Site logo

6 Kisah Bekas Banduan dan Penagih Yang Membina Semula Kehidupan Mereka Dan Kini Membuat Perubahan 

Stigma yang dikaitkan dengan rekod jenayah dan kehadiran dadah di dalam aliran darah mempunyai kesan berkekalan meskipun hukuman telah tamat dan dadah telah meninggalkan badan. Bekas banduan dan penagih dadah yang telah pulih dianggap sebagai sampah masyarakat.

Walaubagaimanapun,beberapa contoh bekas banduan dan bekas penagih dadah yang telah mengambil langkah berani merubah diri mereka selepas dipenjarakan 

Mari ikuti kisah 6 orang bekas banduan dan penagih dadah yang telah membina semula hidup mereka dan menceritakan perjalanan mereka sebagai peringatan kepada masyarakat umum.

#1: Mak Wan, Bekas Pengedar Dadah. Kini Menghidangkan Makanan Kepada Gelandangan

Apabila Wan Kamariah Binti Daud atau Mak Wan berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya, kehidupannya berubah arah. Beliau terlibat dengan pengedaran dadah di Chow Kit bersama-sama dengan suaminya pada usia 11 tahun.

Suaminya diberkas dan dijatuhkan hukuman mati selepas serbuan pihak polis. Memandangkan beliau masih di bawah umur ketika itu, Mak Wandipenjarakan dan dibebaskan empat tahun kemudian kerana berkelakuan baik.

Bagaimanapun, selepas dibebaskan dan tiada tempat untuk dituju, beliau kembali kepada kancah dadah. Mak Wan mengambil alih kegiatan suaminya. Lama-kelamaan dia merentasi “ hotspots” untuk mengedar dan mengambil dadah.

Selepas itu, saya masih menetap di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur dan terus terbabit dengan penyalahgunaan dadah selama 40 tahun. – Mak Wan, pengasas bersama Warung Makan Sahabat[1]

Mak Wan kerap memasuki pusat pemulihan dadah selama beberapa tahun. Beliau mengambil masa 10 tahun untuk membuka pintu hatinya dan berubah bagi membentuk kehidupan yang lebih baik. Nekad dalam komitmen yang baru, dia kembali ke Chow Kit, yang kini lebih sinonim dengan gejala sosial.

Saya mencari rezeki dengan mengumpul tin dan kotak, membersihkan tandas, mengedar risalah ke dalam peti surat,membersihkan bilik-bilik hotel, dan akhirnya mendapat pekerjaan di Majlis AIDS Malaysia untuk memberi kesedaran berkaitan bahaya HIV dan AIDS. – Mak Wan, pengasas bersama Warung Makan Sahabat[1]

Semasa tinggal di atas premis Warung Makan Sahabat kini, beliau mula membuat kuih untuk dijual di kedai-kedai. Dalam masa yang sama, Mak Wan juga berfikir untuk menyediakan makanan dan memberikannya kepada rakan-rakannya yang menyelongkar tempat-tempat kotor untuk mencari lebihan makanan. Pada permulaannya, beliau mengedarkan bungkusan makanan dengan berbasikal di sekitar lorong-lorong Chow Kit.

Sumber: Malaysiakini

Jika terdapat lebihan makanan, saya akan menggoreng, membungkus, dan mengedarkannya kepada kawan-kawan.- Mak Wan, pengasas bersama Warung Makan Sahabat[1]

Beliau bermula dengan wang sendiri untuk membeli makanan tetapi tidak lama kemudian menerima bantuan daripada orang lain untuk membantunya menjalankan program menyediakan makanan. Kini, beliau menyediakan makanan kepada gelandangan melalui pusat komuniti Warung Makan Sahabat . Pada masa yang sama, pusat itu menyediakan kaunseling kepada mereka yang kurang berkemampuan seperti golongan gelandangan, bekas penagih dadah dan ibu-ibu tunggal.

Kami juga berhasrat untuk menjadikannya satu industri di mana para ibu yang tinggal di Chow Kit boleh menyertai kami dan belajar untuk membuat kuih. Setelah mahir, mereka boleh membuka perniagaan sendiri dan kami akan membantu mereka dalam proses itu.- Mak Wan, pengasas bersama Warung Makan Sahabat[2]

Pada masa hadapan, Mak Wan berharap untuk menjadikan pusat komuniti itu sebagai hab yang menyediakan rumah transit dan kemudahan lain.

#2:Daniel Lew, Menyediakan Tempat Perlindungan Bagi Bekas Banduan Dalam Pemulihan

Sumber: Malay Mail


Pada tahun 1980an, Daniel bekerja secara sambilan  sebagai pemandu untuk menangani kesukaran ekonomi. Laluan biasanya memerlukan beliau untuk berkunjung ke Cameron Highlands, satu-satunya resort kasino berlesen di Malaysia. Lama kelamaan, beliau terpengaruh dengan prospek mudah mendapat wang dan mula berjudi, seringkali mengalami kekalahan berbanding kemenangan.

Dengan kerugiannya yang semakin bertambah, Daniel mengambil wang  daripada syarikat tempatnya bekerja untuk membiayai judinya. Apabila kekalahan semakin menimbun Daniel mengaku tentang jenayah yang dilakukannya dan didakwa pada tahun 1987. Daniel dipenjarakan selama tiga tahun di penjara Pudu.

Sepertimana kebanyakan bekas banduan lain, kembalinyanya ke pangkuan masyarakat bukanlah sesuatu yang mudah. Majikan berulang kali menolak permohonan kerjanya. Seterusnya, beliau beralih kepada Malaysian Care,sebuah organisasi bukan untung yang menyantuni golongan yang memerlukan yang melawatnya semasa di penjara.

Apabila melihat kesukaran [saya], mereka menawarkan saya pekerjaan sebagai pembantu untuk melawat keluarga banduan semasa Krismas dan juga majlis-majlis lain.  Saya juga melawat banduan-banduan, sebagai seorang bekas banduan, saya memahami kata-kata dorongan yang mereka perlukan,” Lew berkata, membuat kerja-kerja amal seterusnya menjadi “hobi” buatnya. – Daniel Lew, pengasas Second Chance Community Home (SCCH)[3]

Pada awal 1990 an, Daniel meyakinkan organisasi itu bekerja dengannya untuk membantu bekas banduan membina hidup mereka. Ia adalah permulaan yang sukar tetapi pada tahun 2003, Lew berjaya menyewa flat berhampiran Jalan Klang Lama sebagai rumah sementara kepada “banduan yang baru dibebaskan”.

Lima tahun kemudian, dalam tahun 2008, Lew mendapati sebuah bungalow kosong berdekatan flat tersebut. Dengan menggunakan beberapa cara, Second Chance Community Home (SCCH) membuahkan hasil. Ia adalah satu-satunya organisasi swasta dan bukan berasaskan keuntungan bagi bekas banduan lelaki di Malaysia. 

Sumber: Malay Mail

Pada tahun 2017, lebih daripada 200 orang mendapat perlindungan di pusat itu, dengan 20 daripada mereka tanpa parol. Di SCCH, bekas banduan diberi peluang kedua untuk membina hidup apabila Lew mencari pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran yang mereka ada.

Mereka boleh memasak, membaiki paip rosak, bocor atau sebarang kerja paip, berkebun… apa sahaja, kebanyakan daripada mereka di sini boleh melakukan kebanyakan kerja-kerja dalam bidang kemahiran yang amat diperlukan – Daniel Lew, pengasas Second Chance Community Home (SCCH)[3]

#3: Oyent Hazryl, Memainkan Tona Berbeza Setelah Pulih Dari Ketagihan

Pada zahirnya, Noor Hazril Mohd Sidek (lebih mesra dikenali sebagai Oyent Hazryl) adalah seorang penghibur yang yakin membuatkan penonton terpesona. Keadaan berjalan lancar untuk nya, bagaimanapun, apabila beliau mula mengambil dadah secara  rekreasi, keadaan menjadi kacau-bilau. 


Saya bermula sebagai penagih dadah rekreasi. Tidak lama kemudian saya mendapati bahawa apabila saya mengambil dadah, saya rasa amat hebat dan yakin. Saya boleh melakukan apa sahaja. – Oyent Hazryl, pemuzik[4]

Beliau terus mengambil dadah, tetapi lama-kelamaan kerjayanya terjejas kerana ianya menjadi semakin sukar baginya untuk menepati masa atau sebagai ahli kumpulan yang boleh dipercayai untuk kumpulan mereka. Pada suatu hari, keadaan berubah menjadi lebih buruk yang menyedarkannya. 

Tanpa disedari saya tidak tidur dan makan selama beberapa hari sehingga saat saya pengsan. – Oyent Hazryl, pemuzik [4]

Dengan sokongan isterinya, Azzalea Yesodhra Abdullah dan keluarga, Oyent menjalani pemulihan. Selepas enam bulan, beliau mengikuti isterinya yang ditugaskan ke Uganda untuk beberapa tahun. Beliau menghabiskan masa dengan menulis muzik dan membantu NGO tempatan dengan mengajar alat perkusi kepada kanak-kanak.

Adalah baik untuk keluar dari persekitaran yang biasa untuk buat ketika. Saya memerlukan perspektif yang baharu.- Oyent Hazryl, pemuzik[4]

Sekembalinya daripada Uganda, beliau terpaksa memulakan semula, beralih daripada ahli kumpulan kepada artis solo. Kini, Oyent berkongsi perjalanan pemulihan sukar dirinya melalui muzik, mengambil bahagian dalam Khai Aziz yang menyokong kehidupan bebas dadah dalam kalangan belia.

Setiap orang berhak mendapat peluang kedua. Peluang ketiga, dan keempat. Saya percaya bahawa dengan sokongan dan kerja keras, sesiapa sahaja boleh berubah. Malahan saya juga.- Oyent Hazryl, pemuzik[4]

#4: Chris Sekar, Daripada Penyalahgunaan Narkotik Kepada Ahli Terapi 

Membesar di kawasan kejiranan di Setapak dimana ganja adalah suatu yang lumrah sepertimana rokok, Chris Sekar dengan mudah terpengaruh pada usia 14 tahun hanya semata-mata dengan janji untuk mendapatkan dopamine segera .

Semua orang melakukannya. Jika anda pergi ke gerai tepi jalan, anda boleh dapat roti canai dengan harga 10 sen, teh panas 10 sen, dan segulung ganja (marijuana) hanya dengan 50 sen. – Chris Sekar, ahli terapi ketagihan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur[5]

Keadaan bertambah buruk, bagaimanapun, apabila beliau bertemu bahan yang memberi ketagihan lebih dalam bentuk heroin.

Ia berlaku semasa saya berada di tingkatan lima. Seterusnya, saya terjebak dengan narkotik, tidur di bangunan terbiar, dan tidak sedarkan diri di tempat-tempat pelik. Keadaan ini berterusan lebih daripada 10 tahun.- Chris Sekar, ahli terapi ketagihan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur[5]

Ibunya meminta bantuan dan menghantarnya ke beberapa pusat pemulihan swasta dan kerajaan. Malahan ibunya mencuba rawatan alternatif seperti bomoh, akupunktur, bertemu di kuil dan ubat-ubatan tetapi tiada satu pun yang berkesan. Akhirnya, terdapat pusat pemulihan Kristian, di mana beliau melarikan diri sebanyak dua kali.

Saya memberitahu mereka jika Tuhan memang ingin menyelamatkan saya, kenapa dia tidak pernah muncul dan menghalang saya daripada mencucuk jarum ke lengan saya?  – Chris Sekar, ahli terapi ketagihan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur [5]

Bagaimanapun, rayuan ibunya membuatkan Chris mencuba lagi.

Ibu memberitahu bahawa dia tidak mengenali anaknya sendiri. Dan hatinya terguris melihat keadaan saya. Kata-katanya memberi kesan mendalam kepada saya.- Chris Sekar, ahli terapi ketagihan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur [5]

Tidak lama kemudian,  beliau bangkit semula dan menyedari kesilapannya, dan ketagihannya kepada narkotik telah pulih.

Selepas itu, saya bekerja di pusat tersebut, kemudian, di pusat kanak-kanak , seterusnya di pusat kemasukan di Chow Kit, di mana orang ramai boleh datang untuk membersihkan diri secara percuma, mendapat rawatan luka dan makanan percuma– Chris Sekar, ahli terapi ketagihan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur [5]

Chris akhirnya memperoleh berjaya ijazah pastoral daripada Seminary Bible Malaysia. Beliau mengikuti pengajian psikologi kaunseling dan mendapat Sarjana dalam bidang kaunseling daripada University De La Salle di Manila, Filipina. Selama lebih daripada 20 tahun beliau menjadi ahli terapi ketagihan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.

Meskipun telah lebih daripada 40 tahun bebas daripada narkotik, Chris percaya bahawa beliau masih lagi seorang penagih dalam pemulihan. Kini, perjalanan hidupnya telah dicatatkan alam sebuah buku ; Daily Devotions for the Recovering Addicts.

Analogi yang boleh saya berikan adalah ia ibarat seorang penghidap kencing manis. Anda tidak mungkin menjadi seorang yang bebas daripada kencing manis. Anda perlu berhati-hati dengan apa yang anda makan. – Chris Sekar, ahli terapi ketagihan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur[5]

#5: Mohd Fadzrul Menjalani Kehidupan Yang lebih Baik Dengan Berkebun Halia

Beberapa tahun lalu, Mohd Fadzrul Hakim Othman, 35, telah menyalahi undang-undang apabila terlibat dalam satu pergaduhan. Semasa pergaduhan tersebut, beliau menyebabkan seorang mangsa cedera mengakibatkan kurang upaya kekal. Ekoran daripada itu, Fadzrul dihukum penjara selama 4 tahun.

Sumber: Sinar Harian

Kisah silam saya perlu dilupakan, tetapi saya belajar daripada kesilapan. Pada pendapat saya, saya bertuah kerana mendapat sokongan daripada ahli keluarga yang tidak berputus asa dan menerima saya. – Mohd Fadzrul Hakim Othman, Usahawan Halia Bentong[6]

Berazam untuk membuka lembaran baru, Fadzrul dan abangnya, Mohd Farhadi Farhan,36, bersama-sama mengusahakan ladang halia terbiar di Pekan, Pahang. Usaha adik-beradik ini menyaksikan Fadzrul yang bukan hanya menanam halia Bentong yang sangat didambakan malahan juga sayuran hijau lain menerusi kaedah fertigasi.

Saya perlu bangkit dan berusaha keras untuk mencapai impian sebagai pekebun yang berjaya, bukan sekadar menanam halia, tetapi syuran-sayuran lain dan cili menggunakan teknik fertigasi.– Mohd Fadzrul Hakim Othman, Usahawan Halia Bentong[7]

Kini, menerusi ladang halia, beliau menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan.

Peningkatan kesedaran yang meningkat untuk halia Bentong dan permintaannya yang tinggi telah membina  prospek yang cerah buat usahawan seperti kami. – Mohd Fadzrul Hakim Othman, Usahawan Halia Bentong[6]

#6:Datuk Mohd Firdaus,  Membuka Bab Perniagaan Baharu

Pada suatu ketika dahulu, Datuk Mohd Firdaus mempunyai segala-galanya, dilimpahi dengan kemewahan. Bagaimanapun, pada tahun 2015, selepas berurusan dengan seorang ahli perniagaan, semuanya lenyap begitu sahaja. Datuk Mohd Firdaus akhirnya menghabiskan masa 4 tahun didalam penjara kerana penipuan dan penggubahan wang haram.

Sebelum ini, saya mempunyai perniagaan yang sah. Namun, apabila saya dipenjarakan, saya kehilangan semua aset dan malahan kehilangan keyakinan diri untuk hidup.– Datuk Mohd Firdaus, usahawan[8]

Apabila keluar daripada penjara, beliau mula membina semula hidup dan kekayaan. Dengan pinjaman RM500 daripada ibunya, Firdaus memulakan usahanya.

Dengan pengetahuan yang ada, saya cuba mulakan perniagaan tanpa sebarang unsur haram (jenayah) kerana saya benar-benar ingin berubah.– Datuk Mohd Firdaus, usahawan[8]

Kini Firdaus memiliki beberapa syarikat perkhidmatan termasuk perkhidmatan sewa kereta,hotel, tenaga kerja, pembersihan dan perundingan.

Sumber: Harian Metro

Kejayaannya kini adalah hasil daripada kepercayaan keluarga terhadapnya dan keyakinan mereka bahawa dia boleh berubah. Sebagai penghargaan, beliau mengambil bekas banduan bekerja di perusahaannya.

Selain daripada itu, beliau telah membiayai beberapa perniagaan yang baru bermula bagi mengubah kehidupan mereka kepada yang lebih baik.

Sebagai seorang bekas banduan, saya amat memahami kesukaran yang mereka hadapi untuk bangun semula. Oleh kerana itu, saya mahu mereka bermula sebagai ‘pekerja’ sebelum menjadi ‘bos’ dalam perniagaan mereka masing-masing.– Datuk Mohd Firdaus, usahawan[8]

Setakat ini, Mohd Firdaus telah menggaji 267 pekerja, 40% daripada mereka terlibat dengan jenayah kecil-kecilan dan kesalahan berkaitan dadah sejak 2020.

Terjemahan oleh: Norazah Nizar

Explore our sources:

  1. N.A. Khazizi. (2021). Mak Wan’s ‘dark past’ inspires her to serve Chow Kit homeless. Malaysiakini. Link 
  2. A.Zikri. (2020). Formerly homeless, this KL lady now runs feeding programme for the poor in Chow Kit. Malay Mail. Link 
  3. A.Ruban. (2017). Out of jail, back on his feet and paying it forward. Malay Mail. Link 
  4. E.Koshy. (2018). Second Act : Musician finds redemption from drug scourge through music. New Straits Times. Link 
  5. G.Nunis. (2022). Clean for 41 years, ‘recovering addict’ Chris Sekar hopes book will help others. Twentytwo13.my. Link
  6. R.Rosedi. (2022). Bekas banduan kini petani berjaya.Sinar Harian. Link 
  7. M.R.Mamat. (2022). ‘Buka buku baru’. Harian Metro. Link 
  8. N.H.Bahaudin. (2022). Aku dulu banduan. Harian Metro. Link

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?