Memperkasakan bermaksud memberikan kuasa atau peluang kepada seseorang individu untuk menyertai masyarakat secara menyeluruh. Namun, wanita yang hidup dalam kemiskinan sering kali kekurangan sumber untuk memperkasakan kehidupan mereka. Secara amnya, seseorang yang berada dalam kemiskinan susah mendapatkan akses kepada pendidikan, pekerjaan, sumber dan peluang. Di seluruh dunia, kemiskinan sering memberi impak yang sangat besar kepada kanak-kanak perempuan dan wanita. Hanya dengan membantu mereka keluar dari kepompong kemiskinan, kita dapat mencipta satu masa hadapan yang lebih cerah buat mereka dan mentransformasikan keluarga. Ini adalah 9 organisasi yang berusaha untuk menaikkan dan menyokong wanita.
1. Ibupreneur
Ibupreneur adalah satu perusahaan sosial yang berfungsi sebagai platform untuk suri rumah menjana pendapatan dengan menjual makanan seperti pastri, kek dan sebagainya. Ibupreneur ini telah dimulakan oleh tiga gadis bernama Aida, Wei Qi dan Ming Chi, pasukan ini mencari cara untuk membantu suri rumah yang bergelar usahawan ini mencari pasaran supaya mereka mendapat sumber kewangan yang lebih tetap.
Ibupreneur bermula hanya dengan empat suri rumah pada tahun 2019 dan sehingga sekarang, mereka berjaya mengumpulkan seramai sembilan suri rumah. Masing-masing membuat sebilangan jenis makanan seperti kek, pastri dan biskut. Dengan lebih 60 produk terjual, setiap jenis produk adalah berlainan. Dari manisan tradisional seperti Urundai, Tart Nenas dan Kuih Kapit sehinggalah ke perisa yang unik seperti Oreos Brownies, Toffee-Dates Bundt dan Kek Lapis perisa Nutella Orange.
Aida, Wei Qi dan Ming Chi memfokuskan terhadap strategi perniagaan dan meraih sumbangan dan ‘mompreneurs’ memfokuskan terhadap produk, operasi dan mencipta resipi baru. Ibuprenuer juga membantu dari segi pemasaran secara digital.
Dalam memastikan usaha untuk memperkasakan wanita ini mendapatkan impak secara berterusan, 60% dari hasil jualan mereka diberikan kepada para ibu dan 40% pergi kepada kos operasi. 100% keuntungan yang diperolehi disumbangkan semula untuk mengurangkan jurang jantina di Malaysia.
Mahu membantu Ibupreneur? Anda boleh menyokong ‘mumpreneurs’ dengan membeli produk mereka. Anda boleh melihat menu mereka di sini!
2. Women of Will
Women of Will (WOW) adalah satu pertubuhan bukan kerajaan yang bertujuan untuk mengubah kehidupan wanita yang menghadapi masalah ekonomi melalui pembiayaan mikro-kredit dan program keusahawanan. Dengan inisiatif ini, mereka membantu golongan wanita B40 untuk mendapatkan kewangan secara bebas. Golongan ini seterusnya dapat menjaga diri dan keluarga mereka dengan lebih baik.
Sejak empat tahun lalu, WOW telah membantu lebih 1,000 wanita dari pelbagai kawasan PPR seperti Sri Kota, Taman Mulia, Batu Muda dan Lembah Subang. Mereka melakukannya dengan melengkapkan wanita-wanita ini dengan kemahiran keusahawanan yang diperlukan seperti pemasaran, komunikasi, pengurusan kewangan dan perancangan hadapan. Peserta program juga boleh mendapatkan peluang ‘networking’ dan latihan kemahiran tambahan.
Sesetengah projek yang diusahakan oleh WOW adalah seperti menjahit ‘Personal Protective Equipment’ (PPE) untuk para frontliners, membuat beg dari bahan terpakai, bakeri di Dapur Komuniti dan pertanian secara organik di Sabah!
Anda mahu membantu Women of Will? WOW menawarkan pelbagai cara untuk anda menghulurkan bantuan. Anda boleh membuat sumbangan, membantu mereka dalam mengumpulkan dana, menjadi sukarelawan, malah anda juga boleh menyertai mereka sebagai sebahagian daripada pasukan. Klik di sini untuk maklumat lanjut.
3. PurpleLily
PurpleLily adalah satu pertubuhan bukan kerajaan yang mendedikasikan tujuan dan matlamat mereka untuk memperkasakan wanita melalui latihan kemahiran hidup dan pendidikan kewangan. Berpangkalan di Kuching, usaha mereka yang utama adalah membantu wanita yang tidak berdaya untuk memperoleh pendapatan yang tinggi meskipun mempunyai kemahiran dan potensi. Melalui bengkel yang menyeluruh dan latihan, Purple Lily berusaha untuk melengkap golongan wanita ini dengan skil yang betul dan membantu memperkasakan mereka dari segi sosial dan ekonomi.
Program Literasi Kewangan mereka mengajar wanita tentang cara untuk mengawal situasi kewangan melalui pengenalan secara ‘langkah demi langkah’, mengatasi aspek penting seperti pemantauan perbelanjaan, membuat strategi untuk mencapai impian simpanan, mengetahui apa itu kehendak dan kemahuan dan mengelakkan penipuan.
Mereka juga mempunyai program yang dikhususkan kepada remaja perempuan berusia 14 sehingga 18 tahun yang mana kemahiran hidup yang diajarkan oleh mereka jarang sekali diberikan di sekolah. Bengkel secara interaktif ini menyediakan langkah yang praktikal untuk golongan ini membina keyakinan diri, melatih diri untuk memberikan penyampaian, menanamkan pemikiran secara positif dan melatih mereka untuk mengawal tekanan dengan lebih baik. Remaja perempuan juga didedahkan dengan pendidikan seksual dan tabiat untuk memupuk kesihatan mental yang sihat.
4. Bulan Sisters
Bulan Sisters adalah kempen yang dipimpin oleh sekumpulan belia bertujuan untuk memperkasakan wanita dengan mengatasi kesan akibat ‘period poverty’. Melalui pengurangan stigma terhadap haid dan penghasilan produk penjagaan peribadi wanita (tuala wanita) yang lebih mudah untuk diperolehi oleh komuniti yang tidak berkemampuan. Mereka juga cuba untuk membuang perasaan malu dalam kalangan wanita muda bahawa haid adalah satu proses badan yang normal. Selain itu, mereka juga mahu mempromosikan kehidupan yang mementingkan tahap kesihatan pembiakan wanita dalam masyarakat Malaysia.
Di dalam akaun Instagram mereka, mereka bukan sahaja meningkatkan kesedaran mengenai kebersihan dan kesihatan yang berkaitan dengan haid, tetapi juga juga mengetengahkan isu yang berkaitan dengan ‘period shaming’, ‘period poverty’ dan budaya rogol. Mereka juga menggunakan platform ini untuk menggalakkan penggunaan tuala wanita yang boleh digunakan semua sebagai alternatif yang lebih mesra alam.
Baru-baru ini, Bulan Sister telah bekerjasama dengan Pink Flag, Enya Women dan CosoSoap untuk mengedarkan kit kebersihan berkaitan haid kepada golongan marginalisasi. Usaha ini telah membantu lebih dari 100 buah keluar di Lembah Klang. Seiring dengan kata-kata #KitaJagaKita, Bulan Sisters berharap untuk menghulurkan bantuan kepada wanita-wanita muda yang tidak mampu mendapatkan produk penjagaan peribadi wanita akibat COVID-19.
Mahu membantu Bulan Sisters? Ikuti mereka di Instagram untuk mengetahui perkembangan terkini mereka.
5. Girls4Girls Malaysia (G4G Malaysia)
G4G Malaysia adalah salah satu daripada 24 bab Project Girls for Girls global yang mana merupakan sebuah NGO yang memperkasakan wanita melalui pembinaan keberanian, visi dan kemahiran untuk mereka mencuba jawatan sebagai pemimpin dalam masyarakat. Ditubuhkan pada tahun 2017 apabila Izzana Salleh dan kenalan-kenalan wanitanya di Harvard menyedari ada sesuatu yang menghalang wanita daripada mendapatkan jawatan sebagai pemimpin dalam masyarakat. Mendapatkan inspirasi sesama mereka, mereka bertekad untuk menutup jurang yang wujud ini.
Misi mereka adalah untuk membekalkan sokongan dan latihan kemahiran yang berkaitan dengan pengucapan awam, kemahiran perundingan, etika dalam kepimpinan dan komunikasi kepada wanita yang menunjukkan potensi dan minat dalam jawatan sebagai pemimpin. Bimbingan G4G merangkumi tempat kerja, sekolah, kawasan perumahan, dan kawasan komuniti di seluruh Malaysia. Peserta program selalu berjumpa secara berkumpulan dengan mentor untuk berbincang tentang impian, aspirasi dan cabaran dihadapi mereka.
Akaun sosial media G4G mengetengahkan isu penting seperti kesihatan mental wanita, berdepan dengan budaya rogol, mengatasi keraguan diri dan meningkatkan tahap kebolehkerjaan semasa COVID. Keseluruhannya, NGO ini menawarkan satu ruang untuk pemimpin wanita muda untuk berhubung dengan satu sama lain, dan mencari alat, latihan dan inspirasi yang mereka perlukan di sepanjang perjalanan kepemimpinan mereka.
6. Lean In Malaysia
Ditubuhkan pada tahun 2015 oleh Sarah Chen dan Abir Abdul Rahim, Lean In Malaysia adalah satu platform yang memperkasakan wanita yang bertujuan untuk mengetengahkan dua isu utama: wanita yang keluar dari sektor pekerjaan dan kekurangan wanita dalam posisi pengurusan senior.
Program dan perbincangan mereka adalah bertujuan untuk memperkasakan wanita dalam memberikan definisi kejayaan kepada mereka sendiri, lalu kembali ke tenaga kerja dengan keyakinan yang diperbaharui. Dalam ‘Circle Dialogues’ mereka, Lean In Malaysia mendidik peserta dalam pelbagai isu dan hal berkaitan perniagaan. Mereka juga menggalakkan peserta untuk mencabar stereotaip dan tanggapan buruk melalui pemikiran kritikal.
Dengan lebih daripada 5,000 ahli, Lean In Malaysia menjalankan siri penguasaan digital dalam pembinaan dan perbincangan penyelidikan dari senior industri. Melalui program-program yang dilakukan, mereka cuba untuk menyediakan platform untuk wanita muda membangunkan kemahiran mereka secara efektif dan bermakna.
7. Girl2Leader Malaysia
Girl2Leader adalah satu inisiatif yang menyasarkan untuk membantu wanita muda memanfaatkan potensi mereka untuk menjadi pemimpin masa hadapan. Diterajui oleh dua pengasasnya, Nurainie Haziqah dan Farah Afzan, organisasi ini membawakan program yang mendorong wanita untuk mengenali hak mereka untuk bersuara dan membawa perubahan kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan.
Sejak pelancaran mereka pada tahun 2018, Girl2Leader telah menjalankan pelbagai usaha untuk memperkasakan wanita dari semua latar belakang. Daripada memberikan geran untuk anak-anak muda menjalankan projek masyarakat mereka sehingga mengaturkan acara berkenaan #SpeakToLead, NGO ini bertekad untuk memudahkan pertumbuhan dan keyakinan ahli mereka melalui pelbagai peluang kepimpinan dan pembinaan keyakinan diri.
Girl2Leader juga menggunakan platform mereka untuk berkongsi tips merentasi pelbagai topik penting – memupuk pemimpin yang empati, pengurusan tindak balas emosi dalam mendepani COVID-19, dan mengatasi cabaran adalah contoh-contohnya. Dengan melibatkan ahli mereka dalam semua sesi secara aktif, Girl2Leader berharap dapat meningkatkan kemahiran kepimpinan wanita-wanita muda ini ke tahap yang maksimum.
8. Good Shepherd Services
Good Shepherd Services (GSS) adalah badan pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan dan diuruskan oleh Good Shephers Sisters, sebuah Kongregasi dunia yang wujud di 73 buah negara. Di Malaysia, pusat mereka adalah di Kuala Lumpur dan mereka mempunyai dua pusat perkhidmatan di Sabah dan Ipoh buat masa sekarang.
GSS mengalukan semua orang dengan hormat dan belas ihsan. Mereka memfokuskan kepada wanita dan kanak-kanak perempuan dari golongan marginalisasi terutamanya mereka yang melalui keganasan seksual dan berasaskan jantina. Program perlindungan mereka menyediakan tempat tinggal yang selamat untuk wanita dan kanak-kanak yang menghadapi pelbagai krisis supaya mereka dapat dirawat dan sembuh dari trauma. Dengan menyediakan ruangan yang selamat untuk wanita menyatakan pendirian mereka, GSS berharap untuk mengembalikan dan memulihkan maruah dan harga diri golongan ini.
Hari ini, organisasi ini telah memberikan impak yang positif kepada lebih 1,485 wanita di Malaysia, dan mereka sedang memperluaskan usaha untuk membantu wanita dan keluarga di kawasan luar bandar dan komuniti yang tidak bernasib baik.
Mahu membantu Good Shepherd Sisters? Jadilah sukarelawan untuk membantu GSS di lokasi pilihan anda dengan klik di sini!
9. Women For Refugees
Women For Refugees (WFR) adalah pertubuhan yang tidak mementingkan keuntungan yang berusaha untuk memperkasakan pelarian wanita dari komuniti marginilasasi melalui program literasi dan pembinaan kapasiti. Ditubuhkan pada tahun 2020 oleh Arissa Jemaima dan Davina Devajaran, WFR percaya bahawa pendidikan bukanlah satu bentuk kemewahan tetapi hak.
Selain mengajar golongan pelarian ini bagaimana untuk membaca dan menulis dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia, WFR juga berhasrat untuk melengkapkan wanita-wanita ini dengan kemahiran pekerjaan dan latihan kepimpinan. Inisiatif terbaru mereka dikenali sebagai ‘Karama’ – satu perkataan Arab yang membawa maksud ‘Maruah’. Melalui program ini, mereka berharap untuk menaikkan maruah pelarian wanita melalui pemerkasaan mereka dengan kemahiran yang diperlukan dalam jawatan pemimpin dan meningkatkan ekonomi mereka.
Melalui kemahiran pengusahaan dan latihan penasihat, WFR ingin melihat wanita-wanita ini berkembang dalam keyakinan mereka, lalu menjadi penyumbang aktif dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat mereka.
Mahu membantu Women For Refugees? Ikuti halaman Instagram mereka dan daftar sebagai sukarelawan di sini!