Site logo

30,000 Orang Majikan Tempatan Terdesak Untuk Mendapatkan Bantuan Domestik – Masa Untuk Memikirkan Semula Cara Kita Melayan Pembantu Rumah

[Trigger Warning (TW): Keganasan, Serangan Seksual]

Pada masa lalu, pembantu rumah dianggap sebagai simbol status dan hanya isi rumah yang berkemampuan sahaja yang mampu mengupah seorang orang gaji atau pembantu rumah domestik. Walau bagaimanapun, dengan pertumbuhan isi rumah dwi-pendapatan dan populasi yang menganjak tua, pekerja rumah tangga dianggap sebagai keperluan dalam membantu penjagaan kanak-kanak dan orang tua.

Dengan endemik yang menjadi norma, perniagaan sedang berusaha untuk beroperasi seperti biasa. Ibu bapa kembali ke pejabat, anak-anak ke sekolah – kesibukan pagi sebelum pandemik beransur kembali.

Keluarga yang terdesak untuk mendapatkan bantuan tambahan untuk menangani kerja rumah dan menjaga anak-anak mereka. Hana, seorang suri rumah yang sedang hamil meluahkan rasa terdesaknya untuk mendapatkan bantuan tambahan di rumahnya.

SAYA HAMIL DAN MEMPUNYAI DUA ORANG ANAK DI RUMAH. MEMANDANGKAN SUAMI SAYA TIDAK BERSAMA DENGAN SAYA SELAMA TIGA BULAN, SAYA MENJADI SATU-SATUNYA ORANG DEWASA DI RUMAH DAN JUGA PERLU BEKERJA DARI RUMAH, JADI SAYA SANGAT MEMERLUKAN BANTUAN ORANG LAIN DI RUMAH. – HANA, 30 TAHUN, PENGANALISIS DATA[1]

Penutupan sempadan akibat wabak Covid-19 telah menyumbang kepada masalah kekurangan sekitar 30,000 orang pembantu rumah asing di Malaysia[2].

Ketiadaan mereka terutamanya dirasai oleh isi rumah yang selama ini bergantung kepada bantuan atau memerlukan bantuan mereka. Tasha Prasheela Chandran telah berusaha mencari seorang pembantu rumah bagi membantu ibu mertuanya selepas pekerja yang diupah sebelumnya tamat perkhidmatannya pada akhir tahun 2021.

SEJAK ITU, KAMI CUBA MENCARI PENGGANTI, MEMANDANGKAN IBU MERTUA SAYA BERUMUR 75 TAHUN DAN TINGGAL BERSENDIRIAN. DIA MEMERLUKAN BANTUAN ORANG LAIN UNTUK MEMASAK, MEMBERSIH DAN MENYELENGGARA RUMAHNYA. – TASHA PRASHEELA CHANDRAN, PEGUAM 36 TAHUN[3]

Setakat ini, bakal majikan perlu menunggu sehingga 8 bulan di agensi pengambilan pembantu rumah

KIRA-KIRA 600 BUAH AGENSI PEMBANTU RUMAH DI BAWAH LESEN KATEGORI B DAN C INGIN MENGAMBIL PEMBANTU RUMAH ASING UNTUK BEKERJA DI MALAYSIA, DI MANA TERDAPAT SEKURANG-KURANGNYA 50 PERMINTAAN DALAM SENARAI MENUNGGU BAGI SETIAP AGENSI. – DATUK FOO YONG HOOI, PRESIDEN MALAYSIAN ASSOCIATION OF EMPLOYMENT AGENCIES (PAPA) [2]

Satu memorandum persefahaman (MoU) baharu berada di tahap perundingan dengan Indonesia sejak tahun 2016. Namun, kerajaan Indonesia telah menolak permintaan selepas menilai rekod prestasi majikan Malaysia terhadap pekerja domestik Indonesia.

Di Sebalik Proses Perundingan Yang Panjang

Pada tahun 2009, kerajaan Indonesia telah menghalang rakyatnya daripada menjadi pembantu rumah di Malaysia berikutan dengan penderaan, rogol dan layanan buruk yang dilaporkan oleh pekerja yang kembali ke negara asal mereka [4].

Pada tahun 2008, terdapat 270,000 orang pembantu rumah asing berada di Malaysia. Jumlah tersebut telah menurun sehingga kira-kira 220,000 berikutan dengan larangan dikenakan pada tahun 2009. Sepanjang tempoh ini, permintaan pembantu rumah adalah tinggi dan hanya sebilangan kecil yang dapat memenuhi permintaan. Kerajaan Indonesia telah mengenakan moratorium berlarutan sehingga tahun 2011[5].

KINI, TERDAPAT 86,084 ORANG PEMBANTU RUMAH ASING DI NEGARA INI, DENGAN KEBANYAKANNYA DATANG DARI INDONESIA (59,605), FILIPINA (22,803), VIETNAM (1,031) DAN KEMBOJA (976). JUMLAH TERSEBUT SEMAKIN BERKURANGAN[6].

Pada tahun 2011, kerajaan Kemboja telah melarang rakyatnya daripada menjadi pembantu rumah di Malaysia disebabkan oleh laporan berkenaan dengan penderaan, masalah pemberian makanan yang kurang bernutrisi, tuntutan untuk bekerja lebih masa dan gaji tidak dibayar. Larangan itu telah berlarutan sehingga tahun 2017.

Dengan pelonggaran peraturan di Indonesia, ramai penduduk Indonesia membuat tawaran pekerjaan di Malaysia memandangkan penganiayaan berterusan terhadap pekerja domestik yang berlaku.

Duta Besar Indonesia di Malaysia, Hermono mengeluh bahawa terdapat lebih banyak insiden penganiayaan terhadap rakyat mereka di Malaysia berbanding di negara-negara maju yang lain.

KAMI MEMPUNYAI PEMBANTU RUMAH DI SINGAPURA, HONG KONG DAN TAIWAN, TETAPI KAMI TIDAK MEMPUNYAI MASALAH SERIUS SEPERTI DI SINI (DI MALAYSIA). MENGAPAKAMI MENGHADAPI MASALAH INI DI SINI? – DUTA HERMONO[7]

Pada tahun 2021, pihak kedutaan telah membantu seramai 206 orang pekerja domestik yang tidak dibayar gaji oleh majikan mereka. Ada segelintir yang dirampas kertas pengenalan diri oleh majikan mereka, dipaksa untuk bekerja dengan waktu panjang tanpa cuti dan ada juga yang mengalami penderaan[7].

Dieksploitasi Sejak Awal

Salah satu saluran dibuat untuk kemasukan pekerja domestik asing ke Malaysia adalah dengan melalui agensi pengambilan pembantu rumah. Agensi tersebut mempunyai rakan kongsi antarabangsa mereka yang membekalkan pekerja dari negara asal. Namun, terdapat laporan bahawa eksploitasi telah bermula lebih awal sebelum mereka memasuki Malaysia[8].

Terdapat beberapa orang pekerja asing Indonesia telah dijanjikan dengan pekerjaan di rumah tangga tetapi ditempatkan untuk bekerja tanpa gaji di restoran atau rumah urut. Kadangkala, agensi tersebut telah menjanjikan mereka bentuk pekerjaan-pekerjaan lain tetapi akhirnya menjadi pembantu rumah dan syaratnya yang tidak termasuk bayaran kepada mereka[8].

Aegile Fernandez, seorang pengurus perunding Unit Antipemerdagangan Orang di Tenaganita memaklumkan bahawa golongan buruh kanak-kanak juga terlibat dalam isu ini. Organisasi tersebut pernah membantu gadis-gadis Kemboja dengan umur semuda 14 tahun yang lari daripada majikan mereka yang telah menahan gaji mereka.

Agensi-agensi pembantu rumah telah didapati memalsukan tarikh lahir pekerja untuk menjadikan mereka lebih tua daripada umur sebenar mereka selain memaksa mereka untuk menandatangani borang yang tidak difahami oleh mereka[4].

Permintaan terhadap pembantu rumah Indonesia turut disebabkan oleh persamaan bahasa dan agama dengan isi rumah yang menganut agama Islam.


Untuk keluarga yang mempunyai pembantu rumah di negara seperti Singapura adalah suatu kemewahan. Pembantu rumah di Singapura akan memperoleh gaji sekitar SDG$600 (RM 1875) sebulan dengan bergantung kepada kewarganegaraan isi rumah mereka. Golongan expat yang tinggal di Singapura cenderung untuk membayar gaji yang lebih kepada pembantu rumah[9].

Keadaan ini adalah berbeza di Malaysia di mana adalah suatu kebiasaan bagi isi rumah kelas pertengahan mempunyai pembantu rumah. Ini berpunca daripada kenyataan bahawa pekerja domestik dibayar dengan sedikit. Gaji bulanan mereka adalah serendah RM500 sebulan pada tahun 2011[4].

Dalam hal ini, kerajaan Indonesia telah menuntut gaji yang lebih baik, meningkat kepada julat RM1,200 hingga RM1,500 sebulan. Warganegara Filipina yang bekerja sebagai pembantu rumah pula menerima purata RM1,670 sebulan[10].

Bekerja Sepenuh Masa Dan Tidak Diberikan Masa Berehat

Di bawah Akta Pekerjaan 1955, pekerja domestik berhak untuk mendapat satu hari rehat atau cuti dalam seminggu. Namun begitu, pekerja rumah tangga terperangkap untuk bekerja pada hari cuti mereka semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tenaganita, sebuah NGO tempatan yang berusaha untuk menegakkan hak pekerja asing mendapati bahawa wabak itu telah membebankan kerja pembantu rumah setelah menerima 101 kes sehingga Disember 2020[11].

Umy** dari Jawa Timur telah bekerja dengan majikannya sejak 10 tahun lalu dan menyifatkan mereka sebagai majikan yang “baik”. Umy perlu bekerja 14 jam setiap hari kecuali hari Ahad. Dia amat menantikan hari Ahad untuk meluangkan masa bersama dengan rakan-rakannya. Namun, dia terpaksa bekerja 7 hari seminggu tanpa bayaran lebih masa semasa pelaksanaan PKP[12].

Sumber: Malaysiakini

KAMI TIDAK DIBERIKAN HARI CUTI PADA BULAN INI. JIKA KAMI BEKERJA SEPERTI BIASA PADA HARI BEREHAT, BUKANKAH ITU DIKIRA SEBAGAI LEBIH MASA? – UMY, SEORANG PEMBANTU RUMAH DARI JAWA TIMUR[12]

Waktu bekerja terkawal yang tidak ditetapkan dalam perundangan Malaysia telah menyebabkan masalah waktu kerja yang panjang seperti yang dimaklumkan oleh Umy. Menurut pekerja domestik, mereka mula bekerja seawal jam 4.30 pagi sebelum isi rumah bangun dan terus bekerja sepanjang hari, kadangkala sehingga malam[4].

Pada masa yang sama, beban kerja Umy telah meningkat semasa pelaksanaan perintah penutupan. Dia merasa berat hati kerana diarahkan untuk memasak dua kali sehari untuk isi rumah sedangkan dia hanya memasak dua atau tiga kali seminggu sebelum itu.

SELALUNYA SAYA MEMASAK DUA ATAU TIGA KALI SEMINGGU. SEKARANG SAYA PERLU MEMASAK SETIAP HARI KERANA MAJIKAN SAYA YANG RISAU UNTUK KELUAR RUMAH. SAYA MEMASAK SEKURANG-KURANGNYA DUA KALI SEHARI. – UMY, SEORANG PEMBANTU RUMAH DARI JAWA TIMUR[12]

Umy berkongsi bahawa rakannya perlu mengemas rumah dengan lebih kerap selain ditugaskan untuk menjaga anak majikan mereka semasa perintah kawalan pergerakan. Kerja seorang pembantu rumah seolah-olah tidak berkesudahan.

SEMUANYA ADALAH KERJA SAYA, MEMBERSIHKAN TANDAS, SEMUA BILIK, DAN DINDING. SAYA JUGA MEMBERSIHKAN SELURUH RUMAH DAN MENJAGA SEORANG KANAK-KANAK YANG BERUMUR TIGA TAHUN DAN BAYINYA YANG HANYA LAPAN BULAN. SAYA BEKERJA DARI PUKUL 4:30 PAGI HINGGA MALAM. KADANG-KADANG, MAJIKAN SAYA MEMINTA SAYA BANGUN PADA PUKUL 3:00 PAGI UNTUK MENYUAP BAYI. SAYA BEKERJA SETIAP HARI TANPA BEREHAT PADA SIANG HARI. – SUSANTI PRAMONO, PEMBANTU RUMAH PULANG DARI LOMBOK[8]

Sumber: 100comments

Dengan penambahan beban kerja dan waktu kerja semasa pandemik, pekerja rumah tangga tidak diberikan pampasan tambahan.

KAMI MEMPUNYAI LEBIH BANYAK BEBAN KERJA SEMASA WAKTU PANDEMIK. TETAPI GAJI KAMI TETAP SAMA. – UMY, SEORANG PEMBANTU RUMAH DARI JAWA TIMUR[12]

Namun, masa kerja yang dilanjutkan dan ketiadaan hari cuti hanyalah sebahagian kecil penderaan yang dialami oleh pembantu rumah.

Pendapatan Ditahan

Pada tahun 2021, kedutaan Indonesia mengendalikan 16 kes pembantu rumah yang dieksploitasi dan tidak menerima gaji bulanan mereka[7].

Ana** ialah seorang pembantu rumah dari Malang, Jawa Timur yang bekerja dengan keluarga ‘Tan Sri’ yang mewah. Ana telah bekerja untuk menjaga 6 orang dewasa dan 2 orang bayi dalam 7 tahun pertama tanpa bayaran. Pada tahun 2022, dia telah diberikan keadilan dan bekas majikannya perlu membayar lebih daripada RM100,000 selepas proses mediasi yang panjang[13].

Sumber: Unsplash

Duta Indonesia di Malaysia berkata bahawa majikan telah menganggap ini sebagai wajar memandangkan keperluan asas hidup pembantu rumah dipenuhi oleh mereka.

Kadangkala, majikan menahan gaji sehingga kontrak selama dua tahun mereka tamat untuk mengelakkan pekerja mereka melarikan diri[7].

Malah, ada keadaan yang lebih buruk ditimpa oleh pembantu rumah. Dengan bekerja selama 12 tahun dengan keluarga tersebut, Ana bekerja sepanjang 18 jam sehari. Dia telah didera secara lisan dan ditampar oleh majikannya apabila menyediakan ubat yang salah. Lebih menyedihkan lagi, anak kepada bekas majikannya telah memfailkan tuntutan dengan memaksanya untuk membayar RM500 kerana “gagal memberikan notis penamatan 14 hari.”

Di Sebalik Pintu Tertutup

NGO Migrant Care yang berpangkalan di Indonesia menganggarkan sebanyak 1,000 orang pembantu rumah Indonesia didera setiap tahun di Malaysia[14].

400 HINGGA 800 ORANG PENDATANG TIBA SETIAP HARI [DI LAPANGAN TERBANG]. KADANGKALA TERDAPAT 12 ORANG MANGSA ROGOL DALAM SATU MINGGU, SEPERTI YANG BERLAKU PADA NOVEMBER 2003. PADA TAHUN 2002, 12% PENDATANG YANG PULANG MELAPORKAN MASALAH, DAN 2% DARIPADA MEREKA DIDAPATI SAKIT. – WAHYU SUSILO, SETIAUSAHA EKSEKUTIF, KONSORSIUM PEMBELA BURUH MIGRAN INDONESIA (KOPBUMI)[8]

Dalam kes yang lebih serius, pekerja rumah tangga mengalami penderaan fizikal seperti dipukul dan penderaan lisan yang kejam selepas melakukan kesilapan semasa bekerja

NENEK ITU SENTIASA MARAH. DIA TIDAK MEMBENARKAN SAYA BEREHAT. DIA SELALU MENGADU KESILAPAN SAYA. DIA JUGA MEMUKUL SAYA…. SAYA MEMBERITAHU MEREKA [MAJIKAN DIA], “SAYA BOLEH MENERIMA PUKULAN ANDA, TETAPI JANGAN MENGHINA KELUARGA SAYA. – ULFAH AISYAH, BEKAS PEMBANTU RUMAH YANG PULANG KE INDONESIA[8]

Sebagai seorang pekerja NGO di Indonesia, Dina Nuriyati, memberitahu:

HANYA KERANA PEKERJA ASING MEMBAKAR BAJU DENGAN SETERIKA SECARA TIDAK SENGAJA, ITU TIDAK BERMAKNA MAJIKAN HARUS MENCEDERAKAN PEKERJA ITU DENGAN SETERIKA SEBAGAI HUKUMAN. – DINA NURIYATI, PENGERUSI FEDERASI ORGANISASI BURUH MIGRAN INDONESIA[8]

Semasa waktu pandemik, 9,015 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan sehingga Ogos 2021[15]. Keganasan rumah tangga dalam kalangan isi rumah Malaysia sentiasa dibincangkan, namun tidak ada petunjuk sama ada angka yang dilaporkan saban tahun itu termasuk penderaan terhadap pekerja rumah tangga.

Tetapi Tenaganita telah menyaksikan sedikit peningkatan dalam kes yang membuat dilaporkan kepada mereka.

SEMASA WABAK COVID-19, KAMI MENDAPATI BAHAWA PEKERJA RUMAH TELAH DIEKSPLOITASI DAN KEBANYAKAN MEREKA TELAH DIDERA, DISEKSA SECARA MENTAL DAN EMOSI, MALAH ADA JUGA YANG MENGHADAPI MASALAH SERANGAN FIZIKAL DAN GANGGUAN. – GLORENE DAS, PENGARAH EKSEKUTIF TENAGANITA[11]

Negara-negara jiran enggan menghantar warganya sebagai pembantu rumah kerana penderaan telah menyebabkan kematian yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Pada tahun 2018, rakyat Malaysia dikejutkan dengan penderaan berpanjangan yang dialami oleh Adelina. Adelina meninggal dunia selepas mengalami pelbagai kegagalan organ. Sebelum Adelina, ada banyak lagi yang tidak dilaporkan. Bekas majikan Adelina, Ambika A.Shan dibebaskan daripada pertuduhan pada 2020[16].

ADELINA MENINGGAL DUNIA SEJURUS SELEPAS DISELAMATKAN DARI RUMAH MAJIKANNYA. SEBELUM ADELINA, ADA MEY SICHAN, ISTI KOMARIYAH, MAUTIK HANI, DAN LEBIH BANYAK NAMA DARIPADA YANG BOLEH KAMI NYATAKAN. – KATRINA JORENE MALIAMAUV, PENGARAH EKSEKUTIF AMNESTY INTERNATIONAL MALAYSIA[16]

Ada yang telah dirogol dan dipaksa untuk melakukan hubungan seks dengan lelaki di tempat kerja mereka. Tetapi, ramai daripada wanita ini menyimpan rahsia gelap ini kerana takut akan nyawa dan sumber rezeki mereka diancam.

APABILA ISTERI PERGI MENGHANTAR ANAK-ANAK KE RUMAH NENEK, SUAMI KEPADA ISTERI ITU AKAN TINGGAL DI RUMAH…. DIA MEROGOL SAYA BERKALI-KALI. SEKALI SEHARI, SETIAP HARI SELAMA TIGA BULAN. DIA KERAP MEMUKUL SAYA KERANA SAYA TIDAK INGIN MELAKUKAN HUBUNGAN SEKS. SUSANTI PRAMONO, BEKAS PEMBANTU RUMAH YANG TELAH PULANG[8]

Jika ditemui oleh majikan wanita mereka, mereka akan dihantar pulang dengan tiket penerbangan sehala.

PEKERJA DOMESTIK TERTAKLUK KEPADA PENDERAAN DI TANGAN KELUARGA YANG MEREKA BEKERJA. MEREKA TIDAK DAPAT MENGHARAPKAN PERLINDUNGAN DAN BERGANTUNG KEPADA MEKANISME UNDANG-UNDANG. DENGAN PENDERAAN DAN KEMATIAN MEREKA, KEADILAN MASIH SUKAR DITEGAKKAN. INI ADALAH KEGAGALAN MASYARAKAT KITA, SISTEM KITA YANG TIDAK BOLEH KITA TERIMA. KATRINA JORENE MALIAMAUV, PENGARAH EKSEKUTIF AMNESTY INTERNATIONAL MALAYSIA[17]

Masa Depan Yang Lebih Baik Untuk Pekerja Rumah Tangga

Selepas rundingan antara Indonesia dan Malaysia selama 6 tahun, satu MOU baharu telah ditandatangani pada April 2022. Terdapat beberapa perlindungan untuk pekerja rumah Indonesia ditetapkan dalam MOU tersebut. Contohnya, lapan hari cuti tahunan setahun dan peraturan “seorang pembantu rumah bagi setiap isi rumah” yang menghalang majikan daripada menghantar pekerja mereka di antara isi rumah yang berbeza[3].

Dalam rundingan tersebut, gaji minimum iaitu RM1,500 yang diminta oleh kerajaan Indonesia telah ditolak kerana gaji minimum Malaysia masih ditetapkan pada RM1,200. Pada masa yang sama, kerajaan Indonesia menegaskan bahawa isi rumah yang merancang untuk mengambil pekerja rumah tangga perlu berpendapatan isi rumah minimum RM7,000[18].

Pada tahun 2021, liputan PERKESO telah menyertakan sektor ini dalam menyediakan jaringan keselamatan yang lebih baik kepada pekerja sekiranya berlaku kecederaan di tempat kerja[19].

Walaupun begitu, pemeriksaan adalah diperlukan untuk perubahan menyeluruh dalam perundangan.

Pekerja domestik telah lama dikecualikan daripada hak pekerja yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Pekerjaan 1955. Maka, mereka telah dikecualikan daripada hak asasi buruh seperti waktu bekerja, hari rehat, syarat perkhidmatan dan juga faedah bersalin. Pada masa kini, pembantu rumah dikategorikan sebagai “pelayan” di bawah Akta[20]. Pihak NGO seperti Persatuan Sahabat Wanita Selangor telah mengadakan kempen #KakakJugaPekerja dalam usaha melindungi hak asasi mereka.

Selanjutnya, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 sedia ada tidak dapat melindungi pekerja domestik yang terdedah kepada pemerdagangan atau buruh paksa[20].

Tanpa perundangan yang kukuh, masalah penganiayaan dan penderaan pekerja rumah akan berterusan. Kisah-kisah seperti Umy, Ana, Susanti dan Ulfah akan tersembunyi di sebalik pintu tertutup.

Sumber: Malaysiakini

NAMPAKNYA TIADA SESIAPA YANG MEMANDANG BERAT TERHADAP MEREKA MEMANDANGKAN KELEMAHAN PENGURUSAN KES MERENTASI AGENSI YANG BERBEZA DALAM PELBAGAI ASPEK KES. – GLORENE A DAS, PENGARAH EKSEKUTIF TENAGANITA[20]

Selipkan Rasa Empati Kepada Mereka

Layanan mengerikan terhadap pekerja rumah tangga merupakan sesuatu yang kurang didedahkan oleh pihak media, melainkan penderaan telah menyebabkan kematian. Kisah-kisah pembantu rumah seperti Umy dan Ana menunjukkan sudut gelap di setiap isi rumah.

Berita yang berunsur grafik berkenaan penderaan yang dialami oleh Adelina jelas menunjukkan keinginan majikan untuk menguasai pekerja domestik mereka.

Ia mungkin berakar umbi daripada sentimen xenofobia dalam kalangan rakyat Malaysia selama bertahun-tahun. Ia juga disebabkan oleh bahasa yang bersifat diskriminasi yang kita gunakan seperti istilah “orang gaji” dan “bibik” untuk merujuk kepada pekerja tersebut.

Seperti kebanyakan rakyat Malaysia, kita sering mengabaikan pekerja migran yang bekerja dalam pelbagai sektor. Kita gagal mengingati pembantu adalah manusia yang mempunyai minat, keluarga dan orang tersayang mereka sendiri.

Tujuan utama mereka datang ke Malaysia adalah untuk menjana pendapatan yang lebih baik untuk keluarga di tanah air. Tetapi, sesetengah isi rumah telah mengambil kesempatan daripada peranan mereka.

Ana telah berjaya memperoleh pampasan atas gaji yang ditahan pada tahun 2022. Dia kembali ke sisi ahli keluarganya dengan keinginan untuk memulakan impiannya sendiri.

Sumber: Malaysiakini

SAYA INGIN MENGAMBIL BEBERAPA ORANG PEKERJA UNTUK MEMULAKAN PENANAMAN SAYUR-SAYURAN DI TANAH IBU BAPA SAYA. APABILA SAYA MENGAMBIL PEKERJA, SAYA AKAN MELAYAN MEREKA SECARA ADIL, MEMBERIKAN CUTI DAN WAKTU BEKERJA YANG BAIK. – ANA, SEORANG PEMBANTU RUMAH YANG DIDERA OLEH PEKERJANYA ‘TAN SRI [12]

Memandangkan 30,000 bakal majikan menunggu dengan sabar untuk mendapatkan bantuan yang diminta, sebagai majikan semasa atau bakal majikan pembantu rumah, kami harus sedar dan memastikan hak asasi mereka dipertahankan.

Pada masa ini, sistem pengambilan pekerja domestik yang sedia ada adalah melalui agensi atau pengambilan terus. Bagaimanapun, kerajaan Indonesia tetap melaksanakan One Single Channel (OCS) untuk memantau rakyat mereka dengan lebih baik selepas beberapa pusingan rundingan dijalankan.

Pada masa yang sama, pertimbangkan untuk mendaftarkan bantuan agensi pengambilan beretika seperti Pink Collar sekiranya anda ingin mengupah pembantu rumah

**Nama telah ditukar untuk tujuan privasi.

Terjemahan oleh: Sally Yeo Yi Tong

Explore our sources:

  1. C.Chung. (2020). Call to let new maids enter M’sia too. The Star. Link
  2. The Sun Daily. (2022). 30,000 employers in dire need of domestic helpers. Link
  3. V.Tan. (2022). Malaysia employers look forward to hiring Indonesian domestic workers again, but fees remain a concern. Channel News Asia. Link
  4. L.Gooch. (2011). A Cry for More (Domestic) Help in Malaysia. The New York Times. Link 
  5. Straits Times. (2018). Indonesia mulls ban on sending maids to Malaysia after abuse case. Link
  6. FMT Reporters. (2022). Maid abuse reports stall MoUs with Indonesia, Cambodia. Free Malaysia Today. Link
  7. Daily Express.com. (2022). Indonesian maids facing modern-day slavery in Malaysia, unlike in Singapore, HK, Taiwan: Envoy. Link
  8. Human Rights Watch. (2004). Help Wanted: Abuses against Female Migrant Domestic Workers in Indonesia and Malaysia. Link 
  9. S.Neogy. (2021).How Much Does It Cost To Hire A Maid In Singapore In 2021? Yahoo Singapore. Link
  10. J.Bunyan. (2022).Report: Maid agencies seek govt clarification over hiring of foreign workers as demand shoots up in new year. The Malay Mail. Link
  11. D.Murad. (2021).NGOs: Situation worse for domestic workers after Covid-19. The Star. Link
  12. C.C.Low. (2020). Derita dalam diam pembantu rumah. Malaysiakini. Link
  13. S.Vinothaa. (2022). ‘Tan Sri’ bayar lebih RM100,000 gaji pembantu rumah tertunggak. Malaysiakini. Link
  14. Z.Z.Datta. (2022). Why Malaysians Don’t Deserve to Have Maids. The Full Frontal. Link
  15. R.Rahim, T. TAN, M.CARVALHO and F. ZAINAL.(2021). Over 9,000 domestic violence cases recorded since MCO began, Rina Harun tells Parliament. The Star. Link 
  16. M.V.Ang.(2020).Court of Appeal Upholds Decision To Let A Woman Walk Free Of Allegedly Murdering Her Maid. SAYS. Link
  17. Amnesty International Malaysia. (2020). LETTER | End culture of violence, discrimination against domestic workers.Malaysiakini. Link
  18. The Star. (2022). Minimum household income to hire worker is RM7,000, says Indonesian envoy. Link
  19. Persatuan Sahabat Wanita Selangor. (2020).COMMENT | New safety net for domestic workers a giant leap forward. Malaysiakini. Link
  20. T.Lokman. (2021).Domestic workers continue to be treated as servants without the Proposed Employment (Domestic Employee) Regulations 2019. Sinar Harian. Link

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?