Ketiadaan tempat tinggal merupakan suatu frasa emotif yang membawa imej seseorang tidur di tepi jalan; memungut makanan; seorang yang berbau busuk ataupun pemabuk, bahaya, dan kotor. Selain daripada stereotaip negatif ini, tiada kefahaman yang jelas tentang golongan gelandangan dan perkara yang mendefinisikan situasi mereka.
Kita semua pernah melihat golongan gelandangan, sama ada di pasar meminta sedekah, tidur di kaki lima ataupun mengetuk cermin kereta untuk meminta wang. Kehadiran mereka mungkin mencetuskan perasaan bercampur baur namun sebaik sahaja mereka hilang dari pandangan, kita tidak lagi memikirkan tentang mereka.
Di Malaysia, atau sekurang-kurangnya di Kuala Lumpur, kehadiran orang gelandangan telah menjadi sebuah kebiasaan di kawasan miskin bandar. Kita tidak sedar akan kehadiran mereka kalau mereka tidak membuat sebarang bunyi. Sejak kebelakangan ini, golongan tersebut telah menarik perhatian pihak berkuasa dan badan-badan bukan kerajaan.
Apa Itu “Ketiadaan Tempat Tinggal”?
Berdasarkan kenyataan daripada United Nations Statistics Division (UNSD), terdapat dua kategori golongan gelandangan iaitu “gelandangan primer” yang bermaksud mereka yang hanya tidur di tepi jalan kerana tiada rumah atau tempat pelindungan, dan “gelandangan sekunder” yang bermaksud golongan yang tidak mempunyai alamat tempat tinggal tetap dan sentiasa berpindah-randah[2]. Kedua-kedua jenis merupakan kumpulan yang mudah terdedah kepada bahaya ataupun dipandang serong oleh masyarakat.
Bagi menguruskan situasi ini, kerajaan Malaysia bergantung kepada Akta Orang-Orang Papa 1977. Menurut akta ini, golongan gelandangan boleh ditahan dan dipindahkan ke institusi kebajikan yang relevan oleh pihak berkuasa[3].
Namun begitu, menurut Projek Borgen, hanya segelintir sahaja golongan tersebut yang ditahan, berjaya dipindahkan ke pusat kebajikan. Kebanyakan mereka ditahan dan dilepaskan semula ke jalanan tanpa bantuan susulan[1]. Batasan kebergantungan kepada akta ini tanpa campur tangan tambahan didapati tidak membantu dalam menyelesaikan masalah utama golongan gelandangan ini.
Bagi memastikan tiada orang yang tinggal di jalanan, golongan tuna wisma ini perlu didengari (untuk memahami sokongan dan bantuan yang mereka perlukan) dan dijaga (dilayan seperti manusia lain agar tidak berasa diancam dan dipandang rendah disebabkan oleh situasi mereka).
Pertambahan Golongan Gelandangan Di Jalanan
Pada tahun 2010, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menjalankan kajian terhadap golongan gelandangan di Kuala Lumpur dan mendapati bahawa 1,387 individu kehilangan tempat tinggal[3].
Pada tahun 2014, populasi gelandangan dianggarkan dalam 600 orang. Namun begitu, dua tahun kemudian, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah melaporkan bahawa peningkatan angka tersebut sebanyak tiga kali ganda.
Data terkini mengenai populasi gelandangan di Malaysia tidak ditemui, tetapi boleh diandaikan bahawa angka ini semakin bertambah akibat pandemik yang sedang berlaku. Kekurangan kajian yang dilakukan terhadap populasi gelandangan ini adalah jelas. Jabatan Statistik Malaysia turut menyatakan kesukaran membentangkan angka golongan gelandangan melalui bancian pada tahun 2010[5] – atas sebab kekurangan data.
Mengapakah Wujud Golongan Tuna Wisma?
Seseorang tidak tinggal di jalanan begitu sahaja. Ketiadaan tempat tinggal merupakan sebuah simptom masalah sosial. Punca utama gelandangan yang telah dikenal pasti ialah pengangguran, kemiskinan, usia tua dan pengabaian, penyalahgunaan dadah, penyakit mental dan kronik, serta kekurangan perumahan mampu milik[3].
Sebuah kajian oleh Institut Penang mendapati bahawa pengangguran, pendapatan rendah, dan usia tua tanpa keluarga merupakan tiga punca utama seseorang itu menjadi gelandangan — yang membentuk 75% daripada semua responden[3]. Tetapi, dalam kajian lain yang dijalankan oleh Universiti Malaya, telah didapati bahawa hutang, penyakit kronik, dan pengangguran merupakan faktor utama yang mendorong kepada situasi gelandangan[6].
Keputusan daripada kedua-dua kajian ini menunjukkan kerumitan masalah tersebut tetapi perkara ini jelas menunjukkan bahawa pengangguran merupakan faktor malar yang menyebabkan masalah gelandangan. Tanpa pekerjaan dan pendapatan stabil, mereka yang kurang mendapat sokongan, dan terjejas akibat penyakit dan kecacatan lain mudah terdedah kepada isu gelandangan. Malangnya, sesetengah daripada mereka terpaksa hidup di jalanan.
Walaupun gaji minimum semasa yang sudah ditetapkan adalah RM1,200[7], masih terdapat sesetengah golongan yang dibayar di bawah gaji minimum. Ramai yang terpaksa bekerja untuk gaji yang rendah, dan tidak lupa juga sektor tidak rasmi yang membayar pekerja separuh masa dengan kadar RM5 sejam.
Kitaran Yang Tidak Terhenti Bagi Gelandangan Dan Pengangguran
Golongan yang kehilangan tempat tinggal mengalami kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang formal kerana kebanyakan majikan memerlukan alamat tetap untuk proses permohonan. Majikan juga berpandangan bahawa mereka bukan calon pekerja yang sesuai kerana kurang kepercayaan dan kredibiliti terhadap pemohon tersebut. Tambahan lagi, golongan gelandangan juga terpaksa menepis persepsi dan stigma negatif terhadap mereka bagi memastikan mereka berada di tahap yang setara dengan calon-calon lain.[4]
Cabaran-cabaran untuk mendapatkan kerja dan mengekalkan kerja tersebut adalah berat. Punca-punca lain seperti kekurangan pendidikan, kemiskinan berterusan, dan kekurangan sokongan menambahkan lagi beban kesusahan.
Dari masa ke masa, perkara ini akan menjurus kepada isu kesihatan mental dan perbuatan-perbuatan terdesak seperti mencuri, ataupun terjebak ke dalam kancah dadah[6]. Tanpa sebarang pertolongan, golongan tersebut akan sentiasa terdedah kepada masalah-masalah sosial.
Walaupun wujudnya pemikiran norma bahawa golongan gelandangan ialah ahli masyarakat yang pemalas dan bermasalah, mereka kekal sebagai kumpulan yang paling berisiko. Kebanyakan mereka merupakan mangsa keadaan dan desakan hidup menjadikan mereka senang dieksploitasi.
Bagaimanakan Anda Boleh Membantu Golongan Gelandangan?
Terdapat jurang yang nyata dalam data dan maklumat populasi gelandangan di Malaysia. Fakta dan maklumat yang tepat boleh membantu ‘Changemakers’ membuat keputusan yang lebih baik dan efektif bagi membantu golongan gelandangan ini.
Seperti isu-isu sosial yang lain, masalah gelandangan ini memerlukan perhatian pelbagai pihak serta pendekatan jangka panjang daripada pihak awam dan juga swasta. Pemulihan, peluang pekerjaan dan lebih banyak pilihan perumahan mampu milik adalah antara cara yang terbaik untuk membantu golongan ini.
Adakah anda ingin membantu? Langkah pertama yang boleh dilakukan adalah dengan mengenal pasti golongan gelandangan di kawasan anda. Bantulah mereka lagi dengan menghulurkan Pek Penjagaan.
Antara perkara yang boleh dimasukkan di dalam Pek Penjagaan adalah: makanan, minuman, peralatan mandian, barang kebersihan (jika diberikan kepada wanita), baju, tuala, stokin, bantal, dan wang.
Changemakers Yang Membantu Golongan Gelandangan
Sumbangkan usaha anda dengan menyertai NGO tempatan secara sukarela. Anda juga boleh berkomunikasi dengan golongan gelandangan untuk mencapai kesefahaman mengenai isu yang dihadapi pada tahap yang lebih mendalam. Sumbangan masa dan kepakaran anda juga dapat menyokong organisasi mereka. Berikut merupakan senarai ‘changemakers’ yang anda boleh hubungi:
- Kechara Soup Kitchen merupakan kumpulan komuniti tidak berasaskan agama yang mengagihkan bekalan makanan, bantuan perubatan dan kaunseling kepada golongan gelandangan dan juga golongan miskin bandar di Malaysia. Sejak tahun 2006, kumpulan sukarelawan ini telah membantu komuniti gelandangan di bandar-bandar seluruh Malaysia.
- Community Excel Services (CES) merupakan sebuah organisasi amal Kristian tanpa untung di Malaysia yang menawarkan kaunseling, perkhidmatan undang-undang dan program pembangunan masyarakat untuk mereka yang memerlukan. CES menyediakan bantuan dan perkhidmatan, program pembangunan dan sokongan. Kementrian Jalanan pertubuhan ini melibatkan perhubungan dengan golongan gelandangan dan mengeratkan persahabatan dengan mereka melalui perkongsian makanan ketika aktiviti bank makanan mingguan mereka, dan menyediakan mereka dengan kemahiran tenaga kerja untuk meningkatkan kebolehkerjaan mereka.
- KL SIKHS Community Services mengagihkan makanan kepada kumpulan-kumpulan berisiko di Kuala Lumpur. Mereka bertempat di Gurdwara Sahib Kg. Pandan, setiap hari Selasa pada jam 12 tengah hari, manakala pada jam 8.30 petang, mereka boleh ditemui di parkir kereta Kota Raya.
- PERTIWI Soup Kitchen ialah perkhidmatan bantuan makanan kemanusiaan kepada golongan gelandangan dan golongan papa kedana tanpa mengira bangsa atau agama. Kawasan-kawasan yang mereka liput adalah Chow Kit, Kota Raya, dan Masjid India pada hari Ahad, Isnin, Rabu, dan Jumaat. Setiap malam, sebanyak 550-700 paket makanan disediakan.
- Yellow House mempunyai program khas bagi membantu golongan gelandangan mendapatkan pekerjaan melalui projek kecil-kecilan. ‘Inisiatif Kerja Pertama’ atau ‘First Job Initiative’ memberi seseorang itu peluang untuk meningkatkan keyakinan diri, kebolehan, dan harga diri mereka di samping menjana pendapatan sendiri. Dari masa ke semasa, mereka akan mempunyai kebolehan untuk bekerja sepenuh masa dan menjadi bebas dari segi kewangan.
- Soul Kitchen ditubuhkan oleh pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman (TARC). Mereka mengagihkan makanan, bantuan perubatan dan juga kaunseling kepada golongan gelandangan di Kuala Lumpur. Misi Soul Kitchen adalah untuk mengurangkan kadar gelandangan dengan menyediakan pusat pemulihan sebagai tempat untuk mereka mendapatkan latihan dan bantuan demi meningkatkan kadar kebolehpekerjaan dan membolehkan mereka untuk hidup bersama masyarakat lain.
Explore Our Sources:
- M. Lia. (2020). Homelessness in Malaysia: NGO and Government Collaboration. Borgen Project. Link.
- Homelessness Australia. What is Homelessness. Link.
- Penang Institute. (2015). Homelessness in Our Cities. Link.
- N. S. Hamdan, S. S. Herman. (2020). Homeless in Kuala Lumpur: A Way Out of The Streets. Malaysian Architectural Journal. Link.
- Department of Statistics Malaysia. (2010). Feedback On Fruitless Counting Homeless. Link.
- R. M. Rusenko. (2014). Homelessness Human Insecurities, and the Government Agenda in Malaysia: The Simultaneous Inclusion and Exclusion of Anjung Singga. Asian Journal of Social Science. Vol. 42, No. 1/2 (2014), pp. 45-74. Link.
- Medina, AF. (2020). Malaysia Increases Minimum Wage. Asean Briefing. Link.
Diterjemahkan daripada versi BI oleh Aliesya Sofea.