Site logo

Jenayah Siber Semakin Meningkat! Ambil Tahu dan Berhati-hati

COVID-19 telah mempercepat langkah Malaysia menuju era digitalisasi. Sama ada untuk hal-hal kerja, sekolah, membeli-belah atau hiburan, tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa kebergantungan kita pada ruang maya telah meningkat bersama dengan kawalan pergerakan duduk di rumah – kesemuanya demi menjaga keselamatan rakan-rakan dan keluarga tersayang.

Malangnya, sebilangan individu yang berniat jahat memutuskan untuk mengeksploitasi keadaan ini untuk kepentingan mereka sendiri.

Keresahan melampau dan kebergantungan tinggi pada internet telah mengeruhkan lagi elemen buruk dalam dunia maya. Tanpa kita sedar, wabak ini telah mencipta ribut sempurna untuk kemunculan ancaman ghaib COVID-19: jenayah siber.

Sumber: Focus Malaysia

Penjenayah siber bersembunyi di sebalik pautan yang dihantar melalui e-mel dan SMS, bersedia dengan taktik jahat untuk memperdaya individu yang bekerja dari rumah. Tanpa pakar IT syarikat, saluran keselamatan dan keselamatan sistem rangkaian korporat, individu yang bekerja dari rumah terdedah kepada ancaman siber seperti kecurian data dan internet fraud (penipuan dalam talian).

Dalam enam bulan pertama 2021 sahaja, 4 615 kes jenayah siber telah dilaporkan kepada Pusat Bantuan CyberSecurity Malaysia (CSM) Cyber999[1]. Fraud merupakan sebahagian besar kes keseluruhan.

Kebergantungan terhadap perbankan dalam talian juga telah membuka lebih banyak ruang untuk kecurian identiti dan wang. Yang lebih memburukkan lagi keadaan, sebilangan penjenayah siber mengeksploitasi ketakutan rakyat ketika pandemik kini dengan menggunakan kata kunci COVID-19 dalam taktik penipuan mereka. Akibatnya, semakin ramai orang menjadi mangsa kepada maklumat salah dan secara tidak sedar terlibat dalam transaksi atau pengumpulan dana COVID-19 yang palsu.

Sumber: Straits Times

Taktik kejuruteraan sosial mereka semakin tahun semakin canggih, dan hal ini membolehkan mereka memperdaya mangsa dengan menghantar e-mel yang seolah-olah memang dihantar oleh rakan sekerja, organisasi sebenar, mahupun pihak berkuasa bank dan polis.

Pada 14 Mei misalnya, seorang pesara kehilangan RM102,000 setelah ditipu oleh individu yang mendakwa dirinya bekerja untuk Bank Negara Malaysia[2]. Pada 2 Jun pula, seorang bekas penjawat awam dari Jabatan Kesihatan kehilangan wang pencen sebanyak RM60,000 kepada penipu yang menuduhnya menyimpan vaksin Covid-19[3].

Sudah terang lagi bersuluh bahawa penjenayah siber sedang mengambil kesempatan atas situasi pandemik ini untuk menggunakan taktik kejuruteraan sosial (misalnya, pancingan data) untuk memperdaya mangsa. – Yeo Siang Tong, Pengurus Besar Kaspersky.[4]

Jenayah siber semakin berleluasa pada masa ini, terutamanya disebabkan ketakutan dan kebimbangan besar dalam kalangan rakyat Malaysia. Sekarang, amat penting bagi kita untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan yang diperlukan untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa gejala ini.

Sumber: Unreserved Media

Melindungi Diri Kita Daripada Jenayah Siber

#1: Patuhi Garis Panduan Keselamatan Dalam Talian

  • Jangan sesekali berikan data peribadi melalui telefon atau e-mel kecuali anda benar-benar yakin talian tersebut adalah selamat.
  • Jangan buka apa-apa fail yang dikirimkan oleh orang yang tidak dikenali.
  • Jangan klik atau muat turun pautan dalam e-mel spam atau sumber yang tidak dikenali.
  • Pastikan perisian dan sistem operasi antivirus anda dimuat turun dalam versi terkini untuk melindungi peranti anda dari ancaman keselamatan.
  • Gunakan Pengesahan Berbilang Faktor (Multi-Factor Authentication) seperti pengesahan telefon dan e-mel.

#2: Elakkan Penipuan COVID-19

  • Sentiasa semak maklumat COVID-19 yang diterima dari e-mel atau media sosial dengan sumber rasmi.
  • Jangan klik pautan mencurigakan yang diberikan kepada anda, sahkan dengan pengirim atau agensi yang dipercayai.
  • Layari laman web kerajaan yang rasmi untuk mendapatkan maklumat berdasarkan fakta yang sah dan terkini.
  • Sebelum membuat sumbangan dalam talian, periksa kesahihan organisasi yang terlibat dengan cara menghubungi syarikat berkenaan melalui nombor telefon yang dipaparkan di laman web rasmi mereka.

 # 3: Jangan menjadi mangsa!

  • Jangan panik apabila anda menerima panggilan daripada seseorang yang mendakwa dirinya anggota pihak berkuasa.
  • Polis tidak akan mengancam untuk menangkap sesiapa melalui panggilan telefon, jadi berhati-hati sekiranya mendapat panggilan telefon sebegini.
  • Jangan ikut arahan pemanggil yang tidak dikenali atau dedahkan maklumat peribadi anda.
  • Jika curiga, semak dengan organisasi yang disebut oleh pemanggil dengan menghubungi talian rasmi mereka. Jangan dail semula apa-apa nombor yang dikongsi dalam perbualan.
  • Untuk melaporkan kejadian jenayah siber, hubungi Cyber999 melalui talian kecemasannya di 1300 882 999 (9.00 pagi hingga 9.00 malam) atau nombor telefon 019-266 5850 (talian bantuan 24 jam).

Explore Our Sources

  1. Tariq, Q. (2021). Saifuddin: More Cybercrime Reported During The Pandemic. The Star. Link.
  2. Shanmugam, M. (2021). Alternative Views: Cybercrime on the rise amid the pandemic. The Edge. Link.
  3. RSN Murali. (2021). ​​Health Dept retiree scammed of RM60,000 after being accused of hoarding vaccines. The Star. Link.
  4. Yunus, R. (2021). Online frauds rise during Covid-19 pandemic. The Malaysian Reserve. Link.

 

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?