Site logo

Bermula Sebagai Selebriti Media, Adrian Edy Menjadi Perintis Perubahan Sosial

Banjir yang melanda Beaufort, Sabah pada Mei 2021 menyebabkan kampung-kampung terputus dari dunia luar. Talian elektrik terjejas, bekalan air bersih terhenti dan penduduk kampung terpaksa bertahan dengan stok makanan yang terhad di rumah.

Apabila berita ini diterima oleh Adrian Edy, dia segera menggerakkan usaha pengumpulan dana untuk mengirimkan bantuan makanan kepada penduduk kampung. Setelah banjir reda, dia menaiki sampan untuk ke Kampung Long Pasia dan menyusuri sawah untuk menyampaikan bungkusan makanan kepada keluarga-keluarga di sana.

Sumber: Adrian Edy | Facebook

Penduduk kampung terkejut melihat saya kerana mereka tidak menjangkakan sebarang pertolongan. Walaupun sebilangan rumah terhindar daripada banjir kerana dibina tinggi di atas tanah, mereka bersyukur dengan sumbangan yang disampaikan kerana mereka juga telah terputus bekalan makanan di rumah[1]. – Adrian Edy

Pandemik Mengubah Peribadi Pelakon Muda 

Adrian Edy ialah seorang jejaka berusia 25 tahun. Lebih dikenali sebagai ‘Edy’, sebelum ini dia pernah membintangi beberapa siri tempatan seperti Gaduh Gaduh Sayang dan vlog percutian bersama Hannah Delisha yang bertajuk #expeRIAnce Ready Set Action. Seiring dengan peningkatan penggunaan media sosial, Edy mula berkecimpung dalam pembuatan video pendek dan mendapat jumlah pengikut yang tinggi di platform seperti TikTok, Dubsmash dan Instagram[2]

Adrian Edy dan Hannah Delisha semasa penggambaran vlog percutian #expeRIAnce Ready Set Action. Sumber: watleksmedia

Apabila wabak COVID-19 melanda, kerjaya lakonannya terhenti sejenak dan dia mendapati dirinya terkurung di rumah dengan hanya bertemankan media sosial sepanjang masa. Semasa melayari akaun media sosialnya, dia mendapat tahu tentang Ebit Lew, dermawan terkenal yang dihormati ramai. Edy mula menonton video-video Ebit Lew dan kagum melihat segala amalan baik yang dilakukannya.

Saya tersentuh dengan penderitaan rakyat Malaysia dan sedar betapa beruntungnya saya. Oleh itu, saya berazam untuk melakukan sesuatu yang lebih bermanfaat dengan masa saya. Saya benar-benar terinspirasi oleh usaha Ebit dan mula sedar bahawa saya juga dapat membantu dengan cara saya sendiri. – Adrian Edy

Sebagai orang Sabah yang tinggal di Papar, Edy tidak mengambil masa yang lama untuk menyedari betapa bantuan amat diperlukan oleh orang ramai dalam masa sukar sebegini. Hal ini dapat dibuktikan dengan memerhati penduduk di sekitarnya. Dengan bantuan rakan-rakan dan keluarga, Edy menggunakan dana yang dikumpulkan berserta wang peribadinya sendiri untuk memulakan bank makanan pertamanya di SK Pomotodon Inanam pada bulan September 2020.

Bank makanan pertama yang ditubuhkan oleh Adrian Edy di Kampung Pomotodon. Sumber: The Star

Bank makanan ini menawarkan semua jenis makanan asas seperti beras, telur, mi, susu, gula dan minyak. Semua barang ditambah semula setiap hari pada pukul 7 pagi[3]. – Adrian Edy

Hanya dalam masa sebulan sejak pembukaan, bank makanan Edy berjaya membantu 100 buah keluarga mendapatkan bekalan asas yang tidak dapat mereka miliki semasa perintah berkurung. Kawasan luar bandar di Sabah terjejas teruk oleh wabak COVID dan ramai antara mereka yang kehilangan punca pendapatan kerana tidak dapat bekerja.

Sumber: mStar

Majoriti penduduk di sini amat memerlukan bantuan kerana mereka bekerja di kampung sebagai petani dan menjual sayur-sayuran di pasar. Sebahagian daripada mereka tinggal di atas bukit dan terpaksa berjalan jauh untuk datang ke sini[3]. – Adrian Edy

Edy Menjadi Lebih Pemurah

Wabak ini menimpa ramai orang dalam pelbagai aspek. Bagi saya, satu perkara baik yang berlaku, adalah ia membuka mata saya untuk melihat dan menggerakkan hati saya untuk bertindak. – Adrian Edy

Edy dengan perasaan ceria berkongsi pengalamannya seperti mengimbau kenangan lalu. Dia mengimbas kembali saat-saat ketika dia meluangkan banyak masa untuk membuat kandungan media sosial yang dapat menarik perhatian orang ramai dan meningkatkan jumlah pengikutnya. Namun begitu, Edy kini merasakan bahawa perkara tersebut tidak mendatangkan manfaat dan impak kepada dirinya mahupun orang lain. Perubahan Edy menjadikan dirinya yang dulu seolah-olah orang yang asing baginya.

Sekiranya anda bertemu dengan saya sebelum ini, anda akan mendapati betapa berbezanya saya. Dahulu, untuk memberi walaupun RM1 kepada orang lain adalah sangat sukar bagi saya. Edy yang anda lihat sekarang amat berbeza dengan Edy sebelum ini. Keajaiban ini telah mengubah peribadi saya. – Adrian Edy

Sumber: Adrian Edy | Facebook

Perubahannya yang drastik mengejutkan orang sekeliling, termasuk keluarga dan rakan-rakan terdekatnya. Namun kian masa berlalu, dia berjaya membuktikan kepada mereka bahawa semangat barunya untuk berkhidmat dan memberi bantuan akan berkekalan. Walaupun demikian, tidak semua orang menerima perubahannya dengan baik.

Sebilangan rakan tidak percaya dengan apa yang saya buat dan mereka mengatakan pelbagai perkara tentang amalan saya. Namun begitu, saya akan terus melaksanakan amalan baik dan cuba untuk mengabaikan komen-komen buruk. Yang penting saya tahu niat saya. – Adrian Edy

Keseimbangan Antara Publisiti dan Kedermawanan 

Akaun media sosial Edy sentiasa dikemaskini dengan pengalaman sumbangannya. Diskusi dalam talian yang diusahakannya adalah mengenai menolong orang miskin, aktiviti derma dan bantuan makanan.

Sebagai dermawan yang baru berjinak-jinak, Edy menyedari risiko reaksi negatif yang mungkin diterima berikutan publisiti sumbangannya. Namun, dia percaya bahawa pendedahan adalah penting untuk menimbulkan kesedaran dan menyemai sifat bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat.

Sumber: Adrian Edy | Facebook

Sudah tentu saya dipersoalkan tentang mengapa saya terlalu berkongsi tentang usaha saya, tetapi saya perlu melakukannya kerana para penderma telah memberi kepercayaan kepada saya. Mereka berhak mengetahui ke mana wang mereka disalurkan dan siapa yang mereka bantu. – Adrian Edy

Setelah setahun berlalu dan COVID-19 masih berterusan, Edy percaya bahawa kisah ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat serta menggalakkan lebih ramai orang untuk menyumbang ke arah perubahan Malaysia.

Perancangan Selepas Pandemik

Walaupun pandemik kini boleh dikawal melalui peningkatan usaha pemberian vaksin, namun kesannya tetap berpanjangan. Kerja amal Edy bermula dengan bank makanan tetapi dia berimpian untuk memperluas jangkauannya ke bahagian Sabah yang lain dan juga ke Kelantan.

Secara kebetulan, Jabatan Statistik melaporkan pada tahun 2019 bahawa Sabah dan Kelantan mempunyai  kadar kemiskinan yang paling tinggi, iaitu 19.5% dan 12.4% setiap negeri[4]. Di samping bantuan kerajaan, negeri-negeri ini mendapat banyak manfaat daripada usaha-usaha yang dijalankan oleh NGO bebas dan perintis perubahan tempatan untuk mengurangkan kadar kemiskinan.

Sumber: Adrian Edy | Facebook

Sejak berlakunya wabak ini, saya pernah berkunjung ke beberapa daerah di Sabah termasuk Pitas, Kota Marudu dan Beaufort. Rakyat amat memerlukan bantuan. Dengan izin Tuhan, saya berharap menjelang akhir tahun ini, saya dapat pergi ke semua daerah di Sabah dan menjangkau komuniti yang sukar dicapai. – Adrian Edy

Filantropi Edy bukanlah teori atau akademik. Sepanjang tahun ini, dia belajar melalui pengalaman dengan cara mengajukan pertanyaan, mengenali masyarakat yang berbeza,  mendengar keluhan rakyat dan menggerakkan sumber ke tempat ia diperlukan.

Edy mengatakan bahawa sumber inspirasinya adalah kisah-kisah yang didengarinya dari semasa ke semasa. Dia juga menjadikan individu-individu yang baik hati seperti Uncle Kentang dan Ebit Lew sebagai contoh teladan. Namun demikian, Edy mengakui bahawa masih banyak perkara yang perlu dipelajarinya.

Ebit Lew dan Adrian Edy di Sabah semasa menjalankan misi amal. Sumber: Adrian Edy | Facebook

Baru-baru ini, saya menerima mesej dari salah sebuah keluarga yang pernah saya bantu. Sebelum ini, saya telah memberikan telefon bimbit kepada anak-anak mereka supaya mereka dapat terus berhubung dan mengikuti kelas dalam talian. Saya diberitahu bahawa salah seorang daripada mereka telah menerima anugerah pelajar terbaik pada tahun ini. Mereka sangat berterima kasih atas bantuan yang diberikan. Saya pula sangat bangga dengan pencapaian mereka dan terkejut mereka masih mengingati saya. – Adrian Edy

Edy tertarik dengan perjalanan yang bermakna ini dan dapat membayangkan masa depan yang penuh dengan harapan. Dia memahami keadaan rakan-rakan sebayanya yang taksub dengan media sosial, tetapi dia juga ingin masyarakat tahu bahawa menolong orang lain bukanlah sesuatu yang sukar – dan seseorang itu tidak perlu mempunyai jumlah pengikut yang ramai di media sosial untuk berbuat baik.

Sumber: Adrian Edy | Facebook

Jika anda terdetik hati untuk menolong, lakukan saja. Jangan melengahkan masa atau berfikir yang berlebihan. Jangan biarkan ketakutan atau keraguan menghalang anda. Gunakan media sosial untuk mempengaruhi orang lain untuk melakukan kebaikan. Kongsi perkara-perkara yang positif kerana kita semua berupaya menjana perubahan. – Adrian Edy

Explore Our Sources: 

  1. Adrian Edy. (2021). Facebook. Link.
  2. Watleksmedia. (2020). Adrian Edy ada chemistry dengan Hannah Delisha? Link. 
  3. Metro News. (2020). Actor’s food bank gives helping hand to needy Sabahans. The Star. Link.
  4. Statista. (2019). Poverty rate in Malaysia in 2019, by state. Link. 

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?