Bukan hanya cantik, malah Francisca Luhong James mempunyai Ijazah dalam Komunikasi Massa, dengan pengkhususan dalam Perhubungan Awam. Beliau telah mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan sebelum ini, seperti ‘Miss Cultural Harvest Festival’dan ‘Miss World Malaysia’.
Kini dinobatkan Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James teruja untuk mewakili Malaysia di pertandingan Miss Universe yang masyur. Dalam temu bual kami, beliau mengakui bahawa beliau berasa tanggungjawab untuk memperkenalkan Malaysia dengan lebih baik, serta menyebarkan kesedaran tentang suku-suku pribumi di sini.
Dengan ibu bapa dari dua suku pribumi di Sarawak, beliau adalah campuran Kayan dan Iban. Tanpa disedari, kedua-dua suku ini mempunyai perbezaan ketara, yang memberikan Francisca pandangan peribadi tentang budaya dan latar belakang yang berbeza dari saat beliau dilahirkan. Beliau mengakui bahawa campuran Kayan dan Iban jarang berlaku di Sarawak, di mana perkahwinan campur kaum adalah yang tertinggi di Malaysia. Malah, kedua-dua suku ini adalah musuh pada masa lalu.
Disebabkan kerumitan berbangsa kedua-dua Kayan dan Iban, beliau adalah misteri kepada kebanyakan orang yang ditemui. Ini menghalang beliau untuk menjumpai kawan semasa bersekolah kerana tiada siapa yang dapat memahami atau berkaitan dengannya.
Francisca mengakui berasa malu dan hanya memperkenalkan dirinya sebagai Iban buat seketika. Tetapi apabila beliau membesar dan semakin memahami dirinya, Francisca memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang maksud sebagai seseorang berbangsa campur, dan bagaimana ia mempengaruhinya sebagai individu.
“Saya terpaksa menjelaskan bahawa saya merupakan minoriti di kalangan minoriti. Kini, saya melihat perkara ini sebagai suatu kelebihan dan sifat unik untuk menjadi berbeza.”
Melakukan sesuatu yang bertentangan
Sebagai seseorang yang keturunannya masih berkait rapat dengan suku-suku di kampung, Francisca adalah seorang penyokong kuat usaha mendidik penduduk luar bandar. Kepentingan pendidikan adalah saling berkaitan dengan kisah keluarganya.
Datuk dan nenek serta ibu bapanya dibesarkan di tanah tinggi di mana pertanian merupakan cara hidup. Tiada seorang pun daripada mereka yang mempunyai pendidikan formal sehingga bantuan kerajaan mula diberikan.
Datuk Francisca tidak mensia-siakan peluang untuk memberi pendidikan kepada anak-anaknya apabila kerajaan menawarkan biasiswa kepada anak-anak pribumi pada masa itu. Kesemua tujuh anak-anaknya menerima pendidikan formal di sekolah berbeza di seluruh Malaysia.
Memilih pendidikan bukanlah suatu jalan yang mudah. Keluarganya menerima tindak balas negatif daripada penduduk kampung dan juga keluarga beliau sendiri namun datuknya menegaskan bahawa pendidikan adalah tiket untuk masa depan yang lebih cerah. Akhirnya,, semua tujuh anaknya berjaya menghabiskan pengajian tinggi mereka dan memulakan kehidupan masing-masing di bandar. Melihat keadaan ini, seluruh kampung dan keluarganya mula mengikuti langkah mereka.
Malaysia jelas memperoleh beberapa pencapaian sejak berdekad-dekad lalu.
Kadar celik dewasa mengukur keupayaan penduduk berumur 15 tahun ke atas dalam membaca, menulis dan berkomunikasi untuk menjalani kehidupan seharian.
Bersuara untuk golongan yang tidak berdaya
Bapa saudara Francisca menjadi seorang peguam dan memainkan peranan penting dalam membantu kampung mereka memahami sepenuhnya hak yang diberikan kepada mereka sebagai warganegara dengan status pribumi. Semasa Empangan Bakun yang kontroversi dibangunkan di Sarawak, rumah panjang keluarga Francisca terletak di sepanjang Sungai Asap, lokasi tepat di mana air akan mengalir melaluinya. Rumah dan tanah nenek moyang mereka terancam.
Dengan bantuan bapa saudaranya, penduduk kampung Sungai Asap diberi pendidikan dan maklumat yang mencukupi. Hasilnya, suatu perjanjian dibuat antara penduduk kampung dan kerajaan yang membolehkan pembinaan empangan pada masa yang sama memperoleh wang pampasan dan tanah yang dilindungi ancaman luar.
Contoh yang secara langsung mempengaruhi kehidupan di kampungnya ini menjadi satu lagi motivasi bagi Francisca untuk menunjukkan kepada orang lain betapa pentingnya pendidikan formal. Sekiranya bukan disebabkan bapa saudaranya menjadi seorang peguam, mereka tidak akan dapat mempertahankan kampung mereka.
Pemerkasaan melalui pendidikan
“Saya percaya bahawa pendidikan dapat membantu suku-suku pribumi berjaya dalam kehidupan. Pendidikan memberi kuasa kepada individu untuk melindungi warisan, budaya dan hak mereka.”
Oleh kerana itu, Francisca merupakan penyokong kuat perwakilan Orang Asli di Semenanjung Malaysia. Beliau memahami masalah mereka kerana ia adalah sesuatu yang biasa dialami oleh mereka yang mempunyai latar belakang pribumi.
“Perlu ada perwakilan yang lebih baik untuk suku pribumi untuk melindungi kepentingan mereka dan untuk menghalang orang lain daripada mengambil kesempatan terhadap mereka atas nama kemajuan dan ketamakan.”
Bertentangan dengan corak pemikiran luar bandar iaitu pendidikan akan menyebabkan golongan muda jauh dari kampung halaman, tradisi dan budaya, Francisca percaya bahawa semakin berpendidikan seseorang individu, semakin mereka akan menghargai asal usul, budaya dan tradisi mereka serta berusaha untuk melindunginya.
Rujukan:
- The Malaysian Reserve. (2020). Marriage of cultures can spawn unity. Link.
- Knoema. (2018). Malaysia – Adult (15+) literacy rate. Link.
Diterjermah oleh: Nurul Shaeera