Komuniti peribumi Malaysia, atau lebih dikenali sebagai Orang Asli, adalah salah satu populasi termiskin di Malaysia. 33% penduduk Orang Asli dianggap miskin tegar. Dalam sebuah sidang media pada tahun 2019, Dr Colin Nicholas dari Centre for Orang Asli Concerns menyatakan bahawa 99.2% penduduk Orang Asli Semenanjung tergolong dalam kumpulan B40, iaitu berpendapatan kurang dari RM4,000 sebulan[1].
Walaupun komuniti ini mungkin tidak menganggap diri mereka miskin dan berkembang maju melalui cara hidup mereka sendiri, isu kekurangan keperluan asas yang dihadapi oleh mereka tidak sepatutnya dipandang ringan. Berikut ialah senarai organisasi terkenal yang bekerjasama dengan komuniti Orang Asli dalam usaha membanteras jurang sosial.
PENDIDIKAN
#1: Projek Edukasi Asli
Projek advokasi yang dipimpin oleh golongan pemuda ini memperjuangkan ekuiti pendidikan dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Malaysia. Projek Edukasi Asli bertujuan untuk merapatkan jurang pendidikan antara pelajar Orang Asli dengan terlebih dahulu memahami cabaran yang mereka hadapi dan seterusnya mencadangkan dasar yang sesuai untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Projek ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai jurang pendidikan, keperluan untuk pembelajaran atas talian serta menyokong dasar pendidikan yang lebih merangkumi keperluan dan cabaran masyarakat ini. Objektifnya adalah untuk meningkatkan kadar literasi pelajar Orang Asli di Malaysia[2].
Ingin membantu Projek Edukasi Asli? Mereka sedang memerlukan bantuan kewangan dari orang ramai untuk meneruskan inisiatif-inisiatif mereka. Antara usaha terkini mereka adalah untuk memberi masyarakat Orang Asli akses kepada pendidikan atas talian.
#2: SUKA Society
According to SUKA Society:
- Sebilangan besar kanak-kanak Orang Asli memasuki Sekolah Rendah 1 tanpa pengetahuan asas dalam membaca, menulis dan matematik.
- 7029 anak pribumi tidak pernah bersekolah.
- Hanya enam dari seratus kanak-kanak Orang Asli yang memasuki Darjah 1 berjaya melengkapkan pendidikan sehingga Tingkatan 5.[3]
Memahami situasi sebenar sistem pendidikan untuk kanak-kanak Orang Asli, SUKA Society ingin bekerjasama dengan komuniti OA untuk memberi mereka akses kepada pendidikan yang lebih menyeluruh dan memastikan bahawa generasi akan datang tidak terperangkap dalam jerat kemiskinan.
Melalui inisiatif Empower2Teach mereka, projek ini memberi latihan, sokongan dan sumber rujukan kepada guru-guru Orang Asli supaya mereka dapat memulakan kelas pendidikan prasekolah mereka sendiri di kampung-kampung mereka. Hal ini dapat menyelesaikan isu pengangkutan yang dihadapi masyarakat ini dalam permulaan persekolahan.
SUKA juga melatih guru-guru OA untuk menjamin kelangsungan usaha-usaha mereka. Guru-guru ini mempunyai kira-kira 25 murid dalam setiap kelas. Pada awal tahun 2019, mereka mempunyai sepuluh prasekolah yang terletak di kampung terpencil di pinggir Sungai Slim, Gopeng, Gerik, Tapah, Gua Musang dan Kuala Rompin.
Ingin menjadi sebahagian daripada Empower2Teach? SUKA Society menawarkan pelbagai peluang untuk melibatkan diri. Anda boleh membantu dengan menyumbangkan peralatan sekolah seperti alat tulis, bahan seni dan kraf, buku cerita, dan alat bantu mengajar. Anda juga boleh membiayai upah seorang guru Orang Asli. Selain itu, terdapat juga peluang bagi sukarelawan untuk mengajar Bahasa Inggeris dan melatih guru OA di kampung-kampung mereka.
#3: SOLS 24/7
Misinya adalah untuk mendidik & memperkasakan 40% golongan terbawah Orang Asli melalui pendidikan, program perkembangan diri & sokongan pekerjaan secara PERCUMA. Kursus SOLS 24/7 merangkumi kemahiran insaniah, kemahiran vokasional teknikal dan juga kemahiran dalam industri solar. Semua kursus adalah PERCUMA untuk golongan B40 di Malaysia.
SOLS bekerja rapat dengan beberapa komuniti Orang Asli dan telah menjalani program ‘upskilling’ bersama mereka. Kini, mereka berada di tahap yang mana mereka menguruskan bahagian SOLS yang berbeza, dan mendidik orang lain seperti mereka. Contoh kejayaan utama SOLS ialah Hamdan Akau (Pengarah Inovasi di SOLS Academy) dan Ayu Majid (Guru Bahasa Inggeris SOLS).
ngin menjadi sebahagian daripada SOLS24/7? Sangat dialu-alukan! Mereka selalu mencari sukarelawan, pelatih dan sumbangan dari orang ramai.
#4: empowerNCER Academic
empowerNCER (Academic) menyasarkan bantuan kepada kanak-kanak dari komuniti B40 dan Orang Asli yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Program ini menyediakan kelas tuisyen dan program perkembangan diri untuk pelajar yang berprestasi kurang baik supaya mereka dapat menduduki peperiksaan seperti UPSR, PT3 & SPM dalam keadaan lebih bersedia. Mereka juga mempunyai program khusus untuk meningkatkan kemahiran 3M mereka (Membaca, Menulis & Mengira) dalam kalangan Orang Asli.
Ditubuhkan pada Disember 2019, fasa pertama program ini membantu 2,550 pelajar (termasuk 300 Orang Asli) daripada 15 buah kawasan. Pada fasa kedua, program mereka berjaya mencapai 3,600 pelajar (termasuk 200 Orang Asli) daripada 17 kawasan.
Jangkauan program ini merangkumi pelajar asli di negeri-negeri utara Malaysia; Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Ketahui lebih lanjut mengenai inisiatif EmpowerNCER di Perak dalam video pendek ini.
PEKERJAAN
#5: The Asli Co.
Diasaskan oleh Jason Wee dan Lim Xin Yu pada bulan April 2019, The Asli Co. adalah sebuah perusahaan sosial yang bertujuan untuk memperbaiki kehidupan Orang Asli di Malaysia. Mereka membantu memperkasakan ibu-ibu Orang Asli untuk mencari punca pendapatan yang berterusan melalui kraftangan dan produk buatan rumah.
Mereka telah menolong 42 wanita Orang Asli memperoleh lebih dari empat kali ganda gaji minimum setiap jam. Di samping itu, mereka juga menyediakan bahan, peralatan dan latihan kepada mereka. Upah yang diberikan kepada ibu-ibu ini telah membantu mereka untuk menyekolahkan anak-anak, seiring dengan usaha untuk menghentikan jerat kemiskinan dalam masyarakat mereka. Buat masa sekarang, mereka bekerja dengan OA dari enam kampung yang berbeza di Malaysia.
Kami akan menolong mereka mendapatkan mesin jahit sehingga mereka dapat memulakan pengeluaran topeng muka kain, membina proses pembayaran yang lebih lancar agar pelanggan mereka dapat melakukan pembayaran dengan mudah, menerima bimbingan dari pasukan perbankan UKM kami dan memperluas rancangan perolehan sosial mereka. Kami juga merancang untuk mengatur sesi celik kewangan untuk para ibu supaya mereka mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai perancangan kewangan yang tepat untuk masa depan mereka.[4]
Ingin menolong The Asli Co? Kunjungi laman web dan media sosial mereka dan beli produk mereka yang luar biasa! Mereka mempunyai pelbagai produk, termasuklah pasu (dibuat dari bekas minuman yang dikitar semula), sabun bar buatan tangan dan ‘hand sanitisers’ yang diperbuat daripada bahan semula jadi.
#6: Jungle School Gombak
Jungle School Gombak adalah program pemerkasaan kepemimpinan yang berfokus untuk memartabatkan warisan budaya unik penduduk asli. Tidak seperti program pendidikan yang lain, sekolah hutan ini melantik Orang Asli untuk mendidik orang lain mengenai budaya dan kepakaran mereka.
Melalui program ini, orang ramai membayar sejumlah wang untuk mengambil bahagian dalam sebuah program lima peringkat yang merangkumi kemahiran ikhtiar hidup, pengetahuan mengenai kegunaan flora dan fauna, kemahiran asas mencari makanan dan cara tradisional pembuatan pondok Orang Asli. Mereka juga memberi pencerahan tentang kelestarian hutan hujan, undang-undang hutan, cara Orang Asli menyediakan makanan dan program penanaman pokok.
Perkara yang bermula sebagai projek keluarga ini telah memenangi tiga anugerah dalam edisi kelima Pertandingan Inovasi Antarabangsa di Kanada (iCan 2020). Ini merangkumi Anugerah Pingat Emas pada pusingan awal, dan Anugerah Khas dan Anugerah Pilihan Jawatankuasa. Program ini telah diiktiraf antara yang terbaik oleh 38 pelabur terkenal di dunia. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Orang Asli dapat berkongsi kemahiran mereka dan memperoleh pendapatan melaluinya[5].
Terdapat banyak usaha dari banyak pihak yang berkepentingan untuk menangani masalah Orang Asli di Malaysia, tetapi hanya segelintir yang berterusan, dan usaha JSGM adalah salah satu yang lestari…
Ingin membantu The Jungle School Gombak? Mereka sedang mencari sukarelawan untuk menolong mereka dalam aktiviti ini. Mereka juga menerima sumbangan dan mengalu-alukan mereka yang berminat untuk mengajar tuisyen kepada anak-anak orang asli.
#7: Othrs
Bermula pada tahun 2016, Othrs mula menghubungi pemuda yang kurang bernasib baik dan mengajar mereka kemahiran memotong rambut sebagai usaha untuk menyediakan jalan kerjaya bagi mereka untuk bebas dari jerat kemiskinan. Melalui projek Asli Barber project, tukang-tukang gunting rambut ini mengajar kemahiran ini kepada belia di kampung Orang Asli.
Anggota Othrs juga mengadakan perbincangan mengenai kebersihan diri dan memberikan potongan rambut kepada sesiapa yang berminat. Pada masa ini, terdapat tiga pemuda Orang Asli yang dulunya dilatih dan kini bekerja sebagai tukang gunting rambut di Othrs. Lawati laman web mereka untuk mengetahui lebih lanjut.
#8: empowerNCER
empowerNCER adalah program kemahiran dan keusahawanan yang menumpukan pada pemerkasaan kemahiran, intelek dan sosioekonomi masyarakat terpinggir di Malaysia. Ia kini bekerjasama dengan Orang Asli, wanita, belia, siswazah menganggur, pekerja yang diberhentikan dan Orang Asli dari komuniti B40. Melalui kerjasama dengan pelbagai agensi dan organisasi, projek ini mempunyai sasaran untuk memastikan sekurang-kurangnya 90% peserta mereka mendapat latihan dan sijil yang relevan, bersama dengan peluang pekerjaan setelah selesai. Mereka juga ingin membantu peserta meningkatkan pendapatan dari RM500 menjadi RM1,100.
Jangkauan program ini merangkumi komuniti orang asli dan B40 di negeri-negeri utara Malaysia; Perlis, Kedah, Penang dan Perak.
PERUMAHAN
#8: Epic Homes
Lebih 12,000 Orang Asli tinggal dalam keadaan perumahan yang tidak selamat. 82% memerlukan bantuan perumahan. 77% dikelaskan sebagai miskin. 35% dikelaskan sebagai miskin tegar.[6]
Epic Homes bermula sebagai projek pembinaan kecil-kecilan yang membantu penduduk Orang Asli menyediakan kemudahan tandas dan mengecat rumah mereka. Melalui projek pertama itu, para pengasas menyedari bahawa perumahan yang daif merupakan kenyataan hidup bagi sebahagian besar masyarakat mereka. Apa yang diperlukan oleh OA bukan sekadar kemudahan tandas sahaja, tetapi mereka juga memerlukan rumah yang lebih baik dan selesa. Setelah banyak merancang dan melakar rekaan, blueprint untuk Epic Home selesai.
Disebabkan reka bentuk modular yang berasaskan fleksibiliti, ketahanan dan kebolehan adaptasi, Rumah Epik ini senang dipasang dan dapat dibina hanya dalam tiga hingga empat hari. Yang lebih mengagumkan adalah setiap rumah dibina untuk memenuhi keperluan keluarga yang berbeza mengikut garis panduan “adequate shelter guidelines” yang disediakan oleh UN. Rumah-rumah ini 100% sesuai untuk gaya hidup dan persekitaran Orang Asli, dan ia dapat memastikan bahawa nilai-nilai tradisional Orang Asli dapat dikekalkan.
Sejak 2011, kumpulan ini telah membina sebanyak 155 rumah Epik di Selangor, Perak, Johor dan Kelantan, dengan bantuan lebih daripada 6,000 sukarelawan.
Ingin menolong Epic Homes? Anda bernasib baik! Mereka sentiasa mencari sukarelawan, sumbangan dan kerjasama (CSR).
UMUM
#10: Global Peace Foundation Malaysia
Global Peace Foundation Malaysia adalah sebuah organisasi antarabangsa yang tidak berorientasikan politik mahupun keuntungan. Mereka berusaha untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat dengan visi One Family under God. Cawangan Malaysia bekerjasama rapat dengan komuniti Orang Asli dan menjalankan pelbagai projek yang menyasarkan masyarakat pelbagai taraf kemiskinan.
Sebagai contoh pada tahun 2018, inisiatif Air, Sanitasi, dan Kebersihan (WASH) dilaksanakan. Program ini bertujuan memberi akses kepada air bersih dan sanitasi bagi masyarakat Orang Asli yang masih bergantung pada sumber air tidak bersih seperti sungai dan mata air yang tercemar. Usaha terbaru mereka berkisar mengenai kemungkinan pertanian untuk Orang Asli dan meningkatkan akses mereka kepada tenaga. Mereka yang berminat boleh melayari laman web mereka dan melihat semua projek terkini.
Ingin menolong Global Peace Foundation? Global Peace Foundation mengalu-alukan sumbangan dan semua bentuk projek sukarela CSR.
Explore Our Sources:
- O. K. Hui. (n.d.) Poverty, Inequality and the Lack of Basic Rights Experienced by the Orang Asli in Malaysia. Link.
- X. Y. Tan. (n.d.). Digital Education Access for the Orang Asli Students of Kampung Kemidak, Johor. Sedunia by epic. Link.
- Suka Society. (n.d.). What’s the situation in Malaysia. Link.
- The Star. (2020). Jumpstarting Future of Orang Asli Mums. Link.
- M. Teoh. (2020). An initiative to help Orang Asli families in Malaysia wins three awards in international competitions. The Star. Link.
- Epic Homes. (n.d.). Our Impact to Date. Link.