Komuniti tidak bernegara berada di sekeliling kita. Apabila kita betul-betul perhatikan, barulah kita sedar akan kewujudan mereka. Walaupun bertahun-tahun mereka telah menetap di Malaysia dari generasi ke generasi, golongan tidak bernegara (tidak berdokumen) sampai sekarang masih tidak diberi pengiktirafan untuk menjadi warganegara atau kad pengenalan rasmi yang membenarkan mereka menjadi rakyat negara Malaysia.
Dianggarkan seramai 12,400 individu tidak bernegara telah menetap di Semenanjung Malaysia[1]. Manakala di negeri Sabah dan Sarawak pula, tiada anggaran rasmi oleh kerana sejarah mereka yang kompleks serta jumlah pendatang yang tidak dikawal di sekitar negeri-negeri tersebut. Namun begitu, dianggarkan bahawa bilangan individu tidak bernegara mencecah seramai 800,000 orang yang menetap di wilayah tersebut[2].
Bagaimana Keadaan Hidup Mereka?
Kebanyakan penempatan rasmi golongan tidak bernegara tidak dapat dijejaki kerana mereka tidak berdaftar atau mempunyai kertas kerja rasmi yang menyatakan di mana mereka tinggal dan kerja. Ada sesetengah pihak yang mengandaikan bahawa perkara ini memang disengajakan kerana mereka tidak mahu dijejaki dan ditangkap oleh anggota polis.
Walau bagaimanapun, terdapat banyak artikel serta kertas penyelidikan yang menunjukkan bahawa majoriti besar golongan tidak bernegara sedang hidup di ambang kemiskinan dan tidak mampu hidup dengan selesa. Perkara ini disebabkan oleh ketiadaan akses yang mudah kepada pendidikan seperti rakyat biasa. Di samping itu, mereka juga mengalami kesusahan untuk mendapat pekerjaan yang bagus.
Multidimensional Poverty Index (MPI) meneroka isu kemiskinan dalam tiga dimensi yang berbeza iaitu pendidikan, kesihatan, dan taraf hidup. Untuk lebih memahami keadaan rumah-rumah dalam komuniti tidak bernegara, pelbagai faktor (sebagai asas) serta petunjuk perlu diperhatikan untuk mengetahui tahap kesusahan dan kesengsaraan yang dihadapi oleh golongan ini sepertimana yang boleh dilihat di gambar di bawah[3]. Selain itu, kisah-kisah kehidupan komuniti-komuniti tidak bernegara di Malaysia juga akan disentuh untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam.
Dimanakah Mereka Tinggal?
Sebuah artikel oleh Channel News Asia telah dikenal pasti bahawa mereka yang menetap di Pulau Berhala, Sandakan, Sabah terpaksa berhadapan dengan keadaan dan taraf hidup yang amat teruk. Rumah-rumah bobrok kelihatan terapung di atas air cetek yang kotor akibat sampah sarap, bangkai binatang serta sisa buangan dan najis manusia dalam perkampungan tidak bernegara tersebut. Punca berlakunya pencemaran air adalah disebabkan ketiadaan sistem pengurusan sisa yang efektif.
Beratus rumah tangga terdiri yang daripada golongan tidak bernegara di pulau tersebut terpaksa mengharungi air kumbahan itu berkaki ayam, dan ada juga yang akan mengutip plastik, papan kayu, dan kepingan logam untuk dijual4].
Kebiasaannya, lebih daripada dua orang ahli keluarga akan berkongsi satu bilik. Namun begitu, apabila berdepan dengan kemudahan ataupun fasiliti kebersihan dan sanitasi, ramai yang tidak mempunyai tempat pengumpulan sampah yang menyebabkan mereka terpaksa membuang sampah-sarap di merata tempat.
Seorang residen Pulau Berhala bernama Puan Syamsiah tinggal di dalam sebuah ruang yang tidak luas dengan hanya beratap zink kecil untuk perlindungan. Tambahan lagi, dia melakukan semua masakan di dalam ‘dapur’ dengan hanya menggunakan api yang dinyalakan menggunakan ranting kayu. Asap daripada api terbuka tersebut pula akan tersebar ke seluruh ruangan kecil itu. Ketiadaan sistem pengudaraan yang bagus, boleh membahayakan kesihatan dan juga keselamatan mereka, terutamanya kepada kedua-dua anak kecil Puan Syamsiah.
Jika saya tidak masak makanan ini, mereka akan lapar. Tapi apabila saya memasak, situasinya tidak beberapa sihat kerana banyak asap yang akan tersebar di sekeliling rumah. – Puan Syamsiah, orang yang tidak berwarganegara.
Terdapat juga komuniti tidak bernegara di Sabah iaitu komuniti Bajau Laut, atau lebih dikenali sebagai “Nomad Laut Sabah”. Mereka selesa menetap di laut dan tinggal dalam rumah kayu terapung ataupun rumah perahu. Sudah menjadi kebiasaan bagi keluarga-keluarga Bajau Laut untuk berkongsi hanya satu rumah perahu walaupun isi rumah mencecah 10 orang[5].
Kebanyakan rumah perahu hanya bergantung kepada petrol, air bersih, dan gas. Malahan, buaian bayi hanya diperbuat daripada sehelai kain yang diikat pada atap rumah tersebut. Namun demikian, mereka tidak mendapat tenaga elektrik, dan tidak mempunyai alatan keperluan seperti televisyen, telefon bimbit ataupun jam dinding. Air bersih juga tidak dijamin kerana mereka tinggal jauh dari darat. Tambahan pula, terdapat kemungkinan besar mereka tidak mempunyai sistem pengurusan kumbahan yang efektif dalam rumah perahu.
Bagi komuniti tidak bernegara daratan, mereka lebih cenderung untuk duduk di dalam rumah. Hal ini kerana mereka tidak mempunyai hak untuk mendapat lesen memandu atau memiliki kereta sendiri, jadi mereka hanya mampu bergantung kepada kawan-kawan untuk memandu mereka ke destinasi yang hendak dituju. Golongan ini juga bukanlah pengguna aktif aplikasi-aplikasi seperti Grab atau Uber kerana mereka tidak mempunyai kad pengenalan untuk mendaftar.
Saya cuba untuk tidak keluar rumah sangat sebab saya takut ditangkap oleh polis dan dihumban ke dalam penjara – Nalvin Dhillon, orang yang tidak berwarganegara.
Walaupun komuniti tidak bernegara tidak diberi pengiktirafan yang rasmi oleh kerajaan ataupun negara, mereka tetap seorang insan. Jika anda tahu mana-mana komuniti tidak bernegara, pergilah melawat mereka dan lihat sendiri keadaan ataupun kehidupan susah yang mereka terpaksa lalui. Anda boleh bekerjasama dengan badan organisasi lokal ataupun badan amal untuk memberi bantuan kepada golongan tidak bernegara ini.
Antara usaha awal yang anda boleh cuba lakukan adalah melalui peta Changemakers Wiki Impact. Semua orang layak mempunyai rumah untuk berteduh dan berlindung. Semua orang layak mempunyai ruangan peribadi mereka sendiri.
Explore Our Sources:
- UNHCR. (2018). Ending Statelessness in Malaysia. Link.
- I. Venkov. (2019). I am a person from here – the Sabah stateless struggling without citizenship in Malaysia. Link.
- Santos, Emma Maria and Alkire, Sabina. (2011). Training Material For Producing National Human Development Reports. The Multidimensional Poverty Index (MPI). Oxford Poverty and Human Development Initiative (OPHI). Link.
- A. Yusof. (2019). Living in a sea of trash: Sabah’s stateless children face bleak future. Channel News Asia. Link.
- H. Chiew. (2019). Bajau Laut: Once Sea Nomads, Now Stateless. Malaysiakini. Link.
Diterjemahkan daripada versi BI oleh Aliesya Sofea.