Jika anda merasakan bahawa membesarkan anak-anak bukan sesuatu kerja yang memenatkan, maka cubalah melakukannya tanpa sebarang pertolongan dan sokongan daripada pasangan anda, dan dalam masa yang sama, melakukan kerja rumah sambil bekerja sepenuh masa. Malangnya, inilah kenyataan yang biasa dilihat dalam kalangan ramai ibu tunggal di Malaysia.
Berdasarkan Banci Rumah dan Penduduk Malaysia pada tahun 2010 yang dilakukan oleh Jabatan Statistik, sejumlah 831, 860 wanita ataupun 2.9 peratus populasinya adalah janda, bercerai atau berpisah secara kekal[1].
Namun begitu, adalah amat sukar untuk menentukan definisi status perkahwinan mereka kerana masih lagi ramai wanita yang berada di dalam kawasan kelabu.
“Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat mentakrifkan ibu tunggal sebagai wanita yang belum berkahwin, berpisah atau bercerai, janda atau suaminya tidak dapat bekerja, dan mempunyai anak luar nikah yang tinggal bersama mereka[2]”
Tanpa kehadiran dan sokongan pasangan untuk menyumbang kepada tanggungjawab sebagai ibu bapa serta meletakkan makanan di atas meja, banyak ibu tunggal di Malaysia sering membesarkan anak-anak mereka dalam kemiskinan[3].
Dengan adanya pandemik Coronavirus ini, maka lebih banyak masalah akan wujud.
Adakah Gaji Ibu Tunggal Mencukupi?
“Menurut tinjauan oleh Institut Pemberdayaan Wanita Selangor, dari 442 orang wanita di Selangor yang ditinjau, 12 peratus ataupun 55 orang wanita merupakan ibu tunggal. Majoriti ibu tunggal (84%) mempunyai pekerjaan, sementara 16 peratus lagi terdiri daripada pesara dan suri rumah. Malangnya, 16 peratus ini memperoleh kurang daripada RM989 setiap bulan”[4]
Tinjauan itu juga mendapati bahawa 49 peratus ibu tunggal bergantung kepada gaji harian untuk pendapatan mereka. Tugas mereka melibatkan pembuatan roti, perniagaan katering, menjahit, mencuci pakaian dan perkhidmatan pengangkutan untuk kanak-kanak.
Ibu tunggal yang berasal dari kawasan luar bandar tidak mempunyai kelayakan dan pendidikan yang sesuai untuk bekerja dalam suasana pekerjaan yang formal. Oleh itu, banyak ibu tunggal tidak mempunyai pilihan selain mengambil pekerjaan yang berat, dengan gaji yang rendah untuk memenuhi keperluan mereka.
Ekonomi negara ternyata telah merosot akibat krisis COVID-19, dan tempiasnya paling dirasai golongan ibu tunggal. Seperti yang dilaporkan oleh Daily Express Sabah pada 8 Julai 2020, seramai 18, 700 orang ibu tunggal telah memohon bantuan kewangan dari Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan[5].
IWB juga menyatakan bahawa akibat wabak tersebut, 42 peratus ibu tunggal yang bekerja mengalami kerugian pendapatan disebabkan cuti tanpa gaji, penamatan kontrak kerja dan perniagaan tertutup. Sementara itu, hanya 37 peratus masih mempunyai pendapatan untuk menampung kehidupan mereka.[4]
SISTEM SOKONGAN YANG LEMAH UNTUK IBU TUNGGAL
Membesarkan seorang anak bukan sekadar menyediakan makanan dan sebuah tempat tinggal. Hal ini melibatkan mendidik, memelihara dan mendisiplinkan mereka untuk membawa perubahan dalam masyarakat. Namun hakikatnya, para ibu tunggal tidak mempunyai sistem sokongan yang sesuai untuk mereka melakukan tugas ini secara bersendirian.
Memanjat tangga korporat menjadi salah satu cara yang paling biasa dilakukan untuk melarikan diri daripada kancah kemiskinan. Tetapi hal ini juga mustahil dilakukan jika anda menjaga anak bersendirian. Oleh itu, ibu tunggal lebih cenderung untuk mengupah pengasuh kanak-kanak atau menghantar anak mereka ke pusat jagaan harian tetapi pilihan ini mengenakan kos yang tinggi. Kos purata untuk mengupah pengasuh boleh berharga dari RM300 hingga RM600 sebulan, bergantung kepada negeri yang didiami[6].
Bukan semua ibu tunggal mampu memiliki kemewahan untuk menjaga anak. Hal ini juga menambahkan tekanan untuk menyeimbangkan tanggungjawab di antara kerja dan keluarga. Ibu tunggal sering bergantung kepada kawan-kawan atau ahli keluarga mereka untuk sokongan emosi dan praktikal. Tambahan lagi, pengasingan ibu tunggal dari kawan-kawan mereka di dalam rangkaian sosial mengeruhkan lagi keadaan.
Semua Ini Memberikan Tekanan Psykologi
Beban dan tanggungjawab mereka telah mewujudkan persekitaran yang menekankan untuk ibu tunggal; mereka secara tidak langsung akan mengalami peningkatan kadar tekanan psikologi, gangguan emosi dan gangguan kegelisahan.
Masalah psikologi yang berpunca dari kesulitan kewangan telah menyebabkan beberapa ibu tunggal untuk mengundurkan diri ataupun berhenti kerja mereka sepenuhnya kerana mereka terpaksa menuntut kehendak penjagaan kanak-kanak.
Kesan psikologi COVID-19 juga telah menyebabkan beberapa masalah dalam 1 dari 3 rumah tangga yang diketuai oleh kaum wanita. Mereka menzahirkan perasaan ketakutan, kebimbangan, kegelisahan, kemarahan dan tekanan mereka mengenai keadaan kewangan mereka yang tidak menentu, kesejahteraan anak-anak serta ibu bapa mereka[7].
Bagaimanakah kita boleh membantu?
- Hulurkan bantuan
Golongan ibu tunggal ada di sekeliling kita. Mereka mungkin merupakan jiran kita, rakan sekerja atau ahli keluarga kita. Pertolongan kecil seperti mengawasi anak-anak mereka selama beberapa jam ataupun meringankan beban boleh memberi kesan yang positif kepada ibu tunggal.
2. Penjagaan kanak-kanak yang berpatutan (Affordable care) untuk semua
Usaha bersama pihak kerajaan Malaysia, organisasi bukan kerajaan, komuniti setempat dan sektor-sektor swasta harus dilakukan untuk menyediakan servis penjagaan anak yang berpatutan dan berkualiti untuk semua ibu tunggal yang berada dalam kemiskinan. Servis penjagaan kanak-kanak yang berkualiti tinggi dan profesional wujud, namun kos yang mahal menjadi halangan utama. Pemilihan di antara penjagaan kanak-kanak profesional ataupun kestabilan kewangan tidak seharusnya menjadi beban kepada para ibu tunggal.
3. Sokongan kewangan daripada kerajaan
Terdapat beberapa bantuan kebajikan yang boleh dipohon oleh ibu tunggal. Malangnya, ibu tunggal yang berada di dalam kemiskinan berkemungkinan tinggi tidak mempunyai akses internet ataupun tidak sedar akan kewujudan bantuan ini. Program jangkauan ini akan menghantar pekerja kebajikan untuk mengunjungi rumah mereka secara fizikal untuk mengumpul data serta menawarkan sokongan kewangan.
Berikut adalah beberapa badan kebajikan untuk ibu tunggal di Malaysia.
Kasih Ibu Smart Selangor (KISS): Program ini bertujuan untuk mengurangkan kos sara hidup dengan bantuan kewangan untuk membeli keperluan asas.
Bantuan Orang Tua: Bantuan kewangan untuk warga emas untuk menjalani kehidupan yang selesa dengan penjagaan dan sokongan daripada masyarakat setempat.
Women of Will: Organisasi nirlaba yang memberikan wanita yang kurang bernasib baik kemahiran dan pengetahuan untuk menjalankan perniagaan lestari mereka sendiri.
Rujukan:
- M. Carvalho. (2013). Deputy Minister: Fewer than 8% of single mothers receive aid. Link.
- M. A. Talib, N. K. A. Mutalib, S. M. Shahabudin, A. Madmud. (2020). Household Income and Life Satisfaction of Single Mothers in Malaysia. Link.
- S. L. Pong. (1996). School Participation of Children from Single-Mother Families in Malaysia. The University of Chicago Press Journals. Link.
- I. Lim. (2020). Survey: Single mothers among hardest hit by MCO, bear double burden of work and family. The Malay Mail. Link.
- Dailyexpress. (2020). Having a Women at Table. Link.
- H. Zainal. (2018). ‘Pay at least RM600 per child’. The Star. Link.
- Unicef. (2020). Families on the Edge Issue Two: Status of The Household Post MCO. Link.
Diterjemahkan daripada versi BI oleh Aida Iliana.