan penjualan dari jam 7.00 petang hingga 11.00 malam setiap malam dan mereka telah diajar untuk mensasarkan kawasan tumpuan pelancong seperti KLCC dan Bukit Bintang, menjana pendapatan mereka sehingga RM 80-90 sehari[3].
Walaupun kita tidak mahu ragu-ragu dan memberikan dengan ikhlas kepada mereka yang memerlukan wang, kita juga tidak dapat mengabaikan kisah-kisah tersebut di media. Menurut sebuah artikel surat khabar, kononnya, pengemis-pengemis ini boleh mendapat hingga ratusan ringgit dalam sehari dan semasa bulan Ramadhan, mereka boleh memperoleh sehingga RM1,000 sehari dalam bentuk wang tunai melalui derma[5].
Sindiket seperti ini bukan sahaja wujud di bandar-bandar besar malahan terdapat juga di negeri-negeri kecil seperti Kelantan. Sebuah sindiket telah dilaporkan menggunakan kanak-kanak berusia empat tahun dan wanita untuk mengemis. Mereka sering bertukar kawasan mengemis untuk elak didakwa[4].
…Saya juga meminta sedikit wang daripada orang awam disini. Orang Kelantan dikenali dengan sifat murah hati, dan mereka selalunya akan memberi sedikit duit baki kepada kami. – Seorang pengemis dari Kelantan[4].
Akan tetapi, mereka tidak perlu menjadi sebahagian daripada sesebuah organisasi untuk menggunakan gelandangan untuk tujuan peribadi. Sebuah tinjauan pada tahun 2014 yang dilakukan oleh para pengkaji dari Florida International University & University Malaysia telah mengenalpasti yang majoriti pengemis bergelut dengan masalah kewangan, 25% mengaku bahawa mereka menghabiskan sebahagian daripada wang tersebut untuk alkohol dan dadah[5]. Walaubagaimanapun, ianya penting untuk diketahui bahawa tinjauan tersebut hanya menemuduga 24 orang dan mungkin tidak memberi gambaran lengkap.
Namun begitu, ini sesuatu perkara yang malang kerana kisah kemiskinan dan gelandangan telah tercemar. Sudah tidak berguna lagi terutamanya kepada mereka yang benar-benar memerlukan — kerana mereka juga akhirnya akan diragukan.
Prof Syed Omar Syed Agil, pengarah sebuah syarikat penjenamaan dan pemasaran juga menghadapi keraguan yang sama apabila seorang gelandangan wanita mengetuk tingkap keretanya pada jam 1.00 pagi. Setelah memberikan wang, dia mengikut gelandangan wanita tersebut untuk melihat bagaimana dia menggunakan wang tersebut. Dia mendapat tahu yang gelandangan wanita tersebut menggunakan wang yang diperolehnya untuk membeli makanan untuk keluarganya[6].
Ia sangat menyayat hati. Dia sebenarnya telah berlaku jujur…Saya terkejut dan berfikir, apa yang berlaku sekiranya saya tidak memberikan wang tersebut atau melalui jalan lain? Keluarga tersebut akan tidur dalam keadaan lapar malam itu. – Prof Syed Omar Syed Agil.
Jika kita meluangkan masa dan tenaga untuk mengenali mereka ini, kita tidak akan tahu sekiranya mereka benar-benar memerlukan ataupun tidak. Kerajaan telah pun menyarankan untuk kita berhenti daripada memberi sedekah[5] dan juga telah melarang ‘soup kitchens’ daripada menyediakan makanan untuk gelandangan[7].
Jangan Berhenti Memberi! Ada Pelbagai Cara Lain Untuk Membantu
Walaupun terdapat keraguan, rakyat Malaysia masih bermurah hati dengan pemberian mereka. Kita dapat melihat peningkatan tabung derma, inisiatif individu dan NGO yang bekerja keras untuk mengutip derma, mengagihkan makanan dan pelbagai usaha lain demi membantu orang gelandangan.
Penyelesaian jangka masa panjang diperlukan untuk membantu orang gelandangan mendapatkan tempat tinggal tetap yang lebih elok, memperkasakan mereka dengan memberi pekerjaan yang stabil dan memulihkan maruah mereka untuk hidup dengan lebih bermakna.
Tiada jaminan yang dapat diberikan setelah duit anda diberikan kepada golongan gelandangan. Sesetengah situasi memerlukan wang tunai dan kearifan perlu digunakan. Namun begitu, jika anda tidak selesa untuk memberi wang tunai, terdapat pelbagai cara lain yang boleh membantu mereka:
- Beri mereka makanan yang telah siap dimasak. Memberi mereka makan adalah cara yang terbaik untuk menunjukkan bahawa kita peduli. Mereka memerlukan nutrisi untuk meneruskan hidup.Daripada membeli satu makanan untuk mereka, anda boleh membuat tempahan dari restoran terdekat untuk mereka menyediakan satu paket makanan setiap hari untuk seminggu.
- Sediakan sebuah pakej prihatin untuk mereka; Barang-barang dalam pakej prihatin tersebut akan membantu mereka untuk hidup di jalanan dengan lebih selesa. Antara contoh barang-barang yang anda boleh letak di dalam pakej prihatin tersebut adalah; makanan kering yang sedia untuk dimakan, air botol, peralatan mandian, peralatan haid (jika diberikan kepada wanita), pakaian, tuala, stokin, bantal dan mungkin sebuah nota peribadi.
- Maklumkan kepada NGO tempatan; Pada akhirnya, anda mahu mereka untuk tidak lagi berada di jalanan tetapi di rumah-rumah perlindungan. NGO seperti ‘soup kitchens’ mungkin sibuk sehingga tidak perasan akan pergerakan gelandangan dan ianya sangat membantu sekiranya anda menyediakan lokasi dan beberapa gambar. Jika gelandangan tidak dapat menjejaki NGO maka NGO boleh menjejaki gelandangan.
- Derma dan jadi sukarelawan dengan organisasi yang bertauliah dan mempunyai pengalaman dalam membantu gelandangan; Terdapat ramai orang yang melakukan perubahan dalam membantu gelandangan dan orang yang memerlukan. Berhubung dengan mereka dan sokong mereka dengan bantuan kewangan anda. Sertai program pemberian makan kepada orang gelandangan dan hulurkan kepakaran serta masa anda. Kami telah senaraikan beberapa NGO di artikel ‘Homeless in Malaysia’ dan anda juga boleh lihat di Wiki Impact’s Changemakers Map.
Explore Our Sources:
- Wiki Impact. (2021). Homelessness in Malaysia. Link.
- K. Tee. (2016). High Living Beggar Syndicate Mastermind Nabbed. Malay Mail. Link.
- The Sun Daily. (2018). Police Rescue 11 Kids from KL based Begging Syndicate. Link.
- S. M. Abdullah. (2018). Begging Syndicates in Kelantan Using Children of Foreigners as New Tactic. NewStraitsTimes. Link.
- D. Azmi. (2019). Contradictheory: To give or not to give when beggars approach? TheStar. Link.
- M. Kau. (2019). Those who call the streets of Kuala Lumpur home. FreeMalaysiaToday. Link.
- M. M. Chu. (2014). The Government Does Not Want You To Give Money To Beggars In KL. Says. Link.
Diterjemahkan daripada versi BI oleh Aliesya Sofea.