Site logo

Jaringan Keselamatan Sosial: Golongan Miskin Bandar Kurang Dilindungi Dalam Pandemik

Sepanjang waktu pandemik, hampir setiap warga Malaysia, sama ada warganegara atau tidak, cuba mendapatkan bantuan daripada kerajaan. Tak kira bantuan kewangan, makanan atau perlindungan sosial, skim-skim kerajaan amat diperlukan untuk meredakan impak yang tidak terhingga akibat sekatan pergerakan berkali-kali dan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara. Sebelum kita membincangkan keberkesanan program-program perlindungan sosial ini, kita perlu melihat dulu betapa teruknya keadaan kewangan komuniti miskin bandar terjejas.

Keluarga Diketuai Wanita Paling Terkesan Dalam Pandemik

Sudah jelas lagi nyata bahawa ekonomi kita mengalami pergolakan sepanjang tahun ini. Namun, terdapat peningkatan pendapatan secara purata sebanyak RM118 (4%) bagi keluarga-keluarga miskin bandar[1]. daripada RM2,777 pada tahun 2019 ke RM2,895 pada tahun 2021[1]. Peratusan peningkatan yang sama juga berlaku pada keluarga diketuai OKU.

Sumber: Free Malaysia Today

Sebaliknya, keluarga diketuai wanita tidak senasib baik. Daripada peningkatan, pendapatan bulanan purata mereka berkurang sebanyak RM30 (1%) dan kebanyakan wanita ini mengalami pengangguran dan pengurangan masa bekerja[1]. Akibat kegagalan untuk bergaji secara formal atau menerima gaji tetap, mereka perlu mencari jalan lain untuk memenuhi keperluan kehidupan – menjual makanan, makanan ringan, menawarkan perkhidmatan pembersihan dan kerja-kerja rencam lain.

Laporan terkini UNICEF pada Mei 2021 berkenaan “Keluarga Terpinggir” menunjukkan bahawa keluarga diketuai wanita hanya mampu memperoleh RM1,357 pada tahun 2021 daripada RM1,465 pada tahun 2019[1].

Kedua-dua angka ini tidak jauh daripada upah minimum nasional, iaitu RM1,200[2], tetapi jauh lebih rendah daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu sebanyak RM2,208[3]

Bagaimana Golongan Miskin Bandar Melangsungkan Kehidupan?

Tahukah anda, semasa pra-pandemik, perbelanjaan purata sesebuah keluarga miskin bandar adalah RM1800? Kini, nilainya masih tidak berubah-ubah. Bagaimana golongan miskin bandar melangsungkan kehidupan? Kebanyakan mereka telah hilang pekerjaan, dikurangkan masa bekerja atau terpaksa mencari kerja-kerja sampingan.

Apabila berdepan dengan pandemik global, bukan sahaja belanjawan golongan miskin bandar lebih terkekang, malah perbelanjaan keseluruhan mereka berubah juga. Sebelum ini, sebahagian besar belanjawan mereka jatuh pada makanan (36%, iaitu RM645), pendidikan (21%, iaitu RM383) dan pengangkutan (19%, iaitu RM337)[1]. Peruntukan untuk sewa hanya RM168 sebulan, manakala penjagaan dan kesihatan hanya diberikan RM72 dan RM82 masing-masing[1]

Namun begitu, setakat bulan Mac, kebanyakan keluarga ini terpaksa mengurangkan belanjawan makanan mereka. Pengurangan sebanyak 9% hanya meninggalkan RM588 sebulan bagi makanan sekeluarga[1], kira-kira RM20 sehari.

Sumber: UNICEF

Laporan UNICEF yang sama telah menunjukkan bahawa meskipun dalam tempoh pandemik, harga makanan masih naik pada tahun 2020. Golongan miskin bandar terpaksa berdepan dengan peningkatan harga makanan di samping menyesuaikan anggaran supaya bersiap sedia menghadapi situasi yang terburuk. Semua ini mengakibatkan perubahan dalam diet.

Kami hanya mampu beli sayur murah. Hanya apabila ada wang berlebihan, baru kami boleh beli buah-buahan. – ibu tunggal bekerja sendiri[1]

Mekanisme Bertahan Hidup Golongan Miskin Bandar

40% daripada mereka terpaksa bergantung pada simpanan peribadi masing-masing. Bantuan kerajaan datang selepasnya[1]. 1 daripada 3 ketua keluarga bergantung pada bantuan kerajaan untuk menangani kekangan kewangan manakala 4 daripada 10 ketua keluarga wanita bergantung pada bantuan sama[1]. Akan tetapi, kita harus juga ingat bahawa bantuan-bantuan ini adalah tidak konsisten, sehingga ramai terpaksa mencari kaedah “penjimatan wang” baharu.

25% daripada kesemua keluarga mengurangkan pengambilan makanan, seperti yang ditunjukkan dalam perbelanjaan bulanan mereka[1]

Ada juga yang meminjam wang daripada rakan dan keluarga, menunda pembayaran tunggakan seperti sewa dan bil utiliti, bekerja separuh masa dan ada juga yang menjual aset peribadi mereka[1]

Perlindungan Sosial Tidak Diberikan Dalam Kalangan Golongan Miskin Bandar

Pada tahun 2021, kerajaan membenarkan orang awam untuk mengeluarkan wang dari akaun KWSP melalui inisiatif i-Sinar[4]. Tidak disangka-sangka, hanya 4% daripada golongan miskin bandar sahaja yang memanfaatkannya, kira-kira 3 daripada 10 warga Malaysia mengambil keputusan untuk mengosongkan akaun mereka sepenuhnya apabila diberikan peluang tersebut[5]. Sama ada golongan miskin bandar enggan mengeluarkan simpanan duit pencen atau mereka langsung tidak memiliki akaun KWSP.

Sumber: Malaysian Reserve

Saya terpaksa meminjam untuk membeli makanan kerana bantuan tidak mencukupi… Saya betul-betul tidak mempunyai duit atau simpanan.Puan Z., 44 tahun, ibu tunggal dengan seorang anak yang masih bersekolah[1]

45% ketua keluarga tidak ditawarkan perlindungan sosial atau insurans. Kadar ini meningkat lagi bagi ketua keluarga wanita dan OKU, iaitu 50% dan 92% masing-masing[1].

Pekerja informal merujuk kepada mana-mana pekerja yang tidak diberikan akses kepada sekurang-kurangnya satu skim keselamatan sosial atau faedah pekerja. Tidak kira berapa lama mereka bekerja dengan majikan masing-masing, mereka tidak menerima:

  • Pencen
  • Insurans kesihatan asas
  • Insurans kecederaan
  • Faedah hilang upaya
  • Faedah bertahan hidup
  • Cuti tahunan berbayar
  • Cuti sakit berbayar
  • Cuti bersalin berbayar
  • Insurans pengangguran
  • Bantuan kerajaan lain seperti Program Subsidi Upah (PSU)[1]

Kurang Perlindungan Dan Bantuan Bagi Golongan Bekerja Sendiri

Disebabkan pemberhentian atau pengangguran, golongan miskin bandar terpaksa mencari kerja-kerja alternatif lain seperti bekerja sendiri. Dalam kalangan golongan bekerja sendiri, majoriti tidak memperoleh perlindungan sosial, iaitu 9 daripada 10 orang tidak memiliki KWSP atau SOCSO. Malah, 1 daripada 4 pekerja swasta tidak memiliki KWSP atau SOCSO[1].

Penemuan lebih mendalam juga mendapati bahawa sebahagian besar daripada golongan bekerja sendiri tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan. Setakat Mac 2021, hanya 34% sahaja yang berdaftar bawah SSM dan 24% bawah pihak berkuasa tempatan. Isu lesen perniagaan bertarikh luput biasa berlaku[1].

Sumber: World Bank

Tanpa asas yang kukuh dan wang yang mencukupi bagi skim-skim perlindungan sosial, golongan miskin bandar tidak mempunyai banyak pilihan sekiranya mereka kekurangan wang. Bantuan terbesar dan tercepat bagi keluarga-keluarga ini adalah pengurangan kos supaya mereka masih berbaki duit untuk bulan tersebut. Setelah setahun pandemik ini berlaku, jelas bahawa golongan miskin bandar masih memerlukan bantuan.

Kebanyakan ketua keluarga lebih berpihak kepada inisiatif-inisiatif seperti Bantuan Sara Hidup (65%), pengecualian sewa untuk mengurangkan perbelanjaan (20%) dan penundaan pembayaran pinjaman untuk menguruskan aliran tunai (8%). Hanya 7% yang melihat pengeluaran wang KWSP sebagai bantuan yang berguna – barangkali kerana mereka langsung tidak memiliki perlindungan sosial[1]

Rujukan:

  1.  UNICEF. (2021). Families on the Edge: Issue 4: Two-Steps Forward, One Step Back: The New Normal for Malaysia’s Urban Poor? Link. 
  2. A. F. Medina. (2020). Malaysia Increases Minimum Wage. ASEAN Briefing. Link.
  3. I. Lim. (2020). Statistics Dept: Malaysia’s new poverty line income is RM2,208, over 400k households considered poor. Malay Mail. Link.  
  4. Y. W. Xiang. (2020). You Can Now Withdraw From Your EPF Account 1. Check Here To See If You’re Eligible. Says. Link. 
  5. P. Gunasegaram. (2021). 3 out of 10 active EPF members empty retirement accounts. The Vibes. Link.

Diterjermahkan oleh: Lee Hao Jie

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?