Site logo

Di Sebalik PPE: Impak Covid-19 Ke Atas Kesihatan Mental Kakitangan Perubatan

Hampir dua tahun Malaysia berjuang untuk melawan virus Covid-19. Memandangkan kadar vaksinasi kebangsaan telah mencapai 75% pada 2 November 2021[1], awan gelap yang meliputi aktiviti ekonomi serta aktiviti-aktiviti sosial telah semakin menghilang. Secara perlahan-lahan, rakyat dibenarkan untuk kembali bekerja serta pusat membeli-belah juga dibuka dan menjadi tempat tumpuan pada hujung minggu.

Walau bagaimanapun, kabus yang menyelubungi mental kakitangan perubatan tidak mudah untuk bersurai. Akibat daripada perjuangan sukar yang dihadapi mereka untuk melandaikan lekuk Covid-19, keadaan kesihatan mental doktor, jururawat dan kakitangan perubatan berkemungkinan masih lagi mengalami akibat-akibat yang tidak diingini.

Sumber: Bernama via New Straits Times

Keletihan Perubatan

Institut Penyelidikan Tingkah Laku Kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) meninjau 6616 kakitangan perubatan di seluruh negara untuk mengetahui keadaan kesihatan mental dalam kalangan kakitangan perubatan.

Kira-kira 14.2% kakitangan perubatan mengalami gangguan kesihatan mental pada tahap yang teruk sewaktu pandemik Covid-19 [2].

Setiap kali mereka memakai alat pelindung diri (PPE) dan pelitup muka, kakitangan perubatan ini cakna sekiranya mereka melakukan kesilapan kecil, nyawa pesakit mereka yang akan menjadi taruhan. Hal ini menambah lagi tekanan kepada mereka sejak dari awal pandemik di mana mereka bergelut di dalam keadaan yang huru-hara, mencuba sedaya upaya tanpa mengenal erti penat untuk menyelamatkan nyawa pesakit mereka daripada virus yang membawa maut.

SETIBANYA SAYA DI RUMAH, SAYA TERUS BARING DI ATAS KATIL. DI TAHAP INI, BANYAK PERKARA YANG TIDAK DIJANGKA- JUMLAH KEMASUKAN PESAKIT YANG BESAR PADA LEWAT MALAM, BEKERJA SEHINGGA LEWAT MALAM… SAYA PERLU BERSEDIA UNTUK APA-APA KEBARANGKALIAN.”- PAKAR DIET YANG TERLIBAT DALAM PENYEDIAAN PUSAT KUARANTIN DAN PUSAT PEMULIHAN BAGI YANG BERISIKO RENDAH.[3].

Keletihan yang akut mendasari gejala ini. Dengan ketidakpastian terhadap hala tuju pandemik selepas gelombang pertama, 39.1% kakitangan perubatan mengalami keletihan di tempat kerja. Apa yang lebih membimbangkan adalah 53.1% daripada mereka juga mengalami keletihan di dalam kehidupan peribadi mereka. [3].

Sumber: New Straits Times

Bergilir Ganti Di Antara Kerja Dan Keluarga

Waktu kerja yang berpanjangan (60 jam seminggu atau lebih) menjejaskan kehidupan peribadi mereka dan keluarga mereka juga berdepan dengan bebanan itu. Waktu kerja yang panjang bermakna waktu bersama keluarga menjadi lebih singkat, terutamanya mereka yang dipindahkan ke luar kawasan untuk bekerja.

SAYA RINDUKAN KELUARGA. SAYA BERASA SEDIH APABILA TIDAK DAPAT BERSAMA MEREKA DI MAJLIS-MAJLIS PENTING SEPERTI HARI PERTUNANGAN KAKAK SAYA DUA MINGGU LALU. SEMASA GELOMBANG KETIGA MELANDA, KEADAAN MENJADI SANGAT TERTEKAN KERANA KEKURANGAN KAKITANGAN. KAMI KELETIHAN DARI SEGI MENTAL, FIZIKAL SERTA EMOSI.”- DR SHAZ, 28, BERTUGAS DI LAHAD DATU, BERJAUHAN 400KM DARIPADA KELUARGA DI KOTA KINABALU.[4].

Kakitangan yang tidak mempunyai sokongan penjagaan kanak-kanak serta sokongan psikologi di tempat kerja yang mencukupi lebih cenderung kepada risiko tekanan mental. Mengimbangi kehidupan di antara kerja dan keluarga menjadi satu cabaran terutamanya dengan kehadiran anak-anak.

KAMI JUGA MELALUI MASALAH DI RUMAH DENGAN SESI PERSEKOLAHAN DI ATAS TALIAN (DISEBABKAN OLEH COVID-19). KAMI BERDUA BEKERJA, ANAK-ANAK DIHANTAR KE RUMAH DATUK DAN NENEK MEREKA, KERJA SEKOLAH BERLAMBAK-LAMBAK DI HANTAR MELALUI KUMPULAN WHATSAPP SETIAP HARI, HAL INI MENJADIKAN KAMI MERASA LEBIH BERPUTUS ASA. SAYA DIBELENGGU OLEH RASA BERSALAH.”- DOKTOR PAKAR YANG MEMPUNYAI PASANGAN YANG TURUT BEKERJA SERTA ANAK YANG MASIH BERSEKOLAH 3].

Sumber: The Star

Berada Dalam Keadaan Yang Tidak Begitu Baik

Satu kajian telah dijalankan di seluruh hospital kerajaan di Selangor. Daripada 1050 doktor di hospital kerajaan yang menyertai kajian ini, 10% dilaporkan mengalami kemurungan di tahap yang teruk, 11.33% mengalami kebimbangan tahap teruk, dan 6.48% mengalami tekanan stres pada tahap yang teruk[5]. Tuntutan pekerjaan berkait rapat dengan keadaan kesihatan mental doktor-doktor. Mereka yang dilaporkan mengalami emosi tinggi terhadap permintaan pekerjaan lebih berisiko terhadap depresi, kebimbangan, dan tekanan stres.

PENDEDAHAN YANG BERPANJANGAN KEPADA PERSEKITARAN KERJA YANG PENUH DENGAN KETEGANGAN JUGA MENJADIKAN DOKTOR-DOKTOR INI TIDAK MAMPU UNTUK MEMULIHKAN DIRI MEREKA DARIPADA BEBANAN EMOSI SERTA LEBIH TERDEDAH KEPADA GANGGUAN PSIKOLOGI.[5].

Sesetengah negeri di Malaysia mencatatkan jumlah isu kesihatan mental yang tinggi di kalangan pekerja perubatan profesional. Di Kelantan, petugas bukan di barisan hadapan (non-frontline) (sebagai contoh, mereka yang tidak berhubung langsung dengan pesakit COVID-19) dilaporkan mempunyai simptom depresi tahap tinggi (37.7%) berbanding petugas barisan hadapan (27.5%)[6].

Sumber: Jabatan Kesihatan Negeri Johor via Code Blue

Walaupun ini mungkin sesuatu yang mengejutkan, tidak sukar untuk membayangkan situasi kekurangan petugas di barisan hadapan dan menjadikan petugas bukan di barisan hadapan sebagai salah seorang daripada petugas barisan hadapan.

BUAT MASA INI, KAKITANGAN HOPITAL KERAJAAN DAN SWASTA BEKERJA DI TEMPATSEPERTI CACS (PUSAT PENILAIAN COVID-19) DAN MEREKA MERASAKAN KETEGANGAN. KEBANYAKAN DARI MEREKA TERPAKSA BERDEPAN DENGAN KEKURANGAN KAKITANGAN DAN MEREKA PERLU MENGGANTIKAN RAKAN SEJAWAT YANG SEDANG MENJALANI KUARANTIN.-DR SHARIFA EZAT, FAKULTI PERUBATAN DI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (UKM)[7].

Bertukar kepada persekitaran kerja yang lain tanpa latihan yang mencukupi dan pengalaman yang sesuai, boleh mendorong kepada kebimbangan, tekanan stres dan kemurungan dalam kalangan kakitangan bukan barisan hadapan terutamanya dengan peningkatan jumlah pesakit.

Kakitangan Perubatan Juga Memerlukan Sokongan Kesihatan Mental

Berdasarkan statistik kesihatan mental baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham mengumumkan bahawa kakitangan perubatan yang terlibat dalam membasmi penularan COVID-19 akan diberikan cuti tanpa rekod dengan kelulusan daripada ketua jabatan masing-masing[8].

Kementerian Kesihatan juga menggerahkan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS) ke pusat rawatan berisiko rendah dan pusat kuarantin untuk menyediakan perkhidmatan kaunseling serta intervensi rawatan kesihatan mental untuk kakitangan dan pesakit[8]. MHPSS ditubuhkan oleh pasukan teras termasuk pegawai perubatan, kaunselor, paramedik yang menjalani latihan Bantuan Kecemasan Psikologi (PFA).[9].

Sumber: Bernama via The Star

Di sebalik usaha kerajaan, masih terdapat stigma tentang isu kesihatan mental yang masih perlu ditangani.

TERDAPAT BANYAK RINTANGAN DALAM MENDAPATKAN PERTOLONGAN KESIHATAN MENTAL KERANA IANYA DILIHAT SEBAGAI SUATU PERKARA YANG BOLEH DISELESAIKAN SENDIRI DAN BANGKIT SEMULA TANPA PERTOLONGAN PIHAK LAIN.-DR NICHOLAS PANG,TIMBALAN DIREKTOR HOSPITAL UNIVERSITI MALAYSIA SABAH.[10].

Mendapatkan bantuan psikiatri masih belum menjadi amalan normal di kalangan masyarakat, terutamanya di negeri-negeri yang mempunyai perkhidmatan psikiatri terhad. Kakitangan perubatan juga rapuh seperti masyarakat biasa dan menghadapi stigma yang sama.

“SECARA UMUMNYA, IA MERUPAKAN SUATU ISU YANG BESAR DI SABAH. MASYARAKAT BERANGGAPAN BAHAWA SESEORANG DAPAT MENANGANI MASALAHNYA SENDIRI NAMUN TIADA SIAPA AKAN MEMBERITAHU DEMIKIAN KEPADA PESAKIT DIABETES ATAU DARAH TINGGI.”-DR NICHOLAS PANG [10].

Hampir seluruh hospital awam di Malaysia mempunyai unit kaunseling tersendiri yang boleh diakses oleh kakitangan perubatan[11]. Walaupun perkhidmatan sedemikian wujud, kebanyakan daripada petugas barisan hadapan tidak mempunyai masa untuk menghadiri sesi kaunseling apabila mereka sendiri tidak mempunyai masa untuk tidur.

Sumber: The Sun Daily

Kerjasama di antara Pusat Kesediaan dan Tindak Balas Krisis di bawah Kementerian Kesihatan serta Mercy Malaysia sangat dialu-alukan[12]. Talian hotline telah diwujudkan untuk menerima dan merujuk kes-kes berkenaan kepada pihak yang berkaitan supaya perkhidmatan kesihatan mental dan psikososial dapat diselaraskan. Sekiranya anda adalah kakitangan perubatan atau mengenali kakitangan perubatan yang mengalami tekanan mental, jangan teragak-agak untuk mendial talian hotline: 03-29359935.

Kaedah lain yang boleh digunakan adalah menghubungi rangkaian changemakers yang sedia mendengar:

  1. MIASA menyediakan sokongan kepada pesakit dan penjaga melalui talian hotline 1-800-820066, yang beroperasi 7 hari seminggu dan 24 jam sehari. Pemanggil akan diberikan pilihan untuk bertutur dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.
  2. Thrive Well merupakan perusahaan sosial dengan misi untuk mengembangkan lagi maklumat berkenaan trauma dan kesihatan mental kepada individu, komuniti dan organisasi. Mereka menyediakan perkhidmatan kaunseling, psikoterapi, dan pemeriksaan kesihatan mental secara temu janji di sini.
  3. Talian Kasih merupakan talian hotline yang beroperasi 24 jam, diselia oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat yang memberi maklum balas kepada krisis komuniti dan menyediakan perkhidmatan pertanyaan untuk sesi kaunseling dan kebajikan sosial. Nombor telefon: 15999 atau WhatsApp: +60192615999
  4. MMHA merupakan badan bukan kerajaan dan bukan keuntungan yang menyediakan perkhidmatan latihan dan sokongan psikologi. Hubungi mereka di talian bantuan +60327806803 yang beroperasi pada hari bekerja dari jam 9 pagi sehingga 9 malam.
  5. Befrienders merupakan satu organisasi bukan berdasarkan keuntungan yang menyediakan perkhidmatan sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu kepada masyarakat yang keseorangan, berasa tertekan, putus asa, dan mempunyai pemikiran hendak membunuh diri-tanpa caj. Hubungi mereka di talian 03-76272929.

Diterjermahkan oleh: Qistina Balqis

Explore Our Sources:

  1. Ministry of Heath Malaysia (2021, October 29). COVID-19 Cases in Malaysia. COVIDNOW. Link.
  2. Institute for Health Behavioural Research (IHBR). (2020). Psychological Effects of Coronavirus Disease 20219 (COVID-19) amongst Healthcare Workers. Ministry of Health Malaysia. Link.
  3. Nurhanis Syazni Roslan et al. (2021). Burnout Prevalence and Its Associated Factors among Malaysian Healthcare Workers during COVID-19 Pandemic: An Embedded Mixed-Method Study. Healthcare. Link.
  4. Yuen, MK. (2020). Away from home to fight Covid-19. The Star. Link.
  5. Mohd Fadhli Mohd Fauzi et al. (2020). Doctors’ Mental Health in the Midst of COVID-19 Pandemic: The Roles of Work Demands and Recovery Experiences. International Journal of Environmental Research and Public Health. Link.
  6. Mohd Noor Norhayati, Ruhana Che Yusof & Mohd Yacob Azman. (2021). Depressive symptoms among frontline and non-frontline healthcare providers in response to the COVID-19 pandemic in Kelantan, Malaysia: A cross sectional study. PLOS ONE. Link.
  7. Bernama. (2021). Is fatigue setting in for Malaysia’s healthcare workers? The Sun Daily. Link.
  8. Bernama. (2021). Health DG: Health Ministry aims to prevent burnout among healthcare workers. The Star. Link.
  9. Mental Health, Substance Abuse and Violence Injury Prevention Sector (MeSVIPP) Disease Control Division. (2020). SOP MHPSS for COVID-19 Response in Quarantine Stations. Ministry of Health Malaysia. Link.
  10. Fong, D.R. (2021). Fear and shame prevent mentally ill Sabahans from getting help. Free Malaysia Today (FMT). Link.
  11. Between the Lines. (2020). Battling the beast within: The psychological trauma of Covid-19. Malaysiakini. Link.
  12. Hassandarvish, M. (2020). Mercy Malaysia, Health Ministry start free mental health hotline to ease Covid-19 lockdown emotional trauma. Malay Mail. Link.

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?