Site logo

Memulihkan Kemiskinan Dengan Kaedah Multidimensi

Tahukah anda bahawa kira-kira 84.3% kemiskinan multidimensi terjadi di sub-Sahara Afrika dan Asia Selatan? Apakah yang dimaksudkan dengan kemiskinan multidimensi? Kita akan lihat dengan lebih telilti dalam artikel ini.

Terdapat 530 juta orang miskin di Asia Selatan dan 558 juta orang miskin di Afrika Sub-Sahara.[1]

67% daripada peratusan kemiskinan global adalah dari negara berpendapatan sederhana. Di negara-negara tersebut, kemiskinan multidimensi dianggarkan dalam 0-57% secara nasional dan 0-91% pada peringkat wilayah.[1]

Apakah yang dimaksudkan dengan perangkaan tersebut? Hanya kerana sesebuah negara tidak diklasifikasikan sebagai miskin atau mempunyai kedudukan yang tinggi pada indeks antarabangsa, itu tidak bermakna rakyatnya bebas dari belenggu kemiskinan.

Apakah Kemiskinan Multidimensi?

Kemiskinan multidimensi ditakrifkan sebagai pelbagai kekurangan atau deprivasi di peringkat isi rumah atau individu dari aspek kesihatan, pendidikan dan taraf hidup. Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) mengumpulkan data untuk menunjukkan keadaan sebenar berdasarkan kiraan kepala serta intensiti ketersisihan menggunakan purata skor deprivasi.[2]

MPI memberikan pemahaman yang komprehensif mengenai pelbagai peringkat kemiskinan yang dialami oleh golongan kurang berkemampuan dan boleh digunakan untuk membandingkan kemiskinan di pelbagai negara dan wilayah. Ia juga boleh digunakan dalam sesebuah negara untuk membandingkan tahap kemiskinan di kalangan kumpulan etnik, lokasi bandar dan luar bandar serta ciri-ciri masyarakat yang lain.[2]

Rakaman berikut menunjukkan pelancaran maya Indeks Kemiskinan Multidimensi 2020 yang dihoskan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Putera Clem Ikanade Agba dari Nigeria menyampaikan kata-kata aluan dalam majlis tersebut.

Majlis Pelancaran Maya MPI 2020-Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu

Kemiskinan Lebih Meluas di Kawasan Luar Bandar

Apabila berbicara tentang negara yang sedang membangun, peratusan golongan miskin multidimensi adalah lebih tinggi di kawasan luar bandar berbanding dengan kawasan bandar. Bagi rantau Asia Selatan, 465 juta orang (37.6%) di kawasan luar bandar disenaraikan sebagai golongan miskin multidimensi manakala kawasan bandar hanya menyenaraikan seramai 65 juta orang (11.3%).[1]

Namun, apakah jenis kekurangan yang membelenggu golongan miskin multidimensi?

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mendapati bahawa 20.4% orang di negara-negara sedang membangun tidak mempunyai akses kepada bahan bakar yang bersih untuk memasak dan memerlukan perhatian segera. [1]

Negara-negara ini juga merangkumi kawasan luar bandar dan bandar Sub-Sahara Afrika, negara Arab, Amerika Latin, Caribbean dan Asia Selatan.[1]

Deprivasi alam sekitar yang merupakan kekurangan faktor penting persekitaran bagi menjamin kesihatan yang baik seperti udara bersih, air dan ruang yang mencukupi juga semakin membimbangkan di Asia Selatan.

Sumber: New Straits Times

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendapati sekurang-kurangnya 26.8% daripada populasi dunia (486 juta orang) kekurangan akses kepada salah satu daripada tiga petunjuk aras persekitaran yang disenaraikan di bawah.[1]

Jadual di bawah digunakan untuk mengukur MPI dan wajarannya. Ia memberi tumpuan kepada tiga dimensi utama dengan 10 penanda aras bagi pendidikan, kesihatan dan tara hidup. Individu yang mengalami deprivasi sekurang-kurangnya 1/3 daripada penunjuk wajaran berkenaan dikategorikan sebagai miskin multidimensi.

Sumber: The 2020 Global Multidimensional Poverty Index (MPI)

Menggunakan MPI di Malaysia

Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia telah mengadakan sebuah webinar pada Oktober 2020 untuk membincangkan kaedah pengukuran kemiskinan di Malaysia semasa kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11. Ia telah dipersetujui bahawa kemiskinan tidak semestinya diukur berdasarkan pendapatan kerana faktor kualitatif yang mencerminkan kerumitan kehidupan golongan miskin perlu diambil kira.[3]

Ia telah ditentukan bahawa faktor-faktor kemiskinan selain pendapatan boleh dinilai berdasarkan tahap pendidikan dan kesihatan serta taraf hidup. Dengan perkembangan teknologi yang berlaku kebelakangan ini, tahap sambungan digital juga wajar dinilai.[3]

Kerajaan telah mula mengamalkan pendekatan yang lebih holistik untuk mengukur kemiskinan melalui pengenalan kepada kemiskinan relatif dan Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) semasa kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11[3]

Ia juga dinyatakan bahawa kemajuan dalam pembangunan manusia telah terjejas kerana Covid-19. Disebabkan oleh kejadian yang tidak dapat dielakkan ini, dijangkakan kesan besar terhadap kemiskinan pelbagai dimensi mungkin berlaku berdasarkan dua petunjuk yang paling terjejas iaitu kehadiran sekolah dan pemakanan dalam kalangan kanak-kanak.[3]

Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas, latihan simulasi melibatkan 70 negara membangun telah diadakan. Simulasi ini mendapati bahawa kejatuhan ekonomi dan sosial berikutan Covid-19 berkemungkinan untuk mengembalikan tahap kemiskinan 9.1 tahun yang lepas.[3]

Walaupun usaha membasmi kemiskinan di Malaysia merupakan perjuangan yang masih jauh, kemunculan data dan idea-idea baharu memberikan sinar harapan kerana kita sedang memperbaiki diri kita sendiri. Kerajaan sedar dan sedang menyesuaikan diri dengan definisi kemiskinan yang baharu dalam usaha memahami keperluan rakyat dengan lebih baik agar segala perancangan yang dilakukan dapat memenuhi keperluan golongan kurang berkemampuan.

Rujukan:

  1. UNDP. (2020). The 2020 Global Multidimensional Poverty Index (MPI). Link.
  2. UNDP. (2020). What is the Multidimensional Poverty Index? Link.
  3. UNDP. (2020). Who are the poor and How are they poor? Link.

Diterjermahkan oleh: Nurul Shaeera

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?