Site logo

12 Wanita ‘Powerhouse’ Yang Membantu Membina Malaysia

Tidak menghairankan bahawa beberapa nama pertama yang terlintas di minda apabila memikirkan individu yang menyumbang kepada pembangunan Malaysia adalah kebanyakan lelaki.

Walau bagaimanapun, wanita Malaysia telah memainkan peranan penting di dalam sejarah  dan mempunyai sentuhan Midas yang telah menyentuh pelbagai segmen masyarakat.

Kami telah menyenaraikan 12 wanita Malaysia, termasuk legenda sejarah dan wira moden, yang layak untuk diabadikan dalam filem epik atau karya biografi, dan sudah tiba masanya untuk mengiktiraf lebih banyak tokoh wanita yang terbilang. 

#1: Wanita Kongsi, Pembina Mercu Tanda Malaysia

Wanita Kongsi merupakan kumpulan wanita yang bekerja dan tinggal di tapak pembinaan. Mereka memainkan peranan penting dalam pembangunan landskap binaan ibu negara kita, meliputi lebih daripada 60% tapak pembinaan semasa era pasca-Merdeka[1].

Mereka dikenali sebagai kongsi kerana mereka tinggal di kongsis atau tempat tinggal berkongsi. Para pekerja wanita juga dikenali sebagai lai sui mui (perempuan berlumpur dalam Bahasa Kantonis) kerana mereka menggalas baldi berisi konkrit basah di atas bahu mereka.

Para wanita ini bekerja lebih dari 10 jam setiap hari dan hanya diberi cuti dua hari setahun. Wanita-wanita yang kuat ini berkongsi tugas yang sama dengan rakan lelaki mereka, membawa dan menuang simen, meletakkan bata dan menggilap lantai.

Beberapa bangunan lama Malaysia seperti lapangan terbang Subang dan Parlimen adalah hasil daripada keringat dan usaha wanita kongsi.

Kita tidak boleh melupakan sumbangan besar yang dimainkan oleh buruh wanita. Di bangunan Parlimen, saya rasa kami mempunyai seribu orang yang bekerja di tapak itu dan saya anggarkan enam ratus daripadanya adalah wanita. Kebanyakan dari mereka adalah hanyalah gadis-gadis, gadis-gadis yang rajin dan ceria. Bangunan-bangunan itu tidak mungkin wujud tanpa mereka. – Ivor Shipley, Arkitek (Dewan Parlimen)[1]

Seiring berjalannya waktu, peranan buruh wanita digantikan oleh mesin dan secara perlahan, kehadiran wanita di tapak pembinaan mula pudar. 

#2: Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Hakim Negara Wanita Pertama

Yang Berhormat Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendapat perhatian semasa kes berprofil tinggi bekas perdana menteri Najib Razak. Beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara Malaysia pada tahun 2019, satu pelantikan yang bersejarah bukan sahaja untuk pentas kehakiman di Malaysia tetapi juga di Asia, di mana peranan tersebut sering dikuasai oleh golongan Adam[2].

Terdapat perubahan yang beransur-ansur di mahkamah Malaysia. Pada tahun 2021, 8 daripada 14 hakim di Mahkamah Persekutuan Malaysia adalah wanita, dan 10 daripada 30 hakim adalah perempuan. Di Mahkamah Tinggi, 30 daripada 98 hakim adalah wanita[3].

Dengan begitu ramai wanita berbakat dan berdaya dalam profesion undang-undang, saya yakin bahawa saya bukan yang pertama dan yang terakhir menjadi Ketua Hakim Negara wanita Malaysia.

Secara signifikan, keadilan diwakili oleh seorang wanita yang membawa pedang dan alat timbang, hampir selalu memakai penutup mata untuk melambangkan pentadbiran undang-undang yang adil dan saksama, tanpa sebarang prasangka, ketakutan, atau pilih kasih. Oleh itu, amat sesuai untuk mempunyai hakim wanita yang mentadbir dan menyampaikan keadilan. – Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Hakim Negara Malaysia[3]

Beliau juga terlibat dalam kes-kes penting lain, termasuk kes sabitan dua bekas anggota pasukan khas polis Malaysia dalam pembunuhan terkenal model Mongolia, Altantuya Shaariibuu di Mahkamah Rayuan.

#3: Datuk Rasammah Bhupalan, Memperjuangkan Hak Guru

Pada usia 16 tahun, Rasammah Bhupalan adalah sebahagian daripada sayap wanita Angkatan Tentera Kebangsaan India menentang British dan berkhidmat di Burma. Semangatnya yang berkobar tidak berhenti di situ. Dilahirkan dalam keluarga pendidik, beliau mengambil jawatan mengajar di Sekolah Perempuan Methodist selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya, Singapura[4].

Pada masa inilah beliau mengasaskan Kesatuan Guru Wanita Persekutuan Tanah Melayu (WTU) pada Mac 1960[4].

Sumber: The Star

Pada satu ketika di mana guru perempuan dari pelbagai bangsa dan etnik, gaji mereka tidak dibayar jumlah yang sama rata seperti golongan lelaki, WTU dengan Rasammah di tampuk  kepemimpinan kesatuan berjuang untuk hak-hak wanita dan pekerja.

Sebagai seorang pemimpin, terdapat masa di mana seseorang perlu menjadi seorang yang berdikari untuk mengekalkan integriti, akauntabiliti, dan kejujuran. Tetapi pada masa yang sama, saya tidak pernah menjadi jenis yang berdiam diri apabila perlu bersuara. Rasammah Bhupalan, pengasas Pusat Vokasional YWCA[5]

Pada tahun 1964, matlamat mereka tercapai dan wanita menerima jumlah gaji yang sama dengan lelaki. Usahanya sebagai penyokong kesetaraan jantina diiktiraf pada tahun 1986 apabila beliau dianugerahkan anugerah Tokoh Guru[4]

Sumber: Focus Week

Selain itu, beliau turut menjadi salah seorang pengasas Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NWCO), dan salah satu kempen beliau telah membawa kepada penubuhan Akta Reformasi Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang melindungi wanita dari perkahwinan berpoligami.

Beliau juga merupakan pengasas Pusat Peluang Latihan Vokasional YWCA untuk remaja-remaja dari keluarga berpendapatan rendah pada tahun 1998. Lebih daripada 1700 wanita telah mendapat manfaat daripada pusat tersebut sehingga kini.

#4: Yasmin Ahmad, Mempromosikan Perpaduan Berbilang Kaum Melalui Karyanya

Bagi ramai di antara kita, nama Yasmin Ahmad membangkitkan kenangan tentang iklan-iklan Petronas. Salah satunya ialah iklan Hari Merdeka yang terkenal, kisah Tan Hong Ming dan Umi Qazrina. Iklan yang bertajuk “Tan Hong Ming In Love” yang telah memenangi Anugerah Emas di Festival Pengiklanan Antarabangsa Cannes Lions pada tahun 2008.

Sesetengah mungkin juga telah menonton filem-filemnya seperti Sepet, Gubra, Mukhsin, atau Rabun semasa zaman remaja mereka. Pengarah filem ini telah menyentuh hati dan karya-karyanya telah menyoroti isu-isu penting dalam masyarakat kita, walaupun terbelit kontroversi. 

Sumber: odisi.my

Anda mungkin menyebutnya sebagai pembinaan negara, tetapi saya hanya benci sempadan dan saya benci pembahagian sewenang-wenang antara manusia. Saya hanya mahu membuat filem tentang kemanusiaan.

Sejak kecil, saya sentiasa bimbang tentang kemanusiaan – bukan dalam cara seperti Mother Theresa, tetapi saya tertarik pada interaksi harian antara manusia.Saya dapati bahawa dalam usaha kita untuk mencapai kejayaan, kadang-kadang kita lupa beberapa sifat asas manusiawi, seperti kebaikan dan belas kasihan. Yasmin Ahmad, pengarah filem[6]

Sumber: gempak.com

Karya-karya seni Yasmin telah mendapat pujian secara kritis dan pernah ditayangkan di festival filem antarabangsa seperti Berlin, San Francisco and Singapore. Sepet telah dianugerahkan Filem Asia Terbaik pada tahun 2005 di Tokyo International Film Festival ke-18. Muallaf telah menerima setem Pengarah Terbaik di Asia Pacific Film Festival ke-54 pada 2010. 

Walaupun beliau telah meninggal dunia pada usia 51 tahun, namun filem-filem dan iklannya tetap kekal abadi.

#5: Irene Fernandez, Lantang Bersuara Bagi Mereka yang Tidak Berupaya Bersuara

Anak perempuan kepada seorang penyelia ladang, pada masa kecilnya, Irene tidak dibenarkan untuk bermain dengan anak-anak pekerja ladang. Sesuatu yang meresahkan baginya , dan mungkin merupakan permulaan kesedarannya terhadap isu-isu politik dan sosial.

Irene Fernandez memulakan kerjayanya sebagai guru sekolah menengah pada usia 20-an. Walau bagaimanapun, beliau meninggalkan masa depan yang stabil untuk mengejar minatnya setelah terlibat dengan Gerakan Pekerja Kristian Muda (YCW), berpusat di Brussels[7]. Beliau menjadi presiden kebangsaan YCW Malaysia dari tahun 1972 hingga 1975 dan merupakan ahli jawatankuasa antarabangsa dari tahun 1973 hingga 1975[7]

Selepas bertahun-tahun berkerja dalam pelbagai isu termasuk hak pengguna melalui Persatuan Pengguna Pulau Pinang kepada perlindungan wanita daripada keganasan dengan All Women’s Action Society, Fernandez mengasaskan Tenaganita pada 1991[7], sebuah organisasi yang memperjuangkan hak pekerja asing sementara menjalankan sebuah rumah perantaraan bagi golongan pelacur yang menghidap HIV/AIDS.

Namun, pada tahun 1996, Fernandez tersangkut dengan undang-undang dan didakwa dengan “mempublikasikan berita palsu dengan niat jahat” disebabkan oleh penerbitan laporannya pada tahun 1995 yang berjudul “Penyalahgunaan, Penyeksaan dan Keadaan Terhina Pekerja Migran di Pusat Tahanan”. Laporan tersebut menyoroti penyalahgunaan dan keadaan yang teruk di mana 300 pekerja migran ditempatkan.

Jangan sekali-kali takut untuk berkata benar, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai suara dalam masyarakat kita. – Irene Fernandez, pengasas Tenaganita [8]

Walaupun menjalani perbicaraan yang panjang dan berada di bawah pengawasan kerajaan yang berkuasa, Fernandez tidak membataskan kerjanya atau meredakan perjuangannya untuk menyoroti penderitaan golongan yang terpinggir sehingga pemergiannya pada tahun 2014 pada usia 67 tahun.

Di peringkat dunia, usaha beliau telah diiktiraf dan beliau telah menerima Anugerah Amnesty International pada tahun 1998, Anugerah PEN Antarabangsa pada tahun 2000, dan Anugerah Right Livelihood pada tahun 2005.

#6: Lim Beng Hong,  Pelopor bagi Peguam Wanita

Lim Beng Hong, juga dikenali sebagai BH Oon, mungkin merupakan batu loncatan dalam memastikan lebih ramai wanita menjadi sebahagian daripada badan kehakiman dan perundangan di Tanah Melayu.

Permohonannya untuk menjadi ahli Bar Straits Settlement dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, yang pada masa itu hanya menerima lelaki, telah membawa kepada pindaan peraturannya. Beliau menjadi peguam wanita Asia pertama dalam Bar tersebut. BH Oon juga merupakan salah seorang dari dua wanita yang berkhidmat di Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1948[9]

Dalam satu dekad di mana peluang pendidikan untuk wanita terhad, BH belajar di Sekolah Perempuan St. George di Pulau Pinang. Beliau menjadi seorang peguam pada tahun 1926 dan menjalankan firma sendiri selama 50 tahun[8]. Beliau adalah wanita Malaya pertama yang dipanggil ke English Bar.

Sumber: medium.com

Majlis ini merupakan salah satu prasyarat untuk kemerdekaan Malaysia daripada penjajahan British. Beliau memegang jawatan tersebut sehingga tahun 1955, mengemudi landskap pembinaan negara menuju ke kemerdekaan. 

Beliau juga berkecimpung dalam bidang politik dan merupakan salah seorang pengasas Persatuan Cina Malaya serta seorang ahli majlis tempatan di Butterworth dari tahun 1954 hingga 1957. Beliau juga dianugerahkan salah satu daripada anugerah tertinggi di Britain; Order of the British Empire atas perkhidmatan kepada orang awam.

Pada tahun 1971, beliau telah menjadi presiden Malaysia pertama Persekutuan Peguam Wanita Antarabangsa, sebuah organisasi yang menawarkan perkhidmatan perundangan, terutamanya kepada golongan wanita dan kanak-kanak. Beliau meneruskan penglibatannya dalam politik dan memerangi kes jenayah sehingga pemergiannya pada usia 81 pada tahun 1979[9]

#7: Dato Sri’ Tra Zehnder, Pahlawan Dayak Iban 

Ia adalah perjuangan tanpa henti seorang pahlawan wanita Dayak Iban untuk mendapatkan pengiktirafan rasmi bagi Hari Gawai dan Hari Dayak pada setiap 1 Jun di Malaysia.

Pahlawan itu adalah Dato’ Sri Tra Zehnder. Dilahirkan sebagai Philomena Tra Zehnder pada tahun 1926, pengiktirafan komuniti Dayak telah menjadi fokus misinya[4]. Beliau berkahwin dengan seorang pegawai kolonial Eurasia selepas perang dan menggunakan status sosialnya sebagai batu loncatan untuk memperjuangkan hak-hak suku Dayak[4]

Pada tahun 1957, beliau menubuhkan Sarkakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dan aktif dalam politik pada tahun 1960-an. Melalui kerjanya dengan SIDS, beliau menggalakkan lebih ramai wanita Dayak untuk mengambil peranan kepemimpinan serta juga menyediakan kelas literasi untuk wanita.

Tra adalah ahli wanita pertama Dewan Undangan Negeri dari tahun 1960 hingga 1963. Semasa pertemuan Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962, Tra mewakili Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU). Pertemuan tersebut diadakan untuk menentukan sama ada Sabah dan Sarawak menyokong Persekutuan Malaysia.

Jika kita tidak terlibat dalam politik, kita tidak akan mempunyai suara dalam kerajaan. – Tra Zehnder, pahlawan Iban[10]

Mengurangkan peranannya dalam politik, Tra menjadi lebih terlibat dalam kerja komuniti. Pada usia 62 tahun, beliau menjadi wanita pertama yang memegang jawatan Temenggong (gelaran tertinggi ketua komuniti) untuk komuniti Iban[9].

ISebagai penghormatan kepada pencapaian beliau dan kerja kerasnya dalam mempertahankan hak-hak komuniti Dayak, beliau menerima Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib dan Pegawai Negara Bintang Sarawak, ‘Tun Sri Fatimah Wanita Cemerlang’ pada tahun 1992, dan ‘Penggerak Utama Perpaduan Kebangsaan’ yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2007 atas sumbangan pentingnya dalam membangun Sarawak dan negara[10]

Tra meninggal dunia pada tahun 2011.

#8: Datuk Siti Rahmah Kassim, Gelang yang Memerdekakan Kita

Seorang pejuang kemerdekaan sejak usia muda, tindakan Datuk Siti Rahmah yang mendermakan gelang emasnya untuk menyokong perjalanan Tunku Abdul Rahman kekal dikenang pada tahun 1957.

Ini adalah hadiah dari ayah saya untuk perkahwinan saya, tetapi gunakanlah untuk membantu dalam perjuangan anda untuk negara.Datuk Siti Rahmah Kassim, pejuang kemerdekaan[11] 

Sumbangannya mendorong khalayak ramai untuk menyumbangkan barang berharga termasuk cincin, jam tangan, dan anting-anting. Rahmah kemudian berjalan di sekitar dewan meminta mereka untuk melakukan hal yang sama.

Mereka yang berada di dalam dan di luar dewan ini, sila buat sumbangan untuk membantu Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj pergi ke London demi kepentingan rakyat dan negara.   – Datuk Siti Rahmah Kassim,  pejuang kemerdekaan[11] 

Rahmah sentiasa bersemangat dalam perjuangannya untuk kemerdekaan. Beliau memulakan kerjayanya dalam politik pada usia 18 tahun apabila beliau secara aktif membantah Kesatuan Malaya. Pada tahun 1959, beliau menjadi wanita pertama yang bertanding dalam pilihan raya umum.

Di luar politik, beliau merupakan presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia(PERKIM) dan NGO-NGO yang menyokong golongan ibu tunggal seperti Persatuan Ibu Tunggal Negeri Sembilan dan Majlis Pertubuhan Ibu Tunggal Malaysia.

Selagi saya hidup, saya akan meneruskan berjuang kerana itulah semangat yang mengalir dalam darah saya sejak tahun 1945 semasa saya mula membiasakan diri dengan politik. Datuk Siti Rahmah Kassim, pejuang kemerdekaan[12]

Pada 2016, beliau telah dianugerahkan Anugerah Tokoh Wanita Negeri Sembilan. Datuk Siti Rahmah meninggal dunia pada tahun 2017 pada usia 91 tahun. 

#9:  Professor Emerita Tan Sri Dr Mazlan Othman, Menjangkau Infiniti 

Profesor Emerita Tan Sri Dr Mazlan Othman bukanlah nama asing dalam bidang sains dan teknologi di Malaysia. Beliau telah menjadi nama yang dikenali ramai dan menjadi contoh teladan bagi golongan wanita dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Namun, mungkin perjalanan hidupnya menjadi agak berbeza jika bukan kerana dorongan guru-gurunya di Kolej Tunku Kurshiah. Mazlan sering berada di tingkat pertama dalam sains dan matematik di kelasnya. Guru-gurunya melihat potensinya dan mendorongnya untuk menjadi seorang saintis.

Saya ingin mengambil bidang Sastera tetapi guru-guru saya mendorong saya untuk mengambil sains dengan memberikan hujah yang sangat mudah yang sebenarnya saya tidak dapat membantah. Negara (ini pada tahun 1960-an) memerlukan saintis.Datuk Seri Mazlan Othman, ahli astrofizik [13]

Seterusnya, seperti yang dikatakan, adalah sejarah. Dr. Mazlan meneruskan pelajaran di bawah biasiswa Colombo, dan mengambil PhD dalam astrofizik di Universiti Otago, New Zealand. Setelah kembali ke Malaysia, beliau mencipta program astrofizik di Universiti Kebangsaan Malaysia sebelum dilantik sebagai profesor astrofizik pada tahun 1994.

Namun, beliau mendapat terkenal dalam peranannya sebagai pengarah jeneral pertama Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) yang membangunkan Program Angkasawan yang menghasilkan misi rakyat Malaysia yang pertama ke angkasa. Sebelum ini, beliau adalah pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Hal Ehwal Angkasa Luar (UNOOSA) di Vienna.

Hari ini, beliau terus menyumbang kepada komuniti saintifik sebagai ahli karyawan kanan Akademi Sains Malaysia dan suar harapan bagi ramai saintis wanita yang lebih ramai di Malaysia.

#10: Datin Paduka Mother Mangalam, Seorang Ibu Kepada Anak- Anak Yatim

Perang Dunia Kedua telah mengubah cara Mother Mangalam (ketika itu sebagai sister) memandang hidup. Beliau menyaksikan kemiskinan dan kelaparan di sekelilingnya. Beliau bertekad untuk mendedikasikan sisa hidupnya kepada kanak-kanak. Sejak itu, beliau telah menjadi ibu kepada ribuan anak yatim Malaysia melalui organisasi, Pure Life Society yang beliau tubuhkan pada tahun 1949[14].

Pada usia 22 tahun, beliau memainkan peranan sebagai pendidik untuk kanak-kanak dari latar belakang miskin bersama mentor rohaninya, Swami Satyananda. Bersama-sama, mereka menubuhkan Pure Life Society i dan institusi tersebut tidak dimamah usia.  Atas sumbangannya, beliau telah menerima lebih daripada 30 anugerah dan penghormatan termasuk Anugerah Merdeka yang berprestij pada tahun 2010.

Namun, hal itu tidak mengurangkan kesungguhannya untuk berbakti kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama, bahkan pada usia emas 97 tahun.

Kejayaan saya? Saya sebenarnya tidak tahu apa itu. Semua orang telah menyumbang kepada kerja ini, itulah yang dapat saya katakan; persekitaran, orang lain, dan kanak-kanak telah memainkan peranan dalam apa yang telah dicapai sejauh ini. Bagi saya, faktor yang paling penting adalah membina modal insan yang betul untuk meneruskan kerja ini pada masa depan, kerana tanpa itu, kita tidak dapat mencapai apa-apa. – Mother Mangalam, pengasas of Pure Life Society [15]

Mother Mangalam juga telah menerbitkan sebuah buku puisi bertajuk Dew Drops on the Lily Pad pada tahun 2001 dan Mother pada tahun 2014.

#11: Dato’ PG LIM, Duta Malaysia Pertama Ke Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu

Dato’ Lim Phaik Gain melanjutkan pelajaran di dalam bidang undang-undang di Universiti Cambridge mengikuti jejak ayahnya, Lim Cheng Ean. Setelah kembali ke Tanah Melayu, beliau membina reputasi sebagai seorang peguam yang hebat. Beliau terlibat dalam pertempuran undang-undang memperjuangkan kesatuan pekerja, termasuk Kesatuan Pekerja Keretapi Malaysia dan Kesatuan Pekerja Ladang Kebangsaan [16]

Sumber: Merdeka Award

Beliau juga merupakan salah seorang pengasas Parti Buruh Malaya, yang aktif antara tahun 1952-1969. Selepas peristiwa 13 Mei 1969, Lim adalah sebahagian daripada Majlis Perundingan Kebangsaan yang kemudiannya merumuskan Dasar Ekonomi Baru [16].

Dua tahun kemudian, beliau menjadi wanita Malaysia pertama yang pernah menjadi duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Apabila saya pertama kali pergi ke PBB, saya dapati bahawa negara membangun mempunyai lebih banyak wakil di sana berbanding negara-negara maju. Pada tahun 1970-an, banyak negara telah mencapai kemerdekaan, dan mereka tidak mampu untuk mendiskriminasi wanita. Mereka mengambil orang yang cekap dan berada dalam kedudukan untuk mewakili negara tanpa mengira jantina.Dato’ PG Lim, Duta Malaysia Pertama ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu [16]

Dengan kecerdasan beliau, etika kerja yang tidak dapat dinafikan, dan keyakinan kuatnya bahawa seorang wanita boleh membuat perbezaan dalam banyak kehidupan, pencapaian dan etika kerjanya member inspirasi pada golongan wanita. Pada tahun 2009, beliau dianugerahkan Anugerah Merdeka. PG Lim meninggal dunia pada tahun 2013.

#12: Datuk Wira Dr Maznah Hamid, Wanita Besi

Mengalami kehidupan dalam keluarga yang tidak utuh, Datuk Wira Dr Maznah Hamid dibesarkan oleh datuk neneknya dengan impian untuk menjadi seorang usahawan. Walau bagaimanapun, beliau terpaksa mundur sebentar dari mengejar minatnya kerana ketidaksetujuan datuknya, yang mengatakan usahawan adalah mereka yang putus sekolah dan pada akhirnya akan  menjual ikan dan sayur-sayuran di pasar.

Beliau mengalah dan bekerja sebagai penterjemah untuk beberapa kedutaan dan syarikat multinasional sebelum mengejar impiannya semula. Maznah memutuskan untuk memulakan Securiforce dengan hanya RM5000 dari simpanannya berbanding dengan syarikat lain yang mempunyai modal yang lebih besar antara RM500,000 hingga RM1 juta.

Maznah menjadi wanita pertama di Malaysia yang memimpin sebuah syarikat keselamatan dan kini, ia merupakan pembekal perkhidmatan keselamatan terbesar di Malaysia. Dari RM5,000 kepada sebuah syarikat yang bernilai jutaan ringgit dengan lebih dari 6,000 pekerja dan mempunyai lebih daripada 64 cawangan.

Seorang ‘Iron Lady,’ beliau dikenang sebagai seorang wanita yang berani dan gigih. Beliau meninggalkan kesan dalam arena politik sebagai sebahagian daripada Wanita UMNO Kedah. Beliau meninggal dunia pada tahun 2017.

Beliau merupakan seorang manusia yang berani dan tegas. Beliau meninggalkan kampungnya untuk menyambung pelajaran di Kuala Lumpur setelah habis Tingkatan Lima. Beliau tidak pernah melupakan asal usulnya walaupun telah menjadi seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya di bandar itu. Beliau pulang hampir setiap dua minggu ke Jerlun — dan kadangkala, setiap minggu  — untuk menyemak perkembangan program-program di kawasan yang telah mengundinya.  – Rohani Mat Ariff, kawan zaman kanak-kanak Maznah dan juga ahli UMNO[17]

Terjemahan oleh: Sharifah Zaqreeztrina Syed Zamri

Explore our sources:

  1. C.K.Lai & C.C.Ang. (2019). Kongsi Women: The Women Who Built Malaysia. Think City. Link 
  2. B.L.Yi. (2019). Malaysia’s first female top judge is ‘big step’ for women’s justice. Reuters. Link
  3. The Australia Indonesia Partnership for Justice (AIPJ 2) Webinar (15 April 2021) Reflections on my journey to becoming the first female Chief Justice in Malaysia: challenges and champions. Link 
  4. Poskod. (n.d.). The Women Who Made Malaysia. Link
  5. G.Chen. (2016). A tigress to this day. The Star. Link 
  6. Southeast Asia Film Studies Institute. (2009). Yasmin Ahmad (1958 – 2009). Link
  7. Right Livelihood. (2005). Irene Fernandez. Link 
  8. G.A.Das. (2016). Remembering Irene Fernandez. Malaysiakini. Link 
  9. M.A. (2021). B.H. Oon, the lawyer who opened the doors for women to practice law in Malaysia. Asklegal.my. Link 
  10. C.T. Mamora. (2021). Committed to uplifting community identity, participation. The Borneo Post. Link 
  11.  M.M. Chu. (2017). Siti Rahmah unsung hero in fight for Merdeka dies. The Star. Link 
  12. E.Choo. (2018). The Tale Of The Bangle. Going Places. Link 
  13. Prestige Women. (n.d.). Dr Mazlan Othman. Link
  14.  R.Durai. (2021). Mother Mangalam; The Humanitarian Woman Who’s In Love With Children. Varnam.my. Link
  15.  Merdeka Award. (n.d.). Datin Paduka Mother Mangalam. Link 
  16. Merdeka Award. (n.d.) Tan Sri Dato Lim Phaik Gan. Link
  17. A.S.Zulkefli. (2017). Remembering Iron Lady, Datuk Maznah Hamid. New Straits Times. Link

Stories You May Also Like:

BURSA TOP 20: Who’s The most charitable?