Site logo

De-Urbanisasi: Kenapa Generasi Milenial Berpindah Dari Bandar  

Sepertimana masyarakat Asia Tenggara yang lain, Malaysia telah mengalami kadar urbanisasi yang ketara, menjadikannya salah satu negara yang paling terurbanisasi dalam rantai ini, mengekori di belakang  Jepun, Korea Selatan, dan Singapura.

Kecenderungan ini bermula selepas perang Dunia Kedua pada tahun 1947 apabila berlakunya penghijrahan besar-besaran daripada luar bandar ke bandar, didorong oleh keinginan untuk kehidupan yang lebih baik.. Kini, adalah dijangkakan bahawa penduduk Malaysia di bandar akan mencapai 88% pada tahun 2050 daripada 76.6% pada tahun 2020 [1]

Oleh itu, 79% daripada tenaga kerja di Malaysia berada di bandaraya, bandar dan kawasan “urban” dan hanya 21% berada di luar bandar pada tahun 2020 [2]. Rumah-rumah telah dibina diluar sempadan bandar- bandar ini, untuk menampung jumlah besar pergerakan manusia pada pagi Isnin.

Di tengah-tengah pandemik, peningkatan kerja dari jauh (remote working)  dan kos hidup di bandar yang semakin meningkat telah menggesa ramai rakyat Malaysia meninggalkan bandar-bandar yang terbentang luas. Ketiadaan data yang menyeluruh di dalam perubahan demografik ini menjadikannya mencabar untuk menentukan dengan tepat trend penghijrahan bertentangan ini.

Walau bagaimanapun, pakar hartanah menyatakan bahawa terdapat perubahan yang ketara yang dapat dilihat dari segi pemilihan, di mana individu dan keluarga yang mencari kawasan perumahan di luar kawasan bandar utama semakin bertambah.

Buat masa ini, di semua negeri yang kami kaji (Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, dan Johor) menunjukkan trend yang serupa di mana penduduk berpindah keluar dari pusat bandar dan menuju ke pinggiran yang menawarkan unit-unit yang lebih besar dan lebih berpatutan. – iProperty.com Malaysia [3]

Baru-baru ini, kami berbual dengan sekumpulan individu dari pelbagai latar belakang yang memutuskan untuk meninggalkan bandar dan memulakan babak baru dalam kehidupan mereka. Kalitha, seorang bujang berusia 26 tahun, berkongsi motivasinya, begitu juga Omar Aiman* dan Hanis Sofia*, pasangan yang telah berkahwin berusia 32 dan 27 tahun. Kami juga berpeluang untuk bersembang dengan Maryam*, seorang ibu kepada sebuah keluarga muda, yang mengambil langkah berani untuk meninggalkan kehidupan bandar.


Perbualan kami menyelami sebab mereka berpindah, pengalaman mereka di persekitaran baru, serta cabaran dan kegembiraan yang mereka lalui. Perjalanan unik setiap individu memberikan pandangan berharga tentang motivasi di sebalik trend semakin meningkat ini dalam perpindahan balik atau de-urbanisasi di Malaysia.

Daya Tarikan Kehidupan Bandar Yang Kian Pudar

Bagi Maryam*, seorang kakitangan di Universiti Monash Subang, berjuang dengan kesesakan lalu lintas menjadi bebanan utamanya sehari-harian. Sejak tahun 2015, ketika keluarganya tinggal di Cheras, berulang-alik ke pejabat merupakan cabaran besar, terutamanya disebabkan pembinaan sebuah lebuh raya pada masa itu. Kerja-kerja pembinaan yang berterusan menambahkan kesukaran dalam perjalanannya setiap hari, akhirnya mendorongnya untuk mencari kualiti hidup yang lebih baik di luar bandar.

Saya tinggal di Cheras, dan kesesakan lalu lintas sangat teruk kerana mereka sedang membina sebuah lebuh raya besar, dan kami merasa tertekan. Kami membandingkan perjalanan kami dengan rakan sekerja di Monash – mereka yang tinggal di luar bandar, mereka yang tinggal berdekatan dengan bandar, dan mereka yang tinggal berdekatan dengan Monash. – Maryam*

Untuk membuat keputusan yang tepat tentang perpindahan mereka, Maryam dan pasangannya mendapatkan maklumat daripada rakan sekerja tentang pengalaman mereka berulang-alik.  Perbandingan tersebut menunjukkan cabaran yang dihadapi oleh mereka yang tinggal di bandar, yang menyebabkan Maryam mempertimbangkan untuk berpindah demi perjalanan harian yang lebih selesa dan kurang tekanan berulang-alik secara harian.


Perjalanan dari luar bandar adalah lebih lancar kerana, di kawasan Subang, terdapat tujuh lampu isyarat yang perlu dilalui. Setiap lampu isyarat ini mengambil masa yang lama sebelum anda dapat melepasinya. – Maryam*

Selepas pertimbangan yang teliti, keluarga kecil tersebut membuat keputusan bersama untuk meneroka kawasan Hulu Langat dan akhirnya berpindah ke sana pada tahun 2020. Walaupun jaraknya lebih jauh dari kediaman mereka yang sebelumnya, perpindahan ini terbukti sangat bermanfaat untuk ketenangan Maryam dalam perjalanan harian ke tempat kerja.

Bagi Kalitha, yang dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Pinang, perpindahannya pada akhir Disember 2020 adalah disebabkan oleh tawaran kerja di Pengerang, Johor. Kalitha, yang sebelum ini bekerja di Kuala Lumpur, mendapati bahawa berpindah keluar dari bandar memberikan pengalaman yang berbeza berbanding tinggal di kawasan bandar.

Fikiran saya tidak dibebani dengan kebimbangan untuk mengejar kereta api yang sesak, bimbang tentang penyeluk saku. – Kalitha 

Keputusan Omar* dan Hanis* untuk berpindah ke Sungai Petani, Kedah, tercetus oleh seorang rakan rapat yang berkongsi pengalaman positifnya di kawasan tersebut. Teruja dengan idea tersebut, pasangan muda ini mula meninjau lokasi tersebut dan mempertimbangkan kemungkinan untuk berpindah ke sana. Apa yang akhirnya meyakinkan mereka untuk membuat perpindahan ialah kadar sewa yang sangat berpatutan di kawasan itu, menjadikannya pilihan yang menarik dan menjimatkan untuk rumah baru mereka.

Kami bertemu dengan rakan kami yang tinggal di Sungai Petani. Beliau berada di Selangor untuk urusan kerja. Semasa meluangkan masa dengan beliau,  beliau berkata, “Kenapa tidak berpindah ke Sungai Petani?” Kemudian, beliau berkongsi pengalamannya tinggal di Sungai Petani. – Hanis Sofia*

Rumah Mampu Milik 

Seiring dengan peningkatan urbanisasi di Malaysia, pencarian perumahan yang mampu milik menjadi satu cabaran bagi ramai orang. Di pusat-pusat bandar Malaysia seperti Kuala Lumpur dan Georgetown, sebuah keluarga dengan dua anak perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM 1,000 dan RM 900 sebulan, masing-masing hanya untuk kos perumahan sahaja [4].

Sewa atau pembayaran pinjaman perumahan mewakili kira-kira 20% daripada anggaran perbelanjaan bulanan bagi mereka yang tinggal di Kuala Lumpur [4]. Ia juga sesuatu Omar dan Sofia, pasangan muda yang telah tinggal bersama keluarga mereka sejak berkahwin telah perhatikan. 

Kami sedang mencari rumah pada masa itu di Selangor, khususnya di Shah Alam dan Subang. Untuk rumah berkeluasan 1,200 – 1,500 kaki persegi di Subang dan Shah Alam, harga sewa adalah sekitar RM 1,500 hingga RM 2,500 bergantung kepada jenis unit. Sebuah rumah atau apartemen yang kurang daripada 1,000 kaki persegi akan berada dalam julat harga sewa yang sama. – Omar Aiman*

Ini juga yang mendorong Maryam* untuk meninjau program pembangunan baru di pinggiran bandar, kerana rumah-rumah di kawasan bandar, katanya, melampaui pendapatan isi rumah mereka. Berdasarkan kadar kemampuan milik rumah, negeri Selangor dan Kuala Lumpur adalah di antara kategori rumah yang amat tidak mampu milik pada skor median di antara 5.1 dan 5.0 [5].

Harga rumah-rumah di bandar hanya mampu dilihat. Oleh itu, pilihan untuk kediaman mampu milik atau hartanah seringkali adalah di pinggiran bandar.  – Maryam*

Saranan untuk berpindah ke Sungai Petani, Kedah, sangat menggiurkan bagi Omar dan Hanis. Mereka tertarik dengan cadangan daripada rakan karib mereka kerana harga sewa di sana lebih mampu milik, sesuai dengan belanjawan bulanan mereka. Berdasarkan penarafan kebolehcapaian perumahan, rumah-rumah di Kedah termasuk dalam kategori sederhana mampu milik dengan skor 4.0 [5].

Faktor kebolehcapaian ini sangat penting dalam keputusan mereka untuk berpindah ke Kedah, kerana ia membolehkan mereka mencapai keseimbangan antara kos dan kualiti kehidupan di rumah baru mereka.


Di Sungai Petani, sewa untuk sebuah rumah satu tingkat adalah sekitar RM 400 hingga RM 450. Saya ingat angka ini kerana ia adalah harga unit pertama yang tersenarai di Mudah. Jadi, jika anda ingin tinggal dengan selesa di sini, sebuah rumah dua tingkat boleh mencapai sehingga RM 800. Dan yang lebih mahal mungkin berharga RM 1000 hingga RM 1200, tetapi ia merupakan unit yang besar. – Omar Aiman*

Bagaimanapun, yang memudahkan Maryam* dan pasangan muda Omar dan Hanis* adalah fleksibiliti pekerjaan mereka. Maryam bertuah dapat bekerja dalam suasana hibrid dan perjalanan harian ke tempat kerja telah dikurangkan sejak pandemik ini.

Bagi Omar*, yang menjalankan perniagaan penulisan dan pengajaran secara atas talian dengan Hanis* mengurus bahagian kreatif perniagaan, berpindah keluar dari bandar memerlukan perubahan yang minima dalam profesion mereka.


Tetapi bagi Kalitha, yang berpindah ke Johor disebabkan peluang pekerjaan, pasaran sewa mencipta cabaran dengan pilihan yang mampu milik terhad. Johor adalah salah satu negeri di Malaysia dengan penarafan kebolehcapaian perumahan yang sangat tidak mampu milik pada skor 5.0[5]. Kos sewa yang tinggi menjadikan mencari rumah yang sesuai dalam belanjawan Kalitha sukar dilakukan.

Bilik/rumah sewa di sini mahal. Di KL, saya mewah dengan pilihan, bermaksud saya boleh mendapat pilihan lebih murah, tetapi bukan di sini. – Kalitha

Melarikan Diri Dari Hiruk-Pikuk Bandar

Bagi Hanis*, yang keluarganya awalnya datang dari Sungai Petani, Kedah, ke Lembah Klang untuk mencipta kehidupan yang lebih baik – keputusan mereka untuk berpindah ke negeri di bahagian utara Malaysia itu membingungkan bagi rakan sebaya mereka.


Apabila saya membawa perkara ini kepada rakan-rakan saya, mereka memandang saya dengan keraguan. Mereka bertanya sama ada kami yakin dengan keputusan ini, sama ada saya akan baik-baik saja. – Hanis Sofia*

Sebahagian daripada keraguan mereka berakar dari persepsi bahawa negeri-negeri di bahagian utara Malaysia yang diperintah oleh parti berorientasikan politik konservatif politik mungkin membawa masalah kepada Hanis*, seorang wanita Muslim yang tidak memakai tudung, dengan ketakutan terhadap perlakuan buruk dan konfrontasi kerana beberapa segmen masyarakat mungkin melihatnya sebagai terlalu “sosial” sebagai seorang Muslim dan mungkin bertanya “kenapa kamu tidak memakai tudung?”

Ada stereotaip yang kami fikirkan tentang Kedah. Dan berada di Sungai Petani, terutamanya bagi saya yang free hair [tanpa tudung], adakah saya akan baik-baik saja di sana? Orang tidak akan mengganggu kamu dan sebagainya? – Hanis Sofia*

Selepas setahun mereka menyesuaikan keadaan – semuanya berjalan lancar  bagi pasangan ini.  Walau bagaimanapun, Hanis dapati bahawa persepsi terhadap keputusannya untuk tidak memakai tudung mungkin menimbulkan tanda tanya di bahagian lain Kedah yang memiliki demografi Melayu Muslim yang lebih besar seperti di Kulim atau Sik. Di Sungai Petani, dengan kedudukannya yang hampir dengan Pulau Pinang, komunitinya berasal dari pelbagai latar belakang. 

Masyarakat di sini amat peramah dan baik hati. Saya memberitahu Hanis bahawa kadang-kadang saya berasa seperti seorang pelancong di tanah air sendiri – Omar Aiman*

Berbanding dengan perlumbaan tanpa henti di bandar, pasangan ini telah mengadaptasi gaya hidup yang lebih perlahan. Walau bagaimanapun, setiap kali mereka melawat keluarga mereka di bandar-bandar, mereka diingatkan tentang perbezaan gaya hidup yang ketara, mendorong mereka untuk mempertimbangkan irama kehidupan yang berbeza tersebut.

Sumber: Unsplash


Masyarakat di sini tidak tergesa-gesa. Apabila berada di simpang jalan atau kaunter bayaran kedai runcit, anda akan membiarkan orang lain pergi lebih dahulu dan menunggu giliran anda. – Omar Aiman*

Waktu juga berjalan lebih perlahan bagi Kalitha. Perpindahan tersebut memberikan hadiah yang ketara dengan mendapatkan semula waktunya dan ruang peribadinya.

Saya dapat fokus kepada diri saya dan perkara-perkara penting lain. Ini kehidupan yang lebih tenang. Tiada sesiapa yang mahu mengungguli yang lain dari segi materialistik. Tiada tekanan untuk mengekalkan penampilan. – Kalitha

Begitu juga, bagi Maryam, perpindahan keluarganya adalah perubahan yang dialu-alukan yang membangkitkan kenangan akan kampung halamannya di Kelantan.

Pada waktu senja, sekeliling sudah aman dan tenang. Orang ramai tidak lagi berada di jalan, seperti di Kelantan. Apabila malam tiba, kereta hampir tidak kelihatan di jalan kerana semua orang berehat di rumah. – Maryam*

Berhubung Dengan Alam Dan Membina Hubungan

Setiap kali saya memandu balik ke Hulu Langat, saya rasa seperti sedang bernafas udara yang lebih segar. – Maryam*

Maryam*, yang berulang-alik dari masa ke semasa ke tempat kerjanya di Sunway, mengakui perubahan langit dan udara yang dihirup terutamanya apabila meninggalkan Hulu Langat.

Sumber: The Star

Omar dan Hanis* mengamati bahawa masyarakat Sungai Petani benar-benar memperlihatkan semangat petani. Di mana-mana yang mereka lihat, mereka melihat jiran-jiran terlibat dalam aktiviti pertanian, dan gerai tepi jalan banyak yang menawarkan hasil pertanian segar. 



Setiap rumah ada tanaman yang boleh dimakan, bunga-bunga cantik, atau bonsai yang comel. Sesetengah orang menggunakan tanah mereka untuk menanam tanaman makanan. Sayur-sayuran di sini murah kerana anda mendapatkannya secara langsung dari ladang.
– Omar Aiman*


Dan dalam semangat Malaysia sejati, kewujudan makanan murah di Sungai Petani dan gerai tepi jalan yang menjual makanan minum petang di Hulu Langat mengukuhkan keputusan untuk kedua-dua pasangan muda dan Maryam.


Makanan sedap ada di sekitar kita – ayam golek, nasi kandar, banyak tom yum, makanan Thai. Harganya juga lebih murah. RM 30 di sini boleh membeli lebih banyak berbanding di KL. Kadang-kadang RM 30 boleh membeli makanan untuk tiga orang.
Omar Aiman*

Agak mudah untuk mencari makanan, kuih-muih, goreng pisang. Ia berdekatan. Ia tidak sesukar seperti kita tinggal di bandar – Maryam*

Tidak Semuanya indah

Bagi Omar dan Hanis*, perpindahan mereka ke Sungai Petani membolehkan mereka menjimatkan wang, sesuatu realiti yang mungkin tidak dapat dinikmati oleh ramai rakan sebaya mereka yang tinggal di bandar. Walau bagaimanapun, pasangan ini memberi penegasan bahawa mereka tidak memiliki kereta, dan ini adalah sebahagian daripada kriteria mereka untuk tinggal berdekatan dengan kedai-kedai tempatan, klinik dan restoran. Apabila perlu pergi lebih jauh, mereka perlu menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Kami mempunyai beberapa kriteria apabila mencari rumah. Ia perlu berada dalam jarak berjalan kaki daripada kemudahan penting. Jadi kami hanya beberapa minit dari klinik, farmasi, ATM, stesen minyak, 7-Eleven, dan penjual sayur borong. – Omar Aiman*

Sebaliknya, Maryam dan Kalitha mempunyai pengalaman berbeza. Maryam, terutamanya, berkongsi:

Kosnya agak tinggi, tetapi kami masih mampu bertahan kerana gaji kami. –Maryam*

Dan dengan lokasi Pengerang yang jauh dari bandar berdekatan seperti Kota Tinggi dan Bandar Penawar:

Kejutan bagi saya, kos hidup saya meningkat. Saya perlu memiliki kereta kerana tiada pengangkutan awam. Saya tidak dapat memasak dan pilihan makanan di sini terhad, dengan harga makanan melebihi purata. – Kalitha

Selain itu, semua bersetuju bahawa kemudahan di tempat tinggal mereka kini akan mendapat faedah daripada penambahbaikan. Bagi Omar dan Hanis, pakar kesihatan yang khusus adalah sesuatu yang jarang dijumpai di Kedah.

Beberapa pakar perubatan tertentu jarang di sini. Contohnya, tidak ramai pakar kiropraktik di Kedah. – Omar Aiman*

Kalitha juga mempunyai akses terhad kepada hospital untuk kecemasan, dan kemudahan di tempat tinggalnya kini tidak dijaga dengan baik.

Kebanyakan masa Maryam masih dihabiskan di bandar, beliau masih membawa anak lelakinya ke taman permainan yang terdapat di kawasan bandar, disebabkan keadaan taman permainan di kawasan kediamannya.

Kemudahan seperti taman permainan di kawasan kami tidak dalam keadaan terbaik. Buat masa ini, taman permainan indoor kelihatannya lebih baik. – Maryam*

Sumber: The Star

Timbangtara Keuntungan Dan Kerugian


Berpindah keluar dari bandar boleh menjadi keputusan yang mengubah hidup bagi individu dan keluarga, dengan andaian bahawa kos yang lebih terjangkau, suasana yang tenang, dan komuniti yang erat adalah ganjarannya. Semasa kami berbincang dengan responden kami, adalah penting untuk berhati-hati dalam menilai keuntungan dan kerugian yang bakal didapati berkaitan penghijrahan ini.

Bagi Omar* dan Hanis*, keputusan sebulat suara mereka telah dipertimbangkan dengan teliti dan memiliki teman lama yang tinggal di Sungai Petani telah sangat membantu pasangan tersebut.

Kami memastikan bahawa kami memeriksa segala-galanya terlebih dahulu. Kami bertuah kerana rumah yang kami dapat ini mempunyai semua kemudahan akses dan ia berdekatan. Dan ia tidak semegah tinggal di bahagian lain Sungai Petani. – Omar Aiman*

Hal yang sama juga berlaku bagi Maryam* dan keluarganya, dalam memastikan anak lelakinya tumbuh dewasa di lingkungan yang lebih tenang – perpindahan itu datang pada waktu yang tepat. Walau bagaimanapun, ini tidak semestinya bermaksud kos isi rumah yang lebih rendah.

Kalitha masih menyesuaikan diri dengan ketidakselesaan seperti kemudahan yang terhad di rumah barunya.

Bagi mereka semua, terdapat tukar ganti yang dilakukan, di mana kawasan luar bandar berkembang dengan lebih perlahan – sebagai gantinya, mereka mengakui kelemahan-kelemahan dan menikmati kelebihan dalam perpindahan; ketenangan, makanan lebih murah, dan komuniti yang lebih baik.

Sungguhpun begitu, memandangkan bekerja secara jarak jauh merupakan pilihan sesuai dan keluarga mencari perumahan lebih mampu milik, potensi bagi lebih ramai golongan millenial untuk berpindah daripada bandar adalah tidak pasti. Namun demikian, dengan kerja dari jarak jauh menjadi pilihan yang dapat diterima dan keluarga mencari perumahan yang lebih terjangkau, potensi untuk lebih banyak generasi millenial pindah dari kota menjadi tidak terjangka.Kecenderungan ini akan  memecah  penduduk golongan warga emas luar bandar di Malaysia – samada mereka akan mengubah dinamik komuniti ini secara mendadak pada masa akan datang atau membawa pembangunan yang amat mereka perlukan, hanya masa yang akan menentukannya. 

*Nama telah diubah untuk mengekalkan privasi responden kami.

Terjemahan oleh: Norazah Nizar

Explore our sources:

  1. Mohamad Shukor Mat Lazim. (2020). Household Expenditure Survey Report. Evolution of Migration for Urban and Rural. Department of Statistics Malaysia (DOSM). Link. 
  2. M.T.Schaper. (2020). Malaysia’s Self-Employment Explosion: Why So Many Own- Account Workers? ISEAS. Link
  3. Business Today. (2021). More Malaysians are moving out of the city and to the outskirts. Link 
  4. Social Wellbeing Research Centre (2023). BELANJAWANKU:Expenditure Guide for Malaysians 2020/2021. Kuala Lumpur. University of Malaya Press.  Link
  5. Ismail et al., (2019). Rethinking Housing: Between State, Market and Society. A Special Report for the Formulation of the National Housing Policy (2018 -2025). Khazanah Research Institute. Link 


Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?