Dipulaukan begitu sahaja di sebuah negara yang mereka anggap sebagai rumah kedua, begitulah nasib yang dialami kanak-kanak pelarian yang telah lama berterusan.
Malahan, trauma yang dialami kanak-kanak kerana terpaksa melarikan diri dari negara asal dalam keadaan sehelai sepinggang sudah semestinya cukup membebankan. Inikan pula mereka terpaksa berhadapan dengan penafian akses pendidikan formal di Malaysia.
Kebiasaannya, golongan pelarian yang akan mengambil inisiatif untuk memberi pendidikan yang berkualiti kepada generasi baru agar mereka menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik. Misalnya dalam kisah Sadek Khan — seorang pelarian yang berumur 20 tahun dari Myanmar — dengan bantuan orang Pulau Pinang, telah berjaya menubuhkan sebuah pusat pembelajaran di dalam sebuah rumah kampung yang lama di Bagan Dalam, Pulau Pinang semata-mata untuk memberi pendidikan kepada remaja pelarian[1]. Hal ini menunjukkan kepentingan pendidikan formal kepada kanak-kanak pelarian ini.
Berapakah Bilangan Kanak-Kanak Pelarian di Malaysia?
Menurut United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR), terdapat sejumlah 150,379 ‘people of concern’ (POC) di Malaysia. 25,499 daripada jumlah itu berumur 18 tahun dan ke bawah dengan 23,823 masih dalam umur persekolahan.
Sekitar 14% (1,234) kanak-kanak pelarian yang berumur 3-5 tahun telah mendaftarkan diri dalam pendidikan pra sekolah, 44% (5,046) kanak-kanak pelarian yang berumur 6-13 tahun telah mendaftarkan diri dalam pendidikan rendah manakala 16% (874) kanak-kanak yang berumur 14-17 tahun telah mendaftarkan diri dalam pendidikan menengah[2].
Bolehkah Kanak Kanak Pelarian Mendapatkan Pendidikan?
Pendidikan merupakan sebuah hak asasi manusia. Semua orang berhak untuk belajar, menimba ilmu, dan dididik. Walaupun semua kanak-kanak mempunyai hak untuk menerima pendidikan, ini tidak bermakna bahawa mereka, terutamanya pelarian dan pencari suaka, mempunyai akses kepadanya. Berdasarkan statistik yang disebutkan di atas, boleh dikatakan sekitar 70% kanak-kanak pelarian di Malaysia tidak mempunyai akses kepada pendidikan[7].
Penafian peluang untuk melanjutkan pelajaran dan memperoleh kelayakan yang diperlukan untuk mendapatkan pekerjaan yang baik telah menyebabkan kebanyakan kanak-kanak pelarian memilih pilihan logik yang seterusnya, iaitu untuk berkahwin pada usia muda.
Kisah kehidupan pelarian hanyalah setakat berkahwin, mempunyai cahaya mata dan ianya akan berakhir disitu. – Sadek Khan, pelarian Rohingya berumur 20 tahun[[1]
Di sinilah UNHCR memainkan peranan dengan menyokong akses kepada pendidikan untuk semua kanak-kanak pelarian. Saluran bantuan kewangan dan bahan kepada pusat pembelajaran rakan kongsi membantu mereka memperbaiki aktiviti operasi. UNHCR juga menyokong pembinaan kapasiti guru melalui latihan dan pampasan, serta menyelaras sokongan ad-hoc ke arah meningkatkan akses kepada, dan kualiti, pendidikan untuk pelarian[2].
Segala usaha dan aktiviti yang dilakukan mereka ternyata memiliki hanya satu matlamat: untuk memperbaiki akses kepada pendidikan pelbagai peringkat untuk kanak-kanak pelarian.
Matlamat ini dapat dicapai melalui pelaksanaan organisasi rakan kongsi dalam sektor pendidikan yang mengendalikan 10 pusat pembelajaran dan menyelaraskan projek seperti latihan untuk guru serta pampasan guru. Malahan, terdapat kira-kira 133 pusat pembelajaran berdaftar di seluruh Semenanjung Malaysia yang membantu menyediakan pendidikan untuk kanak-kanak pelarian pada masa ini[2].
Halangan Mendapatkan Pendidikan
Kebanyakan kanak-kanak pelarian hanya mampu mendapatkan pendidikan melalui pembelajaran tidak formal atau pusat pembelajaran berasaskan komuniti. Pusat-pusat ini membawa cabaran-cabaran baru termasuk perolehan guru yang tinggi dan pampasan yang minimum kerana kekurangan pembiayaan serta isu-isu keselamatan untuk kedua-dua pelajar dan guru yang terlibat.
Malahan dengan pandemik Covid-19 yang berterusan, ianya menjadi amat sukar bagi kanak-kanak pelarian untuk mendapat akses kepada pendidikan. Oleh kerana kekurangan sumber kewangan, mereka tidak dapat beralih kepada pembelajaran dalam talian seperti orang lain[3].
Tambahan pula, reputasi pelarian yang kurang baik telah menyebabkan ramai anak-anak mereka terpaksa berurusan dengan kes buli dan penghinaan oleh pelajar-pelajar Malaysia di sekolah. Hal ini boleh menghindarkan mereka daripada menghadiri kelas kerana takut dan bimbang[8].
Lebih-lebih lagi, halangan bahasa menjadikannya lebih sukar bagi kanak-kanak pelarian kerana mereka tidak dapat berkomunikasi dengan betul dengan rakan sebaya dan guru mereka.
Saya suka Malaysia, tetapi sesetengah rakyat Malaysia tidak baik kepada saya. – Kanak-kanak pelarian Iraq, umur 14 tahun[4]
Menurut sebuah kaji selidik kecil yang dijalankan ke atas kanak-kanak pelarian mengenai kesihatan mental mereka, satu dalam tiga remaja Rohingya dan Chin di sekolah mengalami kemurungan pelbagai peringkat, dengan kanak-kanak perempuan didapati mempunyai tahap kemurungan yang lebih tinggi daripada kanak-kanak lelaki[8].
Pendidikan Tidak Formal Untuk Kanak-Kanak Pelarian
Satu kajian kes telah dijalankan ke atas pusat-pusat pembelajaran tidak formal untuk golongan pelarian. Dalam kajian ini, sebuah rumah dua tingkat dijadikan gereja telah diketengahkan. Gereja ini menempatkan pelarian dan pekerja asing bergaji rendah dari Myanmar, dan setiap kaki persegi bangunan dijadikan ruang pembelajaran. Kedua-dua pelajar dan guru merupakan pelarian[9].
Pusat-pusat pendidikan sebegini sudah menjadi kebiasaan untuk golongan pelarian. Sekatan yang dikenakan terhadap golongan pelarian serta kekurangan dokumen penting dan sumber ekonomi telah menyekat akses kepada pendidikan formal untuk kanak-kanak pelarian ini.
Perkara ini mengakibatkan kekurangan pensijilan dan akses kepada peperiksaan awam yang secara langsung menghalang kanak-kanak pelarian daripada menerima akses kepada pendidikan peringkat tinggi.
Dari segi pendidikan, ketiadaan struktur sedemikian bermakna tiada akses kepada pendidikan. Oleh itu, kanak-kanak dan belia pelarian menerima pendidikan mereka melalui sebuah sistem tidak formal yang selari. – Priya Sharma, pensyarah Sekolah Perniagaan, Monash University Malaysia[5]
Justeru, pilihan terbaik untuk mereka ialah untuk mendaftar di sekolah berasaskan komuniti, yang dikendalikan oleh keluarga pelarian lain dengan bantuan pertubuhan bukan pelarian seperti kumpulan agama. Biasanya, mereka hanya terletak di dalam ataupun berhampiran komuniti pelarian, terutamanya mereka yang mempunyai bilangan kanak-kanak umur persekolahan yang ketara, atas sebab-sebab kemudahan dan keselamatan.
Kelas-kelas biasanya diadakan di rumah pangsa ataupun kedai yang disewa di mana bilik-biliknya sempit dan kurang kemudahan pengajaran asas. Hal ini menimbulkan masalah di mana pelajar mengalami kesukaran untuk memberi tumpuan kepada pengajian mereka disebabkan keadaan dan persekitaran yang teruk[8].
Keadaan hanya bertambah buruk sejak permulaan pandemik kerana pusat pembelajaran terpaksa dipindahkan ke kelas yang lebih kecil. Selain itu, sekolah formal dibenarkan untuk beroperasi, hadirin-hadirin untuk kelas bersemuka perlu dihadkan dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP)[2].
Sekolah-sekolah ini biasanya memerlukan pembiayaan; upah tenaga pengajar, pengangkutan untuk kanak-kanak, pembayaran utiliti dan sewa bangunan, makanan, kertas kerja serta bahan pengajaran.
Kualiti pendidikan juga merupakan satu lagi punca kebimbangan. Sekolah berasaskan komuniti selalunya akan beroperasi tanpa sukatan pelajaran ataupun mengajar pelbagai jenis subjek kerana ramai tenaga pengajar juga merupakan pelarian yang tidak mendapat latihan yang mencukupi. Akibatnya, terdapat keperluan berterusan untuk guru-guru baru. Hal ini terbukti agak sukar untuk diuruskan kerana gaji guru-guru sedia ada jauh lebih rendah[8].
Guru tidak akan hadir setiap hari, dan pelajar hadir ke sekolah semata-mata untuk berseronok, bukan untuk belajar. – Kanak-kanak pelarian dari Syria, umur 12 tahun[4]
Kesimpulannya, masih tiada sekolah yang sesuai untuk masyarakat ini dan sumber pendidikan mereka hanyalah dari pusat pendidikan yang tidak formal dan diiktiraf yang dikendalikan oleh NGO. Perkara ini ternyata tidak cukup untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Jurang perbezaan dalam hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam piawaian pendidikan yang tidak mampu memastikan masa depan yang cerah sama ada di dalam Malaysia ataupun di tempat lain.
Memastikan Pendidikan Untuk Kanak-Kanak Pelarian Di Malaysia
Pendidikan kekal menjadi kunci utama dalam pengakhiran kitaran kemiskinan bagi sesiapa pun. Kekurangan akses kepada pendidikan yang jelas terutamanya terhadap pendidikan tinggi dalam kalangan komuniti ini di Malaysia perlu ditangani dalam jangka masa yang terdekat. Intervensi ini akan membolehkan mereka untuk keluar dari kancah kemiskinan bergenerasi yang sedang dialami. Tambahan lagi, perkara ini amat penting dalam memastikan bukan sahaja sebuah komuniti yang celik huruf tetapi taraf hidup yang lebih baik melalui pekerjaan yang stabil serta gaji yang wajar.
Terdapat beberapa kaedah penyelesaian yang boleh dilakukan untuk memastikan belia pelarian, pasca pendidikan menengah, dapat memasuki universiti ialah untuk menubuhkan program mentor belia serta menyediakan biasiswa yang khusus untuk belia-belia ini.
Misalnya, ‘Connecting and Equipping Refugees For Tertiary Education’ ataupun CERTE merupakan salah sebuah inisiatif — disokong oleh Open Universities for Refugees (OUR), UNHCR Malaysia dan agensi bukan kerajaan, Fugeelah — yang diwujudkan untuk membantu memasukkan belia-belia pelarian ke dalam pengajian peringkat tinggi di dalam ataupun luar negara. Program ini berfokus kepada perkongsian pengetahuan dan sumber, persediaan kursus untuk sekolah serta mentor[6].
CERTE bertujuan untuk mengenal pasti individu pelarian yang mampu menunjukkan motivasi dan potensi akademik untuk mengakses pendidikan serta melengkapkan dan memperkasakan mereka untuk mendapatkan tempat di mana-mana universiti ataupun kolej[6].
Usaha-usaha sebegini dapat membantu kanak-kanak pelarian — yang tidak dialu-alukan di mana-mana negara sebagai pelarian — untuk mendapatkan peluang untuk menerima latihan yang membolehkan mereka diambil bekerja dalam pasaran pekerjaan global.
Namun begitu, perlu diingati bahawa UNCHR dan organisasi-organisasi lain yang berkaitan sedang mencuba dengan sebaik mungkin untuk memastikan komuniti pelarian mendapat kehidupan yang baik. Pihak penggubal dasar perlu mengambil langkah yang sewajarnya dan melakukan perubahan yang diperlukan agar kehidupan komuniti pelarian ini dapat bertambah baik.
Pendidikan sering menjadi intervensi yang mampu menyelamatkan nyawa para pelarian serta menawarkan pelindungan dan pemeliharaan buat masa depan mereka. – Priya Sharma, pensyarah Sekolah Perniagaan, Monash University Malaysia[5].
Telah tiba masanya untuk kita semua menyedari bahawa golongan pelarian tidak begitu berbeza dari kita. Seperti bagaimana kita mengharap anak-anak kita menerima pendidikan yang berkualiti dan mendapat kerjaya yang baik demi mencapai kehidupan yang baik, begitu jugalah dengan golongan pelarian. Penafian hak asasi manusia terhadap mereka adalah langsung tidak adil dan perkara ini harus berubah. Terdapat pelbagai cara untuk menyumbang kepada usaha-usaha sebegini dan memastikan kanak-kanak pelarian menerima pendidikan yang sewajarnya. Di bawah merupakan senarai Changemakers yang berusaha membawa perubahan dari aspek pendidikan:
United Learning Centre: Syurga yang selamat untuk kanak-kanak pelarian Myanmar untuk hidup, belajar dan bermain, membolehkan mereka untuk bangkit semula dan mencapai potensi mereka. Pusat ini menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak untuk bantu mempersiapkan mereka untuk penempatan semula di negara ketiga.
ElShaddai Centre Berhad (ElShaddai): Sebuah NGO kemanusiaan Kristian dengan visi untuk mendekati komuniti yang terpinggir dari pelbagai kewarganegaraan melalui perkhidmatan belas kasihan dan kerja sosial. Mereka bekerja dengan orang-orang dari Myanmar, Kemboja, Indonesia dan 15 negara lain. Pusat utama mengendalikan kelas dari peringkat tadika (ALPHA) sehingga peringkat darjah 6 (PRIME). Bermula dengan Sukatan Pelajaran Rendah Singapura, tetapi pada tahun 2018, mereka beralih kepada modul IGCSE Rendah secara berperingkat untuk memudahkan peralihan ke peringkat IGCSE Menengah.
Chin Student Organisation: Pada tahun 2005, pelajar-pelajar universiti dari Myanmar mendapati kanak-kanak Chin merayau di jalan-jalan Kuala Lumpur dan mereka memutuskan untuk melakukan sesuatu mengenainya. Apabila tiada orang lain yang akan membantu, pelajar-pelajar ini mengambil inisiatif untuk mengajar anak-anak tersebut. Sekolah ini mengajar Chin, Inggeris, sains, dan matematik kepada 500 pelajar yang berumur antara 4 dan 17 tahun.
SHELTER: Membantu mendaftarkan anak-anak pelarian dengan UNHCR, untuk membantu memberi kanak-kanak ini identiti. SHELTER juga berusaha untuk menyediakan penjagaan kanak-kanak serta menghulurkan bantuan makanan, pakaian, tempat perlindungan, penjagaan perubatan dan sebagainya.
Zotung Refugee Catholic Learning Center “ZRCLC”: Sebuah sekolah komuniti pelarian yang dikendalikan oleh Komuniti Katolik Pelarian Zotung “ZRCC” yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Tujuannya adalah untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat untuk kanak-kanak pelarian Myanmar kerana ibu bapa mereka bekerja untuk keperluan asas. Sekolah mereka disediakan dalam 4 kelas: tapak semaian, tadika, rendah dan atas. Beberapa subjek yang diajar termasuk Bahasa Inggeris, Matematik, dan Burma.
Project Stand Up: Sebuah inisiatif yang didorong oleh belia yang memberi tumpuan kepada peningkatan akses kepada dan penyertaan dalam pendidikan, terutamanya untuk kanak-kanak perempuan melalui program Pemimpin Belia PSU mereka, program Pendidikan Juara, serta latihan dan bengkel. Program-program ini membantu mereka meningkatkan kemahiran kepimpinan, penyelesaian masalah, dan penyertaan dalam pendidikan.
Dignity For Children: Menyediakan pendidikan berkualiti untuk kanak-kanak berumur 2 – 18 tahun dengan menggunakan gabungan falsafah Montessori yang terkenal dan pendekatan berpusatkan pelajar ‘Dignity’ yang unik, yang merangkumi kemahiran insaniah dan pendidikan kemahiran vokasional.
Save School For Refugees Community in Malaysia: Sebuah pusat pembelajaran pelarian di Kuala Lumpur yang menawarkan pendidikan awal kanak-kanak, sekolah rendah, menengah dan dewasa.
Explore Our Sources:
- Tsen, E. L. (February 3, 2021). Penangites help Rohingya refugee transform kampung house into learning centre. Free Malaysia Today. Link.
- UNHCR. (n.d.). Education in Malaysia. Link.
- J.Hkawng, E.Fishbein. (2021). “I Lost My Education”: Refugees in Malaysia Face Widening School Gap. New Naratif. Link.
- Sayed, I., & Choi, J. (February 5, 2018). Inside Malaysia’s ‘Living Hell’ for Refugee Children. The New Humanitarian. Link.
- Sharma, P. (January 17, 2020). Empowering refugees through education. MONASH University. Link.
- Sani, R. (18 March, 2020). Providing university access for refugee youths. New Straits Times. Link.
- R.M. Yunus, N.A. Zainordin, N.S. Shamsuddin, N.A. Zailana, S.S. Hariyono. (2019). 70 percent of refugee kids do not go to school. New Straits Time. Link.
- Sahak, S., Nordin, R., & Ishak, M. K. (2020). The plight of refugees in Malaysia: Malaysia as a transit country in protecting refugees’ rights. Journal of Nusantara Studies. Link.
- Crane, M. (2020). The vital role of faith communities in the lives of urban refugees. International Journal of Interreligious and Intercultural Studies. Link.
Written by: Aliesya Sofea