Site logo

Memusnahkan Stigma Kemiskinan Haid

Adalah dianggarkan bahawa setiap hari, 800 juta wanita di seluruh dunia sedang mengalami haid.[1]

Kebanyakan wanita mengalami haid lebih daripada 30 tahun, yang bermula pada umur 12 tahun, dan mengalami menopaus dengan awal pada sekitar 45 tahun.[2]

Walaupun kemiskinan tidak memilih jantina, bangsa atau agama, perbelanjaan lebih yang wujud apabila seorang wanita berada dalam  kemiskinan jelas terbukti dan dapat dikira.

Sumber: BBC

Waktu haid bermaksud perbelanjaan yang diperlukan tidak berada dalam kawalan seorang wanita. Barangan ini termasuk tuala wanita, ‘panty liner’, ubat tahan sakit, pad pemanasan dan sebagainya.

Dalam artikel dari ‘Dollars and Sense’, dianggarkan seorang wanita membelanjakan sekurang-kurangnya SGD$17,556 (MYR$53,553) untuk barangan kebersihan peribadi dalam jangka masa dia mengalami kitaran haid sepanjang 30 tahun atau lebih.[2]

Di mana masalahnya?

Walaupun kebanyakan wanita bergelut dengan beberapa jenis ketidakselesaan semasa haid, wanita yang hidup dalam kemiskinan mempunyai lebih banyak perkara untuk dirisaukan. Ini dinamakan ‘Kemiskinan Haid’.

Kemiskinan haid menggambarkan pergelutan banyak perempuan dan wanita miskin yang tidak mampu membeli barangan kebersihan haid. Terma ini juga merujuk kepada ekonomi yang semakin terjejas yang dihadapi wanita dan perempuan akibat beban kewangan daripada bekalan kebersihan haid. Ini tidak sahaja termasuk ‘sanitary napkins’ dan tampon, tetapi melibatkan kos seperti ubat penahan sakit dan seluar dalam.[3]

Sumber: BBC

Masalah bukan sahaja terhad kepada ketidakupayaan membeli barangan kebersihan peribadi, tetapi juga limitasi barangan kebersihan. Contohnya, perempuan menggunakan barangan kebersihan yang sama untuk jangka masa yang panjang, serta sanitasi dan amalan kebersihan yang buruk akibat kekurangan akses kepada air bersih dan tandas. Menurut UNICEF, amalan sebegini berpotensi untuk membawa risiko kesihatan yang berkait dengan penyakit urogenital dan kesihatan sistem pembiakan yang buruk.[4]

Dalam kes teruk, kemiskinan haid boleh bermaksud perempuan yang masih bersekolah terpaksa ponteng, dan wanita yang bekerja tidak akan dapat turun ke tempat kerja semasa datang haid.

Sumber: The Asean Post

Masalah Sedunia

Kemiskinan haid bukan sahaja terhad di negara yang sedang membangun atau kawasan geografi tertentu, ia sebenarnya masalah di seluruh dunia. Di sesetengah negara lain, stigma dan pantang larang bercakap mengenai isu-isu ini sangat ketara, oleh itu para wanita memilih untuk bergelut dalam diam.

Sumber: World Bank
  • Di United Kingdom (UK) terdapat laporan yang menyatakan bahawa 1 dalam 10 perempuan di antara 14 dan 21 tahun tidak mampu membeli barangan kebersihan haid, manakala 49% telah ponteng sekolah untuk satu hari akibat haid.[5]
  • Di Afrika, 1 dalam 10 perempuan ponteng sekolah kerana mereka tidak mempunyai akses dan tidak mampu membeli barangan kebersihan haid, atau kerana sekolah mereka tidak mempunyai tandas yang bersih dan peribadi.[6]
  • Di Kenya sahaja, 50% perempuan dalam umur persekolahan tidak mempunyai akses atau tidak mampu membeli barangan kebersihan peribadi.[7]
  • Di India, 12% populasi wanita yang mengalami haid di negara mereka tidak mampu membeli barangan kebersihan peribadi.[8]

Lebih Dekat di Rumah

Pada masa kini di Malaysia, tiada data  tentang masalah kemiskinan haid, tetapi baru-baru ini, perhatian daripada media dan usaha untuk menyebarkan kesedaran dan membantu golongan perempuan dan wanita yang memerlukan pertolongan telah bertambah baik.

Dalam suatu berita, Nisha Sabanyagam dari ‘All Women’s Action Society’(AWAM) berkata kemiskinan haid merupakan salah satu stigma apabila kita membicarakan tentang haid.

“Terdapat perempuan di kawasan luar bandar yang tidak hadir ke sekolah kerana mereka datang haid. Mereka tidak mempunyai tuala wanita dan mendapat kesan darah di atas pakaian seragam mereka. Ini mengakibatkan mereka terlalu malu dan ponteng sekolah,” kata beliau.[9]

Sumber: The Star

Bekas Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Komuniti, Hannah Yeoh juga menimbulkan isu ini dalam sidang media di parliamen dengan berkata, “Tiada perempuan yang patut berhenti sekolah hanya disebabkan kemiskinan haid. Perkara sebegini tidak patut berlaku di Malaysia pada zaman ini.

Beliau sedar bahawa pada masa kini tiada data yang tersedia tetapi setuju bahawa data tersebut satu keperluan. “Lebih kajian perlu dilakukan untuk memahami berapa teruknya keadaan kemiskinan haid di Malaysia, supaya data boleh dikumpul dan isu tersebut boleh dibincangkan dengan sebaiknya.”[10]

Sumber: Air Asia Foundation

Dalam keadaan terdesak, wanita dan perempuan di Malaysia didapati menggunakan kulit kelapa, daun pisang dan kertas surat khabar untuk menggantikan barangan kebersihan peribadi. Ini mendedahkan wanita kepada risiko kesihatan yang teruk dan infeksi saluran kencing.[9]

Belajar dari Negara Lain

Namun begitu, bukan setiap berita berkaitan topik haid adalah sedih atau teruk. Terdapat beberapa negara lain yang Malaysia patut contohi. Mari meneliti apa yang telah dibuat oleh negara lain untuk mengurangkan dan memusnahkan kemiskinan haid:

Sumber: Shropshire Star
  • Scotland, yang diketuai menteri wanita mereka yang pertama, Nicola Sturgeon memberi akses percuma kepada barangan haid untuk semua wanita, dan berjaya memusnahkan kemiskinan haid dengan efektif.
  • Zambia mengetuai negara lain dengan memberi kelonggaran untuk semua wanita bercuti sehari setiap bulan apabila datang haid sejak tahun 2015.
  • Pada tahun 2016, negara Perancis mengurangkan cukai jualan untuk barangan haid dari 20% hingga menjadi 5.5%.
  • Beberapa negeri di Amerika berusaha untuk memansuhkan cukai jualan bagi ‘tampon’ pada tahun 2016. Usaha ini masih berterusan di negara mereka.[11]

Anda Boleh Menolong Menamatkan Kemiskinan Haid

Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mencadangkan beberapa cara agar kita semua boleh membantu untuk membasmi kemiskinan haid. Setiap individu boleh melakukan sesuatu dan kita boleh sama-sama mencipta perubahan positif untuk perempuan dan wanita yang bergelut sendirian. Perkara ini tidak perlu dijadikan stigma dan pantang larang. Berikut merupakan tiga perkara yang boleh dilakukan:

  • Menderma barangan kepada organisasi amal kemiskinan haid.
  • Memulakan kempen untuk memusnahkan kemiskinan haid dalam komuniti anda.
  • Sebarkan kesedaran melalui penulisan, blog atau post di media sosial.[12]

Masa Hadapan Kita

Organisasi dan komuniti sedang berganding bahu untuk menyebarkan kesedaran tentang isu ini, dan memainkan peranan  untuk menyediakan keperluan perempuan dan wanita yang bergelut dengan kemiskinan haid. Inilah antara mereka yang sedang menolong:

  • Athena Empowers merupakan perusahaan sosial yang menjual tuala wanita yang boleh diguna semula. Visi jangka masa panjang mereka adalah untuk mengurangkan kemiskinan haid melalui pelbagai bengkel pendidikan. Sebahagian daripada jualan mereka digunakan dalam program khidmat masyarakt dan mereka bekerjasama dengan NGO lain untuk mengagihkan tuala wanita guna semula kepada komuniti kurang berkemampuan.
  • Soroptimist Puberty Organising Toolkit (SPOT) Malaysia merupakan pergerakan yang dimulakan untuk perempuan oleh perempuan yang memfokuskan penyediaan pendidikan seksualiti yang komprehensif sejak tahun 2015. Program-program mereka sensitif dari segi budaya dan mereka mendorong wanita muda untuk membina sikap positif terhadap kesihatan pembiakan dan seksual.
  • @bungapads menjual tuala wanita guna semula dan mereka bekerjasama dengan @theshesociety untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan wanita dan isu kebersihan dalam kalangan generasi muda.

Sumber Kita:

  1. Goldberg, ML. (2018). Let’s Talk About Menstrual Hygiene. UN Dispatch. Link.
  2. Mah, J. (2019). Ladies, Here’s How Much Your Period Costs You Over Your Lifetime. Dollars and Sense. Link.
  3. UNFPA. (2020). Menstruation and human rights – Frequently asked questions. United Nations Population Funds. Link.
  4. UNICEF. (2018). Fast Facts: Nine things you didn’t know about menstruation. Link.
  5. Nortajuddin, A. (2020). It’s Time To Talk About Period Poverty. The Asean Post. Link.
  6. UNESCO. (2015). Puberty education & menstrual hygiene management. Link.
  7. Action Aid. Period Poverty. Link.
  8. Chatterjee, CB. (2006). Identities in Motion; Migration and Health In India. The Centre for Enquiry into Health and Allied Themes (CEHAT), Mumbai. Link.
  9. Kwan, F. (2020). The Painful Reality of Period Poverty in Malaysia. Free Malaysia Today. Link.
  10. Carvalho, M. et al. (2019). Education Ministry Must Gather Data On Students Affected By Period Poverty Says Hannah Yeoh. The Star. Link.
  11. AFP Relaxnews. (2020). What Is Period Poverty. The Star. Link.
  12. UN Women. (2019). I am Generation Equality: Amika George, period poverty and education champion. Link.

Diterjermah oleh: Wiki Impact dan Nurul Shaeera

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?