Site logo

Kemiskinan Diterangkan Dengan Lebih Mudah

Kemiskinan memberi kesan terhadap berjuta-juta manusia di seluruh dunia. Malah, apabila anda fikirkan tentang seseorang yang hidup dalam kemiskinan, anda akan membayangkan susuk tubuh yang kurus dan kusut, seseorang yang tinggal di kawasan setinggan ataupun rumah usang, seseorang yang tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli makanan yang berkhasiat serta keperluan peribadi. Walaupun anda mungkin tidak salah, tanggapan mengenai mereka yang miskin mungkin terlalu mudah. 

Apa yang anda lihat bukanlah segalanya. Kemiskinan bukan hanya kekurangan wang ataupun harta benda tetapi juga isu yang berkaitan dengan hak kepada keperluan asas dan perkhidmatan seperti pendidikan dan kesihatan. Kemiskinan merupakan kehilangan ataupun kekurangan kesaksamaan dan hormat untuk semua orang.

Sekarang, anda mesti beranggapan bahawa kemiskinan bukanlah satu perkataan yang mudah untuk didefinisikan. Kenyataannya, tiada satu pun maksud tunggal berkenaan kemiskinan. Isu ini adalah satu perkara yang kompleks yang terdiri daripada pelbagai penyebab dan penyelesaian. Namun, kita boleh bersetuju bahawa dunia tanpa kemiskinan semestinya adalah sebuah tempat yang lebih baik.

Oleh kerana itu, kami telah meletakkan beberapa penjelasan mengenai kemiskinan – apakah dan bagaimanakah keadaannya di Malaysia, mengapakah hal ini penting serta apakah yang anda boleh lakukan untuk mengatasinya.

Apakah definisi kemiskinan?

Bank Dunia mendefinisikan kemiskinan sebagai ‘ketidakupayaan untuk mendapatkan tahap kehidupan yang minimum[1]. Secara global, mereka yang hidup dengan pendapatan kurang daripada $3.10 sehari dikira sebagai miskin[2]. Mengikut Investopedia, kemiskinan adalah keadaan di mana seseorang atau komuniti kekurangan sumber kewangan dan keperluan untuk tahap kehidupan yang minimum[3]. Walaupun ramai masih mengaitkan kemiskinan dengan pendapatan, ianya lebih dari sekadar gaji. Mereka yang miskin kekurangan cara untuk mendapatkan keperluan, dilucutkan dari mendapatkan tempat berlindung yang bagus, kebersihan, makanan, pendidikan dan banyak lagi[3]. Kemiskinan mempunyai pelbagai dimensi.

Apakah Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK)?

Garis kemiskinan di Malaysia atau dipanggil sebagai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) adalah satu pengukur untuk kemiskinan tegar. PGK adalah berdasarkan pendapatan kasar isi rumah bulanan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan asas termasuk makanan dan bahan bukan makanan (pakaian, sewa, pengangkutan dan lain-lain). Isi rumah dengan pendapatan kasar di bawah PGK dikenali sebagai miskin mutlak dan isi rumah dengan pendapatan kasar kurang daripada separuh PGK dikenali sebagai miskin tegar[4]

Sebelum ini, PGK kebangsaan adalah RM980 sebulan. PGK ini memberi gambaran bahawa sebuah keluarga yang terdiri dari empat ahli dan tinggal di kawasan bandar perlu bertahan dengan RM8 seorang setiap hari. Ia kemudiannya diubah kepada RM2,208 pada 2019[4]. Amatlah penting untuk mengetahui bahawa PGK di Malaysia berlainan bagi Semenanjung Malaysia dan Borneo Malaysia kerana kos pendapatan di kedua-kedua kawasan ini berlainan.

Apakah perbezaan antara kemiskinan mutlak dan kemiskinan relatif?

Kemiskinan mutlak adalah apabila isi rumah jatuh di bawah garis kemiskinan kebangsaan dan mempunyai kekurangan dari segi asas keperluan kehidupan. Boleh diandaikan bahawa sesiapa yang tinggal di bawah PGK telah kekurangan keperluan asas kehidupan untuk jangka waktu yang panjang maka akan membahayakan nyawa. Perkara ini termasuk kekurangan asas-asas kehidupan termasuk makanan, air yang bersih, kemudahan kebersihan, kesihatan, tempat tinggal, pendidikan dan maklumat[1]

Kemiskinan relatif adalah apabila isi rumah memperoleh kurang dari garis kemiskinan di kawasan yang mereka tinggal. Kemiskinan relatif berlainan bergantung kepada lokasi kerana kawasan yang berlainan mempunyai kos hidup yang berlainan. Mereka yang jatuh di bawah takrif kemiskinan relatif bergelut untuk memastikan kehidupan masih berada dalam tahap purata. Sebagai contoh, walaupun sesebuah keluarga mampu membeli makanan dan mempunyai tempat tinggal, mereka masih dikatakan miskin jika mereka tidak mampu menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana kekurangan akses ataupun faktor-faktor lain yang membebankan mereka[1].

Adakah kemiskinan hanya berkaitan dengan duit? 

Kemiskinan bukan hanya berkaitan dengan wang yang diperolehi ataupun disimpan. United Nations Development Programme menganalisis kemiskinan melalui ‘Multidimensional Poverty Index’. Indeks ini mengukur kemiskinan melalui tiga dimensi yang mana dipecahkan lagi kepada sepuluh indikator kemiskinan. Indikator-indikator ini termasuk kesihatan (kematian kanak-kanak, nutrisi), pendidikan (tahun persekolahan, kemasukan), dan tahap kehidupan (air, kebersihan, elektrik, minyak masak, lantai, aset)[5].

‘Multidimensional Poverty Index’ di Malaysia sedikit berlainan. Di Malaysia, terdapat sebelas indikator yang terbahagi kepada empat dimensi[4]. Dimensi ini adalah Pendidikan (tahun persekolahan, kehadiran ke sekolah), Kesihatan (akses kesihatan, akses kepada air yang bersih), Tahap Kehidupan (keadaan tempat tinggal, kesesakan bilik, tandas, fasiliti kutipan sampah, pengangkutan, alat komunikasi asas) dan Pendapatan (purata bulanan pendapatan isi rumah). 

Apakah jenis-jenis kemiskinan? 

Di bawah merupakan penerangan tentang perbezaan di antara Kemiskinan Mutlak dan Kemiskinan Relatif, namun terdapat pelbagai jenis kemiskinan yang boleh diterangkan melalui keadaan yang menyebabkan mereka berada dalam kemiskinan dan kawasan yang mereka tinggal.

  • Kemiskinan mutlak: Kemiskinan yang terjadi apabila isi rumah jatuh di bawah garis kemiskinan kebangsaan dan kurang dari keperluan asas kehidupan[1]
  • Kemiskinan relatif: Merujuk kepada mereka yang berpendapatan kurang dari garis kemiskinan di kawasan mereka dan bergelut untuk menampung tahap kehidupan yang sama dengan orang dalam komuniti tersebut[1]
  • Kemiskinan keadaan: Kemiskinan yang disebabkan oleh krisis yang tiba-tiba dan kehilangan samada dari bencana alam, penceraian, kehilangan pekerjaan atau keadaan kesihatan yang teruk. Jenis kemiskinan ini selalunya bersifat sementara dan susah dijangka[6]
  • Kemiskinan bergenerasi: Berpunca daripada seseorang yang datang dari keluarga yang mengalami kemiskinan untuk dua ataupun lebih generasi. Oleh kerana mereka dilahirkan ke dalam keadaan sebegitu, mereka yang miskin bergenerasi susah untuk keluar dari kitaran kemiskinan. Mereka yang terperangkap dalam kemiskinan ini hanya fokus untuk bertahan hidup[1]
  • Kemiskinan luar bandar: Populasi tempatan yang susah untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan dan kemudahan asas seperti sekolah dan hospital. Mereka kekurangan peluang yang mana menyukarkan mereka untuk keluar dari belenggu kemiskinan[1]
  • Kemiskinan bandar: Berlaku kepada mereka yang tinggal di kawasan bandar di mana berlakunya kesesakan dan kos sara hidup yang tinggi. Walaupun kawasan bandar lebih terhubung dan mudah diakses, mereka yang hidup dalam kemiskinan di bandar mungkin berdepan dengan masalah seperti kebersihan, perumahan yang teruk, kekurangan dari segi peluang pekerjaan, hutang yang tinggi dan pekerjaan buruh kasar kerana kurang kelayakan[1]

Apakah kadar kemiskinan di Malaysia dan bagaimanakah keadaan sebelumnya? 

Pada 1977, kadar kemiskinan Malaysia adalah 46%[5]. Pendapatan Garis Kemiskinan pada 2014 adalah RM930 untuk Semenanjung Malaysia, RM990 untuk Sarawak dan RM1,170 untuk Sabah[4]. Tidak lama selepas itu, ianya berubah kepada RM980 pada 2016. Pada waktu ini, kadar kemiskinan mutlak Malaysia adalah 0.4% yang bermaksud hanya 24,700 isi rumah di seluruh negara telah dikategorikan sebagai miskin pada tahun 2016[4]

Apabila PGK digubah pada tahun 2019, kadar kemiskinan kebangsaan meningkat ke 5.7%, bersamaan 405,441 isi rumah tergolong dalam kategori miskin[7]. Mengikut Laporan Kemiskinan 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), peningkatan kemiskinan mutlak berlaku sehingga 8.4% yang bersamaan dengan 639,800 isi rumah.[8].

Apakah maksud sebenar B40? 

B40 atau ‘Bottom 40’ merujuk kepada mereka yang berada di bawah 40% daripada kumpulan pendapatan di Malaysia. Mana-mana isi rumah yang berpendapatan antara RM4,849 atau kurang jatuh ke dalam kategori B40. Pendapatan bagi B40 dipecahkan kepada B1 (bawah RM2,500), B2 (RM2,501 – RM3,169), B3 (RM3,170 – RM3,969) dan B4 (RM3,970 – RM4,849)[9]

Apakah yang dimaksudkan dengan M40 dan T20? 

M40 atau ‘Middle 40’ merujuk kepada golongan pertengahan Malaysia. Sama seperti B40, kumpulan pendapatan ini membentuk 40% populasi negara. Pendapatan bagi M40 adalah antara RM4,850 sehingga RM10,959. M40 dibahagikan kepada M1 (RM4,850 – RM5,979), M2 (Rm5,880 – RM7,099), M3 (RM7,110 – RM8,699) dan M4 (RM8,700 – RM10,959). Walaupun istilah kelas pertengahan mewakili suatu tahap keselesaan, kumpulan ini berdepan kos hidup yang tinggi dan tidak boleh memohon bantuan kerajaan[9]

T20 atau ‘Top 20’ merujuk kepada mereka yang berada di kumpulan T20 teratas dalam kumpulan pendapatan di Malaysia. Dipecahkan kepada T1 (RM10,961 – RM15,039) dan T2 (melebihi RM15,040), mereka mewakili kelas atasan di Malaysia[9]

Di manakah Malaysia berada dibandingkan dengan negara-negara lain? 

Untuk menurunkan kadar kemiskinan kebangsaan, rakyat perlulah mempunyai akses kepada pendidikan, khidmat kesihatan yang lengkap, air yang bersih dan peluang pekerjaan untuk membantu situasi kewangan mereka. Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mendefinisikan kadar kemiskinan sebagai bilangan individu yang berada di dalam sesuatu kumpulan umur yang mana pendapatan mereka jatuh di bawah garis kemiskinan[10]

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh DOSM, Malaysia mempunyai kadar kemiskinan yang meningkat dari 5.6% (2019) ke 8.4% (2020)[8]. Kadar ini lebih tinggi daripada negara jiran seperti Vietnam (6.7%), Indonesia (9.8%) dan Thailand (9.9%)[10]. Pandemik telah memberi kesan terhadap ekonomi di seluruh dunia dan kemiskinan terus menjadi satu isu yang perlu ditanggani.

Siapakah yang paling terkesan dengan kemiskinan di Malaysia? 

Terdapat pelbagai komuniti yang terdedah kepada kemiskinan di Malaysia. Isi rumah yang bergelut boleh dilihat di seluruh negara. Kemiskinan boleh dijumpai pada kanak-kanak, orang dewasa dan mereka yang berusia. Walaupun skop kemiskinan lebih tertumpu kepada golongan B40, mereka yang miskin di Malaysia juga tertumpu dalam komuniti terpinggir seperti pelarian, orang tidak berwarganegara, gelandangan, Orang Asli malah warganegara tempatan (Orang Asal).

Di manakah mereka yang berada dalam kemiskinan di Malaysia? 

Mengikut kajian Pendapatan Isi Rumah bagi setiap daerah, majoriti daerah di Malaysia jatuh di bawah kategori B40. Setakat tahun 2020, Sabah mempunyai kadar kemiskinan tertinggi dalam negara iaitu 19.5%. Kelantan adalah kedua tertinggi dengan kadar kemiskinan pada 12.4% dan Sarawak ketiga pada 9%[11]

Layari ‘Wiki Impact’s Poverty Map’ untuk visual data pendapatan yang dikategorikan mengikut negeri dan daerah di Malaysia.

Di manakah kemiskinan paling tertumpu di Malaysia?

Terdapat sejumlah lima daerah B1 di Malaysia. Daerah-daerah ini termasuk Petaling (RM1,999 pendapatan median), Tongod di Sabah (RM2,197), Kota Marudu di Sabah (RM2,425 pendapatan median), Port Dickson (RM2,449 pendapatan median) dan Julau di Sarawak (RM2,731 pendapatan median). Ini adalah daerah-daerah dengan pendapatan median yang paling rendah[11]

Lima daerah di Malaysia telah merekodkan kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia. Tongod mempunyai kadar kemiskinan yang paling tinggi (56.6%), diikuti Pitas (53.6%), Kota Marudu (46.1%), Beluran (45%) dan Telupid (40.7%)[11]

Apakah yang saya boleh lakukan untuk membasmi kemiskinan? 

Oleh kerana kemiskinan mempunyai banyak dimensi, terdapat pelbagai cara untuk membantu mengenal pasti masalah. Ya, anda boleh menderma kepada mereka yang memerlukan tetapi sentiasa mengambil langkah yang diperlukan untuk memastikan sumbangan anda pergi kepada pihak yang betul. 

Terdapat banyak organisasi yang mengalu-alukan anda yang berminat untuk meluangkan masa dengan membantu mereka. Dalam sektor pendidikan, Teach for Malaysia dan Borneo Komrad telah bertindak untuk membimbing generasi seterusnya. Bagi makanan dan nutrisi, terdapat banyak tabung makanan yang boleh dijumpai di serata negara.

Ada juga yang mahu membantu untuk jangka waktu yang panjang bagi mereka yang memerlukan. Syarikat-syarikat ini bekerja dalam ‘upskilling’ komuniti yang mudah terdedah dan menyediakan mereka dengan peluang pekerjaan dan kemahiran yang boleh membantu mereka memperoleh pendapatan sendiri.

Anda juga boleh berfikir secara kreatif tentang bagaimana untuk menggunakan bakat dan kenalan yang anda miliki untuk membuat perubahan. Wiki Impact telah menyenaraikan tujuh langkah hebat untuk membuat perubahan. Jika anda masih bertanya “Di manakah mereka yang miskin di Malaysia?” dan “Siapakah ‘Changemakers’ Di Kawasan Saya?” – tidak usah risau. Lihat peta menyeluruh yang kami sediakan dan mulakan perjalanan anda dalam memberi semula kepada masyarakat.

Explore Our Sources: 

  1. Papertyari. (2018). What is Poverty, Types of Poverty, Poverty Line Explained. Link
  2. World Vision. (2021). What is Poverty? It’s Not As Simple As You Think. Link. 
  3. J. Chen. (2020).  Poverty. Investopedia. Link
  4. I. Lim. (2019). How Malaysia Is Measuring Poverty Levels and How It Can Do Better. Malay Mail. Link.
  5. SDNS. (n.d). Indicators and Monitoring Framework. 3. Multidimensional Poverty Index. Link.
  6. Fly Malaysia. (2020). A Comprehensive Breakdown of Malaysia’s Poverty Measurement. Link
  7. S. S. Jaafar. (2020). Malaysia’s absolute poverty rate at 5.6% — chief statistician. The Edge Market. Link
  8. Department of Statistics Malaysia. (2021). Household Income Estimates and Incidence of Poverty Report, Malaysia, 2020. Link.
  9. PropSocial Editor. (2021). What is the B40, M40, and T20 income Classification in Malaysia? Malaysia Income Classification. Link.
  10. World Population Review. (2021). Poverty Rate by Country 2021. Link.
  11. Wiki Impact. (2020). Poverty Map Version 1. Link
  12. A. Geraldine. (2020). Sabah Ranks As Malaysia’s Poorest State, Again. New Straits Times. Link.

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?