Site logo

Noah Huarrajan: Dibesarkan Di Rumah Jagaan Sebagai Kanak-Kanak Dan Meraih Peluang Kedua Dalam Kehidupannya

desa amal jireh

Zaman kanak-kanak Noah dipenuhi dengan trauma dan kesusahan. Mendiang ibu Noah jatuh sakit dan separa lumpuh selepas melahirkan beliau dan beliau menyaksikan sendiri bagaimana ayahnya terpaksa membuat tiga kerja yang berlainan dalam satu hari  iaitu sebagai tukang kebun, pemotong rumput dan pengawal keselamatan syif malam untuk menampung keperluan keluarganya.  

KEHIDUPAN INI TIDAK MUDAH BAGI SAYA, TETAPI DENGAN REZEKI YANG DIBERIKAN OLEH TUHAN, SAYA MAMPU BERTAHAN.

Disebabkan masalah kewangan, abang Noah telah ditempatkan di bawah jagaan seorang  pastor sewaktu Noah berumur 7 tahun. Sewaktu zaman kanak-kanak, beliau merasakan seperti abangnya bercuti meninggalkan beliau kesepian dan berasa sedih di rumah. Namun, keadaan menjadi semakin membimbangkan apabila kesihatan mendiang ibunya bertambah teruk. Selepas membuat banyak pertimbangan, beliau dihantar ke Desa Amal Jireh (DAJ), sebuah rumah jagaan yang menempatkan kanak-kanak yang berasal dari keluarga miskin atau terabai – pada usia 12 tahun.

Sumber: Koleksi peribadi Noah

Pada awalnya, beliau berasa tidak gembira dirumah jagaan itu kerana beliau merasa sukar untuk  menyesuaikan diri.

SAYA TIDAK BERASA GEMBIRA LANGSUNG PADA WAKTU ITU, SAYA MENANGIS KERANA SAYA BERASA SUKAR TANPA IBU BAPA SAYA. SAYA PERNAH CUBA UNTUK MELARIKAN DIRI SEBANYAK DUA KALI.

Menekan Butang “Restart”

Noah mula memahami secara perlahan-lahan niat sebenar ibu bapanya menghantar beliau ke DAJ adalah untuk  memberi keperluan asas dan melindungi masa depannya. Akur dengan kehendak mereka, beliau belajar dengan bersungguh-sungguh dan tidak melupakan sokongan guru-guru yang telah mendorongnya untuk maju ke hadapan.

Sumber: Koleksi Peribadi Noah

SAYA TIDAK RASA SAYA BOLEH MELANGKAH KE HADAPAN TANPA DORONGAN ORANG SEKELILING. TERUTAMANYA GURU-GURU YANG TELAH  MELIHAT POTENSI SAYA, MEREKA BANYAK MENDORONG SAYA – SALAH SEORANG GURU SAYA, IAITU  GURU MATEMATIK SENTIASA MEMBERI GALAKAN KEPADA SAYA. IA MEMACU TENAGA SAYA DAN MEMBERI MOTIVASI UNTUK SAYA BELAJAR.

Seorang guru sukarelawan juga penting dalam menyemaikan kepercayaan bahawa setiap orang harus mempunyai impian atau cita-cita tanpa mengambil kira situasi atau didikan mereka.

BELIAU [GURU SUKARELAWAN] BERCERITA TENTANG KISAH HIDUPNYA DAN BERTANYA APA YANG SAYA INGIN LAKUKAN PADA MASA HADAPAN. BELIAU MEMBUATKAN SAYA UNTUK BERCITA-CITA TINGGI. 


Dengan dorongan serta usahanya, Noah mendapat keputusan yang baik  dalam peperiksaan awam. Dengan bantuan DAJ, beliau berjaya memperoleh Biasiswa Yayasan Kuok untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

desa amal jireh
Sumber: Desa Amal Jireh – Facebook

Mengimbas Kembali

Setelah mengharungi zaman kanak-kanak yang penuh kesukaran, Noah kini telah berkahwin dengan seorang wanita cantik yang juga pernah berada di rumah jagaan tersebut dan merupakan bapa kepada anak sulungnya. Noah mengenang kembali pengalaman beliau tinggal di rumah jagaan tersebut dan nilai yang ditanam di sistem rumah jagaan tersebut. 

SAYA MEMPELAJARI PERKARA BARU, SESUATU YANG BERBEZA – MENYESUAIKAN DIRI SAYA DENGAN PERSEKITARAN BARU. SUDAH TENTU ADA NAIK DAN TURUN, ADA CABARAN – ADA BAIK DAN BURUKNYA TERSENDIRI.  SAYA BERPEGANG KEPADA PERKARA POSITIF. APA PUN CABARAN YANG SAYA LALUI, IA TELAH MEMBENTUK DIRI SAYA YANG SEKARANG.

Sumber: Koleksi Peribadi Noah

Beliau sedar bahawa beliau mampu untuk pergi lebih jauh berikutan peluang yang diterima daripada rumah jagaan tersebut, sekaligus bebas daripada kitaran kemiskinan yang dilalui oleh mendiang ayah beliau yang melakukan pelbagai jenis pekerjaan untuk menampung keluarga. 

JIKA SAYA BERSAMA IBU BAPA SAYA, MEREKA MUNGKIN TIDAK MAMPU MENANGGUNG PENGAJIAN SAYA ATAU MEMBERI BIMBINGAN UNTUK MENYAMBUNG PELAJARAN SEHINGGA KE PENGAJIAN TINGGI. KEMUNGKINAN SAYA AKAN BEKERJA SELEPAS MENAMATKAN SPM. TETAPI DI DAJ, MEREKA SENTIASA MEMBERI SOKONGAN UNTUK SAYA MENCUBA  KE PERINGKAT LEBIH BAIK. SAYA DAPAT MENEROKA POTENSI DI DALAM DIRI SAYA KERANA PELUANG YANG DIBERIKAN OLEH MEREKA. SAYA MAMPU MENULIS LAGU, MENGGUBAH MUZIK, MENCIPTA DRAMA ATAU FILEM PENDEK.

Dalam masa yang sama, tinggal di rumah jagaan tersebut membuatkan beliau lebih berdisiplin dan berdikari kerana setiap kanak-kanak dididik untuk mengikuti jadual waktu yang diberikan. Nilai-nilai yang diterapkan oleh kakitangan rumah itu menjadikan beliau seorang yang tulus pada masa kini.

DAJ MEMPUNYAI RUTIN  YANG KETAT – ADA WAKTU KHUSUS UNTUK BELAJAR, MENONTON TV, MAKAN DAN BERMAIN. IA MEMBENTUK DIRI SAYA YANG SEKARANG.

Kenangan terindah beliau di DAJ ialah sewaktu sambutan kelahiran beliau yang ke-21.

Sumber: Koleksi Peribadi Noah

APABILA SEORANG KANAK-KANAK MENCAPAI UMUR 21 TAHUN – IA MERUPAKAN SAMBUTAN YANG PENTING. IA  AKAN DISAMBUT DI DEWAN DAJ, ORANG RAMAI AKAN DIJEMPUT DAN KANAK-KANAK AKAN MEMBUAT PERSEMBAHAN NYANYIAN ATAU LAKONAN. SELALUNYA SAYA YANG MENGENDALIKAN PERSEMBAHAN SEPERTI INI, TETAPI KETIKA SAYA BERUMUR 21, SAYA MENJADI PENONTON DAN PERSEMBAHAN PADA MALAM ITU DIBUAT DENGAN SANGAT HEBAT.

Beliau meninggalkan DAJ sewaktu berumur 24 tahun. Namun begitu, rumah jagaan itu tetap  berada di  hati beliau. Beliau  masih membantu rumah itu jika pertolongan diperlukan. 

JIKA MEREKA [DAJ] MEMERLUKAN BANTUAN SEPERTI PEMANDU ATAU PENGANGKUTAN UNTUK MENGAMBIL SESEORANG – MEREKA AKAN MENELEFON SAYA DAN SAYA AKAN MEMBANTU MEREKA. KAMI MASIH BERHUBUNG – PENGASAS RUMAH DAN PENGARAH AKAN MENELEFON DAN SAYA AKAN  BERSEMBANG DENGAN MEREKA. MEREKA AKAN BERTANYA KHABAR SAYA DAN BAGAIMANA KEADAAN BAYI SAYA – KAMI MASIH MEMPUNYAI HUBUNGAN YANG BAIK.

Gunakan Peluang Kedua Dengan Baik

Zaman kanak-kanak beliau dipenuhi dengan kesukaran dan tragedi  menimpa beliau satu demi satu. Beliau mengenang sewaktu menyambut kejayaan PMR beliau pada tahun 2006, ibu beliau meninggal dunia beberapa hari kemudian. Terdapat juga kejadian di mana seorang guru memandang rendah terhadap ibu bapa beliau dan sewaktu beliau membesar, beliau pernah merasa terasing dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling kerana dibesarkan di rumah jagaan. Sesetengah orang akan merasa simpati dan menunjukkan rasa belas kasihan dan ini membuatkan beliau tidak selesa jika masa silam beliau didedahkan.

Setelah umur beliau meningkat matang, Noah tidak lagi menganggap masa silam beliau sebagai sesuatu yang buruk, tetapi batu loncatan yang membuka jalan untuk masa depan yang lebih cerah. Masa silam yang dilalui beliau adalah unik dalam pelbagai cara dan dari situ, beliau memperoleh kekuatan untuk menghadapi pelbagai cabaran.

SAYA PERNAH TERFIKIR SAYA TIDAK DAPAT MENGHARUNGI MUSIBAH PADA MASA LALU. NAMUN DENGAN RAHMAT TUHAN, SAYA MAMPU MENAMATKAN PENGAJIAN SAYA, MEMPUNYAI KERJA YANG BAGUS, MEMPUNYAI RUMAH SENDIRI, BERKAHWIN DENGAN SEORANG GADIS YANG MENAWAN, DAN MEMPUNYAI ZURIAT SENDIRI. KEJAYAAN DALAM HIDUP – IA TIDAK DATANG BERGOLEK DENGAN MUDAH, IA ADALAH SUATU PROSES, PERJALANAN DALAM KEHIDUPAN SESEORANG.

Sumber: Koleksi Peribadi Noah

Keputusan ibu bapa beliau menghantar beliau ke rumah jagaan merupakan peluang kedua yang Noah tidak sedari  bahawa beliau memerlukan peluang itu. Pada awalnya, ia amat sukar bagi beliau untuk berpisah dengan kasih sayang mendiang ibunya, yang walaupun sudah uzur, masih meluangkan masa dan tenaga untuk  menjaga beliau. Beliau berkongsi bahawa rakan-rakan di rumah jagaan dapat membantu  anda melupakan ibu bapa anda buat sementara waktu. Namun, anda masih akan merindui kasih ibu bapa.

PELUANG KEDUA AKAN SENTIASA ADA, JADI JANGAN LEPASKAN PELUANG TERSEBUT. GUNAKAN PELUANG ITU DENGAN SEBAIK MUNGKIN WALAUPUN ORANG MEMANDANG RENDAH AKAN ADA – PERCAYALAH ANDA MEMPUNYAI SESUATU YANG UNIK DALAM DIRI. PERKARA YANG BAIK AKAN TIBA PADA WAKTU YANG SESUAI – SAYA PERCAYA AKAN PERKARA INI.

Terdapat ramai lagi “Noah” di Malaysia, mereka yang memerlukan peluang kedua dan pertolongan untuk mencipta masa depan yang cerah untuk keluarga mereka. Awasi “Noah” yang anda pernah temui, baca tentang mereka jika berkelapangan. Seperti DAJ, berikanlahi seseorang peluang kedua menerusi kata-kata semangat, peluang pendidikan, peluang pekerjaan atau cara-cara lain yang dapat membantu individu tersebut.

Ribuan terima kasih: Setiap gambar yang diterbitkan di dalam artikel ini adalah daripada koleksi peribadi Noah.

Support Institutional Homes In Malaysia

Diterjemahkan oleh: Nur Aqilah Zaheeda Abd Latif

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?