Site logo

Guru Agama Menyewa Kantin Sekolah Untuk Memberi Makan Kepada 600 Buah Keluarga

Cikgu Nor Azainah Adnan, 52, sering mengenal pasti pelajar yang sukar menumpukan perhatian di dalam kelas akibat keletihan dan kelaparan. Sejak 2019, beliau memutuskan untuk mengunjungi pelajar-pelajarnya di rumah secara berkala. Di sana, beliau meluangkan masa untuk memahami cabaran yang mereka hadapi dan mencatat keperluan mereka. Lama-kelamaan, koleksi catatan ini kini menjadi pangkalan data yang mengandungi maklumat sekitar 600 buah keluarga di Lembah Subang yang telah dibantu olehnya.

Disebabkan kelas saya bermula pada jam 2.30 petang, saya akan bertanya kepada pelajar saya apa yang telah mereka makan, dan ada antara mereka yang memberitahu saya bahawa mereka hanya makan roti biasa. Mereka mengatakan bahawa ibu mereka tidak memasak kerana kehabisan barang dapur di rumah. Saya mencatatkan nama pelajar dan mengunjunginya kemudian.Cikgu Nor Azainah

Sebagai guru sekolah, Cikgu Nor Azainah bertemu dengan pelajar dari pelbagai lapisan masyarakat. Beliau bertekad untuk mengenali mereka secara individu dan bukan hanya dari aspek kelas atau pencapaian semata-mata.

Sebilangan pelajar saya berasal dari keluarga yang bermasalah dan memerlukan bantuan, lebih- lebih lagi mereka yang tinggal bersama ibu tunggal. Kelaparan sering menjadi isu bagi isi rumah yang mempunyai anak yang ramai. Sebahagian daripada anak-anak yang sepatutnya dilindungi ini terpaksa mencuri kerana terdesak.  – Cikgu Nor Azainah

Tampil Ke Hadapan Untuk Membantu Keluarga Dalam Kesusahan

Semenjak bermulanya wabak COVID, beliau sudah menjangkakan bahawa komunitinya akan terjejas teruk. Memang benar, ramai penduduk kawasannya terpaksa berhenti kerja. Sebahagian besar daripada mereka telah kehilangan sumber pendapatan dan tidak dapat membeli keperluan asas serta makanan harian.

Cikgu Nor Azainah terus mencuba mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Beliau menyewa kantin sekolah KAFA di PPR Lembah Subang dengan bayaran yang rendah dan mula mengatur beberapa wanita untuk memasak buat keluarga yang memerlukan.

Dengan menggunakan wang sendiri serta bantuan duit yang diperoleh daripada rakan-rakan dan ahli keluarganya, beliau membeli barang keperluan asas dan bahan makanan untuk dihantar ke rumah-rumah sekitar kawasan tersebut. 

Saya telah mengadakan [inisiatif pemberian makanan] ini sejak tahun 2009. Pada bulan puasa terutamanya, saya berupaya untuk memberi makan kepada mereka setiap hari kerana sumbangan banyak yang diberikan. Namun, bagi bulan-bulan lain, saya membantu mereka apabila saya mempunyai dana yang mencukupi.Cikgu Nor Azainah 

RM6 Setiap Keluarga

Cikgu Nor Azainah menjadikan bersedekah sebagai sesuatu yang mudah dengan nilai yang berpatutan. Beliau mengira kos barang dan memutuskan untuk mengehadkan harga kepada jumlah RM6 setiap hidangan untuk sebuah keluarga. Sumbangan yang diberikan oleh rakan-rakan, keluarga dan orang ramai digunakan untuk membeli bahan-bahan, membayar sewa kantin sekolah serta memberi wanita yang memasak sedikit penghargaan atas kerja keras mereka.

Aktivitinya di kantin sekolah jarang berhenti! Pernah sekali kumpulannya berjaya memasak kira-kira 200 ekor ayam dan 200 kilogram daging untuk memberi makan kepada 600 keluarga.

Community Networker secara semula jadi

Sebagai bekas guru hal ehwal pelajar di sebuah sekolah harian, Cikgu Nor Azainah mempunyai kemahiran organisasi yang tinggi. Di samping menguruskan kumpulan tukang masak wanita di kantin sekolah, beliau mencatat secara terperinci kisah-kisah orang yang ditemuinya – maklumat mengenai status pekerjaan, masalah sosial, kesulitan keluarga, dan cabaran pendidikan yang mereka lalui semuanya direkod. 

Ketelitian Cikgu Nor Azainah adalah cara beliau menjaga orang sekeliling dan berkhidmat kepada komunitinya. Beliau mengenali orang yang dibantunya dan kisah-kisah mereka penting baginya. Tetapi malangnya, kadang-kala, data yang dicatatnya terpaksa digunakan untuk membuat keputusan mengenai siapa yang lebih memerlukan bantuan.

Pandemik ini telah meningkatkan masalah kelaparan dalam kalangan mereka yang mudah terjejas. Ramai yang tiada makanan harian yang cukup. Saya tidak dapat memberi makan kepada semua orang, jadi kami harus selektif dalam memberi. Kami memberi tumpuan kepada keluarga yang amat memerlukan pada hari itu. Setiap hari, saya membantu kira-kira 50 keluarga, bergantung kepada dana yang ada.Cikgu Nor Azainah

Tiga Perkara Yang Boleh Kita Pelajari Daripada Cikgu Nor Azainah

#1: Data Penting Untuk Melaksanakan Perubahan yang Berkesan

Cikgu Nor Azainah sentiasa tekun mengumpulkan data dan maklumat keluarga yang memerlukan. Dengan maklumat tersebut, beliau dapat menjadi lebih efektif dalam pengagihan bantuannya.

#2: Seorang Pemimpin Dapat Menyatukan Orang Sekeliling Untuk Mengubah Masyarakat

Seorang yang berjiwa pemimpin pasti mempunyai kekuatan dalam dirinya untuk memberi impak yang positif kepada masyarakat. Namun, segala usaha pastinya lebih berkesan apabila melibatkan lebih orang ramai. Kisah ini mengajar kita bahawa apabila sebuah komuniti bersatu, perubahan yang lebih baik pasti akan berlaku.

#3: Sedari Kekuatan Diri dan Benarkan Orang Lain Untuk Melengkapi Kekurangan Anda

Bagi guru ini, kekuatannya adalah untuk mengatur dan mengumpulkan sokongan. Sebagai seorang guru, beliau tidak berupaya memasak seorang diri untuk bilangan keluarga yang ramai – oleh itu, beliau mendapatkan bantuan daripada orang-orang yang berkemahiran untuk membantu. Hal ini memberi ruang untuk dirinya fokus pada usaha perancangan dan pengumpulan dana. Usahanya mendapat sokongan yang padu daripada orang sekeliling.

Cara Untuk Anda Bantu

Sekiranya anda ingin menyokong amal baik yang telah dimulakan oleh Cikgu Nor Azainah, anda boleh menghubungi beliau untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?