Site logo

Emily Jeneble: Usahawan Seni Kraf Yang Menciptakan Pendapatan bagi Wanita Di Pedalaman Sabah

Dalam pembentangan bajet tahun 2021, kini menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dengan bangganya memegang sebuah beg folder anyaman berwarna hitam yang memuatkan dokumen bajet 2022 [1]. Beg bercorak kelarai (berpetak) diperbuat daripada buloh adalah hasil kerja tangan halus seorang usahawan seni berbangsa Dusun, Emily Jeneble 42 tahun.

Sumber:  Jabatan Penerangan

Beg tersebut adalah hasil kolaborasi di antara Emily, pengurus Seri Elf Enterprise dan pengasas Kelarai Crafts, bersama Sasibai Kimis, pengasas sebuah perusahaan sosial, Earth Heir,  yang ditemui Emily semasa Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur di Putrajaya pada tahun 2017. Kedua-duanya Emily dan Sasibai telah bekerjasama  sejak tahun 2018 dalam aspek corak kraftangan.

Saya mengambil masa tiga hari untuk menganyam beg itu. Biasanya saya akan menyediakan kraf berdasarkan lakaran corak yang beliau  berikan – Emily Jeneble, penganyam Dusun[1]

Tidak dinafikan bahawa hasil rekaannya telah mendapat liputan meluas media dan paparan di muka hadapan akhbar telah membuatkan beliau berasa bangga dan menjadi lakaran sejarah. Emily berbesar hati, menyertai liga Orang Asli dan Orang Asal yang berbakat mengetengahkan produk kraf yang unik kepada masyarakat umum. 

Sebuah Keluarga Artisan Yang Berbakat

Penglibatan Emily ke dalam dunia anyaman tradisional bukanlah sesuatu yang mengejutkan dalam komunitinya.

Membesar di sebuah kampung kecil di Kampung Batu Lunguyan,Keningau, Sabah, Emily dikelilingi oleh penganyam, yang diketuai oleh neneknya. Mereka menganyam rotan menjadi sesuatu yang boleh dijual.

Nenek saya adalah seorang tukang kraf tradisional, yang membuat pelbagai produk untuk membantu komuniti kami – Emily Jeneble, penganyam Dusun[2]

Barangan yang dianyam oleh ahli keluarganya mempunyai tujuan yang lebih luas kepada masyarakat Dusun, seperti nyiru, sejenis talam untuk menampi bagi mengasingkan biji padi daripada badannya.

Barangan ini merupakan keperluan praktikal seperti sirung, topi tradisional di kalangan suku kaum Dusun, yang membantu mereka yang bekerja di sawah padi melindungi diri daripada matahari.- Emily Jeneble, penganyam Dusun [2]

Semasa zaman remajanya, Emily mahir menggunakan jarinya untuk menganyam sementara kebanyakan daripada kita menonton televisyen dan melayari internet sebagai hiburan.

Saya sangat teruja walaupun saya hanya tahu untuk membuat motif corak yang mudah, ia juga adalah diantara barangan yang mempunyai permintaan.– Emily Jeneble, penganyam Dusun [1]

Sebuah Komuniti Penganyam

Pada tahun 1998, selepas tamat peperiksaan SPM, Emily dipujuk untuk membantu ibunya bagi menyiapkan permintaan yang tinggi bagi dulang anyaman buluh.

Malahan ibu membayar upah kepada saya kerana membantunya dan apabila saya dapati bahawa saya boleh menjana pendapatan berpatutan dengan kemahiran ini, saya memilih untuk fokus dalam bidang ini daripada meneruskan pengajian ke peringkat tinggi. – Emily Jeneble, penganyam Dusun[2]

Bagaimanapun, beliau tidak berseorangan dalam keputusan ini. Berada di kawasan pedalaman, peluang pekerjaan adalah terhad. Remaja yang sebaya dengannya samada mempertimbangkan untuk berpindah ke bandar-bandar lebih besar atau bekerja di ladang bersama keluarga mereka.

Di kampung, kurang peluang pekerjaan selain daripada berladang atau peluang pekerjaan di kedai-kedai berhampiran atau bandar..– Emily Jeneble, penganyam Dusun [2]

Masyarakat Dusun di Lungayan melihat potensi yang tercetus daripada memelihara seni anyaman tradisional mereka, kerana ia telah menghasilkan pendapatan lumayan kepada penduduk kampung, terutamanya kaum wanita

Komuniti saya mula melihat insentif dalam mengasah kemahiran tradisional kami, yang bukan sahaja sebagai sesi ikatan kekeluargaan yang menyeronokkan yang telah merentasi tiga generasi malahan sebagai satu potensi untuk menjana pendapatan.  – Emily Jeneble, penganyam Dusun [2]

Didorong oleh darah muda dan komitmen profesionalnya dalam bidang ini, Emily membimbing penganyam dalam komuniti yang kebanyakannya terdiri daripada wanita dan ibu tunggal.

Beliau telah bekerja dengan 30 ahli komuniti untuk mendapatkan sumber bahan mentah dan tukang kraf. Menerusi Seri Elf Enterprise, Emily mengukir  peluang pekerjaan bagi wanita di kampungnya, menyediakan peluang untuk menjana pendapatan yang mampan.

Cerita Disebalik Setiap Anyaman 

Setiap produk yang dihasilkan oleh penganyam di Kampung Batu Lunguyan menzahirkan kemahiran dan dedikasi mereka terhadap kerja pertukangan. Kaedah yang digunakan oleh ahli kraf dikenali sebagai anyaman buluh Salingkawang. Ia menerima kelulusan daripada UNESCO dan menerima Seal of Excellence for Handicraft Products di Asia Tenggara pada tahun 2003[3].

Hasil kami adalah unik di mana keseluruhan proses adalah 100% organik, daripada mengumpul bahan tumbuhan daripada hutan berdekatan kampung kami sehingga kepada setiap peringkat penyediaan hingga produk siap – Emily Jeneble, penganyam Dusun [2]

Produk- produk tersebut diperbuat daripada bahan mentah asli seperti buluh, rotan dan pandan yang diperolehi daripada alam semulajadi. Motif corak yang rumit dianyam untuk menonjolkan simbolisme kuno dan mewakili budaya suku kaum Dusun. Sebahagian daripada barangan mereka memerlukan dua minggu untuk disiapkan, bergantung kepada corak dan saiz.

Sebagai contoh, motif Nurungan melambangkan mutiara, dan motif Nandus adalah berdasarkan bentuk anak panah pahlawan Dusun,dan melambangkan perlindungan. Tavaran , yang bermaksud “jagung” adalah berdasarkan corak telinga jagung. – Emily Jeneble, penganyam Dusun [2]

Bagi memenuhi citarasa masakini yang lebih komersial, penganyam kraf Keningau juga telah menggunakan corak moden. Dengan bimbingan beliau di Bengkel Pusat Kraftangan di Kampung Batu Lunguyan, maka lahirlah artisan yang berbakat.

Saya gembira untuk berkongsi bahawa sebahagian daripada pelajar saya telah menempa nama mereka sendiri dan menerima penghargaan sewajarnya – Emily Jeneble, penganyam Dusun [2]

Bagi usahanya dalam memelihara tradisi dan budaya Dusun, beliau telah dianugerahkan dengan “The Young Handicraft Entrepreneur Award”  oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2018.

Semakin Pulih Daripada Sekelumit Rintangan

Ia bukanlah pelayaran yang serba lancar untuk Emily. Sebelum ini, perniagaannya banyak bergantung kepada kerumunan pelancong. Semasa pandemik, produk krafnya kurang mendapat sambutan. Bersama-sama dengan komunitinya, Emily terpaksa mengemudi dunia e-dagang.

Ia adalah suatu yang amat mencabar dan walaupun sebahagian daripada kami masih beroperasi secara dalam talian, namun kami masih perlu meningkatkan pengetahuan kami dalam pemasaran secara dalam talian – Emily Jeneble, penganyam Dusun [2]

Dengan lokasi kampungnya yang terpencil, hanya sebahagian kecil daripada komunitinya yang mempunyai akses internet yang stabil dan mampu untuk meneroka peluang dalam talian. Namun, mereka terpaksa berdepan dengan isu logistik untuk menghantar pesanan yang ditempah.

Emily, bagaimanapun, telah menjadikan cabaran sebagai peluang dan mengasaskan Kelarai Craft, sesuai dengan namanya, satu kolektif penganyam buluh Salingkawang di kampung itu yang mempamerkan pelbagai produk seperti beg dan cenderahati.

Pada masa ini, kebanyakan mereka bergantung  pada saya untuk menjual produk mereka melalui e-dagang,Facebook, dan Instagram – Emily Jeneble, penganyam Dusun [2]

Dalam keadaan sukar, beliau bersyukur kerana agensi kerajaan menilai hasil kerja penganyam wanita. Mereka telah menawarkan bantuan untuk memajukan lagi perniagaan mereka ke peringkat yang lebih baik.

Kami berterima kasih, kami telah menerima bantuan pemasaran daripada Kraftangan Malaysia untuk fokus kami dalam talian – Emily Jeneble, penganyam Dusun [2]

Banyak Lagi Yang Perlu Dilakukan

Hari ini, ibu kepada lima cahayamata itu menguruskan 10 orang ahli komuniti mewariskan pengetahuan ilmu anyaman buluh Salingkawang daripada mula hingga akhir. Emily juga kini disokong oleh perantisnya Marcella Hassan [1]. Perusahaannya menghasilkan sehingga 2000 produk sebulan dan menerima pesanan tetap daripada agensi tempatan.

Produk kami telah dipasarkan  ke serata tempat secara meluas dan kebanyakkan daripada beg kami amat popular di kalangan pelancong dan agensi kerajaan – Emily Jeneble, penganyam Dusun [4]

Malahan Emily mempunyai impian yang lebih besar untuk memartabatkan komuniti kaum Dusun di Kampung Batu Lunguyan dan memelihara kraf tradisional mereka.

Sumber: baskl.com.my


Saya berhasrat membina galeri sebagai penghormatan dan memelihara seni warisan kami. Ia juga akan menjadi sumber rujukan hebat buat para pelajar, universiti, organisasi korporat, NGO, dan pencinta kraf. Mudah-mudahan , dana  boleh juga diperolehi daripada jumlah pelancong dan ia seterusnya dapat membantu komuniti saya.– Emily Jeneble, penganyam Dusun[2]

Layari koleksi penganyam Kampung Batu Lunguyan di Kelarai Crafts dan Seri Elf Enterprise

Terjemahan oleh: Norazah Nizar

Explore our sources:

  1. The Star. (2021). Traditional weaver Emily Jeneble is making waves, even in Parliament. Link
  2. Ista. (n.d.). Sabah Artpreneur Helps 30 Women Survive The Pandemic Through Bamboo Weaving. Eksentrika. Link 
  3. Hello Sabah. (n.d.) Meet the Bamboo Weavers of Sabah. Link 
  4. J.Ramli. (2023). Sabah Entrepreneurs Speak. Link 

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?