Apabila kita terfikir tentang komuniti peribumi Malaysia (atau lebih dikenali sebagai Orang Asli), seringkali timbulnya persepsi bahawa mereka merupakan penduduk kampung yang tinggal jauh di kawasan pedalaman. Istilah itu sendiri bermaksud orang-orang ‘pertama’ atau ‘asli’ negara Malaysia yang merangkumi pelbagai suku etnik[1]. Pada tahun 2019, populasi Orang Asli mencecah 217,000 orang dan terdiri daripada 18 suku, masing-masing dengan budaya, bahasa dan norma sosialnya yang unik[1].
Penduduk-penduduk awal yang tiba di sini mempunyai kepelbagaian dan keunikan masing-masing. Sebilangan besar daripada mereka mengamalkan tradisi yang dibawa turun temurun dari generasi ke generasi, dan keunikan cara hidup mereka dianggap menarik bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Satu perkara yang pasti ialah Orang Asli merupakan penduduk asal tanah air. Mereka harus dihormati, diiktiraf dan dilayan secara adil dalam masyarakat. Untuk terus bersatu padu dengan penduduk asli kita, kita perlu membina persefahaman yang lebih erat dan mendalam bersama mereka. Mari kita ambil langkah pertama dengan cara membongkar beberapa mitos mengenai komuniti ini.
Mitos #1: Orang Asli Adalah Miskin Dan Tidak Berdaya.
Kebenaran: Orang Asli Mungkin Kekurangan Dari Segi Kewangan, Tetapi Yang Pastinya Mereka Bukanlah Komuniti Yang Miskin Daya.
Realiti sebenar adalah walaupun mereka merupakan orang pertama di negara ini, Orang Asli masih lagi kekal sebagai salah satu kumpulan termiskin di Malaysia. 33% populasi Orang Asli tergolong dalam kategori ‘kemiskinan tegar’, iaitu golongan yang berpendapatan kurang daripada separuh garis kemiskinan negara[1]. Semasa sebuah sidang media pada tahun 2019, Dr Colin Nicholas dari Centre of Orang Asli Concerns menyatakan bahawa 99.2% daripada populasi Orang Asli Semenanjung berada dalam kelompok pendapatan B40 yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan[2]. Sebilangan besar daripada mereka masih tidak mempunyai elektrik, air paip dan kemudahan tandas yang asas di rumah mereka. Bahkan, ada juga antara mereka yang tidak dapat menikmati hak asasi manusia yang sewajarnya[1].
Namun, walaupun sering dianggap miskin oleh masyarakat, mereka tidak memandang diri mereka sebagai miskin. Komuniti yang bijak dan berdaya tahan tinggi ini menyara keluarga dengan teknik pencarian sumber hutan yang diturunkan oleh nenek moyang mereka serta kemahiran pertanian[3]. Pendapatan dan pekerjaan mereka bergantung kepada cara hidup masyarakat dan berkait rapat dengan landskap semula jadi di tempat tinggal mereka.
Contohnya, Orang Laut, Orang Seletar dan Mah Meri tinggal berdekatan dengan pantai. Oleh itu, urusan harian mereka dijalankan di kawasan sekitar laut dan kebanyakan mereka bekerja sebagai nelayan. Sebilangan orang Temuan, Jakun dan Semai berkecimpung dalam kegiatan pertanian dan kini menguruskan ladang getah, kelapa sawit atau koko mereka sendiri[3]. Mereka yang tinggal di kawasan hutan memburu dan mengumpul sumber hutan seperti petai, durian, rotan, dan damar untuk menjana pendapatan atau kegunaan sendiri[3]. Tidak hanya itu, ada anggota masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan bandar dan mengambil bahagian dalam pekerjaan bergaji[3]. Orang Asli berkembang maju dalam persekitaran semula jadi di tempat mereka dibesarkan. Mereka yang menghadapi cabaran biasanya disebabkan oleh faktor luaran seperti isu pembalakan hutan dan perampasan tanah.
Mitos # 2: Orang Asli Tidak Perlu Risau Mengenai Stok Makanan. Terdapat Banyak Hutan Yang Boleh Diterokai.
Kebenaran: Orang Asli Berkemahiran Dalam Usaha Pencarian Hasil Hutan Dan Kegiatan Pertanian, Tetapi Anak-Anak Mereka Menunjukkan Tanda-Tanda Kekurangan Zat Makanan
Walaupun benar bahawa Orang Asli tidak akan kelaparan (buat masa ini) kerana adanya kemahiran mengusahakan tanah dan keupayaan untuk membeli makanan, sukar untuk kita jamin kecukupan ini berterusan dan tidak menimbulkan kebimbangan di masa depan.
Masyarakat Orang Asli yang menanam koko, lada, getah, dan kelapa sawit memperoleh pendapatan daripada hasil yang mereka tuai. Walau bagaimanapun, pendapatan ini berubah mengikut harga pasaran dan jumlah tuaian. Selain itu, produk mereka tidak boleh dimakan secara terus. Akibatnya, sebahagian besar golongan Orang Asli tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk mengekalkan pemakanan dan diet yang sihat[3].
Jurang pemakanan ini dapat dilihat melalui golongan muda. Malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli berkisar antara 30-60%[4]. Kadar ini jauh lebih tinggi berbanding purata nasional, iaitu 7.5% bagi kekurangan zat makanan sederhana dan hanya 0.6% kekurangan zat makanan melampau[4].
Terdapat banyak sebab di sebalik kemiskinan dan kekurangan zat makanan dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Sebilangan besarnya berkaitan dengan isu gangguan hak pemilikan tanah[5]. Kebanyakan daripada tanah pertanian mereka musnah akibat aktiviti pembalakan dan pencemaran sungai. Tambahan pula, bantuan kerajaan sukar didapati oleh mereka yang tinggal di kawasan terpencil[5].
Mitos #3: Anak-Anak Orang Asli Mempunyai Akses Kepada Pendidikan Dan Mampu Mencapai Prestasi Yang Setaraf Dengan Pelajar Lain
Kebenaran: Anak-Anak Orang Asli Mempunyai Cara Pembelajaran Yang Berbeza Dan Mereka Menghadapi Cabaran Yang Sukar Dalam Sistem Pendidikan Tempatan
Walaupun tergolong dalam satu sistem pendidikan di Malaysia, beberapa faktor ekonomi, geografi, dan budaya menjadi halangan bagi mereka untuk mencapai prestasi akademik yang baik di sekolah[6].
Kanak-anak yang hidup dalam kemiskinan perlu menempuh pelbagai halangan untuk mencapai prestasi yang baik di sekolah. Ini termasuk akses yang terhad untuk memasuki sekolah-sekolah yang baik disebabkan lokasi geografi mereka. Sebilangan besar kanak-kanak orang Asli hanya memulakan persekolahan di Darjah Satu. Kesannya, aras literasi dan numerasi mereka rendah berbanding murid-murid lain. Kekangan bahasa juga menjadikan ia lebih sukar untuk mereka belajar dan memahami pengetahuan di sekolah[6].
Di Malaysia, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris adalah dua bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Namun, ramai pelajar Orang Asli bertutur dalam bahasa yang lain[6]. Apabila kanak-kanak ini memasuki Sekolah Rendah, mereka mengambil masa yang agak lama untuk memahami mata pelajaran, memandangkan mereka tidak fasih berbahasa Malaysia dan juga kekurangan kemudahan pendidikan asas di rumah[6]. Hal ini menyebabkan ianya sukar untuk mereka belajar, dan kebanyakan guru tidak menerima latihan tentang cara untuk menguruskan situasi kanak-kanak orang Asli di sekolah.
Bantuan pendidikan yang diberikan oleh JAKOA tidak mencukupi untuk menyokong pendidikan mereka. Hal ini menjelaskan mengapa kanak-kanak ini mengalami kadar berhenti sekolah yang tinggi. Hanya 61% daripada golongan kanak-kanak orang Asli lulus dalam mata pelajaran teras UPSR, dan hanya 30% berjaya menamatkan pembelajaran sehingga ke sekolah menengah[6].
Hal ini bukanlah kerana mereka pelajar yang kurang baik, tetapi kerana cara pembelajaran mereka berbeza daripada kanak-kanak Malaysia yang lain. Sepanjang mereka dibesarkan, mereka tidak mempelajari Sains, Matematik, dan Bahasa Inggeris. Sebaliknya, kanak-kanak ini belajar melalui bahasa, seni, ritual, cerita rakyat dan pantang larang komuniti mereka. Tambahan pula, mereka tidak diajar oleh guru diiktiraf kerana tempat belajar mereka dikendalikan oleh ibu bapa, keluarga, jiran dan masyarakat mereka sendiri[6]. Anak-anak Orang Asli belajar melalui orang tua mereka tentang khazanah alam dan hutan[6]. Walaupun mereka menghadapi kesukaran untuk membaca dan menulis, mereka amat cemerlang dalam menyanyi, bermain dan makan[5].
Mitos #4: Orang Asli Hidup Lebih Lama Berbanding Orang Lain
Kebenaran: Jangka Hayat Untuk Orang Asli Rata-Rata Adalah 53 Tahun, Berbanding Purata Kebangsaan Iaitu 73 Tahun. Sistem Penjagaan Kesihatan Awam Masih Bermasalah.
Klinik bergerak ditubuhkan di pelbagai kawasan luar bandar Malaysia untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat Orang Asli. Kedudukan kampung mereka yang jauh di dalam kawasan pedalaman membatasi akses mereka kepada kemudahan jalan raya, dan hal ini menyukarkan Orang Asli untuk mendapatkan kemudahan kesihatan asas. Jarak purata dari kampung Orang Asli ke klinik kesihatan terdekat adalah 5.87km[7]. Ini biasanya memakan masa 4.71 minit melalui pengangkutan darat dan 70.42 minit sekiranya berjalan kaki[7]. Namun, kita perlu ingat bahawa ini hanya dalam satu kawasan. Klinik dan sekolah kerajaan terdekat dalam skim penempatan semula (RPS) yang dipanggil Pos Kemar memakan masa sekurang-kurangnya satu jam jika berjalan kaki.
Realitinya, kesihatan masyarakat Orang Asli semakin lama semakin terjejas. Kadar kematian bayi Orang Asli berada pada tahap tinggi iaitu 51.7%. Sebilangan besar kanak-kanak ini meninggal dunia sebelum ulang tahun kelima mereka. Purata jangka hayat bagi Orang Asli adalah 53 tahun, berbanding dengan purata kebangsaan iaitu 73 tahun[3]. Kekurangan zat makanan dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak juga semakin membimbangkan [5]. Malangnya, tahap sebenar penyakit dalam masyarakat Orang Asli tidak diketahui kerana kebanyakan kematian tidak dilaporkan. Jadi persoalannya bukanlah tentang sama ada mereka dapat mengakses perkhidmatan kesihatan, tetapi adakah rawatan yang diberikan sebenarnya cukup untuk menolong masyarakat?
Explore Our Source
- O. K. Hui. (n.d.) Poverty, Inequality and the Lack of Basic Rights Experienced by the Orang Asli in Malaysia. Link.
- A. Lai. (2019). Poverty: More than meets the eye. The Star. Link.
- T. Masron, F. Masami, N. Ismail. (2013). Orang Asli in Peninsular Malaysia: population, spatial distribution and socio-economic condition. Link.
- A. Singh. (2019). Malnutrition and Poverty among the Orang Asli (Indigenous) Children of Malaysia. Link.
- A. Singh. (2008). Mortality, Morbidity and Malnutrition in Orang Asli Children. Link.
- K. K. Abdillah. (2018). Poverty and Primary Education of the Orang Asli Children. Link.
- Mohamad Fadli K, Rosliza AM, Muhamad Hanafiah J, Sharifah Norkhadijah SI. (2019). Spatial Analysis on Primary Healthcare Distance for Orang Asli in Batang Padang District. International Journal of Human and Health Sciences (IJHHS). Link.