Site logo

Dikelas Sebagai Tidak Mempunyai Kewarganegaraan, Belia Ini Telah Berjuang Untuk Kewarganegaraannya Lebih Dari 10 Tahun!

Nalvin Dhillon Stateless Youth Malaysia

Nalvin Dhillon Narangan Singh, seorang pemuda tanpa kewarganegaraan yang berusia 24 tahun, telah berjuang untuk menuntut hak kewarganegaraannya selama lebih sepuluh tahun. Dia dilahirkan oleh seorang bapa berbangsa Malaysia dan seorang ibu berbangsa Filipina di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang pada tahun 1997, dan telah memperoleh pasport[1] serta surat beranak. Namun begitu, disebabkan perkahwinan ibu bapanya tidak diperakui oleh undang-undang Malaysia, Nalvin dikelaskan sebagai seorang yang tidak ada kewarganegaraan.

Sumber: Youtube

Walaupun seseorang diklasifikasikan sebagai tidak mempunyai kewarganegaraan, mereka tetap berhak untuk mendapat hak asasi manusia seperti pendidikan, makanan, tempat tinggal. Namun begitu, tanpa mempunyai dokumen-dokumen yang sah (terutamanya Kad Pengenalan di Malaysia), tidak akan ada agensi kerajaan yang bertanggungjawab secara sah untuk memberikan hak-hak ini kepada golongan ini. Mereka tidak diwajibkan untuk memberikan hak asasi awam seperti akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, pekerjaan, pilihan perumahan dan perlindungan.

Komuniti tanpa kewarganegaraan di Malaysia amatlah miskin dan kekurangan dalam pelbagai aspek kehidupan. Ada segelintir yang menghasilkan beberapa ringgit sehari, ada juga yang mengumpul sampah semata-mata untuk memenuhi keperluan asas mereka. Mereka yang tidak diingini, diabaikan dan dilupakan dalam komuniti ini akan dibiarkan untuk membela diri sendiri.

Stateless children colleting garbage to sell for money. Sumber: ChannelNewsAsia

Semakin Nalvin membesar, semakin dia melihat dan mengalami sendiri perbezaan hidupnya dibandingkan dengan rakan-rakannya.

“Walaupun saya dan rakan-rakan sesama manusia, belajar bersama, dibesarkan bersama, saya terpaksa ditinggalkan dan melihat mereka membina kehidupan mereka. Saya terhad. Saya tahu saya ada banyak batasan apabila saya ingin mencapai sesuatu dalam kehidupan.”

Nalvin Dhillon stateless youth
Sumber: KitchenCo – Cloud Kitchen

Nalvin hampir berputus asa untuk memperoleh gred yang baik kerana dia tahu dia tidak akan layak untuk memasuki mana-mana universiti kerajaan, menerima bantuan kewangan ataupun e-book. Oleh itu, pada usia 15 tahun, Nalvin mula bekerja. Tanpa Kad Pengenalan, dia akan mencari kerja dengan menggunakan surat beranaknya. Dia akan bekerja di restoran dim sum dan mencuci kereta secara sambilan. Mengambil kerja-kerja ini yang membayar Nalvin pada kadar yang rendah secara harian, mendorong keinginannya untuk berubah. Nalvin ingin bekerja di sebuah syarikat besar dan terus berusaha mencari pekerjaan yang berpendapatan yang lebih tinggi, namun dia sentiasa ditolak. Di sebalik kekecewaan yang dialami, Nalvin berjaya melanjutkan pelajarannya dalam kursus Diploma Sumber Manusia di sebuah universiti swasta.

“Saya berfikir bahawa kekurangan kemahiran saya menjadi penyebab pengangguran saya, jadi saya membuat keputusan untuk mengembangkan kemahiran saya, tetapi walau bagaimanapun, saya masih menghadapi penolakan.

Syukurlah, bakat Nalvin diakui oleh rakan sebayanya yang memperkenalkannya kepada pengasas syarikat KitchenCo – Cloud Kitchen yang menawarkannya kerja sebagai seorang juruwang. Dalam masa sebulan, Nalvin dinaikkan pangkat ke jawatan Penolong Pengurus. Pemiliknya memahami bahawa masyarakat tanpa kewarganegaraan tidak dapat mencari nafkah jika mereka tidak mempunyai pekerjaan yang stabil. Pada masa ini, Nalvin mula memperoleh gaji yang lumayan setiap bulan. 

KitchenCo crew Summer: Beep

Sejak hari itu, dia bekerja keras dan belajar dari majikannya, walaupun dia tidak berhak untuk mendapat faedah asas seperti KWSP. Nalvin berterima kasih atas peluang ini untuk belajar dan mengembangkan kemahirannya.

Nalvin Dhillon stateless youth Malaysia
Source: KitchenCo – Cloud Kitchen

Ketika Wiki Impact berbicara dengan Nalvin, dia menyatakan keprihatinannya yang  mendalam terhadap individu-individu tanpa kewarganegaraan yang jauh lebih dalam kesusahan berbanding dirinya. Dia menganggap dirinya cukup beruntung kerana mempunyai pendapatan yang stabil, sebuah tempat tinggal, dan pendidikan yang baik. Dia juga menambah bahawa terdapat banyak cabaran yang terpaksa dihadapi oleh orang-orang tanpa kewarganegaraan setiap hari. Perkara yang tidak pernah terbayang langsung dalam fikiran rakan-rakannya di Malaysia. Antara cabarannya ialah kekurangan penjagaan kesihatan untuk mereka.

“Dalam 24 tahun hidup saya, saya langsung tidak pernah ke hospital kerajaan. Saya hanya mengambil panadol, makcik saya akan mendapatkan ubat untuk saya, selepas itu, saya akan berehat di rumah. Syukurlah saya tidak pernah mengalami kecederaan yang serius. Sebagai anggota komuniti tanpa kewarganegaraan, jika saya pergi ke hospital kerajaan tanpa IC, saya akan dikenakan bayaran yang sama dengan orang asing. RM100 hanya untuk mendaftar di kaunter pembukaan. Rawatan, konsultasi juga dibayar secara berasingan.”

Bayangkanlah kos rawatan untuk pembedahan besar atau perubatan untuk masalah jangka panjang yang memerlukan rawatan berterusan? Ia sangat mustahil untuk memahami bagaimana individu yang tiada kewarganegaraan mampu membayar bil tersebut. Orang asing ataupun tanpa kewarganegaraan perlu membayar lebih banyak untuk mengakses hospital atau klinik tempatan. Akibat halangan ini, banyak orang tanpa kewarganegaraan menghindarkan diri daripada melawat pusat perkhidmatan kesihatan sama sekali.

Sumber: Malaysiakini

Dalam perjuangannya untuk mendapatkan kewarganegaraan, Nalvin bercakap tentang prasangka dan demoralisasi yang dihadapi oleh masyarakatnya. Mereka dilayan seperti sampah asing, dibuli dan bahkan dipukul disebabkan sesuatu perkara yang di luar kawalan mereka.

“Kita semua dilahirkan sebagai manusia yang setara, dan juga menjalani kehidupan yang baik untuk diri sendiri. Namun kerana kesilapan orang lain, kita pula yang harus menanggung masalah menjadi tidak memiliki kewarganegaraan. Perjuangan ini bukanlah perjuangan yang pendek. Dari apa yang saya lihat, saya perlu tahu orang-orang berpengaruh untuk berjaya. Saya memerlukan surat sokongan YB yang tidak pernah saya dengar, dan entah bagaimana, saya juga perlu memperoleh dokumen yang tidak pernah saya miliki untuk menang. “

Nalvin Dhillon Stateless Youth
Sumber: KitchenCo – Cloud Kitchen

Nalvin percaya bahawa menolong mereka yang tidak mempunyai kewarganegaraan bukanlah perkara yang sukar. Salah satu kaedah yang paling mudah dan berkesan untuk menolong mereka adalah untuk menyediakan pekerjaan dengan gaji tetap. Cara yang lebih efektif dan berkesan adalah untuk menggubal undang-undang sedia ada agar membolehkan individu tanpa kewarganegaraan untuk menerima Kad Pengenalan yang menjaminkan tempat mereka dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Stateless children attending classes in a makeshift school. Sumber: FreeMalaysiaToday

“Undang-undang sedia ada tidak efektif. Kita harus mempunyai kaedah alternatif untuk mendapatkan kewarganegaraan, seperti mengambil peperiksaan standard atau sekurang-kurangnya memberikan alasan logik di sebalik penolakan permohonan.

Sekarang, Nalvin masih kekal menjadi suara untuk komuniti tanpa kewarganegaraan dan sering menyentuh tentang betapa buruknya keadaan ini.

“Saya hanya melihat keadaan ini sebagai potensi yang tersia-sia. Terdapat ribuan orang tanpa kewarganegaraan yang diabaikan. Peluang mereka untuk menjadi orang yang berjaya dilucutkan kerana masalah ini, tetapi, siapa tahu, jika orang yang anda abaikan mungkin menjadi penyelamat anda suatu hari nanti. Masa depan tidak mungkin diramalkan seperti itu.”

Berikut adalah beberapa organisasi yang membantu komuniti tanpa kewarganegaraan di Malaysia:

  1. Rythm Foundation: RYTHM Foundation, Inisiatif Impak Sosial QI Group, melabur dalam komuniti yang beroperasi, melalui perkongsian strategik, sukarelawan pekerja, dan khidmat masyarakat. RYTHM, singkatan dari ‘Raise Yourself To Help Mankind’, dan nilai-nilai terasnya dibangun berdasarkan prinsip-prinsip Pemberdayaan, Kesukarelaan, dan Ketahanan.
  2. BorneoKomrad: Pada mulanya merupakan inisiatif pelajar yang memfokuskan kepada penyokong sosial ke arah pendidikan, budaya, dan hak asasi manusia. Kumpulan ini telah berusaha mewujudkan sekolah-sekolah untuk beberapa komuniti tanpa kewarganegaraan di Sabah dengan harapan dapat melengkapkan mereka dengan pengetahuan asas.
  3. Etania Schools: Misi mereka adalah untuk memberikan pendidikan yang berkualiti bagi anak-anak yang terpinggir, tidak berdokumen, dan tidak mempunyai kewarganegaraan di Sabah, Malaysia.

Rujukan

  1. I. Loh. (2019). 10 years on and still trying to get his MyKad. The Star. Link

Diterjemahkan daripada versi BI oleh Aida Iliana.

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?