Site logo

Kisah Saraswathy. Pengorbanan Seorang Ibu Tunggal Demi Membesarkan Empat Orang Anaknya.

Saraswathy Periyasamy, 42, merupakan seorang ibu tunggal yang gigih dan sentiasa berusaha dalam memastikan keempat-empat anaknya dibesarkan dalam keadaan yang mencukupi. Beliau merupakan salah seorang penduduk flat Projek Perumahan Rakyat di pusat bandar Kuala Lumpur.

Berdasarkan laporan terbaru terbitan UNICEF, Saraswathy mewakili 36%[1] daripada kategori isi rumah yang diketuai oleh wanita yang bekerja sendiri terkesan dengan penularan pandemik baru-baru ini. Sebagai pemberi nafkah utama, beliau memainkan peranan sebagai seorang ibu dengan bekerja sebagai suri rumah pada waktu siang manakala bekerja sebagai usahawan pembuat kuih pada waktu malam.

Menjana Pendapatan Melalui Hobi

“Saya gemar membuat kek dan kuih-muih untuk anak-anak saya bawa ke sekolah. Mereka selalu berkongsi dengan rakan-rakan sekolah, dan itu membuatkan mereka berasa sangat gembira”, ujar Saraswathy. Pada permulaannya, aktiviti membuat kuih-muih merupakan hobi beliau yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah perniagaan di rumah. Hal ini adalah kerana beliau menerima banyak maklum balas yang positif serta permintaan yang tinggi daripada semua orang yang telah merasa hasil buatan kuih-muihnya.

Malahan, beliau juga menerima permintaan orang untuk melakukan khidmat katering bagi acara majlis tahunan, majlis ulang tahun kelahiran serta majlis perjumpaan secara kecil-kecilan. Natijahnya, hasil pembuatan kuih-muihnya mendapat sambutan yang baik dan lama-kelamaan itu, aktiviti ini menjadi sumber utama pendapatan beliau.

Permasalahan Pandemik

Kebergantungan promosi pemasaran mulut ke mulut dan tempahan daripada kenalan rakan-rakan dan keluarga terdekat mengakibatkan permintaan jualan Saraswathy semakin merundum, terutamanya sejak kawalan pergerakan pada bulan Mac. Hal ini menyebabkan pendapatan beliau terjejas.

Tidak lama kemudian, beliau kemudian dihubungi oleh Women of Will (WOW) sebuah badan bukan kerajaan yang giat menghulurkan bantuan kepada golongan komuniti B40. Ini bukanlah kali pertama Saraswathy berjumpa dengan pihak organisasi WOW. Malahan, pihak organisasi  WOW telah menghulurkan bantuan dari segi peralatan, latihan, dan bimbingan kepada beliau dalam memulakan perniagaan dari rumah tersebut.

“Saya sangat bersyukur terhadap peluang yang diberikan oleh pihak organisasi WOW untuk memiliki perniagaan sendiri. Saya telah menghadiri latihan dan menerima banyak sokongan daripada mereka”, kongsi Saraswathy.

This image has an empty alt attribute; its file name is WhatsApp-Image-2020-11-03-at-12.11.00-PM-715x1024.jpeg

Sepanjang waktu pandemik, pihak organisasi WOW juga telah memberikan tunjuk ajar kepada beliau tentang menjalankan perniagaan secara atas talian, memulakan akaun media sosial, dan mempromosikan perniagaan beliau secara digital. “Sebelum ini, saya hanya menjual kek kepada orang yang saya kenali sahaja. Kini, saya menjual kek saya kepada orang yang saya tak kenali!” ujar Saraswathy dengan gembira.

“Semasa pandemik, pihak organisasi WOW tidak lupakan kami. Mereka datang membawa barang-barang dapur, topeng muka, sarung tangan, dan alat pembersih. Mereka juga memberikan kami sokongan tanpa rasa jemu,” tambah beliau. Perbuatan mulia seperti ini memberikan sinar harapan terutamanya ketika mengharungi detik yang sukar.

Pengunaan Telefon Bimbit Tunggal

Keempat-empat orang anak Saraswathy, dalam lingkungan usia dari 4 hingga 15 tahun, mengambil giliran untuk menggunakan telefon bimbit beliau bagi mengakses kehadiran kelas, kerja sekolah, serta tugasan atas talian. Setelah anak-anak beliau telah selesai menggunakan telefon bimbit, beliau akan mengambil alih penggunaan telefon bimbit tadi untuk memberi maklum balas kepada pelanggan, tempahan, dan mengurus perniagaannya.

Amalan sikap bertolak-ansur sangat dipraktikkan di rumah beliau. Apabila terdapat pertembungan jadual waktu kelas, anak-anaknya akan bertolak-ansur antara satu sama lain dengan membahagikan waktu kelas yang mereka perlu hadiri. Misalnya, seorang akan menghadiri kelas selama 10 minit sebelum memberikan peluang seterusnya kepada adik-beradik yang lain. Secara kebetulan, semua bahan pembelajaran dan kerja sekolah yang diberikan mudah diakses melalui aplikasi WhatsApp. Dengan ini, anak-anak beliau dapat menelaah ilmiah secara kendiri.

Memandangkan sekolah-sekolah ditutup, Saraswathy juga memainkan peranan sebagai seorang pengajar.

“Saya perlu membantu mereka dengan perihal sekolah. Pada setiap minggu, saya berada pada jarak kira-kira tiga kilometer dengan kedai cetakan yang berhampiran. Tambahan pula, khidmat pengangkutan “Grab” pula terlalu mahal dan saya tidak mempunyai kenderaan.”, ujar beliau.

Namun begitu, ini tidak bermakna Saraswathy kurang senang dengan situasi yang dihadapinya. Malahan, beliau berasa bersyukur kerana anak-anaknya masih boleh meneruskan pembelajaran.

This image has an empty alt attribute; its file name is WhatsApp-Image-2020-11-03-at-12.13.24-PM-1.jpeg

“Saya tahu bahawa anak-anak saya menghargai saya, terutamanya apabila mereka mengucapkan I love you”, ujar Saraswathy terhadap pandangan beliau tentang keperitan hidup yang dialaminya sangat mengagumkan. Sudah terang lagi bersuluh betapa pentingnya ikatan kasih ibu dan anak-anak.

Anak sulung beliau seorang yang ringan tulang dalam mempromosi perniagaan beliau, manakala anak-anak beliau yang lain pula memberikan bantuan dari segi kerja rumah dan menjaga satu sama lain semasa ibu mereka sedang sibuk membuat kuih-muih di dapur.

Apakah Yang Membuatkan Beliau Terus Bersemangat?

Saraswathy amat menghargai bantuan dan sumbangan daripada pihak organisasi WOW kepada keluarganya. Walaupun beliau sentiasa menghadapi cabaran sebagai pemberi nafkah kepada keluarganya, beliau ingin memastikan anak-anaknya tidak mengalami masalah yang pernah beliau hadapi. Beliau memberikan keutamaan kepada pelajaran anak-anak dan sangat komited dalam menyediakan mereka untuk menghadapi masa depan.

Sikap optimistik Saraswathy boleh menular dan menjadi inspirasi yang baik. Justeru, beliau boleh dijadikan sebagai contoh teladan yang baik untuk anak-anak beliau.

“Jika seseorang itu ada keinginan untuk mengubah hidupnya, maka individu tersebut haruslah melakukan sesuatu mengenainya. Di Malaysia, terdapat banyak peluang yang kita boleh ambil. Hanya diri kita sahaja yang perlu rajin mencarinya.”

Temui Instagram Saraswathy di Claires Cake House. Ikuti perkembangan beliau dan berikan sokongan anda kepada perniagaan beliau. Anda juga boleh menghubungi pihak organisasi Women of Will (WOW) untuk mengenalpasti bagaimana anda boleh menjadi sebahagian daripada usaha dalam membantu insan seperti Saraswathy.

Sumber:

  1. UNICEF, UNFPA, & DM Analytics. (October 2020). Families on the Edge (Issue 2): Status of the households post-MCO. Link.

Artikel diterjemahkan oleh Mazliana M (LinkedIn | Instagram)
Versi Bahasa Inggeris

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?