Site logo

Bolehkah Seorang Kanak-Kanak Autistik Dalam Keluarga Berpendapatan Rendah Berkembang Dengan Sihat?

Pada tahun 2020, sekurang-kurangnya 20,000 orang kanak-kanak kurang upaya, termasuk kanak-kanak yang mengalami kelewatan perkembangan seperti autisme (ASD)[1]

PERSATUAN AUTISME KEBANGSAAN MALAYSIA (NASOM) MENGANGGARKAN SEBANYAK 9,000 ORANG KANAK-KANAK DISAHKAN DIDIAGNOSIS DENGAN AUTISME SETIAP TAHUN.

Walau bagaimanapun, jumlah sebenar mungkin lebih banyak daripada yang dilaporkan kerana penjaga teragak-agak untuk mendaftarkan anak-anak mereka sebagai Orang Kurang Upaya atau kanak-kanak disalah anggap sebagai ‘slow learner’.

Daripada mengenali tanda-tanda dan simptom-simptom autisme kepada mendapatkan diagnosis dan memastikan kanak-kanak menerima terapi dan persekitaran yang diperlukan, ini adalah satu proses yang penuh dengan cabaran –  ibu bapa atau penjaga dan kanak-kanak tersebut. 

Satu cabaran yang lebih menonjol daripada yang lain ialah kos kewangan untuk menjaga kanak-kanak autisme. Walaupun tiada pecahan yang menunjukkan bilangan kanak-kanak autistik daripada isi rumah yang berpendapatan rendah, penemuan sebelumnya[3,4] telah menunjukkan bahawa penjagaan untuk kanak-kanak autisme meningkatkan beban sesebuah keluarga. Lokasi geografi juga memainkan peranan dalam ketersediaan bantuan dan sokongan yang diberikan kepada para ibu bapa.

Kekurangan Maklumat Membawa Kepada Kegagalan Untuk Bertindak Serta-Merta

Pada tahun 2010, beliau melawat pelbagai klinik untuk menilai anaknya yang berusia tiga tahun. Keluarganya melalui perjalanan ke Singapura dan menemui jawapan selepas diagnosis dan rawatan penuh untuk J. Sebanyak S$600 (sekitar RM1858) telah dibelanjakan untuk diagnosis tersebut [5].

Namun, tidak semua kes autisme dikesan pada peringkat awal. Terdapat beberapa halangan dihadapi bergantung kepada tempat kanak-kanak dilahirkan. Satu kajian yang dijalankan dalam kalangan penjaga autisme di Kelantan mendapati golongan ibu bapa tidak mencari maklumat apabila anak mereka mempunyai masalah kelewatan pertuturan. Kelewatan dalam pertuturan dilihat sebagai  ‘biasa’ di kalangan kanak-kanak, terutamanya bagi golongan kanak-kanak lelaki. Ini merupakan satu kepercayaan yang dikaitkan dengan norma budaya dan sosial mereka[4]

SEBELUM INI, KITA CENDERUNG UNTUK MENGABAIKANNYA, DAN IA ADALAH PERKARA BIASA; ANDA TAHU BAGAIMANA ORANG TUA MEMBALAS. . . MALAH IBU SAYA BERKATA, “ITU BUKAN PERKARA LUAR BIASA. MALAH ADIK-BERADIK KAMU, SEBAHAGIAN DARIPADA MEREKA JUGA BEGITU.” MAKA KAMI MENGANGGAP INI ADALAH PERKARA BIASA.  – SEORANG AHLI PERNIAGAAN BERUMUR 39 TAHUN DENGAN ANAK AUTISME[4]

Istilah autisme kurang dikenali oleh para ibu bapa, dan disebabkan itu ibu bapa lambat untuk mendapatkan maklumat dan bantuan daripada pengamal penjagaan kesihatan yang profesional. 

EMPAT TAHUN LALU, SAYA MEMINTA JIRAN SAYA UNTUK MENJAGA ANAK. SAYA MEMBERITAHUNYA BAHAWA ANAK SAYA TIDAK AKAN PERGI KE MANA-MANA; DIA HANYA AKAN DUDUK DI SANA. JIRAN SAYA BERKATA ANAK SAYA MUNGKIN AUTISTIK. SAYA BERTANYA KEPADANYA, “APAKAH ITU?” SAYA TIDAK MENGENALI APA ITU AUTISME.  – SEORANG JURULATIH GIMNASIUM BERUMUR 40 TAHUN DENGAN ANAK AUTISME[4]

Sebaik sahaja doktor telah mendiagnosis anak-anak mereka dengan autisme, para ibu bapalah buntu dan bersendirian dalam merumuskan langkah seterusnya. 

MALAH DOKTOR PUN BUNTU . MEREKA TIDAK BERPENGETAHUAN LUAS TENTANG AUTISME. SATU-SATUNYA PERKARA YANG MEREKA FAHAM ADALAH KAMI PERLU MENGHANTAR ANAK-ANAK KAMI KEPADA AHLI TERAPI. – SEORANG TUKANG GUNTING RAMBUT MELAYU BERUMUR 38 TAHUN DENGAN ANAK AUTISME[4]

Kekurangan maklumat mengenai  pihak-pihak yang terlibat hanya melambatkan intervensi yang diperlukan untuk kanak-kanak autisme. Special Education Integrated Programme (SEIP) i yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan adalah sebahagian daripada strategi intervensi awal kanak-kanak. Namun, ramai yang tinggal di daerah yang lebih kecil sering terabai dan kesedaran umum berkenaan intervasi ini adalah rendah[6]

Emily, di sebaliknya, mempunyai kesedaran yang tinggi. J telah menerima rawatan bioperubatan setelah didiagnosis. Selain itu, J berjumpa dengan doktor untuk konsultasi perubatan dan preskripsi ubat-ubatan yang berjumlah RM1,800 setahun. J juga menghadiri sekolah berkeperluan khas swasta yang berharga RM4,000 sebulan untuk program setengah hari, setiap enam bulan dengan tambahan caj yang dikenakan sebanyak RM1,500[5].

Kos Yang Menggunung Ketika Menjaga Kanak-Kanak Autistik

Terdapat banyak pusat dan sekolah pendidikan khas berkembang pesat di Lembah Klang untuk memenuhi keperluan kanak-kanak autisme disebabkan kesedaran yang meningkat dalam kalangan penduduk di bandar. Para ibu bapa berusaha untuk memberikan keperluan yang terbaik demi perkembangan anak-anak mereka. Walau bagaimanapun, keadaan ini berbeza di kawasan luar bandar. 

Kanak-kanak autisme juga digalakkan untuk menghadiri terapi dan kelas untuk membantu mereka mengatasi gangguan yang dihidapi dan belajar untuk menjadi lebih berdikari. Salah satu terapi ialah terapi Applied Behavioral Analysis (ABA). J menghadiri terapi ABA di rumah, dan ianya berharga RM650, dengan dua orang ahli terapi dengan dua jam setiap sesi, empat kali seminggu. Dengan perkembangan baik J, jam terapi meningkat kepada tiga ahli terapi dengan enam jam sehari, lima kali seminggu[5]. Jika  semua kos ditambah, jumlah akhir tergolong mahal dan tidak ramai yang mampu membayar. 


Untuk golongan keluarga yang berpendapatan rendah, mereka bergantung kepada perkhidmatan yang disediakan oleh badan bukan kerajaan seperti IDEAS Autism Centre dengan yuran minimum sebanyak RM300 sebulan[3] atau terapi di NASOM dengan bayaran sebanyak RM120 setiap jam[7]

Selain itu, terdapat sesi terapi occupational bertujuan untuk meningkatkan kemahiran motor dan kemahiran hidup harian yang menjadikan kos semakin membebankan. Sesi tersebut menambah jumlah sebanyak RM480 ​​lagi untuk empat sesi kepada bil bulanan sesebuah keluarga. Kadangkala, kanak-kanak juga mungkin memerlukan sesi terapi pertuturan untuk mengekspresikan diri mereka dengan lebih baik; J menghadiri terapi pertuturan mingguan dengan kos bulanan sebanyak RM540 disertakan dengan yuran penilaian sekali sebanyak RM350[5]. 

Terapi tambahan seperti terapi pertuturan atau carakerja boleh menjejaskan status kewangan keluarga B40. Penyelidikan menunjukkan bahawa kos bulanan terapi occupational untuk kanak-kanak autistik mengambil sekurang-kurangnya 13% daripada pendapatan isi rumah keluarga B40[3]. 

Jumlah kos yang dibelanjakan oleh Emily untuk menjaga anak autistiknya  setahun pada 2016 ialah RM96,700 dan jumlah itu mungkin meningkat disebabkan oleh inflasi.  Emily mampu memberikan keperluan terbaik untuk J, walau bagaimanapun, ramai ibu bapa di kawasan luar bandar dan dalam golongan berpendapatan rendah mengalami masalah kewangan kerana perbelanjaan pendidikan dan perkhidmatan yang membebankan untuk anak-anak autistik mereka. 

IA ADALAH SATU KESUSAHAN  KERANA KAMI CUBA MEMBAYAR YURAN ANAK-ANAK YANG BEGITU MAHAL, DI SAMPING PERBELANJAAN BULANAN KAMI. IA ADALAH SATU KESUSAHAN.  – SEORANG SURI RUMAH BERUMUR 38 TAHUN  – A 38y/o housewife[4]

Membuat Pilihan Kedua Mempunyai Kelemahannya Yang Tersendiri 

Sebuah keluarga yang tinggal di Kelantan perlu melakukan perjalanan yang jauh, kadangkala ke Kuala Lumpur untuk menghadiri terapi-terapi. Keadaan ini meningkatkan perbelanjaan dengan banyak. Hospital-hospital kerajaan menyediakan perkhidmatan yang diperlukan secara percuma.  Walau bagaimanapun, ia adalah sukar untuk mendapatkan temu janji dan mengambil masa berbulan-bulan.

SATU PERKARA YANG KITA BOLEH LIHAT DI KELANTAN IALAH TIADA TEMPAT KHUSUS UNTUK IBU BAPA YANG MEMPUNYAI ANAK-ANAK AUTISME. DI KUALA LUMPUR, TERDAPAT BANYAK SEKOLAH KHUSUS SEPERTI PERMATA KURNIA. – AHLI FISIOTERAPI BERUMUR 51 TAHUN[4]

Dengan tiada pilihan untuk keperluan khas swasta di kawasan luar bandar, keluarga menghantar anak-anak autistik mereka ke prasekolah yang dijalankan kerajaan. Namun, para guru di prasekolah kerajaan tidak dilengkapi latihan untuk mengendalikan keperluan pelajar autistik. 

KAMI MENGHANTAR ANAK KAMI KE TADIKA KERAJAAN. NAMUN GURU TIDAK DAPAT MENGAWALNYA. MENURUT GURUNYA, DIA TAK BOLEH DUDUK DIAM. DIA TIDAK MENGACAU, TAPI MERAYAU-RAYAU. SELEPAS ITU CIKGU MEMAKLUMKAN BAHAWA DIA TAK SESUAI BERADA DI SEKOLAH TERSEBUT. – PENOLONG JURUAUDIT BERUMUR 36 TAHUN[4]

Faktor keadaan yang kurang mendorong dan persekitaran pembelajaran yang buruk mengundang kesan negatif kepada kanak-kanak dan keupayaan untuk mereka belajar dan membesar. 

CIKGU KURANG PASTI UNTUK MENILAI, DAN BELIAU TIDAK DAPAT MEMASTIKAN SAMA ADA ANAK SAYA BOLEH MEMBACA ATAU TIDAK. BELIAU SEPERTINYA MENGAJAR ANAK SAYA PERKARA YANG SAMA SEPERTI KANAK-KANAK DOWN SINDROM.  – AHLI FISIOTERAPI BERUMUR 51 TAHUN[4]

Majoriti Anggota Masyarakat Yang Kurang Sikap Toleransi

Ibu bapa kepada kanak-kanak autistik di kawasan luar bandar berasa kecewa dengan kekurangan pemahaman oleh keluarga besar mereka. Penganiayaan dan kata-kata kesat berpunca daripada kekurangan pengetahuan dan stigma terhadap kanak-kanak autisme. 

SEMASA SAYA SEDANG MENGEMAS BARANG, SAYA MENDENGAR SAUDARA-MARA MEMARAHI ANAK SAYA (DENGAN KATA-KATA JAHAT) SEPERTI ‘SAYA AKAN MENYEBAT KAMU.’ MALAH ADA YANG MENGGONCANGNYA.” –  SEORANG SURI RUMAH MELAYU, 37 [4]


Bukan itu sahaja, masyarakat sekeliling masih jauh lagi daripada bersikap toleran kepada kanak-kanak autisme. Pada tahun 2018, sebuah keluarga yang mempunyai anak-anak autisme di Kuala Terengganu terpaksa meninggalkan rumah sewa mereka [8].

Anak lelaki mereka, Rayyan sering berteriak dan menangis, sesuatu yang biasa dialami oleh kanak-kanak dalam spektrum. Sedangkan penduduk berhampiran adalah berada, bapanya, Kamal bekerja sebagai mekanik hanya berpendapatan sebanyak RM1500.

MASALAH UTAMA SEKARANG IALAH WANG. SAYA PERNAH MEMBERITAHU ISTERI SAYA ‘KALAU ADA DUIT, SAYA AKAN MEMANGGIL LORI JUGA UNTUK MEMBAWA BARANG DAN BERPINDAH’. TETAPI SAYA JUGA PERLU MEMBAYAR DEPOSIT JIKA KAMI INGIN BERPINDAH. GAJI SAYA KECIL, TETAPI MUJURNYA ISTERI SAYA MEMBANTU SAYA DENGAN MENJUAL KUIH UNTUK MERINGANKAN BEBAN SAYA. – KAMAL, BAPA KEPADA SEORANG ANAK AUTISM DI KUALA TERENGGANU [8]

Disebabkan oleh ketidakpercayaan terhadap golongan pendidik, kekurangan pemahaman daripada majoriti anggota masyarakat dan sokongan penuh yang diperlukan oleh kanak-kanak autistik, keluarga memilih salah seorang ibu bapa untuk menjadi pencari nafkah tunggal dalam keluarga. Ini adalah pilihan yang sukar kepada Teoanna, seorang ibu kepada dua orang anak autistik. Dia ialah seorang pereka grafik sebelum diagnosis anak perempuannya, Abrianna dan anaknya, Aaryn, mendorongnya untuk menjaga mereka di rumah [9]

HIDUP DENGAN PENDAPATAN TUNGGAL DENGAN ANAK-ANAK YANG MEMERLUKAN PEMANTAUAN DAN BANTUAN YANG BERTERUSAN ADALAH MEMENATKAN. MEREKA MEMERLUKAN BANTUAN DAN SAYA JUGA  MEMERLUKAN BANTUAN. – TEOANNA JAMES, IBU KEPADA DUA ORANG ANAK AUTISME[9]

Selepas anak lelakinya disahkan menghidap autisme, Teoanna mengalami masalah kemurungan dan konflik di dalam perkahwinannya, ditambah pula dengan masalah kewangan.

KETIKA ITULAH SAYA MENGALAMI KEMURUNGAN DAN PERKAHWINAN SAYA DALAM KEADAAN TEGANG. SAMUEL (SUAMINYA) MELIBATKAN DIRI DALAM KERJANYA MANAKALA SAYA MENGALAMI KEMURUNGAN SERIOUS. SAYA MEMPUNYAI TIGA ANAK KECIL KETIKA ITU. DUA DISAHKAN MENGHIDAP AUTISME DAN ANAK KETIGA SAYA, ALYSSA JUGA MENUNJUKKAN SIMPTOM YANG SAMA WALAUPUN DIA BERKEMBANG SECARA NORMAL. – TEOANNA JAMES, IBU KEPADA DUA ANAK AUTISME[9]

Bagi para ibu bapa, biasanya ibu yang memikul tanggungjawab yang lebih berat untuk menjaga anak-anak autisme, sering meluahkan rasa penat dan kecewa dengan kurangnya sokongan pasangan mereka dalam pengagihan tanggung-jawab. Kadang-kala satu-satunya penyelesaian adalah perceraian dan ibu biasanya mengambil alih tanggung jawab dan hak asuh anak. 

SAYA MEMINTA UNTUK BERCERAI KERANA DIA TIDAK PERNAH PULANG, DAN JIKA DIA PULANG, DIA HANYA PULANG PADA WAKTU MALAM SELAMA DUA JAM. SEBAB ITU SAYA BERKATA SAYA LEBIH BAIK BERSENDIRIAN. JADI, SAYA MENGAMBIL SAYA KEPUTUSAN INI. LEBIH BAIK KITA BERPISAH SAHAJA KERANA APABILA ANAK SAYA SAKIT, SAYA SELALU BERSENDIRIAN. – SEORANG SURI RUMAH MELAYU, 29[4]

Pandemik, bagaimanapun, berkemungkinan telah melambatkan kemajuan  kanak-kanak untuk beransur berdikari. Dengan penutupan pusat-pusat penjagaan, penjaga perlu menumpukan lebih banyak masa untuk mempraktikkan teknik ABA bersama anak-anak mereka. Masalahnya, bolehkah mereka meluangkan lebih banyak masa sedangkan kelangsungan hidup dan mencari nafkah menjadi taruhan yang lebih tinggi? 

Lebih Banyak Bantuan Kerajaan Diperlukan

Keluarga-keluarga yang mempunyai anak-anak autistik, berdaftar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) diberikan elaun sebanyak RM150 sebulan, tetapi itu adalah tidak mencukupi. Sesetengah keluarga tidak mendapat manfaadt daripada skim ini kerana kekurangan pengetahuan tentang bantuan yang sedia ada dan ada segelintir yang enggan melabelkan anak-anak mereka sebagai kurang upaya. 

Selain itu, keluarga yang dikategorikan dalam keluarga berpendapatan sederhana, atau M40 telah menunjukkan ketidakpuasan hati mereka terhadap sokongan yang minimum dari pihak berkuasa.

Siti Aishah, 50, berhenti kerja sebagai kerani akaun apabila melahirkan anak pertama daripada tiga orang anaknya yang menghidap autisme. Keluarganya kini bergantung kepada pendapatan bulanan suaminya. Memandangkan pendapatan bulanan suaminya meningkat ke RM 5,000, keluarga mereka dianggap tidak layak untuk menerima bantuan kerajaan yang disasarkan[10]

Pada masa yang sama, Aishah juga menghidap penyakit kanser payudara yang didiagnosis kembali[10].

SELEPAS TAHUN PERTAMA BR1M, GAJI SUAMI SAYA DINAIKKAN KEPADA RM4,100 DAN KAMI DIMAKLUMKAN TIDAK LAGI LAYAK WALAUPUN BEBERAPA RAYUAN TELAH DIBUAT. ANAK-ANAK SAYA MASIH MEMERLUKAN LAMPIN DAN PENJAGAAN KHAS. BAGAIMANA KAMI MASIH BOLEH DIANGGAP BERPENDAPATAN SEDERHANA SEDANGKAN  APA YANG KITA MAKAN SEMASA KELUAR HANYALAH SARAPAN ROTI CANAI (PRATA)? – SITI AISHAH ABDUL RAHIM, IBU KEPADA TIGA ORANG ANAK AUTISME[10]. 

Kebimbangan Terbesar  Para Ibu Bapa Dengan Kanak-kanak Autistik 

Terdapat semakin banyak organisasi yang cuba mengurangkan beban kewangan untuk memastikan kanak-kanak autistik boleh berkembang tanpa mengira latar belakang kewangan mereka. 


Contohnya, Pusat Autisme Idea, yang ditubuhkan pada 2012, menyediakan perkhidmatan penjagaan pada harga yang berpatutan kepada kanak-kanak autistik. Pusat ini menyediakan potongan kos di mana para ibu bapa hanya perlu membayar sebanyak RM300 daripada jumlah kos sebanyak RM3000. Ini telah meringankan beban kepada keluarga yang amat memerlukan bantuan[3]

Teoanna dan keluarganya juga telah menerima bantuan yang diperlukan melalui biasiswa Early Autism Project[9]

Tetapi, para ibu bapa yang mempunyai anak-anak autistik mempunyai satu kebimbangan yang sama iaitu, apakah masa depan anak-anak mereka? Cabaran merawat kanak-kanak autistik hanya menjadi lebih besar apabila mereka semakin dewasa.  

KEBIMBANGAN SAYA SEKARANG ADALAH HALA TUJU HIDUPNYA. DIA SUDAH BERUMUR 14 TAHUN. APA YANG AKAN BERLAKU SELEPAS DIA MENAMATKAN SEKOLAH? SAYA SENTIASA MEMIKIRKAN MASA DEPANNYA. KALAU BOLEH, SAYA TIDAK INGIN DIA DUDUK DI RUMAH, TETAPI KELUAR DAN MELAKUKAN SESUATU DEMI DIRINYA SENDIRI. UNTUK BEBAS MEMILIH MINATNYA UNTUK MEMASAK. ITULAH YANG SAYA SASARKAN PADA MASA INI. – SEORANG SURI RUMAH MELAYU BERUMUR 54 TAHUN[4]

Kementerian Pendidikan telah menggalakkan kanak-kanak autisme untuk menjadi sebahagian daripada pendidikan arus perdana, yang menyebabkan lebih banyak ketidakselesaan kepada para pelajar dan pendidik kerana kurangnya kesedaran. Terdapat cadangan untuk menawarkan pendidikan TVET untuk para pelajar autistik, tetapi tiada rancangan konkrit disediakan. 

Individu yang menghidap autisme memerlukan dorongan dan perhatian untuk mengggalakkan mereka mencapai kecemerlangan. Kita telah membaca kisah kejayaan Autism Cafe Project, kasih sayang bapa yang menyediakan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan kepada anak lelakinya begitu juga kepada individu autisme di negara ini.   

Terdapat juga harapan yang boleh mengurangkan kebimbangan para ibu bapa. Pada 2021, Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (NASOM) telah melancarkan Program Pakar E-Dagang Bertauliah (CES) Tahap 1 bertujuan untuk mendidik belia autisme dengan kemahiran yang diperlukan dalam pemasaran digital dan e-dagang[11]. Pada masa yang sama, sektor korporat seperti Gamuda telah menubuhkan  Gamuda’s Enabling Academy untuk menyiapkan belia autistik dengan kemahiran yang diperlukan untuk pekerjaan[12]

Inisiatif #JaminKerja yang dilancarkan semasa Belanjawan 2022 bertujuan meningkatkan guna tenaga komuniti OKU di tempat kerja adalah satu langkah kerajaan[13]. Namun, persoalan yang masih wujud – adakah kanak-kanak autistik yang tinggal di kawasan luar bandar diberikan peluang yang sama? Bagaimanakah intervensi awal untuk kanak-kanak autistik daripada isi rumah berpendapatan rendah boleh ditingkatkan? Bolehkah semua individu autistik berdikari dan menjalani kehidupan yang  bermakna di Malaysia? 

Bak pepatah dalam bahasa Inggeris, It takes a village to raise a child, yang bermaksud untuk membesarkan seorang anak ia memerlukan penglibatan seluruh kampung. Tetapi bagi keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai anak-anak autisme, perjalanan mereka adalah mencabar, dengan bantuan minima daripada kerajaan dan kekurangan sokongan daripada masyarakat.

Terjemahan oleh: Sally Yeo Yi Tong

Explore our sources:

  1. Department of Statistics Malaysia. (2020). Children Statistics Malaysia, 2020. Link 
  2. National Autism Society Of Malaysia. (n.d). Autism. Link
  3. S.Chandran. (2016). Financial Burden of Living with Autism: A case study of parents at IDEAS Autism Centre. IDEAS Policy Paper. Link
  4. W.N.Wan Yaacob,  L.H.Yaacob, R.Muhamad and M.Mohd Zulkifli. (2021). Behind the Scenes of Parents Nurturing a Child with Autism: A Qualitative Study in Malaysia. Int. J. Environ. Res. Public Health 2021, 18, 8532. Link
  5. I.Lee. (2016). Cost Of Autism: Raising An Autistic Child In Malaysia. Imoney.com. Link
  6. R.Chua. (2021).Special ed: Evaluation time. The Star. Link
  7. N.Muslim. (2021). COVID-19: Anak-Anak Istimewa Terkesan Dengan Sekatan Pandemik. BERNAMA. Link
  8. I.S.A.Shuaib. (2018).Keluarga Dihalau Kerana Anak Autisme, Ini Jawab Si Ayah! MStar. Link
  9. E.Koshy. (2021). Finding hope: A mother’s touching tale about her two autistic children. New Straits Times. Link
  10. S.Teoh. (2019). Malaysia grapples with poverty and income levels as it reaches out to struggling families. Straits Times. Link
  11. L.Zain. (2021). The World’s First Certified E-Commerce Programme For Youth With Autism In Malaysia. Ninja Housewife. Link
  12. S.Yeap. (2017). Gamuda’s Enabling Academy prepares autistic young adults for employment. Options The Edge. Link
  13. A.Jacob. (2021). Budget 2022 To Integrate PWDs Into The Workforce. The Sun Daily. Link 

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?