Bayangkan belajar di waktu malam dengan cahaya lampu minyak tanah yang mungkin terpadam pada bila-bila masa. Hanya berbekalkan cahaya berkelip dan sinar yang tipis untuk melawan kegelapan dalam usaha mendapat pendidikan.
Keadaan sedemikian sukar dibayangkan terutamanya apabila elektrik boleh didapati hanya dengan memetik suis. Tetapi bagi Dr. Rosli Bin Sareya, kenangan ini tidak begitu asing. Kesusahan semasa membesar memberi beliau daya tahan untuk akhirnya mendapat PhD dalam Seni Kreatif (Naratif ‘Beat’).
Kini, beliau adalah seorang profesor di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang memberi inspirasi kepada pelajar untuk mengukir masa depan mereka sendiri. Kami telah berbual dengan beliau untuk mendalami kisah permulaannya yang penuh cabaran.
Anugerah Sebuah Pendidikan
Dr. Rosli dibesarkan di Pulau Sebatik, Tawau. Beliau merupakan anak ketiga daripada tujuh orang adik beradik dan ayahnya adalah pencari nafkah tunggal dalam keluarga, bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang kayu.
Mereka tidak mempunyai keperluan yang mencukupi bagi sebuah keluarga. Setiap ahli keluarga tidur bersama di atas lantai satu-satunya bilik di rumah mereka dengan dinding yang diperbuat daripada papan dan bumbung dari kepingan logam. Mereka sentiasa tergesa-gesa menyelesaikan kerja sekolah kerana lampu minyak yang terpadam secara tidak langsung menandakan bahawa waktu tidur telah tiba.
Seluruh keluarga akan tidur sebaik sahaja lampu terpadam kerana tidak ada perkara lain yang boleh mereka lakukan dalam kegelapan.
“Apabila kamu bangun pada keesokan harinya, hidung akan dipenuhi dengan jelaga hitam.”
“Sebagai seorang kanak-kanak, saya hanya berjalan ke sekolah dan tidak membawa apa-apa bekalan seperti makanan atau wang.”
Dr. Rosli masih mengingati saat beliau melihat kawan-kawannya membeli makanan di kantin sekolah selain memakai pakaian seragam sekolah baharu serta membawa beg sekolah baharu. Seperti tekaan anda, beliau tidak mampu untuk memiliki semua itu.
Walaupun masih seorang kanak-kanak, Dr. Rosli tidak pernah menyalahkan takdir. “Satu-satunya perkara yang saya miliki adalah keupayaan untuk bersyukur kerana saya mempunyai keluarga yang penyayang dan saya masih dapat hadir ke sekolah,” katanya.
“Walaupun ketika meningkat remaja, saya tidak pergi ke bandar kerana saya tidak mampu membayar tambang pengangkutan sebanyak RM2.”
Miskin Tetapi Tidak Menagih Simpati
Dr. Rosli tidak pernah kecewa atau tidak berpuas hati walaupun beliau membesar dengan kemudahan asas yang kurang dan terbatas. Perkara yang paling penting adalah beliau sentiasa berterima kasih atas apa yang beliau miliki. “Saya faham keperluan keluarga saya, jadi saya tidak menekan mereka,” katanya.
Ibunya memainkan peranan penting dalam hidupnya. Beliau akan memberi galakan kepada anak-anaknya setiap malam. “Apabila kamu sudah dewasa dan bekerja, kamu boleh membeli dan makan serta mempunyai apa sahaja yang kamu mahukan,” Dr. Rosli mengingati kata-kata yang memberinya harapan dan kekuatan untuk menempuh masa hadapan.
Tiada Wang, Tiada Ijazah
Ketika berusia 19 tahun, Dr. Rosli telah menerima keputusan STPM, namun ianya tidak begitu memberansangkan. Beliau tidak memberikan sepenuh usaha kerana sedar beliau tidak mampu memasuki universiti dengan yuran yang di luar kemampuannya.
Beliau mengubah jalan hidupnya dan berpindah bersama kakaknya yang bekerja di Kota Kinabalu. Di sana, beliau melakukan beberapa pekerjaan termasuk menjadi penghantar pizza.
Perjalanan Akademik
“Saya berada di UMS untuk menghantar pesanan, kemudian seorang kakitangan memberitahu saya tentang jawatan kosong di universiti.”
Although doubtful of his prospects, he applied anyway. To his surprise, he was hired from a pool of 600 applicants.
Walaupun berasa ragu terhadap prospeknya, beliau tetap memohon jawatan tersebut. Lebih memeranjatkan apabila beliau berjaya dari kalangan 600 pemohon.
Pada tahun 2001, Dr. Rosli mula bekerja sebagai juruteknik makmal sementara sambil belajar untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi.
Kemudian, beliau mengumpul lebih banyak pengalaman kerja sebagai juruteknik AV, namun, rakan-rakannya menggalakkan beliau untuk terus belajar. Pada tahun 2013, Dr. Rosli menerima Ijazah Sarjana Seni Kreatif (Penyuntingan Filem).
Perjalanan akademiknya berterusan selama 15 tahun sehingga beliau akhirnya memperoleh gelaran Doktor Falsafah dalam Seni Kreatif (Naratif ‘Beat’) pada tahun 2019.
Pelbagai Cabaran Telah Dilalui
Dr. Rosli menempuh pelbagai cabaran sepanjang pengajian beliau, terutama sekali ketika ibunya jatuh sakit. Kesemua 7 orang adik-beradik tersebut semampu mereka membelanjakan sejumlah besar wang untuk memberikan rawatan perubatan sebaik mungkin kepada ibu mereka. Sepanjang masa itu, ibu Dr. Rosli tinggal bersamanya.
“Penyelidikan kedoktoran saya tergendala kerana hal ini, tetapi itu tidak menjadi masalah kerana ibu saya adalah keutamaan yang lebih tinggi.”
Beliau bersyukur kerana keadaan mula menjadi lebih baik dan ibunya beransur pulih dari penyakit yang dihidapi. Dr. Rosli menyifatkan kejayaan yang dikecapinya adalah disebabkan dari doa yang tidak putus-putus dari seorang ibu.
“Motivasi dan usaha adalah sesuatu yang bermula dari dalam diri kita. Adalah sangat penting untuk memohon doa dari ibu.”
Dr. Rosli bukanlah satu-satunya yang berjaya dalam keluarganya. Empat adik-beradiknya yang lain adalah pemegang Ijazah Sarjana dalam Psikologi, Keselamatan dan Geografi manakala seorang lagi mempunyai PhD dalam bidang Ekonomi dari sebuah universiti di UK.
Perjalanan kejayaannya bukanlah pencapaian dirinya seorang. Dr. Rosli tidak melupakan mentornya yang telah memberikan nasihat berharga dan dengan murah hati membayar yuran Ijazah Sarjana Muda beliau. “Saya perlu berterima kasih kepada ramai orang, terutamanya Professor Dr. Chess Skineer, yang merupakan seorang Dekan di Universiti Kanada. Tanpa bantuan dan sokongan daripada orang lain, saya tidak akan berada di sini,” katanya.
Apakah Yang Boleh Diambil Ikhtiar Generasi Muda Dari Kisah Ini?
Kami meminta Dr. Rosli memberikan beberapa mutiara kata:
“Terdapat banyak kelebihan yang tersedia untuk generasi baru, semuanya terpulang kepada mereka. Kejayaan adalah sesuatu yang mesti mereka dapatkan untuk diri mereka sendiri. Sikap masing-masing memberikan perbezaan besar.”
Antara prinsip beliau adalah untuk sentiasa merendah diri tidak kira apapun permulaan anda. Jangan sekali-kali menghukum orang lain berdasarkan kerjaya atau status sosial mereka. Beliau percaya bahawa semua makhluk diciptakan sempurna dan harus dihormati.
“Generasi muda, jangan pernah mendabik dada dan merendahkan orang lain. Ingatlah untuk mempunyai rasa belas kasihan dan memahami ibu bapa kamu, kerana doa dan nasihat mereka akan sentiasa membantu.”
Nota: Semua gambar melainkan yang dinyatakan adalah koleksi peribadi Dr. Rosli.
Rujukan:
- World Bank. (2018). Access to electricity (% of population). Link.
- Export.Gov. (2019). Malaysia – Energy. Link.
- UNESCO. (2017). Millions could escape poverty by finishing secondary education. Link.
Diterjermah oleh: Nurul Shaeera Sulaiman