Kadar pengangguran yang meningkat, kerugian dalam perniagaan, pelajar berhenti sekolah merupakan antara impak pandemik yang dapat dilihat dengan jelas. Walau bagaimanapun, terdapat juga impak yang dihadapi oleh rakyat negara ini yang tidak jelas kelihatan, dan jika berlarutan, pasti akan membawa kepada masalah yang lebih besar.
Janganlah kita mengambil ringan mengenai impak pandemik terhadap kesihatan mental rakyat negara ini. Ramai yang mengalami masalah kewangan, dan menghadapi masalah tidak kira dari segi sosial mahupun emosi. Dengan penutupan pelbagai sektor dan sekatan seluruh negara serta peningkatan dalam bilangan kes Covid-19, tidak hairanlah rakyat juga terkesan, dan berasa takut, resah, dan risau.
Apabila data dikeluarkan, kebanyakannya mewakili bilangan nyawa yang terkorban kerana masalah mental.
Baru-baru ini, UNICEF telah mengeluarkan isu terakhir laporan ‘Families on Edge’ pada Mei 2021, dan laporan tersebut memberi pencerahan terhadap beberapa masalah mental yang dihadapi oleh keluarga berpendapatan rendah semasa pandemik. Walaupun kita berfikiran bahawa orang ramai telah dapat menyesuaikan diri dengan norma baru, angka ini menunjukkan bahawa ia bukanlah realiti bagi sesetengah pihak.
Kerisauan Yang Dihadapi Oleh Ketua Rumah
Menurut laporan tersebut, 60% daripada mereka yang terjejas daripada PKP pada Mac 2021 menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai duit yang mencukupi untuk membeli makanan untuk keluarga mereka. Jumlah ini telah berlipat ganda sejak bermulanya pandemik.
Dua kerisauan utama yang dihadapi oleh ketua rumah daripada keluarga B40 bandar adalah situasi kewangan dan kemampuan mereka untuk membeli makanan kepada keluarga mereka (44%). Mereka juga bimbang memikirkan tentang pendidikan anak-anak mereka semasa pandemik (44%)[2].
Situasi bagi isi rumah yang diketuai oleh golongan wanita juga dilaporkan menghadapi cabaran yang sama, dimana 50% daripada mereka risau akan kemampuan untuk menyediakan makanan kepada anak-anak dan 39% daripada mereka telah menyatakan kerisauan terhadap pendidikan anak-anak mereka[2].
Bagaimana Keluarga Berpendapatan Rendah Berhadapan Dengan Masalah Mental?
Apabila diminta untuk menghuraikan keadaan mental mereka, 19% daripada ketua rumah menyatakan bahawa mereka berasa tertekan. Walaupun jumlah ini kurang daripada 30% yang dilaporkan pada Disember 2020, ia masih merupakan isu yang besar kerana ini bermaksud 1 daripada 5 ketua rumah menghidapi kemurungan[2].
Daripada ketua rumah wanita, 22% menyatakan bahawa mereka menghidap kemurungan sejak Mac 2021 berbanding 38% yang telah dilaporkan pada Disember 2020[2].
Kanak-kanak Daripada Keluarga Berpendapatan Rendah Juga Tidak Lari Daripada Tekanan Disebabkan Oleh Pandemik
Selain itu, 1 daripada 4 ibu bapa menyatakan bahawa anak mereka mengalami ketagihan internet dan media sosial manakala 1 daripada 5 melaporkan bahawa anak mereka mempunyai masalah sukar tidur[2].
Siapa Yang Boleh Membantu Semasa Waktu Begini Yang Sukar
Secara menyeluruh, kerajaan telah mengakui kepentingan menangani masalah kesihatan mental dan telahpun memperuntukkan RM24 juta dalam Belanjawan 2021 dalam usaha untuk memberi khidmat kesihatan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia. Walaupun ini kelihatan seperti langkah yang betul, ia masih tidak mencukupi kerana golongan miskin bandar perlu lebih banyak perhatian disebabkan situasi kehidupan mereka yang terpaksa dihadapi[3].
Salah satu cara yang bagus untuk menangani isu ini adalah dengan memastikan setiap ahli dalam sesuatu komuniti itu sentiasa menjaga antara satu sama lain. Terdapat juga beberapa badan organisasi yang memberi perkhidmatan yang berpatutan, dan misi mereka adalah untuk memberi sokongan dan nasihat kepada kumpulan berpendapatan rendah. SOLS Health dan Malaysian Mental Health Association (MMHA) menawarkan sesi kaunseling dengan hanya RM50 bagi setiap sesi. Changemakers ini juga memerlukan pertolongan dari segi sukarelawan dan derma supaya mereka dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.
Kita haruslah saling bantu-membantu dalam memberi semangat kepada warga komuniti dan rakyat. Jangan pernah berhenti – tidak kiralah jiran seberang jalan atau keluarga yang tinggal bersendirian. Ini adalah antara senarai NGO yang sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesihatan mental komuniti pada harga yang berpatutan.