Site logo

Daripada ‘Budak Lorong’, Sekarang Bergelar Seorang Chef Pastri: Munir Darussalam Menemui Tujuannya Menerusi Yayasan Chow Kit

Masyarakat seringkali mengingatkan di antara satu sama lain supaya berhati-hati apabila berjalan di kawasan Chow Kit. Dari segi sejarah, Chow Kit mempunyai persepsi yang teruk  dalam ciri-cirinya , terutamanya reputasi lampaunya sebagai kawasan red-light. Gejala sosial yang berleluasa di jalan raya yang sesak merupakan subjek yang popular dalam lagu Melayu klasik, diberi tajuk Chow Kit Road oleh Sudirman yang mengingatkan pendengar tentang penyeluk saku dan penculikan di kawasan tersebut.

Munir Darussalam, 25, dilahirkan dan dibesarkan di kawasan tersebut, berkata Chow Kit masih bergelut untuk membuang kulit lamanya. Di sekolah, rakan-rakan sekelasnya mempunyai nama khusus buat mereka.

Kami dipanggil budak-budak Chow Kit di sekolah. Sebahagian daripada mereka memanggil kami anak yatim, walau pada hakikatnya kami mempunyai ibu-bapa – Munir Darussalam.

Kepada orang luar dan pandangan mata kasar mereka, Munir dan rakan-rakannya yang berlegar di jalan-jalan di  Chow Kit, diberi gelaran ‘Budak Lorong’, dilabel sebagai gelandangan. 

Sumber: R.AGE

Tetapi, di celah-celahnya, Yayasan Chow Kit (dahulunya dikenali sebagai Nur Salam) menjadi ruang selamat untuk kanak-kanak yang sedang membesar di Chow Kit. Munir mengimbas kembali hari-hari yang dilaluinya di sana, dan dan bagaimana ia telah membentuk masa depannya.

Tempat Perlindungan Di Tengah Bandar

Ketika Munir berumur 8 tahun, jalan Chow Kit merupakan tempat permainannya dan Nur Salam atau YCK hanyalah sebuah bangunan satu tingkat. Berkat ajakan salah seorang rakannya, Munir mula mengunjungi pusat itu selepas waktu sekolah, untuk meluangkan masanya dan bertemu rakan-rakan.

Pusat itu menjadi tempat persinggahan bagi kanak-kanak yang tidak mempunyai pengasuh selepas waktu sekolah. Ia adalah satu ruang yang selamat, melindungi kanak-kanak daripada tempat-tempat yang menjurus kepada gejala sosial seperti sarang perjudian yang bertebaran di kawasan itu.

Masa berlalu, pusat itu berkembang menjadi bangunan tiga tingkat dan Munir mengunjunginya setiap hari. Lebih dua dekad yang lalu, kejiranan yang daif di bandar itu mempunyai dua pusat drop-in iaitu:  Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) bagi kanak-kanak di  sekolah rendah (7-12 tahun) dan Kuala Lumpur Krash Pad (KLKP) untuk remaja berusia 12 hingga 18 tahun.

Terdapat banyak aktiviti di sana dan ruangnya adalah luas. Saya dan rakan-rakan kerap di sana dan tidak bermain di kawasan jalanan. Mereka juga menyediakan makanan selepas waktu sekolah juga.– Munir Darussalam

Dengan tujuan untuk melengkapkan belia-belia seperti Munir daripada Chow Kit dengan cara-cara untuk meningkatkan status sosioekonomi mereka, pusat ini menawarkan pelbagai program yang memperkaya dan membina di dalam persekitaran yang memberangsangkan.

Koordinator program kami Abang Asrul mengendalikan aktiviti harian untuk kami. Kadang-kadang kami bermain congkak (permainan tradisi) atau karom. – Munir Darussalam

Munir terutamanya menggemari aktiviti yang dikendalikan oleh penaja dari luar; ia memberinya peluang untuk meneroka dunia di luar Chow Kit sebagai seorang kanak-kanak. Beliau masih ingat rombongan ke zoo dan aktiviti luar yang lain. Namun, acara kemuncak tahunan adalah semasa bulan Ramadhan di mana kanak-kanak YCK di raikan dengan jamuan buka puasa, katanya sambil tertawa.

 Kami mempunyai bermacam-macam aktiviti di luar Chow Kit, kami pergi berkhemah, melawat zoo dan Petrosains. Semasa Ramadhan, kami dapat menyimpan duit kami  dengan makanan yang disediakan. – Munir Darussalam

Walaupun YKC beransur-ansur membawa impak positif kepada komuniti sekitarnya, masih terdapat tanggapan negatif dari orang luar tentang Chow Kit. Dengan objektif untuk memberi pencerahan dan menawarkan perspektif yang baharu, tentang kehidupan di Chow Kit, sebuah teater mengenai Chow Kit muncul.

 Kami bersembang-sembang secara santai dengan Abang Firdaus, koordinator program apabila tercetus ilham untuk bercerita tentang Chow Kit. Kami ingin menyampaikan kedua-dua sisi positif dan negatif. Apabila bercakap tentang Chow Kit, seringkali orang akan berfikir tentang gejala sosial seperti kegiatan gangster. Walaubagaimanapun, ada juga sisi baiknya, terutamanya dengan adanya YCK di sini – Munir Darussalam

Bersama-sama dengan Firdaus, koordinator program dan Awaludin Shuti,  alumni dan pengasas Chow Kit Youth, mereka berusaha untuk menjadikan impian mereka satu kenyataan. Mereka menyertai sebuah rancangan TV3 ‘Sejuta Impian,’ dan menerima dana yang diperlukan.

Persembahan teater pertama mereka, Lorong the Musical, dibuka di Lot 10. Susulan kejayaan itu, Munir, 17 tahun, diuji bakat dalam pertunjukan teater kedua, Lorong Pemimpi dalam tahun 2015.

Saya hanya seorang watak tambahan dalam teater yang pertama. Saya melakonkan watak utama dalam teater kedua kami di DBKL selama 5 hari. Ia adalah sesuatu yang tidak dapat saya lupakan – Munir Darussalam

Sumber: Munir’s personal archive

Beranjak Dewasa 

Pada usia 18 tahun, selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Munir mengucapkan selamat tinggal kepada KL Krash Pad. Munir masih tidak pasti hala tujuannya semasa mencari  minatnya – melakukan pelbagai kerja sambilan.

Sementara menunggu keputusan SPM, saya cuba mencari minat saya . Saya bekerja di 7-eleven dan sebagai seorang promoter. – Munir Darussalam

 Dalam tempoh pencarian inilah dia menyedari minatnya untuk membuat roti.

Saya merasa seronok menonton video Youtube tentang masakan dan membuat roti di dapur. Ia agak menarik. Ada satu video yang membuatkan saya jatuh cinta dengan roti – Munir Darussalam

Di Yayasan Chow Kit,  peluang ada di setiap sudut dan tiada siapa yang ketinggalan – walaupun bagi mereka yang telah meninggalkan pusat tersebut. Salah seorang daripada pekerja sosial di pusat itu, Kak Ira, berkongsi bahwa ada peluang buat Munir untuk mengejar minatnya. 

Munir memohon dan menerima bantuan pelajaran daripada Program Didik Kasih EduCare , sebuah program amal di bawah Persatuan Amal Mulia. Berkat bantuan tersebut, Munir menghadiri kursus baker selama 6 bulan di Bakeri Ria di Ampang, menamatkan Sijil kemahiran Malaysia 2 (pensijilan tahap 2).

Sebahagian daripada syarat bantuan itu adalah, memberi kembali kepada masyarakat setempat, dan apakah cara yang lebih baik untuk membalas budi daripada mengajar kanak-kanak di YCK cara membakar roti? Bersama rakan sekursusnya, Munir mengajar lima belas kanak-kanak cara membuat roti.

Saya berbangga kerana berpeluang untuk berkongsi kemahiran saya dengan mereka. Ini adalah sesuatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. – Munir Darussalam[1]

Beberapa tahun kemudian, Munir berkongsi bahwa salah seorang daripada peserta yang menyertai bengkel tersebut juga sedang dalam latihan untuk menjadi seorang pembuat roti juga!

Salah seorang budak lelaki yang diajarkan cara-cara membuat roti juga telah menduduki SKM 2 dan sekarang merupakan seorang perantis membuat roti. Saya berharap, pada masa hadapan, saya akan memberi inspirasi kepada lebih ramai lagi.– Munir Darussalam

Peluang Yang Terbuka

Dengan YCK, kami sentiasa belajar perkara baharu dan bertemu dengan orang baharu. Apabila saya mengambil peluang dan risiko, keadaan menjadi lebih baik buat saya. – Munir Darussalam

Seorang tokoh yang sentiasa menjadi pembawa berita dan peluang baik adalah Kak Ira. Selepas menamatkan SKM 2, terdapat halangan bagi Munir untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya – disebabkan oleh perbelanjaan yang perlu ditanggung. Munir menyara hidupnya melalui pekerjaan sambilan.

Kak Ira memberikan satu lagi peluang, kali ini di Aeon Bakery. Satu program yang membolehkan Munir bekerja sementara menamatkan kelayakan SKM 3. Bagi Munir, yang tidak pernah berada jauh dari Chow Kit, prospek untuk berpindah ke Johor adalah suatu yang meresahkan. 

Saya tidak pernah hidup berdikari. Berpindah ke Johor bermakna mencari rumah sendiri dan berdikari. Namun, saya mengambil peluang ini dan bersyukur kerana saya mempunyai seorang rakan bersama-sama saya.– Munir Darussalam

5 tahun kemudian, Munir menjawat sebagai penyelia di satu perniagaan yang dijalankan oleh rakannya, Nian’s Dessert dan menjalankan perniagaan dari rumah, kofel.mymenjual ‘croffle’ yang inovatif. Sekali lagi, Kak Ira datang mengetuk dengan peluang baharu.

 Kak Ira mengiklankan kekosongan di bahagian dapur pastri di Rebung di dalam kumpulan WhatsApp kami. Saya menghantar permohonan, menghadiri temuduga dan  berjaya mendapat pekerjaan.– Munir Darussalam

Hari ini, Munir merupakan chef pastri di Restoran Rebung, sebuah restoran yang menyajikan makanan tradisi melayu yang diusahakan oleh chef selebriti, Dato’ Chef Ismail dan angkasawan pertama Malaysia, Dr. Sheikh Muszaphar.

Menggapai Masa Depan Yang Lebih Cerah

Munir adalah di antara 90% kanak-kanak yang telah melalui Yayasan Chow Kit dan kini menyumbang kembali kepada masyarakat.[2]. Bahagia dalam perkahwinan dan seorang bapa kepada dua orang anak lelaki Munir menyedari kepentingan Yayasan Chow Kit dalam membentuk kehidupan anak-anak di Chow Kit.

Kadang-kadang saya menjemput rakan-rakan untuk melihat ruba yang terdapat di Chow Kit. Saya memberitahu mereka tentang bagaimana YCK telah menjadi tonggak asas kepada perubahan ketara kawasan ini. Namun pastinya, ia bergantung kepada individu itu. Walaupun kami memberikan banyak ulasan positif dan kebaikan YCK, jika mereka masih percaya Chow Kit adalah tempat yang tidak baik, ia akan berterusan menjadi tempat yang buruk buat mereka – Munir Darussalam

Daripada seorang budak lelaki yang meredah jalan-jalan di Chow Kit, kepada seorang chef pastri yang mempunyai impian jangka panjangnya, Munir kini menyimpan harapan untuk membuka kedai rotinya sendiri bersama-sama abangnya. Perjalanan Munir adalah sebuah kisah tentang ketabahan dan sekiranya diberi peluang dan ruang, kanak-kanak akan berkembang maju.

Terjemahan oleh: Norazah Nizar

Explore our sources:

  1. The Sun Daily.(2017). Munir warms hearts teaching poor kids to bake. Link 
  2. S.Indramalar. (2022). Youth of Chow Kit seek public support to keep ‘centre that changed our lives’ going. Link

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?